Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian: Tunggu laporan CIDB insiden konkrit timpa kereta, ambil tindakan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kementerian Kerja Raya sedang menunggu hasil siasatan penuh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), berhubung insiden kereta ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) minggu lalu, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara siasatan melibatkan perspektif reka bentuk, struktur lebuh raya, aspek pemantauan keselamatan dan pengurusan trafik, di kawasan berkenaan.

“Kita akan dapatkan dahulu laporan daripada CIDB dan DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan kita akan nyatakan tindakan yang akan diambil kemudian,” katanya pada Sesi Libat Urus Penggiat Industri bersama lebih 40 wakil syarikat dan persatuan, di sini, hari ini.

Sabtu lepas, seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM), untuk rawatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Aliran trafik di beberapa lebuh raya terkawal

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG, 16 FEB: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama masih lagi terkawal walaupun terdapat beberapa tempat menuju ke arah utara perlahan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia ekoran pergerakan kenderaan berat yang perlahan menaiki bukit, dari Tapah dan terowong Menora.

“Trafik di selatan juga lancar, namun kenderaan dilihat agak perlahan menuju ke Skudai dan pintu masuk ke Singapura.

“Bagaimanapun, secara umumnya, keadaan trafik agak lancar dan terkawal dengan tiada kesesakan serius,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, keadaan di lebuh raya dan jalan persekutuan pula didapati agak lengang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pemantauan trafik melalui udara sempena cuti Tahun Baharu Cina, di Menara Korporat Persada PLUS, di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.