Categories
NASIONAL

Kesahihan EGM KPF Diragui, ANAK Sedia Bawa Ke Mahkamah

SHAH ALAM, 23 APR: Mensyuarat Agung Luar Biasa(EGM) Koperasi Pelaburan Felda (KPF) akan terbatal sekiranya bukti diperolehi bahawa mesyuarat tersebut dijalankan dengan cara tidak sah, tegas Mazlan Aliman hari ini ketika dihubungi.

Mazlan yang juga Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) bersedia untuk memohon pembatalan  setelah menerima beberapa aduan yang mendakwa terdapat penyelewengan pihak Felda dalam mesyuarat tersebut bagi membolehkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) dilaksanakan.

“Sebenarnya kita masih meneliti perjalanan EGM tersebut sebab kita menerima aduan pertama sekali tentang perwakilan yang dipilih dalam EGM itu, statusnya adakah mereka benar-benar dapat mandat daripada koperasi felda di peringkat rancangan.

“Saya difahamkan seramai tiga orang dipilih dari setiap Felda. Isunya sekarang tiga orang itu dipilih dari kaedah bagaimana.

“Adakah mereka dipilih berdasarkan persetujuan atau mandat yang diperolehi dalam mesyuarat di peringkat koperasi mereka.

“Ataupun dia dipilih atau dilantik oleh pihak pengurusan. Kita kena semak semua itu dahulu sebab mereka dipilih untuk mewakili kepentingan koperasi mereka.

“Ini merupakan antara proses terpenting yang akan kita lakukan. Peguam ANAK sedang menelitinya, kalau laporan dengan bukti-bukti yang nyata menunjukan terdapat unsur di atas kita akan memohon pembatalan di mahkamah,” kata Mazlan.

Selain tidak menolak berlaku tekanan dan paksaan terhadap perwakilan dalam mesyuarat EGM terbabit, Mazlan turut mendakwa terdapat unsur sogokan agar usul penyenaraian FGVH tersebut diluluskan.

“Tekanan, ya itu sudah tentu, sebab itulah mereka dikawal yang saya difahamkan daripada rumah mereka lagi.

“Ada setengahnya dibawa oleh pengurus, ‘dientertain’ dan kita juga tidak menolak imbuhan-imbuhan yang diberi mungkin mereka gunakan alasan sebagai duit perjalanan dan sebagainya.

“Jadi kita tidak menolak kemungkinan paksaan, tekanan supaya menyokong penyenaraian dan sekiranya unsur-unsur seperti yang disebutkan tadi memang ada kita minta mereka buat laporan polis dan kita akan mohon supaya EGM itu dibatalkan,” kata Mazlan.

Mazlan turut mendapat maklumat bahawa perwakilan hanya memberikan persetujuan ke atas usul penyenaraian FGVH tersebut setelah usul asal tersebut dibuahsuai.

“Keduanya, usul yang dibawa oleh lembaga pengarah KPF. Adakah maksud sebenar usul itu dan juga persetujuan bagaimana yang dibuat oleh perwakilan sebab saya dapat maklumat bahawa usul itu ada pengubahsuaian dan mandat yang diberikan perwakilan bergantung kepada pengubahsuaian yang dibuat.

“Ada terma-terma usul awal itu sudah berbeza dengan sebelum darinya.

“Contohnya jumlah ekuiti KPF dalam FGVH, kemudian wakil-wakil yang diletakan di bawah FGVH atau istilahnya anggota lembaga yang ditempatkan di bawah ‘invesment holding company’.

“Maknanya itu terma-terma yang dikaji semula oleh pihak KPF yang saya difahamkan ia tidak dipersetujui oleh kerajaan dan semua pengubahsuaian ini sedang kita teliti,” ujar Mazlan lagi.

Categories
NASIONAL

PKR: Usaha Jahat Pindahkan Wang Felda Pada BN

SHAH ALAM, 24 FEB: PKR melihat usaha kerajaan untuk menyenaraikan kepentingan warga Felda di pasaran terbuka sebagai usaha jahat untuk memindahkan wang rakyat Felda kepada kerajaan.

Ikuti kenyataan bersama Pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Biro Felda dan Orang Asli, Suhaimi Said.

Keputusan Kerajaan BN mengenepikan terus pandangan dan penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mewakili kepentingan peneroka dan kakitangan Felda bermakna proses penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGVB) yang cuba dilakukan akan membelakangkan dan mengorbankan kepentingan penoraka dan kakitangan Felda.

Kerajaan BN memerlukan persetujuan KPF yang kini mempunyai pegangan 51% di dalam Felda Holdings Berhad (FHB) untuk memindahkan keseluruhan pegangan itu kepada FGVB yang ingin disenaraikan.

Keuntungan sebenar di dalam kumpulan Felda datang dari FHB, bukannya FGVB. Bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 misalnya, perbandingan perolehan dan keuntungan kedua-dua kumpulan ini amat ketara.

FHB memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM760 juta berbanding FGVB yang hanya mencatat keuntungan RM366 juta.

Malah, bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, keuntungan sebelum cukai Felda Holdings Berhad melangkaui RM800 juta, iaitu RM804 juta (2009) dan RM819 (2008).

Rancangan jahat BN adalah untuk memindahkan syarikat-syarikat dan aktiviti perladangan yang menguntungkan di dalam Felda Holdings Berhad dari KPF (yang dimiliki peneroka dan kakitangan) kepada FGVB (yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan).

Melalui cara ini, suara peneroka dan kakitangan Felda dalam keseluruhan aktiviti perniagaan dan operasi Felda akan berkurangan, terutamanya apabila kerajaan menjemput pelabur-pelabur lain untuk turut serta membeli saham di dalam FGVB.

Anggaran PKR menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam aktiviti syarikat dan perniagaan Felda Holdings Berhad yang menguntungkan itu akan berkurangan dari 51% sekarang (turut menjadi pemegang saham majoriti) kepada sekitar 42.7% selepas disenaraikan (bertukar menjadi pemegang saham minoriti).

Walau bagaimana pun, keberanian peneroka-peneroka yang menggunakan hak mereka untuk menyekat penyerahan saham KPF di dalam FHB kepada FGVB dan kenyataan Tan Sri Isa Samad bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang mengenepikan KPF bagi tujuan penyenaraian; kini menimbulkan beberapa persoalan:

1. Jika penyenaraian FGVB diteruskan tanpa melibatkan suntikan aset dari FHB akibat tindakan mahkamah peneroka, nilai penyenaraian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 billion sahaja, bukannya RM21 billion seperti yang diwar-warkan kerajaan;

2. Jika ini diteruskan, keuntungan dari penyenaraiaan dan dividen yang bakal diperolehi peneroka pada masa akan datang adalah jauh lebih rendah dari yang disebut-sebut oleh kerajaan sekarang;

3. Penubuhan SPV tersebut membelakangkan KPF dan menunjukkan sikap BN yang tidak menghormati suara peneroka dan kakitangan Felda. Kewujudan SPV itu dijangka akan digunakan untuk secara perlahan-lahan mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh KPF; dan

4. Sebarang tindakan untuk menggunakan SPV tersebut bagi menyuntik aset FHB adalah bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka dan kakitangan Felda.

PKR merasakan cara terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku adalah secara berhadapan dengan peneroka dan kakitangan Felda. PKR bersedia membentangkan hujah-hujah dan analisa kami kenapa penyenaraian ini dikira tidak baik demi kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

Bersempena dengan budaya baru berdebat secara ilmiah yang semakin popular di Malaysia dan memenuhi citarasa rakyat, PKR melontarkan jemputan kepada Dato? Ahmad Maslan atau Tan Sri Isa Samad untuk turut serta di dalam debat ulung Felda membincangkan penyenaraian FGVB yang akan dianjurkan oleh PKR dalam masa terdekat.

Buat masa ini, sebarang maklumbalas negatif dari mereka berdua membayangkan ketidaksediaan mereka mempertahankan hujah BN di kalangan rakyat.

Categories
NASIONAL

Ahli KPF Tuntut Mesyuarat Agung Khas Tolak FGVH

SHAH ALAM, 16 FEB: Ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda (M) Berhad (KPF) hari ini menuntut agar satu Mesyuarat Agung Khas koperasi tersebut diadakan bagi membincangkan beberapa isu yang menyentuh penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) dalam pasaran saham terbuka.

Antara lain menuntut KPF tidak dikaitkan dengan penyenaraian FGVH.

Selain itu mereka turut menuntut agar KPF dilarang sama sekali melupuskan ekuiti milik KPF di dalam Felda Holdings Berhad (FBH) dan sepuluh anak syarikat milik FHB.

“Bahawa KPF tidak dikaitkan dengan penyenaraian FGVH dalam apa cara sekalipun.

“Bahawa KPF dilarang sama sekali melupuskan ekuiti milik KPF di dalam FHB dan sepuluh anak-anak syarikat milik FHB kepada FGVH atau kepada mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB atau FGVH,” menurut surat yang salinannya telah dihantar ke meja berita TVS hari ini.

Ahli-ahli koperasi terbabit yang merupakan peneroka tanah rancangan felda dari beberapa felda seluruh negara itu juga mahukan KPF dalam mesyuarat itu nanti agar melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan KPF dan 10 anak syarikatnya oleh mana-mana pihak termasuk pihak dari FHB dan FGVH.

“Bahawa KPF melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti milik KPF dalam FHB dan 10 anak-anak syarikat FHB oleh mana-mana pihak termasuk FHB atau FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB,” menurut kandungan surat itu lagi.

Turut disertakan dalam surat tersebut nama-nama dan tandatangan 120 orang ahli dan juga perwakilan KPF dari beberapa felda seluruh negara.