Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

LPHS beli 979 unit Rumah Selangorku, laksana Skim Smart Sewa

SETIA ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) membeli 979 unit Rumah Selangorku untuk melaksanakan program Skim Smart Sewa sejak mula diperkenalkan pada 2017 sehingga kini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, sehingga kini Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM150 juta bagi pembelian unit kediaman bagi pelaksanaan skim itu.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 515 unit disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450 sehingga RM900 sebulan.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Pembeli Rumah Selangorku De Cemara Setia Alam dan Majlis Penyerahan Kunci Kepada Penyewa Skim Smart Sewa , De Kiara Setia Alam, pada 7 September 2019.

“Pada akhir tahun ini sehingga pertengahan 2020 sebanyak 464 unit lagi dijangka disiapkan dan sedia untuk disewa kepada orang awam.

“Malah, hari ini di Setia Alam sahaja, sebanyak 30 unit untuk projek De Kiara sudah diserahkan kunci untuk mereka sewa, manakala 30 unit lagi bagi projek De Bayu dijangka bakal diserahkan kunci pada Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Pembeli Rumah Selangorku De Cemara Setia Alam dan Penyerahan Kunci Kepada Penyewa Skim Smart Sewa , De Kiara Setia Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Dato’ Khor Chap Jen dan Ketua Penolong Pengarah LPHS, Mohd Hafiz Hassan.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penyewa Skim Smart Sewa , De Kiara Setia Alam, pada 7 September 2019.

Pada masa sama, Haniza berkata, Skim Smart Sewa diperkenalkan Kerajaan Negeri bertujuan membantu golongan sasar untuk menyewa sambil menyimpan.

Katanya, setiap penyewa akan menyewa untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan tempoh maksima sewaan adalah lima tahun.

“Sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan bersih ini akan dipulangkan semula sebagai insentif dalam membantu mereka menyediakan deposit pembelian Rumah Selangorku kelak.

“Menariknya, ia juga sebagai jalan mudah untuk penyewa membeli Rumah Selangorku kerana Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd akan menyerahkan senarai nama kepada LPHS untuk diberi keutamaan kepada peserta Skim Smart Sewa,” kata Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya itu.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha (tengah) bergambar bersama 30 penyewa Skim Smart Sewa , De Kiara Setia Alam, pada 7 Septermber 2019.

Terdahulu, seramai 30 keluarga menerima manfaat Skim Smart Sewa Pangsapuri De Kiara selepas menerima kunci yang diserahkan sendiri EXCO terbabit, hari ini.

Unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik dan dua tandas selain kemudahan dua parkir bagi setiap unit.

Categories
SELANGOR

EXCO: Pemeriksaan bangunan secara berkala termaktub dalam akta

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 29 APRIL: Pemeriksaan bangunan secara berkala setiap 10 tahun perlu dijalankan pemilik bangunan kerana ia termaktub dalam akta, kata Haniza Mohamed Talha.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar itu berkata, perkara terbabit sudah dinyatakan secara jelas di dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pada Seksyen 85A.

Katanya, menurut akta terbabit, pemilik bangunan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) perlu mendapatkan seorang jurutera profesional bagi membuat siasatan terhadap keadaan bangunan mereka.

“Akta ini sudah ada tetapi mungkin tidak dilaksana, jadi bila sudah jadi begini, saya fikir ia perlu kembali dikuat kuasakan.

“Setiap pemilik bangunan, JMB dan MC perlu sedar bahawa akta itu memerlukan mereka membuat pemeriksaan bangunan selepas 10 tahun bermula sejak serah kunci serta kemudian 10 tahun dan berikutnya.

“Jadi, melalui laporan pemeriksaan jurutera terhadap bangunan mereka, maka baik pulih atau pembaikan kerosakan boleh dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melawat Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang mengalami keretakan serius, di sini.

Jumaat lalu, dilaporkan 37 keluarga yang tinggal di bangunan terbabit terpaksa dipindahkan ekoran terdapat rekahan ketara yang dibimbangi menggugat keselamatan penduduk.

Sehingga kini, seramai 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 24 keluarga berada di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2.

Categories
SELANGOR

983 unit rumah Smart Sewa di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MAC: Sejumlah 983 unit rumah Smart Sewa di seluruh Selangor sedang dilaksanakan setakat ini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, daripada jumlah itu sebanyak 341 unit sudah disewakan, 101 sudah siap dan akan dibuka untuk permohonan manakala 541 sedang dalam proses pemilikan serta pembinaan.

“Antara unit sudah disewakan adalah lima unit di Pangsapuri Tun Teja, Alam Impian; Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16 (41); Pangsapuri Taman Damai Utama, Kinrara-Puchong (110); Pangsapuri @ Jalan Kereta Api Lama , Kapar (64); Pangsapuri Arista (11); Pangsapuri Azaria (50); Pangsapuri Asteria (50) dan Bandar Seri Coalfields (10).

“Selain itu, antara 101 unit yang akan dibuka permohonan kepada orang awam adalah di Pangsapuri De Kiara, Setia Alam (30 unit); Pangsapuri Seroja, Setia Alam (11); Apartment Trifolis, Bukit Tinggi (30) dan Pangsapuri Taming Mutiara, Cheras (30),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri Sementa, Daroyah Alwi berhubung Rumah Smart Sewa Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Manakala, katanya, sejumlah 541 unit Skim Smart Sewa kini dalam proses pemilikan dan masih dalam pembinaan serta dijangka siap untuk disewakan sekitar tahun ini hingga 2020 mengikut daerah.

“Antaranya adalah masing-masing 30 unit di Taman Puchong Utama Jenis B, Puchong; Taman Puchong Utama Jenis C; Pangsapuri Seri Akasia, Puchong; Pangsapuri De Bayu, Setia Alam dan Pangsapuri Harmoni 1, Putra Heights.

“Selain itu, adalah Bandar Bukit Raja Fasa 17B, Bukit Raja (50); Emira @ TTDI Grove, Kajang (10); Jade Hills Jenis A, B, C, D (60); Apartment Simfoni, Semenyih (17) dan Rumah Bandar, Kota Puteri (20),” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan masa depan penyewa rumah Smart Sewa pada masa akan datang, Haniza berkata, mereka akan diberikan pemulangan sewaan bersih sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan dibayar dan boleh digunakan sebagai deposit pembelian rumah lain.

“Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memberikan keutamaan penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit.

“Namun, pemohon perlu memenuhi syarat kelayakan ditetapkan. Akhirnya, ia membantu pemohon berkenaan untuk memiliki kediaman mereka sendiri tanpa perlu menyewa lagi pada masa akan datang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tindakan terhadap pemilik sewakan Rumah SelangorKu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pembeli Rumah SelangorKu yang menyewakan kediaman mereka kepada pihak lain.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan mengeluarkan notis bagi mendapatkan keterangan daripada pembeli yang menyewakan unit Rumah SelangorKu seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 38 Enakmen LPHS.

Katanya, LPHS juga sedang meneliti kebolehlaksanaan untuk mengambil tindakan atas kesalahan jenayah penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“LPHS turut mengenal pasti punca kepada isu penyewaan ini, dan sebagai tindakan penyelesaian jangka panjang proses penawaran Rumah SelangorKu turut diperketatkan dengan memasukkan elemen perisytiharan dan pengakuan penyataan benar oleh pemohon sebagai satu langkah memastikannya tidak mempunyai sebarang rumah kediaman di Selangor sahaja ditawarkan unit itu.

“Pentadbiran LPHS juga merangka satu mekanisme yang mensyaratkan permohonan Rumah SelangoKu bersetuju dengan akujanji bahawa unit yang ditawarkan akan dimanfaatkan bagi tujuan kediaman pemohon dan bukan untuk disewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan usul peruntukan Pembangunan Belanjawan Selangor 2019 di Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, antara langkah pencegahan yang dilaksanakan pada masa kini adalah dengan melaksanakan proses verifikasi maklumat yang dikemukakan pemohon.

Katanya, menerusi verifikasi itu, LPHS akan membuat penentusahan dan semakan maklumat kewangan dan pemohon perlu mengemukakan salinan keterangan kedudukan liabiliti kewangan daripada Central Credit Reference Information System (CCRIS) semasa membuat permohonan.

Categories
SELANGOR

Projek perintis bangun model jaringan hijau di flat kos rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Projek perintis bagi pembangunan model jaringan hijau akan dijalankan di tiga buah flat kos rendah daripada tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza di Selangor.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, PBT terbabit ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Hasil daripada kajian ini, Kerajaan Negeri akan menetapkan satu model jaringan hijau berkonsepkan kawasan terbuka, lapang, hijau dan selamat dalam menyokong sistem ekologi serta sosial sosial sesebuah komuniti.

“Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan di kawasan jaringan hijau untuk mengurangkan tekanan melalui aktiviti beriadah dan bersosial.

“Reka bentuk zon jaringan hijau ini akan turut mengambil kira akses yang selamat ke kawasan luar pangsapuri seperti laluan ke sekolah, perhentian pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan perbahasan usul peruntukan Pembangunan Belanjawan Selangor, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Usul berkenaan dibahaskan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berhubung insiden motosikal dibakar yang disyaki berpunca daripada perbuatan khianat remaja, di Pangsapuri Angsana, Taman Subang Mewah, pada Mei tahun lalu.

Kejadian terbabit menyebabkan kerosakan pada beberapa kemudahan pangsapuri berkenaan selain premis perniagaan turut terjejas ekoran bahang api yang merosakkan dinding serta siling.

Difahamkan, kesemua remaja terbabit bertindak sedemikian ekoran tidak berpuas hati dengan penduduk yang sering menegur mereka membuat bising di bawah blok.

Mengulas lanjut, Haniza berkata, terdapat kelemahan dalam dasar terdahulu berkaitan keperluan menyediakan kawasan lapang yang seimbang dengan kepadatan penduduk.

“Berdasarkan maklum balas daripada PBT melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar bertarikh 12 hingga 14 Disember 2018, dasar keperluan penyediaan kawasan lapan ini sudah ditambah baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tindakan pengusiran penyewa gagal patuh peraturan PPR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan pengusiran ke atas penyewa tegar yang enggan mematuhi peraturan pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, tindakan itu akan dikenakan terhadap mana-mana penyewa yang gagal mematuhi syarat kontrak penyewaan perlu diperbaharui setiap tahun.

Justeru, katanya, Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sudah menjalankan pengusiran fasa pertama, sejak 12 Februari lalu terhadap 10 unit di PPR Kota Damansara dan lima unit di PPR Hicom, Shah Alam.

“Tindakan penguatkuasaan ini dijalankan ke atas penyewa yang membuat bayaran secara tidak konsisten dan mempunyai tunggakan sewa bulan setinggi RM25,250, terbabit dengan aktiviti sewa atas sewa serta menceroboh unit kosong juga bukan penama asal yang menduduki unit terbabit.

“Ia dijalankan selepas notis peringatan dikeluarkan secara berulang kali tetapi tidak diendahkan penyewa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemutihan PPR di sekitar Selangor di Lobi Dewan Annex, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Sr Nazmi Osman.

Mengulas lanjut, Haniza berkata, tindakan penguatkuasaan itu adalah bagi memberi laluan kepada pemohon yang sudah lama menunggu giliran dan lebih layak untuk menghuni unit terbabit.

Katanya, Kerajaan Negeri memiliki tiga PPR di bawah seliaan PHSSB terletak di tiga lokasi iaitu Kota Damansara, Kampung Baru Hicom Shah Alam dan Serendah dengan kadar sewaan RM250 sebulan.

“Setakat Februari lalu, unit kosong di PPR Kota Damansara adalah sebanyak 11 unit, PPR Hicom (36 unit) dan PPR Serendah (170 unit) manakala sebahagian daripada unit kosong di PPR Serendah sedang dibaikpulih bagi memberi laluan kepada pemohon.

“Bagaimanapun, unit kosong di PPR Kota Damansara dan PPR Hicom sudah ditawarkan kepada penyewa dan menunggu untuk kemasukan selepas menjalani sesi temuduga, pada 19 Mac lalu.

“Jumlah permohonan yang masih menunggu bagi PPR Kota Damansara, PPR Hicom dan PPR Serendah masing-masing sebanyak 203, 440 dan 213 permohonan,” katanya.

Categories
SELANGOR

JKPPT peringkat PBT mampu kurangkan projek terbengkalai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPPT) di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dibentuk sebagai langkah proaktif Kerajaan Negeri mengurangkan projek perumahan terbengkalai, sekali gus melindungi hak pembeli, di Selangor.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, inisiatif itu juga selaras memastikan pemulihan projek terbengkalai dapat dilaksanakan dan dipantau secara berterusan dengan kolaborasi semua agensi.

“Fungsi JKPPT ini ialah menyediakan inventori projek terbengkalai dan bermasalah yang seragam selain bertindak sebagai penyelaras di antara pemaju atau pemaju penyelamat atau pelekuidasi dengan pihak berkaitan di PBT.

“Di samping mencadangkan langkah penyelesaian kes-kes pemaju atau projek bermasalah, ia memantau secara berkala kemajuan pelaksanaan projek baharu dan sedang dalam pembinaan bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan sehingga sijil layak menduduki diperolehi.

“JKPPT turut menyediakan laporan kemajuan projek kepada Kerajaan Negeri dan menghadiri mesyuarat berkaitan isu ini di peringkat Kerajaan Negeri serta Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) peringkat PBT dan pemutihan PPR di sekitar Selangor, di Lobi Dewan Annex, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Sr Nazmi Osman.

Difahamkan, sehingga Februari lalu, sebanyak 104 projek dikenal pasti sebagai projek terbengkalai mengikut PBT di Selangor.

Haniza berkata, situasi projek bermasalah itu berpunca daripada kemajuan projek lewat dan projek yang sudah siap tetapi belum selesai serta hanya diberi CF sementara.

Sementara itu, katanya, projek terbengkalai pula berikutan tiada sebarang kemajuan selama enam bulan di bawah Perjanjian Jual Beli, bahkan projek terbabit perlu diperakukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya berharap penubuhan JKPPT di peringkat PBT ini akan dapat membantu menyelesaikan isu berkaitan dengan projek terbengkalai dan dapat memulihkan lebih banyak projek terbengkalai khususnya di Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Rumah SelangorKu di PJS 4 bakal siap menjelang September 2020

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Rumah SelangorKu di PJS 4, Taman Medan bakal siap sepenuhnya menjelang September tahun depan, kata EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Beliau berkata, projek dimajukan Tetuan Tact Mission Sdn Bhd itu berjalan lancar dan status kerja di tapak didapati teratur seperti dirancang.

“Berdasarkan laporan tapak dikemukakan pemaju, kerja pembinaan secara keseluruhan sudah mencapai 46 peratus siap.

“Kerajaan Negeri melalui LPHS (Lembaga Perumahan Hartanah Selangor) amat yakin akan sasaran siap pembinaan dengan memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan pada September 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Firdaus Mohamed Supri berhubung status projek rumah mampu milik di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menjawab pertanyaan adakah rakyat di Taman Medan diberi keutamaan untuk memiliki kediaman itu, Haniza berkata, kelayakan permohonan adalah tertakluk kepada syarat Penawaran Terbuka.

Malah, katanya, faktor keutamaan pemilikan itu tidak semestinya diberikan kepada penduduk di kawasan Taman Medan sebaliknya perlu megikuti syarat Penawaran Terbuka seperti sudah ditetapkan.

Katanya, antara syarat Penawaran Terbuka adalah pemohon dalam kalangan Warganegara Malaysia; berumur 18 tahun dan ke atas; pendapatan sehingga RM10,000 sebulan dan tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor.

Selain itu, katanya, antara syarat lain pula adalah pemohon yang sudah memiliki rumah kos rendah (Jenis A) selama lima tahun ke atas boleh memohon Rumah Selangorku Jenis B, C dan D dengan syarat mengemukakan surat permohonan bersama salinan Perjanjian Jual-Beli dan pemilikan rumah bukan berdasarkan isi rumah tetapi berdasarkan individu.

Manakala, beliau berkata, antara syarat lain adalah permohonan pindah milik hanya dibenarkan selepas lima tahun dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri dan pemohon perlu berdaftar di atas talian laman sesawang LPHS.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Harga RM42,000 Rumah Selangorku kekal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menaikan kadar harga projek perumahan rumah mampu milik Rumah Selangorku, walaupun berlaku ketidaktentuan milikan harga perumahan di pasaran kini.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, kadar rendah itu dikekalkan selaras pelaksanaan dasar berkebajikan diperkenalkan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, komitmen itu diteruskan bagi membolehkan golongan B40 memiliki rumah sendiri.

“Dasar ini dikekalkan dan tidak akan berubah sebagaimana ditetapkan di peringkat negeri dari awal pelaksanaan skim ini.

“Kadar RM42,000 itu adalah cukup rendah dan di peringkat Kerajaan Negeri, kita akan terus menggalakkan lebih banyak pemaju dan syarikat perumahan membina Rumah Selangorku,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kadar pasaran perumahan di peringkat Nasional yang dilapor semakin meningkat.

Kata Haniza, Kerajaan Negeri optimis melaksanakan mekanisma terbaik mengukuhkan lagi agenda pembangunan perumahan negeri.

“Kerajaan Negeri menerima banyak permohonan daripada rakyat Selangor yang ingin membeli Rumah Selangorku.

“Atas keperluan ini mendorong untuk kita menyediakan lebih banyak projek perumahan Rumah SelangorKu demi kelangsungan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan projek Rumah Selangorku yang dijual pada kadar RM42,000 hingga RM250,000.