Categories
SELANGOR

Pengelasan jenis tanaman, tingkat produktiviti pertanian negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 SEPT: Inisiatif pengelasan jenis tanaman pertanian dilaksanakan secara efektif bagi menghasilkan hasil tani berproduktiviti tinggi.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata prosedur tersebut digerakkan bagi mengatasi masalah kekurangan tanah pertanian negeri.

“Kekangan guna tanah pertanian kini dalam rekod saya sebanyak 36.9 peratus yang mana meliputi 80 peratus hasil tanaman getah dan kelapa sawit.

“Kita akui pertambahan penduduk, mendorong kepada penyusutan tiga peratus tanah negeri yang akan dibangunkan untuk tujuan pembangunan.

“Jadi inisiatif pengelasan tanaman menerusi penggunaan teknologi moden mampu menjana kepada hasil lebih positif,” katanya kepada SelangorKini.

Ketika ini, Selangor tidak memiliki tanah pertanian bersesuaian untuk dibangunkan sebagaimana negeri-negeri di Malaysia seperti Kedah, Perlis, Johor dan Sarawak.

Mengakui perkara itu, Zaidy berkata Kerajaan Negeri menghadapi cabaran terbesar bagi mencari ruang tanah pertanian baru ke arah menjana pertumbuhan industri itu.

“Bakinya terlalu kecil dan sedikit. Keadaan itu menjadi kekangan kita kerana tanah dikategorikan sebagai zon pertanian kini dihimpit pembangunan.

“Namun diharap inisiatif digerakkan ini mampu membantu petani mengeluarkan hasil pertanian mereka,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

SAF 2012 Menyediakan Program Menarik Seisi Keluarga

SHAH ALAM 29 NOV: Sempena Selangor AgroFest 2012 (SAF) pada 11 hingga 16 Disember ini, pelbagai program menarik disediakan termasuk ceramah perdana oleh penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus dan ‘Malam Selamatkan Gaza’.

Exco Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, program anjuran Kerajaan Negeri yang dimulakan tahun lalu ini padat dengan pelbagai program dan acara yang sesuai kepada semua peringkat umur.

Katanya, program selama seminggu ini mengandungi pameran pertanian, ‘fun-fair’, pertandingan memasak, sukan rakyat, futsal, persembahan artis jemputan serta ceramah perdana.

“SAF turut bekerjasama dengan Tourism Selangor bagi menjemput usahawan makanan seperti sate Kajang, nasi ambeng, lontong, dan cendol,” katanya ketika sidang media di luar Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Turut hadir adalah Exco Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi, Timbalan Exco Pemodenan Pertanian, Shuhaimi Shafiei serta Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Mohd Idros Hamid.

Dr Yaakob berkata, perancangan sedang dilakukan untuk mengadakan Larian SAF 2012 yang mendapat penyertaan lebih 6,000 peserta pada penganjurannya tahun lalu.

Pada program ini juga, Kerajaan Negeri turut mengadakan majlis anugerah kepada usahawan tani dari seluruh Selangor seperti Anugerah Usahawan Tanaman Terbaik, Anugerah Industri Asas Tani Terbaik dan Anugerah Pengurusan Padi Terbaik.

Dalam pada itu, usahawan berpeluang menjalankan kerjasama perniagaan di antara pemborong, pembeli, pengedar dan pembekal bagi mempromosikan dan menjual produk mereka bagi menembusi pasaran lebih luas.

?Ini merupakan tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan baru dan peniaga khususnya dalam bidang pertanian, industri asas tani (IAS) dan industri kecil sederhana (IKS) dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka,? katanya.

Majlis perasmian SAF 2012 akan diadakan pada 13 Disember ini oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.