Categories
AGENSI SELANGOR

Mais anjur tanding video pendek, tawar hadiah RM2,700

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sejumlah RM2,700 menanti pemenang pertandingan video pendek sempena Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Mais menerusi Facebook memaklumkan pemenang pertama akan menerima RM1,500 dan sijil, kedua (RM700 dan sijil) serta ketiga (RM500 dan sijil).

Pertandingan menghasilkan video tidak melebihi tiga minit dengan tema ‘Ilmu Faraid dan Harta Pusaka’ dibuka mulai semalam sehingga 31 Julai.

Syarat pertandingan adalah terbuka kepada peserta beragama Islam dengan borang penyertaan boleh didapati menerusi www.mais.gov.my.

Peserta diminta memuat naik video di Facebook dan Instagram dengan kapsyen #pertandinganvideofaraidmais selain perlu menghantar borang lengkap, pautan muat naik video serta salinan video menerusi email [email protected]

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh hubungi Mais menerusi 013-3620108 (Muhammad Syafiq) dan 019-2647649 (Mohd Makhi).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais mahu umat Islam celik faraid, tahu urus harta pusaka

SHAH ALAM, 8 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mahu umat Islam celik dan memahami faraid sebagai cabang ilmu yang sangat penting dalam mentadbir harta pusaka.

Pengerusi Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata berdasarkan laporan media, hampir RM70 billion nilai harta pusaka dengan majoriti milik umat Islam tidak dituntut sejak merdeka sehingga kini.

“Angka ini amat membimbangkan. Banyak kesan negatif apabila waris atau masyarakat tidak memahami ilmu faraid antaranya pertelingkahan sesama waris, pembekuan harta pusaka, isu kematian berlapis, isu anak angkat, isu anak tidak sah taraf dan sebagainya.

“Tanpa penyelesaian yang komprehensif, isu tersebut terus berpanjangan dan membelenggu pengurusan dan pentadbiran harta pusaka orang Islam di negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya,” katanya ketika merasmikan ‘Wacana Faraid: Ilmu Yang Dilupakan’ menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata menyedari kepentingan berkenaan, Mais mengambil inisiatif menyampaikan dakwah melalui kempen Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 yang dianjur sejak 5 Julai hingga 6 Ogos ini.

“Dalam kempen ini beberapa objektif diberi penekanan iaitu memberi kefahaman dan kesedaran ilmu faraid, memupuk semangat cinta kepada faraid sebagai kaedah pembahagian harta orang Islam dan memastikan umat Islam sentiasa ambil berat tentang harta diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan serta mendidik masyarakat mencari harta yang halal.

“Pelbagai program ilmiah telah dirancang sepanjang kempen ini antaranya wacana, kuliah, program bicara pusaka, slot celik warisan dan baitulmal serta pelbagai lagi,” katanya.