PETALING JAYA, 1 APRIL: Kakitangan awam bakal menerima Dividen Banteras Rasuah yang akan diperkenalkan Pakatan Rakyat (PR) apabila menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Semua ini terhasil daripada usaha membanteras gejala pembaziran dan rasuah dari perbelanjaan mengurus sebanyak RM34 bilion setahun oleh Kerajaan PR.
Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri PKR, Wong Chen berkata, sebagai insentif, apa-apa penjimatan berhasil dari usaha membanteras rasuah ini sebahagiannya akan diperuntukkan sebagai dividen kepada kakitangan awam yang akan dibayar dalam bentuk bonus tambahan.
“PKR percaya dan yakin dengan keikhlasan kakitangan awam untuk bersama-sama membina Malaysia baru yang bebas dari rasuah.
“Pendekatan dividen banteras rasuah ini diyakini akan dapat mempercepatkan sasaran PR menghentikan ketirisan untuk membiayai program-program Manifesto Rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi.
Tambahnya, PR juga akan melaksanakan sebarang pengumuman kenaikan gaji yang dibuat berkuatkuasa pada 1 Julai 2013 dan penyelarasan gaji bagi pihak polis dan askar pada 1 Januari 2014.
Selain itu, PR akan melaksanakan pelarasan gaji kepada kakitangan awam sesuai dengan pelaksanaan gaji minima RM1,100 bagi kakitangan awam dan swasta di seluruh negara.
Katanya, semakan pelarasan gaji turut dicadangkan diadakan setiap tiga tahun secara automatik, bukannya mengikut amalan yang tidak menentu sekarang berdasarkan kehendak pimpinan politik sahaja.
“Cara Umno-BN menangani masalah tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat adalah dengan menaikkan gaji dan elaun kakitangan awam bermula pada 1 Julai 2013, iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
“Cadangan itu merupakan penyelesaian separuh masak dan tidak menyeluruh. Ia bersifat jangka pendek tanpa menyelesaikan masalah pokok yang dihadapi kakitangan awam dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya berhubung kenaikan harga barang yang mendadak,” katanya lagi.