Categories
SELANGOR

Exco PAS komited teruskan tugas kekalkan kestabilan Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Exco PAS dalam Kerajaan Selangor akan terus menjalankan tugas seperti yang diamanahkan rakyat menerusi mandat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan memberikan sokongan penuh kepada kerjasama kepimpinan sedia ada.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad dalam kenyataan berkata, usaha membela rakyat menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan diteruskan dengan jayanya selain mahu mengekalkan kestabilan di Selangor.

“Terdapat banyak khabar-khabar angin tentang kedudukan PAS di dalam Kerajaan Selangor maka demi kestabilan Kerajaan Negeri ditegaskan di sini bahawa PAS masih bersama di dalam Kerajaan Negeri yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

iskandar01“Oleh demikian, Exco-Exco PAS akan menjalankan tugas mereka seperti biasa dan memastikan semua program-program Kerajaan Negeri seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Dengan itu, kami memberi sokongan kepada kerjasama dan persefahaman serta kepimpinan yang sedia ada untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati kestabilan dan pembelaan berterusan.,” katanya.

Tegasnya, Exco Kerajaan Negeri juga akan terus memainkan peranan yang aktif dan berkesan di dalam kerajaan selari dengan komitmen yang telah diberikan untuk mendukung prinsip serta dasar Kerajaan Megeri sejak Mac 2008.

Categories
SELANGOR

Selangor salur RM50,000 bantu mangsa bencana Cameron Highland

Cameron-highland-Banjir-3SHAH ALAM 24 OKT: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Bertam Valley, Cameron Highlands.

Exco Kebajikan Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung mangsa kerana kemusnahan harta benda yang dialami dalam kejadian banjir kilat, awal pagi semalam.

“Kerajaan dan rakyat Selangor ingin merakamkan rasa empati terhadap semua mangsa sama ada yang meninggal dunia atau masih hidup, keluarga dan waris mereka. Semoga Tuhan memberi ketabahan dan kesabaran kepada mereka untuk melalui dan bangkit daripada musibah yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil iktibar dengan mematuhi langkah keselamatan dengan memberi keutamaan terhadap menyelamatkan nyawa manusia.

“Kematian tiga orang akibat banjir kilat yang melanda Bertam Valley itu amat menyedihkan. Prosuder dan langkah keselamatan dan menyelamat nyawa wajar diberi keutamaan mengatasi perkara lain.

“Penduduk sekitar yang terkejut dan terperangkap kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri perlu dijadikan iktibar supaya kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.

-NFN-