Categories
AGENDA NASIONAL

Dua penghantar makanan ditahan terlibat kes pukul pemandu lori

SHAH ALAM, 22 JUN: Dua lelaki tempatan yang merupakan penghantar makanan ditahan polis semalam kerana dipercayai terlibat dalam kejadian sekumpulan penghantar makanan memukul seorang pemandu lori di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam (IPD) ACP Baharudin Mat Taib berkata kedua-dua lelaki berumur 20 dan 25 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam selepas kejadian tersebut berlaku pada 5.30 petang semalam.

Baharudin berkata kejadian tersebut berlaku susulan kemalangan jalan raya melibatkan seorang penunggang motosikal penghantar makanan dengan sebuah lori, lalu menyebabkan pergaduhan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah syarikat penghantar makanan.

“Setakat ini, dua tangkapan telah dibuat ke atas lelaki penghantar makanan yang dipercayai terlibat dalam kes itu. Usaha untuk mengesan suspek lain yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu lori yang dipercayai warga tempatan itu juga akan hadir ke balai polis hari ini untuk membuat laporan berhubung insiden tersebut.

Baharudin berkata cawangan trafik IPD Shah Alam juga membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan,” katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat untuk tidak mengambil sebarang tindakan melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang-undang.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 14 saat menyaksikan seorang lelaki tempatan dipukul sekumpulan lelaki penghantar makanan di media sosial.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam siasat video tular jiran gaduh isu parkir

SHAH ALAM, 13 JUN: Polis menyiasat pergaduhan sekumpulan jiran di taman perumahan di Seksyen 24, dekat sini yang  tular di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata siasatan mendapati kejadian berpunca daripada isu tanaman serta tempat letak kenderaan.

Menurutnya selepas video berkenaan tular, dua kumpulan terbabit masing-masing membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Semua terlibat telah dipanggil untuk dirakam percakapan. Kedua-dua pihak setuju berdamai dan menarik semula laporan yang dibuat.

“Bagaimanapun masih tetap meneruskan siasatan secara adil dan saksama. Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sejak kelmarin video pergaduhan selama empat minit itu tular di media sosial dan menarik perhatian warga maya.

Berdasarkan video itu, kejadian bermula dengan pertengkaran mulut sebelum tolak-menolak selain membaling objek seperti pasu antara satu sama lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua beradik antara tiga ditahan bergaduh di Ampang

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua beradik kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan di Taman Permata semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pergaduhan itu dilapor bermula daripada perasaan tidak puas hati seorang penunggang motosikal terhadap pemandu teksi yang didakwa memberhentikan keretanya secara mengejut di persimpangan lampu isyarat.

Rentetan itu, penunggang motosikal berumur 49 tahun pulang ke rumah dan mengambil sebatang besi disyaki komponen penyerap hentak kereta (absorber) dan memecahkan cermin bahagian belakang sebelah kanan teksi terbabit.

Mohamad Farouk berkata lelaki itu turut memecahkan cermin bahagian pemandu kereta Proton Satria milik adik pemandu teksi berkenaan di kawasan sebuah pasar raya di situ.

“Berang dengan kejadian itu, pemandu teksi dan adiknya pergi ke rumah penunggang motosikal terbabit di Taman Permata dan memukul serta mengugutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penunggang motosikal itu ditahan kerana disyaki melakukan khianat manakala pemandu teksi serta adiknya masing-masing berumur 25 dan 26 tahun ditahan kerana disyaki sengaja mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan jenayah.

Siasatan awal polis mendapati penunggang motosikal dan keluarga pemandu teksi terbabit yang tinggal di kawasan perumahan yang sama mempunyai masalah kejiranan sebelum ini, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat lelaki ditahan terlibat pergaduhan di Cheras

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di depan sebuah restoran di Damai Perdana, Batu 9 Cheras pada 9 April lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua suspek berumur 19 hingga 28 tahun itu ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 11.40 malam pada hari kejadian membabitkan pergaduhan beberapa lelaki di hadapan sebuah restoran yang menyebabkan seorang lelaki berusia 27 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kajang bagi menerima rawatan.

“Bagaimanapun mangsa dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pada hari yang sama dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Insp Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sejak lewat malam tadi, sebuah video berdurasi 30 saat berhubung kejadian pergaduhan itu tular di media sosial yang memaparkan beberapa lelaki bergaduh dengan membaling dan merosakkan kerusi restoran.

-BERNAMA