Categories
NASIONAL

Malaysia perlu jurulatih berpengalaman kembalikan maruah bola sepak

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 SEP: Malaysia memerlukan jurulatih berpengalaman dan berilmu untuk mengangkat kembali maruah bola sepak negara terutama di peringkat Asia Tenggara.

Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan secara peribadi mahu jurulatih tempatan diberikan peluang mengemudi pasukan kebangsaan namun segalanya terpulang kepada badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menentukannya.

“Untuk menjadi seorang jurulatih memerlukan orang berpengalaman sekurang-kurangnya berumur 50 tahun ke atas. Latih seorang jurulatih yang sesuai sama ada tempatan atau jurulatih luar.

B Sathianathan“Jika memilih jurulatih luar, kita kena ada jurulatih tempatan yang bertindak selaku pembantu bagi mengenalpasti pemain tempatan.

“Menjadi jurulatih kebangsaan bukan senang kerana harapan orang besar,” katanya ketika menjadi panel dalam forum ‘Hala Tuju Bola Sepak Malaysia: Apa Kata Mereka?’ anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa).

Sathianathan, 57, merupakan antara jurulatih berpengalaman yang pernah menduduki ‘kerusi panas’ Harimau Malaya sejak tahun 2007 hingga 2009 berkata, negara belum ketandusan bakat dalam bidang kejurulatihan kerana masih mempunyai 269 jurulatih Lesen A.

Beliau yang sering mengendalikan kursus jurulatih bolasepak berkata terdapat hampir 70 peratus jurulatih muda berkebolehan.

Menyentuh soal corak permainan masa kini katanya, tidak banyak perubahan sistem permainan sejak dari tahun 90an namun hanya kemahiran dan kebolehan bermain yang mampu membezakan kualiti seseorang pemain.

“Dalam bola sepak, kemahiran (skill) adalah aksi dibawah tekanan. Kita tengok (Lionel) Messi, walaupun bertubuh kecil tapi hebat mengawal bola kerana pemain seperti beliau mempunyai kelajuan berfikir di atas padang.

bola“Sebab itu pemain seperti beliau mampu membawa Argentina beraksi di Piala Dunia sama seperti Cristiano Ronaldo (Portugal). Kita masih belum ada pemain seperti itu,” katanya yang juga selaku Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia serta pernah mengemudi pasukan Kelantan.

Katanya, ketiadaan liga di peringkat bawah seperti yang diamalkan negara Asia lain dan Eropah dan latihan sistematik membataskan bakat pemain muda terutama di peringkat sekolah untuk mengekalkan kebolehan mereka beraksi seterusnya diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Faktor itu menyumbang kepada kegagalan bola sepak negara mengetengahkan bakat baru disamping kemudahan berlatih yang terhad terutama di peringkat persatuan bola sepak negeri.

Selain itu, sikap pemain tempatan yang enggan membuat latihan tambahan berbanding pemain import turut menjadi faktor kemerosotan pemain.

“Kita tiada liga belia sebab kita pilih pemain melalui pemilihan terbuka. Kebanyakan persatuan bola sepak tempatan tidak mempunyai kemudahan sukan yang baik dan hanya menyewa infrastruktur dari pihak luar.

“Saya tabik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang mempunyai infrastruktur yang baik. Sebagai contoh ada bilik persalinan selesa, ada padang latihan dan bilik fisioterapi.

“Setiap pasukan sekurang-kurangnya kalau boleh kena ada dua padang latihan. Pemain memerlukan latihan yang kerap untuk menjadi lebih baik,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Banteras gejala rasuah, FAM perlu program insentif ke Piala Dunia

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JULAI: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melaksanakan program intensif dalam usaha memastikan Malaysia layak ke Piala Dunia bukan hanya sekadar menjadi pemerhati dan bersorak untuk pasukan yang diminati.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata perubahan harus dilakukan demi memastikan Malaysia maju ke Piala Dunia.

Katanya, salah satu perubahan yang perlu dibanteras adalah gejala rasuah yang masih berleluasa di negara itu.

KL00_080711_FAM_TM“Malaysia tidak akan maju dan melangkah jauh jika rasuah masih lagi berleluasa. Inilah virus yang harus dihapuskan. Bukan sahaja sukan, bahkan ekonomi negara juga tidak mampu melonjak jauh jika terdapat pemimpin negara terbabit dalam rasuah,” katanya dalam kenyataan media.

Khairil berkata, gejala bookie juga masih menghantui bola sepak negara yang menyebabkan mutu sukan itu terbantut ekoran pembabitan orang dalam.

“Tidak pelik jika usaha dilakukan dalam memastikan mutu bola sepak negara ini terbantut dek kerana musuh negara di dalam selimut yang terbabit dalam gejala rasuah ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan disiplin pemain juga harus diperketatkan dan jika tidak, sebaiknya FAM mencari skuad baru daripada pemain yang kerap menimbulkan masalah.

“Disiplin pemain juga harus diperketatkan kerana usaha tanpa disiplin adalah sesuatu yang sia-sia sahaja. Saban tahun kedengaran masalah disiplin di kalangan pemain dan ada yang terbabit dengan masalah di kelab malam, lari daripada latihan dan terbabit khalwat.

FAM“Pemain seperti ini tidak layak untuk menduduki skuad negara, bahkan mereka akan menconteng arang di muka Malaysia kelak. Lebih baik mencari skuad baru daripada berharap kepada pemain yang kerap menimbulkan masalah, yang mana sikap besar kepala mereka harus diajar,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak harus mencontohi pasukan besar tetapi cukup sekadar mencontohi pasukan Bosnia Herzegovina yang berdepan dengan perang tetapi kini bergelut membangunkan negaranya.

“Walaupun begitu, mereka masih mampu menyaingi ke Piala Dunia. Algeria juga boleh dijadikan contoh bagaimana mereka juga sebuah negara yang membangun masih mampu ke Piala Dunia.

“Apatah lagi mereka ini yan semuanya Islam bermain dalam keadaan berpuasa di bulan Ramadan. Algeria juga dalam proses membangun selepas bergelut dengan perang dan hal ini jauh berbeza dengan Malaysia yang dalam keadaan aman dan damai. Inilah yang perlu diambil iktibar oleh FAM,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan kepimpinan baru FAM yang diterajui Tengku Abdullah mampu melonjakkan mutu bola sepak negara.

Katanya, perlantikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Negara dilihat sebagai satu usaha bersungguh-sungguh FAM dalam memartabatkan mutu sukan bola sepak negara.

Katanya, hal itu kerana Teong Kim adalah bekas penolong jurulatih pasukan bawah 19 tahun Bayern Munich danpernah bermain di Eropah dalam pasukan Hertha BSC di Jerman pada tahun 1987.

“Pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam sukan bola sepak eropah diharap dapat membantu menjayakan bola sepak Malaysia. Tidak mustahil dan saya optimis bahawa dalam tempoh 15 tahun lagi, Malaysia mampu bersaing bersama pasukan besar lain dalam Piala Dunia.

“Jadi, sesuatu perlu diambil iktibar bagi Malaysia dalam kempen Piala Dunia 2014 ini. Sudah 15 kali Piala Dunia berlangsung seusai kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957.

“Namun sebanyak itulah juga, Malaysia hanya mampu menjadi pemerhati dan bersorak mengikut pasukan yang diminati. Walaupun FAM pernah mensasarkan pada tahun 1990 yang Malaysia akan ke Piala Dunia pada tahun ini, namun sehingga ia berakhir, tiada apa-apa pun yang berlaku,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Nik Nazmi: Reformasi FAM lebih penting daripada jurulatih berprestij

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 12 JAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan reformasi menyeluruh bermula penukaran Presiden FAM dan struktur organisasi, liga domestik hingga program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi bagi mengangkat martabat bola sepak Malaysia.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, perubahan itu mesti diinstitusikan dan tidak mengharapkan kekuatan personaliti atau individu semata-mata.

bola-sepak1Nik Nazmi menyambut baik kenyataan daripada Kementeria Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara yang tidak bersetuju dengan cadangan perlantikan jurulatih yang mahal buat negara.

Katanya beliau merujuk kepada beberapa laporan bahawa FAM sedang mempertimbangkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan Jepun, Afrika Selatan dan Nigeria, Philippe Troussier untuk menggantikan K. Rajagopal sebagai jurulatih Harimau Malaya.

Selain itu juga ada laporan yang menyebut Zdenek Zeman (bekas jurulatih Roma, Itali), Bob Houghton dari England, Rudi Voeller dari Jerman dan bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic sebagai calon kerusi panas tersebut.

Sumber-sumber menyebut Troussier meminta lebih RM400,000 sebulan atau RM4 juta setahun untuk memberikan khidmatnya.

nik nazmi“Kita menunggu butir Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

“Kita berharap penekanan kepada perubahan radikal dan menekankan matlamat jangka masa panjang, kalaupun tidak 100 tahun dapat dapat dipertimbang Kerajaan Persekutuan,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Nik Nazmi berkata, Malaysia perlu belajar daripada Jepun, sebuah negara ketinggalan di dalam bola sepak rantau ini, termasuk dengan negara kita pada era sebelum 1990-an, merancang strategi mengangkat mutu bola sepak negara mereka menggariskan Pelan 100 Tahun.

“Kini, lebih kurang dua dekad kemudian pelan mereka (Jepun) sudah membuahkan hasil apabila Jepun layak ke Piala Dunia berturut-turut sejak 1998 dan kini berada di tangga no 2 ranking FIFA di Asia.

“”Hanya apabila isu itu diselesaikan dan ini memerlukan masa yang lama, kita dapat mempertimbangkan jurulatih kebangsaan berprestij untuk membimbing Harimau Malaya,” katanya.

Skuad bola sepak negara menutup kalendar 2013 berada di tangga ke-154.

Kedudukan terbaru Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menunjukkan skuad negara naik empat anak tangga berbanding kedudukan ke-158 bulan lalu.

Pada Januari 2013, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158 disusuli 159 pada Februari, 164 (Mac), 163 (April), 161 (Mei) selain kekal pada kedudukan ke-159 dunia pada Jun dan Julai, Ogos (162), September (161) dan Oktober (160).

EZY

Categories
NASIONAL

FAM perlu rombakan besar-besaran bermula ‘dari atas’

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 2 JAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan rombakan besar-besaran untuk melihat pasukan bola sepak negara memperbaiki kedudukan dan prestasinya.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kenyataan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa bahawa persatuan bola sepak kebangsaan itu perlukan rombakan besar-besaran adalah amat wajar.

bola-sepak1Katanya, jika negara mahu melihat perubahan bermakna, sekadar penukaran jurulatih atau pasukan kebangsaan tidak mencukupi.

“Perubahan harus bermula daripada atas, kita juga menunggu dengan penuh harapan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang akan dilancar dalam masa terdekat,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika FAM masih berada pada takuk lama, keinginan untuk melihat pasukan bola sepak kembali ke zaman gemilang tidak akan menjadi realiti.

Skuad bola sepak negara menutup kalendar 2013 dengan peningkatan dalam kedudukan bola sepak dunia selepas apabila menghuni tangga ke-154.

FAMKedudukan terbaru Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) semalam menunjukkan skuad negara naik empat anak tangga berbanding kedudukan ke-158 bulan lalu.

Pada Januari, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158 disusuli 159 pada Februari, 164 (Mac), 163 (April), 161 (Mei) selain kekal pada kedudukan ke-159 dunia pada Jun dan Julai, Ogos (162), September (161) dan Oktober (160).

Kedudukan terbaru itu menyaksikan Malaysia berkongsi tempat bersama tiga negara lain iaitu Liechtenstein, Puerto Rico dan India.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia bagaimanapun turun dua anak tangga ke kedudukan ketujuh di belakang Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (144), Thailand (146), Singapura (150) dan Laos (152).

Di peringkat Asia, Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan ke-30 daripada 46 negara.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Kegagalan FAM Komersilkan liga domestik persoalan lebih penting

fas_logo(RENCANA) Pasukan Selangor atau dikenali sebagai The Red Giant merupakan sebuah pasukan yang evergreen dan digeruni lawan sepanjang masa dalam kancah bolasepak tempatan. Tidak dinafikan, perkembangan yang baik dalam pembangunan bolasepak pasukan Selangor seharusnya diberi perhatian.

Namun sebagai anak muda progresif, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor menggesa semua pihak yang saban hari mengkritik dasar kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim dalam sudut pembangunan sukan supaya lebih proaktif dan positif.

SAMM Selangor difahamkan kerajaan negeri telah menyumbang lebih 7 juta setahun untuk pembangunan sukan bolasepak negeri. Jumlah bantuan tersebut adalah yang tertinggi berbanding negeri lain. Apakah bantuan sebanyak lebih RM 7 juta setahun tidak memadai?

SAMM Selangor percaya kerajaan negeri telah memberikan sokongan yang besar namun perlu diingat bahawa sukan bolasepak seharusnya lebih bertenaga dengan tajaan syarikat besar dalam negara.

Pihak yang mengkritik harus meneliti apakah sebabnya bolasepak tempatan kurang mendapat tajaan yang besar sehingga memaksa kerajaan negeri dilihat ‘wajib’ menjadi penaja utama.

SAMM Selangor melihat FAM sebagai satu badan yang gagal membawa bolasepak tanahair ke tahap komersial yang tinggi.

FAM perlu dirombak dan diberi nafas baru maka bolasepak tempatan akan berpotensi untuk lebih bersinar seterusnya mendapat sokongan besar dari syarikat gergasi dan menarik minat lebih ramai pelabur.

Kegagalan FAM dalam menerajui bolasepak tempatan ke arah liga domestik yang lebih berkualiti, malah dengan pasukan kebangsaan yang semakin merundum seharusnya menjadi persoalan lebih penting.

Liga domestik berada di tangga tercorot dengan katogeri liga kelas D menyebabkan syarikat gergasi dan pelabur berkira-kira untuk menjadi penaja.

Maka SAMM Selangor turut menegaskan sesuatu perlu dilakukan demi menjamin liga domestik yang lebih berkualiti, dan rombakkan FAM itu bukanlah perkara yang mustahil.

Dari satu sudut, pelaburan besar-besaran dari pihak kerajaan negeri tidak semestinya akan membawa hasil lumayan. Pasukan negeri Melaka sebagai contoh, telah dilaburkan jutaan ringgit tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Ia merubah menjadi satu pembaziran.

SAMM Selangor meminta agar semua pihak lebih memikirkan bagaimana dana peruntukkan kerajaan negeri dibelanjakan dengan manfaat terbaik terhadap rakyat tanpa mengabaikan perkembangan sukan di peringkat negeri.

Kebajikan rakyat adalah keutamaan dan tidaklah perlu menggadai negeri hanya semata-mata untuk sebuah pasukan bolasepak yang kuat. Berbelanja biarlah dengan berpada-pada, RM 7 juta setahun yang diperuntukkan itu sudah lebih dari mencukupi dalam aspek bantuan kerajaan negeri.

SAMM Selangor juga menggesa kepada semua penyokong agar tidak hanya ‘bising’ ketika pasukan negeri tidak berada di puncak prestasi, tetapi memberikan sokongan tanpa belah bahagi walau di mana pun kedudukan pasukan negeri.

Azhar Achil
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor