Categories
NASIONAL

Kebebasan bersuara: Perlu klausa perlindungan wartawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MEI: Suatu akta yang memberi perlindungan kepada wartawan wajar diwujudkan bagi melindungi kebebasan bersuara khasnya dalam kalangan pengamal media.

Pengarang Kumpulan Media Selangor, Fathi Aris Omar berkata, akta terdapat pada masa ini juga lebih bersifat abstrak, tidak khusus dan tiada perlindungan.

“Misalnya dalam perdebatan sebelum ini, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 di mana betapa kenyataan itu bersifat umum dan ini sama juga definasi ‘rahsia’ dalam Akta Rahsia Rasmi atau berita palsu.

“Jadi, kita perlu pengkhususan di situ kerana dalam media ini ada laporan bersifat spekulasi, bukanlah laporan separuh benar tetapi tanggapan bergerak dalam masyarakat kadang-kadang media tidak boleh abaikan sama sekali hal seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara moderator, Luqman Hariz dalam rancangan bual bicara di Astro Awani, ‘Menjelang Setahun Malaysia Baharu: Adakah Media Lebih Bebas’, malam tadi.

Turut tampil dalam rancangan selama sejam itu, Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.

Fathi berkata, dalam Akta Komunikasi misalnya, terdapat beberapa perkataan yang tidak diberikan definasi dengan terperinci seperti perkataan ‘jelek’.

“Bolehkah dengan bercakap bodoh itu boleh dihukum? Kita tahu perkataan itu tidak sopan, media mungkin tidak boleh menggunakannya atau meletakkan dengan tanda dot, dot, dot tetapi adakah wajar menjadikannya unsur jenayah.

“Perkara inilah yang perlu ditakrifkan dengan lebih khusus, kalau mungkin bukan pada penggal ini atau parti ini tetapi kita mesti menyediakan satu suasana dan prinsip yang menggalakkan pertumbuhan media dan perbincangan yang menarik,” katanya.

Katanya, undang-undang perlu memainkan peranan dalam menyuburkan perkembangan media bagi menjamin ketelusan laporan berita dan perbincangan berbangkit berkaitan isu itu.

Categories
NASIONAL

Unit Komunikasi Menteri perlu latihan, lebih intim media

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MEI: Unit komunikasi media di kementerian perlu diberi latihan secukupnya bagi meningkatkan keberkesanan dalam menyampaikan dasar dan menjawab sebarang kekeliruan yang wujud membabitkan menteri di kementerian terbabit.

Pengarang Kumpulan Media Selangor, Fathi Aris Omar berkata, selain itu pihak terbabit juga wajar mengambil inisiatif untuk mengadakan interaksi lebih intim antara menteri bersama pegawainya dengan pengamal media.

“Perlu ada interaksi lebih intim antara menteri itu sendiri, kumpulan komunikasi media pihak menteri dan jabatan dengan media supaya dapat bertemu ‘hati ke hati’, kata orang.

“Ada sesi dialog yang boleh dapat maklum balas di mana saya rasa ini cara mudah untuk kita belajar berkenalan (kerana) memang tidak mungkin menteri nak pergi jumpa media yang banyak ini tetapi kita boleh adakan (sesi dialog) lebih kerap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam rancangan Menjelang Setahun Malaysia Baharu di Astro Awani, malam tadi.

Fathi berkata, antara contoh yang boleh diikuti adalah Dato’ Menteri Besar Selangor dengan kerap mengadakan dialog dengan pengamal media peringkat pertengahan dan pengurusan tertinggi di awal pelantikan beliau sebelum ini.

Katanya, pendekatan itu memberi peluang kepada pengamal media mengenali seseorang pemimpin dengan lebih dekat berbanding menghadiri sidang media yang terbatas.

Seorang lagi panelis rancangan sama, bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain pula berkata, tiada istilah percubaan bagi individu yang bertugas di dalam bidang yang sangat penting iaitu komunikasi media untuk sebuah kementerian.

“Dalam bidang profesional seperti ini tiada istilah percubaan tetapi mestilah sempurna, inilah yang saya tengok sebahagian besar unit komunikasi di kementerian tidak berfungsi dengan betul.

“Ini ditambah pula dengan kenyataan menteri yang dia sendiri mungkin tidak jelas apa yang nak disampaikan dan akhirnya seperti biasa mereka gunakan frasa wartawan salah lapor, salah petik,” katanya.

Katanya, isu salah petik tidak akan berlaku sekiranya Unit Komunikasi Kementerian tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sepatutnya mereka ambil orang bekas atau berkecimpung lama dalam bidang komunikasi dan kewartawanan,” katanya.

Ku Seman berkata, pegawai dalam Unit Komunikasi juga perlu tahu sasaran mereka dengan menggunakan kaedah yang betul sama ada kenyataan akhbar, sidang akhbar, muncul di kaca televisyen atau wawancara khas bergantung kepada keseriusan isu yang dibawa dengan pantas bagi mengelakkan sesuatu isu berpanjangan.

Categories
NASIONAL

30 akta sekat laporan kritik kerajaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 SEPT: Halangan berterusan kepada pengamal media hanya meletakkan situasi lebih parah kepada prinsip demokrasi media berbanding negara jiran seperti Indonesia.

Ketua Pengarang Projek Malay Mail Online (PROJEK MMO), Fathi Aris Omar berkata, beliau dimaklumkan sekurang-kurangnya terdapat 30 akta menyekat kebebasan media dalam pelbagai cara di negara ini.

“Perkara inilah menjadi momok atau hantu yang akan terus membayangi leher setiap wartawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi wacana; Merdekakah Media Kita anjuran Sinar Harian di Auditorium Universiti Selangor (UNISEL), semalam.

Mengulas lanjut, Fathi yang juga jurucakap Gerakan Media Marah (Geramm) turut mengaitkan sentimen perundangan negara seolah-olah dipinda dan melanggar prinsip keadilan juga lahiriah kemanusiaan.

Beliau mengambil contoh insiden penangkapan bekas wartawan, Sidek Kamiso di bawah Akta SKMM yang membolehkan penahanan dibuat sewenang-wenangnya.

“Isunya kita berdepan masalah pendefinasian yang terlalu umum dan memerlukan hal yang lebih khusus untuk dianggap jenayah.

“Kalau tidak dikaji, apa sahaja isu melawak atau mengeluarkan komen terus sahaja dianggap kasar sedangkan kritikan kasar itu tidak semestinya bersifat jenayah,” katanya.

-AA-

16 Tahun Reformasi: Apakah masih relevan? – part1

Mimbar Gerakbudaya menganjurkan perbincangan masa hadapan Reformasi bersama Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan para reformis.

Demo Pensil Merah 4 Januari 2014

Layari http://www.tv.selangorku.com

Satu protes simbolik akan diadakan pada 4 Januari 2014. Protes ini dipanggil demo pensil merah.

Permit penerbitan media perlu dihapus

Layari http://www.tv.selangorku.com

Permit penerbitan digunakan oleh Kerajaan untuk mengawal sikap dan pemikiran media

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pengamal Media Mahu Polis Kembalikan Rakaman Video dan Gambar

BANGSAR, 3 MEI: Pengamal media berkumpul di hadapan pejabat Malaysiakini hari sebagai tanda solidariti meluahkan bantahan diatas kekerasan luar jangkaan yang ditunjukkan pihak polis terhadap beberapa wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0  yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Himpunan aman ini mengemukakan tiga tuntutan terutama menggesa pihak polis mengembalikan bahan akhbar seperti gambar dan semua footages yang disita tanpa sebarang perubahan kepada wartawan berkenaan atau organisasi serta membayar ganti rugi sebarang kecederaan dan kerosakkan.

Selain itu juga di tuntut semua pesalah dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan selepas penubuhan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 serta diharapkan tindakan tersebut tidak berulang dimasa depan.

Kekasaran yang berlaku pada himpunan berkenaan menyaksikan pelbagai peralatan dan footage media dirampas dan dimusnahkan selain mengakibatkan kecederaan beberapa petugas yang membuat liputan.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar berkata, himpunan wartawan pada hari ini diatas dasar keyakinan serta kepercayaan pengamal media dalam kebebasan akhbar di negara ini dan seharusnya semua pihak menghormati hak wartawan terutama ketika mereka sedang menjalankan tugas.

“Hari ini juga merupakan hari yang hitam untuk kebebasan akhbar di Malaysia kerana serangan terhadap wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu, tidaknpernah dilakukan sebelum ini.

“Ramai wartawan, jurukamera dan jurugambar diserang, ditahan dan ditakut-takutkan oleh pihak polis, sesetengah penunjuk perasaan juga menyerang wartawan. Kita perlu menghentikan piawai kebebasan akhbar di Malaysia daripada jatuh ke paras yang lebih rendah,” katanya.

Himpunan aman tersebut menyaksikan kehadiran hampir 50 orang pengamal media daripada pelbagai agensi tempatan bersempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diikhtiraf oleh Unesco dan disambut serentak oleh pengamal media seluruh dunia.

Dengan tema berbaju hitam dan riben kuning disusuli laungan ‘Hidup Wartawan’ dan ‘Free Media’ bergema sebagai tanda semangat menuntut hak pengamal media.

Pengguna jalan raya turut memberikan sokongan dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing.