Categories
NASIONAL

Penyenaraian FGVH Rugikan Peneroka

SHAH ALAM, 28 MAC : Penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia didakwa akan menyebabkan Felda mengalami defisit pendapatan sebanyak RM1.5 bilion yang akan merugikan generasi kedua Felda untuk jangka masa panjang.

Situasi ini menyebabkan Felda hanya akan memperolehi pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehingga RM508 juta, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemajuan Dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat), Mohd Naquib Carmeil Roseli.

“Dengan pendapatan hanya sekitar RM750 juta setahun berbanding kos operasi mencecah RM2 bilion adalah dikhuatiri Felda akan gagal beroperasi dengan stabil.

“Apabila Felda menjadi agensi yang rugi maka seluruh rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung akibatnya,” kata Naquib yang juga mewakili Angkatan Muda Keadilan Selangor dalam sidang media di Pejabat MP Shah Alam, Khalid Samad di sini.

Prorakyat berpendirian akan menentang sebarang usaha untuk menyenaraikan FGVH ke Bursa Saham Malaysia dan akan bersama seluruh rakyat Malaysia danĀ  warga Felda untuk berhimpun dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri pada Jumaat, 30 Mac ini jam 3 petang.

“Hasrat Felda untuk memajak 350 ribu hektar tanahnya selama 99 tahun kepada FGVH bercanggah dengan Akta Kemajuan Tanah 1956 kerana FGVH tiada hak ke atas tanah peneroka itu,” dakwa beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Warga Felda Prihatin, Mohd Kamil Yasin berkata, penyenaraian FGVH ini akan merugikan generasi kedua Felda sepertimana yang berlaku dalam penjualan tanah di Felda Sendayan yang nasib mereka kini semakin terhimpit.

Beliau turut mempersoal kerana saham yang diberi itu nanti tidak boleh ditunaikan.

“Kalau hendak dikatakan orang Felda ini mempunyai saham yang tinggi ia sudah banyak kali diperkatakan,kita mahu perkara ini dengan telus,” katanya.

Sementara itu ,Pengerusi Biro Peneroka PKR, Suhaimi Said berkata, penyerahan memorandum di Pejabat Perdana Menteri akan diiringi dengan kain putih ditandatangi warga Felda dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah.

Categories
NASIONAL

Penyenaraian FGVH: ANAK, GSF Mohon Campur Tangan Istana

SHAH ALAM, 28 FEB: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) mahu pihak Istana Negara campur tangan agar tanah Felda Plantations tidak dipajak kepada Felda Global Venture Holding (FGVH).

“ANAK akan bersama Gerakan Selamatkan Felda(GSF) akan berusaha mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Negeri-Negeri mulai Mac ini memohon perkenan Tuanku Sultan agar campurtangan supaya Tanah Felda Plantation di negeri masing-masing tidak di pajak kepada FGVH,” kata Presiden ANAK, Mazlan Aliman di dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada TVSelangor semalam.

“Bahkan ANAK akan menyerahkan memorandum suatu cadangan bagaimana tanah seluas 360,000 hektar boleh dimanfaatkan untuk rakyat dan menjana perolehan baru kepada kerajaan negeri,” kata Mazlan.

Beliau turut menyokong cadangan pembangunan tanah Felda seluas 55 ribu hektar di Kelantan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu yang akan melibatkan 8 ribu peneroka baru.

Dalam isu yang sama ANAK turut menyatakan sokongan terhadap usaha Biro Felda dan Orang Asal PKR mengutip 100,000 tandatangan orang ramai bagi membantah penyeneraian FGVH di pasaran saham terbuka.

Tandatangan tersebut bakal diserahkan kepada Perdana Menteri 30 Mac 2012 di Putrajaya.

“Bahkan, Jika ianya gagal melunakkan pendirian PM untuk terus menyenaraikan FGVH pada 10 Mei ini seperti disebut Datuk Ahmad Maslan, satu HIMPUNAN RAKYAT PERDANA dijangka akan diadakan pada April ini.

“Puluhan ribu Warga Felda akan menyerlahkan keberanian mereka untuk turun berarak bersama rakyat lainnya menyerahkan memo kepada Yang DiPertuan Agong di Istana Negara,? Mazlan berkata.

Categories
NASIONAL

Felda Akan Rugi Hampir Dua Billion Jika FGVH Disenarai

SHAH ALAM, 22 FEB: Analisis untung rugi terhadap keputusan menyenaraikan Felda Group Venture Holding (FGVH) yang dibuat oleh bekas Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop mendapati Felda akan kehilangan pendapatan sebanyak RM1.950 billion setahun.

Dr Rosli juga berkata Felda sekarang mempunyai pendapatan purata dari 2007 ke 2010 yang berjumlah RM2.458 billion setahun.

Tetapi Felda hanya akan memperoleh pendapatan RM508 juta setahun jika FGVH disenarai. Ini bermakna Felda akan hilang RM1.950 billion setahun, kata presiden (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) ANAK Mazlan Aliman.

“Berdasarkan analisis di atas, ANAK menyeru kepada seluruh warga Felda, para peneroka dan anak-anak peneroka membuat pertimbangan yang mendalam sebelum bersetuju dengan apa-apa rancangan pelaburan yang dipaksakan ke atas mereka,” Mazlan berkata di dalam satu kenyataan media.

Beliau juga menyifatkan penyenaraian tersebut sebagai skim cepat kaya ‘Pak Man Telo’ yang diketuai oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dengan restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Rosli yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan membuat analisis berdasarkan fakta-fakta yang terkandung dalam perjanjian pajakan tanah antara Felda dan FGVH.

Beliau juga mengunakan data yang diperolehi daripada minit mesyuarat ahli-ahli lembaga pengarah Felda dari tahun 2007 hingga 2010 perbelanjaan tahunan Felda.

Selain kerugian pendapatan, penyeneraian FGVH turut dijangka menyebabkan akaun Felda mengalami defisit sebanyak RM1.428 billion setahun.

“Tanpa analisis yang mendalam, sudah tentu para peneroka akan mudah terjebak dalam skim cepat kaya ala ‘Pak Man Telo’ berskala besar yang sekarang dijaja ke seluruh tanah-tanah rancangan Felda oleh pihak-pihak tertentu diketuai Tan Sri Isa Samad dengan restu Perdana Menteri sendiri.”

 

 

 

Categories
NASIONAL

Ahli KPF Tuntut Mesyuarat Agung Khas Tolak FGVH

SHAH ALAM, 16 FEB: Ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda (M) Berhad (KPF) hari ini menuntut agar satu Mesyuarat Agung Khas koperasi tersebut diadakan bagi membincangkan beberapa isu yang menyentuh penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) dalam pasaran saham terbuka.

Antara lain menuntut KPF tidak dikaitkan dengan penyenaraian FGVH.

Selain itu mereka turut menuntut agar KPF dilarang sama sekali melupuskan ekuiti milik KPF di dalam Felda Holdings Berhad (FBH) dan sepuluh anak syarikat milik FHB.

“Bahawa KPF tidak dikaitkan dengan penyenaraian FGVH dalam apa cara sekalipun.

“Bahawa KPF dilarang sama sekali melupuskan ekuiti milik KPF di dalam FHB dan sepuluh anak-anak syarikat milik FHB kepada FGVH atau kepada mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB atau FGVH,” menurut surat yang salinannya telah dihantar ke meja berita TVS hari ini.

Ahli-ahli koperasi terbabit yang merupakan peneroka tanah rancangan felda dari beberapa felda seluruh negara itu juga mahukan KPF dalam mesyuarat itu nanti agar melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan KPF dan 10 anak syarikatnya oleh mana-mana pihak termasuk pihak dari FHB dan FGVH.

“Bahawa KPF melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti milik KPF dalam FHB dan 10 anak-anak syarikat FHB oleh mana-mana pihak termasuk FHB atau FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB,” menurut kandungan surat itu lagi.

Turut disertakan dalam surat tersebut nama-nama dan tandatangan 120 orang ahli dan juga perwakilan KPF dari beberapa felda seluruh negara.