Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 14 korban seluruh negara, lapan di Selangor

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Tempoh 24 jam tanpa hujan lebat di beberapa negeri sedikit memberikan kelegaan dan kegembiraan buat mangsa terjejas dengan banjir yang telah memasuki hari ketiga semalam.

Namun keadaan cuaca panas itu yang membolehkan keadaan air di beberapa kawasan mulai surut, turut membawa berita duka buat negara apabila terdapat angka korban akibat bencana telah direkodkan.

Lapan mayat ditemukan di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang manakala empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.

Penemuan mayat itu menjadikan 14 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata di Selangor selain kematian akibat banjir itu direkodkan di Shah Alam dengan empat kematian, di daerah Kajang merekodkan dua kematian dan masing-masing satu di Sungai Buloh dan Sepang.

Satu mayat lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mangsa lemas pertama ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam pada 7.50 malam pada Ahad.

Penemuan mayat bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila pihak polis mengesahkan tiga lagi mangsa lemas ditemukan maut dalam insiden banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kesemua mayat lelaki dengan dua daripadanya ditemukan pada 1 pagi sementara satu lagi mayat ditemukan pada 5 pagi semalam oleh orang awam dan pihak bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata dua mayat lelaki ditemukan di Dengkil dan satu mayat lelaki ditemukan di Sepang semalam, sementara satu mayat lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor pada Ahad.

Selain itu, beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda yang sedang mengalami banjir teruk yang dipercayai berlaku sekitar 1 tengah hari hingga 2 petang dan ia disahkan Baharudin kepada Bernama.

Di Pahang pula, operator kilang M Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada 2.22 petang Jumaat (17 Disember) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat jatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi Ahad, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, di sini, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.

Mayat lelaki ditemukan pada 1 tengah hari semalam manakala mayat tiga wanita ditemukan pada 1.20 tengah hari, 2 petang dan 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.

Di Perak, meskipun cuaca diramal baik sehingga pagi hari ini di kebanyakan tempat namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Di Terengganu, kebanyakan paras air di sungai-sungai utama di negeri ini berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4m.

Di Kuala Lumpur, seramai 371 mangsa banjir di ibu negara masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka serta keadaan baik semalam menyaksikan 10 jalan yang sebelum ini ditutup akibat ditenggelami air, telah kembali dibuka.

Di Kelantan, empat sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.67 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19m).

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Lelaki rampas beg tangan ketika kemalangan ditahan

SHAH ALAM, 28 NOV: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai merampas beg tangan dari sebuah kenderaan yang melanggar keretanya di Kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur bagi membantu siasatan semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam kenyataan memaklumkan suspek yang berusia 56 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang selepas hadir bagi membuat laporan polis berkaitan kemalangan jalan raya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.33 petang apabila seorang wanita yang memandu kereta BMW dari arah Klang menghala Kuala Lumpur terlanggar belakang kenderaan milik lelaki berkenaan.

Kertas siasatan berhubung kes itu telah dibuka di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketika ini tular di media sosial satu video berdurasi 1.30 saat yang memaparkan seorang lelaki dilihat mengambil beg tangan wanita itu dan meminta wanita berkenaan mengikutnya ke balai polis untuk membuat laporan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kanak-kanak merajuk lari rumah tidak dibenar main telefon ditemui selamat

SHAH ALAM, 18 JULAI: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun lari dari rumah selepas dilarang bapanya daripada berbasikal dan bermain permainan dalam telefon bimbit, malam tadi.

Bagaimanapun kanak-kanak lelaki yang merajuk itu berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, polis mengesan video tular mengenai kanak-kanak itu ditemui di perhentian Bas Setia Alam di sini yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.

“Mangsa ditemui di perhentian bas itu sekitar jam 9.47 malam semalam oleh seorang lelaki sebelum menyerahkannya kepada Balai Polis Setia Alam.

“Hasil siasatan mendapati mangsa keluar rumah kerana merajuk berikutan tidak dibenarkan bermain basikal dan ‘game’ di dalam telefon bimbit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga menasihatkan masyarakat agar lebih peka terhadap isu kekeluargaan terutama dalam situasi pandemik melanda negara.

“Polis telah memberi nasihat dan teguran kepada keluarganya agar lebih peka dalam penjagaan kanak-kanak. Seruan polis supaya masyarakat lebih prihatin terhadap isu kekeluargaan terutama semasa berdepan pandemik Covid-19,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ingkar SOP: Polis kompaun 15 kilang di Shah Alam

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak 15 kilang di kawasan ini dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Shah Alam berkata antara kesalahan yang dilakukan beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), melanggar syarat kapasiti pekerja serta tidak menyediakan laluan masuk dan keluar khas.

“Dalam operasi khas sejak Jumaat lalu, sebanyak 333 kilang telah diperiksa dan didapati terdapat majikan yang masih tidak patuh dengan SOP PKP.

“Selain kompaun terhadap majikan, seramai 22 pekerja turut dikenakan tindakan sama kerana tidak mengimbas kod MySejahtera dan memakai pelitup muka,” kata Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, semua kompaun terhadap kedua-dua pihak dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdahulu polis hanya menerima surat pengesahan dari tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan di sekatan jalan raya (SJR) ketika pelaksanaan PKP 3.0.

Antara kementerian berkaitan ialah MITI, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam siasat video tular jiran gaduh isu parkir

SHAH ALAM, 13 JUN: Polis menyiasat pergaduhan sekumpulan jiran di taman perumahan di Seksyen 24, dekat sini yang  tular di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata siasatan mendapati kejadian berpunca daripada isu tanaman serta tempat letak kenderaan.

Menurutnya selepas video berkenaan tular, dua kumpulan terbabit masing-masing membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Semua terlibat telah dipanggil untuk dirakam percakapan. Kedua-dua pihak setuju berdamai dan menarik semula laporan yang dibuat.

“Bagaimanapun masih tetap meneruskan siasatan secara adil dan saksama. Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sejak kelmarin video pergaduhan selama empat minit itu tular di media sosial dan menarik perhatian warga maya.

Berdasarkan video itu, kejadian bermula dengan pertengkaran mulut sebelum tolak-menolak selain membaling objek seperti pasu antara satu sama lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar dan tipu operasi, dua kilang diarah tutup

SHAH ALAM, 11 JUN: Dua kilang diarahkan tutup serta-merta susulan beroperasi tanpa kebenaran dan memalsukan surat permohonan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata pihaknya turut mengenakan lima kompaun sebanyak RM10,000 kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), lapor Berita Harian.

“Lima kilang dikompaun yang mana dua daripadanya diarahkan tutup serta merta. Sebuah kilang didapati beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sebuah lagi kilang yang diarahkan tutup didapati menipu dalam permohonan surat MITI yang mendakwa kilang mereka memproses bahan makanan, sebaliknya mereka memproses cecair bagi rokok elektronik,” katanya.

Menurutnya, polis telah memeriksa 48 kilang pelbagai sektor di Shah Alam sejak 1 Jun sehingga semalam.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA kompaun sembilan individu berjoging di taman awam

SHAH ALAM, 6 JUN: Sembilan individu dikenakan kompaun oMajlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) berikutan mereka berjoging di taman awam pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata lima kompaun dibuat di Taman Tasik Seksyen 7 manakala empat lagi di Taman Seksyen 14 di sini.

“Masyarakat umum terutama di Shah Alam adalah dimaklumkan aktiviti joging secara individu hanya dibenarkan di taman kejiranan yang mana 10 kilometer (km) radius dari alamat rumah masing masing.

“Tindakan merentasi had tersebut bagi tujuan itu adalah tidak dibenarkan sama sekali di bawah SOP MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi tempoh 1 hingga 14 Jun,” katanya menerusi kenyataan.

Tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan beriadah di kawasan awam dalam tempoh PKP menyeluruh.

Pemantauan dijalankan bersama antara polis dan penguat kuasa MBSA antara jam 7.30 hingga 10 pagi.

 

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Anggota polis, bekas pegawai kanan Bukit Aman disiasat langgar SOP raya

SHAH ALAM, 15 MEI: Polis menyiasat enam anggota serta seorang bekas pegawai kanannya berhubung pelanggaran tatacara operasi piawaian (SOP) sambutan Aidilfitri kelmarin.

Ketua polis Shah Alam berkata siasatan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP) dan sabit kesalahan boleh dikompaun antara RM2,000 hingga RM10,000.

“Kertas siasatan ini akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam kadar segera,” kata Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menerusi kenyataan hari ini.

 

Terdahulu gambar anggota polis berkumpul menikmati juadah di sebuah rumah ketika pemantauan Ops Covid-19 tular di media sosial hingga mendapat kecaman warga maya.

Menurut Baharudin siasatan mendapati gambar terbabit dimuat naik di Facebook milik bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Kamarudin Mat Desa yang bersara pada 2007.

“Menerusi gambar itu, enam anggota Balai Polis Seksyen 6 sedang menikmati juadah ketika menjalankan pantauan di rumah Kamaruddin selepas terdapat enam kereta di rumah berkenaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pandu lawan arus di lebuh raya, warga emas ditahan

SHAH ALAM, 30 OKT: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas memandu melawan arus sehingga menyebabkan dua kemalangan di Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) di sini pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 5 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 73 tahun telah memandu melawan arus di lebuh raya itu menghala ke pusat bandar Shah Alam, menyebabkan kemalangan di kilometer (KM) 3.1 dan KM6.6.

“Kemalangan pertama di KM 3.1 menyebabkan seorang pemandu kereta jenis Honda City berusia 33 tahun cedera, apabila kereta yang dipandunya terbalik ketika cuba mengelak kereta Perodua Kelisa yang dipandu warga emas berkenaan, manakala di kemalangan di KM6.6 sebuah kereta jenis Perodua Myvi bertembung dengan kereta itu selepas gagal mengelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baharudin berkata pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu.

“Siasatan awal mendapati, suspek memandu dari rumah di Seksyen 8 dan hendak ke pasar raya Tesco di Seksyen 13, tetapi dia telah tersalah jalan dan memasuki Lebuhraya LKSA, setibanya di Plaza Tol Sri Muda beliau tidak mempunyai kad ‘Touch n Go’, lalu berpatah balik melawan arus untuk balik ke rumah,” katanya.

Terdahulu tular satu video di media sosial melihatkan sebuah kereta dipandu melawan arus di bandar ini.

Pemandu kereta berkenaan dilihat tidak memberhentikan kereta walaupun disuruh pengguna jalan raya yang merakam perbuatan berkenaan, dan hanya berhenti selepas terlibat dengan kemalangan secara berhadapan dengan sebuah kereta yang lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan lapan individu, penganjur parti liar di Shah Alam

SHAH ALAM, 16 JUN: Polis menahan lapan individu termasuk penganjur satu parti liar yang diadakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah unit kondominium mewah di Seksyen 7 di sini pada 7 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata penganjur parti liar itu yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun juga disyaki membekalkan ganja kepada peserta parti berkenaan yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 24 hingga 30 tahun.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.45 pagi selepas menerima aduan orang awam yang terdengar bunyi bising dari unit kediaman berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas unit kondominium yang dipercayai disewa lelaki itu bagi menganjurkan parti berkenaan, polis menemukan satu plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki ganja seberat 275 gram dengan anggaran bernilai RM1,200.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati enam individu positif dadah namun kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baharudin berkata siasatan lanjut mendapati penganjur parti itu melakukan kegiatan terbabit sejak tiga bulan lepas selain turut mengedar dadah dan dia disyaki menggunakan media sosial untuk menyewakan unit kondominium kepada kenalannya untuk berparti.

Beliau berkata kesemua individu itu telah dituduh di mahkamah baru-baru ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Baharudin berkata sebanyak 199 saman dikeluarkan pihaknya melibatkan kesalahan trafik, dadah dan jenayah dengan 49 tangkapan dalam Op Lejang Khas Bersepadu yang dilaksanakan bermula 30 Mei hingga hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga individu didakwa menyamar jalankan ujian swab kakitangan KKM

SHAH ALAM, 15 JUN: Tiga individu yang tular di media sosial, kononnya menyamar untuk menjalankan ujian swab di sebuah rumah di kawasan perumahan di sini, disahkan sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata ketiga-tiga kakitangan itu pergi ke rumah berkenaan bukan untuk menjalankan ujian swab tetapi untuk memantau keadaan individu dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19.

“Sebuah van yang dinaiki ketiga-tiga kakitangan KKM dalam video tersebut juga adalah milik Pejabat Kesihatan Daerah Petaling manakala nombor pendaftaran van itu yang dikatakan milik kenderaan jenis Perodua Myvi juga adalah tidak tepat.

“Polis menerima laporan mengenai isu ini (menyamar sebagai kakitangan KKM) semalam dan siasatan mendapati ia merupakan salah faham antara pengadu dan pihak yang hadir ke lokasi rumah pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baharudin berkata pihak KKM telah membuat laporan polis hari ini bagi mengesahkan kehadiran kakitangannya ke rumah terbabit di Bukit Subang sekitar 2 petang semalam, bertujuan memantau PUI berkenaan.

Sehubungan itu katanya, polis menyarankan orang ramai berhenti menyebarkan video dan gambar berkaitan insiden salah faham tersebut.

Sebelum ini tular di media sosial satu video berdurasi 1 minit 10 saat memaparkan tiga lelaki yang menaiki sebuah van tertera tulisan ‘Kementerian Kesihatan Malaysia’ hadir ke sebuah rumah dikatakan untuk melakukan ujian swab bagi mengesan wabak Covid-19.

Turut tular adalah gambar tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa nombor pendaftaran van yang dinaiki ketiga-tiga lelaki berkenaan adalah palsu kerana dikatakan nombor itu berdaftar bagi sebuah kereta Myvi.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Macau Scam di Shah Alam meningkat 57 peratus

SHAH ALAM, 29 DIS: Kes jenayah penipuan Macau Scam di Shah Alam mencatatkan peningkatan sebanyak 57 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia membabitkan peningkatan sebanyak sembilan kes bagi tempoh sama.

“Manakala, bagi nilai kerugian penipuan mencatatkan penurunan daripada RM3.9 juta pada 2018 kepada RM2 juta dalam tempoh kajian sama pada 2019.

“Penurunan nilai kerugian adalah lebih kurang RM1.9 juta bersamaan penurunan 32.20 peratus.

“Ini menunjukkan walaupun Macau scam masih mempunyai mangsa tetapi terdapat rakyat yang sedar dan mengetahui berkenaan segala modus operandi serta taktik helah penipuan Macau Scam ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat tiga kes baharu dilaporkan berlaku pada November dan Disember ini iaitu di Kota Kemuning, Sri Muda dan Seksyen 9.

“Polis menerima laporan daripada seorang pesara di Kota Kemuning pada 23 Disember lalu yang kerugian sebanyak RM749,938. Pesara ini ditipu kononnya mempunyai satu kes mahkamah membabitkan kesalahan trafik iaitu langgar lari dan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Manakala, dua lagi laporan kes penipuan ‘Macau Scam’ membabitkan pesara pada 19 November lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 504,676.60 dan satu lagi kes di Sri Muda dengan kerugian berjumlah RM150,000.

“Taktik digunakan ke atas pesara di Seksyen 9 adalah mangsa dihubungi oleh seorang lelaki daripada Pejabat Pos Malaysia dan kononnya mempunyai kes jenayah dan perlu membayar wang bagi mengelakkan ditahan.

“Bagi kes di Sri Muda pula, mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom dan pegawai polis yang mendakwa kononnya dia mempunyai tunggakan kad kredit dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke dalam akaun bank milik individu bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.

Sehubungan itu, Baharudin menasihatkan orang ramai lebih peka dan tidak mudah terpedaya jika dihubungi individu yang mendakwa dari mana-mana organisasi
tanpa membuat semakan dan menghubungi organisasi berkaitan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak ‘kepintaran’ ahli sindiket itu untuk mewujudkan taktik lain untuk menipu ekoran perkembangan teknologi yang menjadikan mereka semakin kreatif menjerat mangsa.

Berdasarkan laporan diterima, sindiket kerap menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia atau agensi lain bagi memberi kenyakinan kepada mangsa.

Manakala, bagi modus operandi suspek pula adalah penipuan bank, kad kredit, penculikan, tebusan, saman polis atau mahkamah, hadiah cabutan bertuah dan pakej pelancongan.