Categories
AGENDA NASIONAL

Harga enam jenis roti Gardenia naik bermula 1 Jun

SHAH ALAM, 29 MEI: Syarikat pengeluar roti ternama Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL) mengesahkan harga enam produk mereka dinaikkan berkuat kuasa 1 Jun ini.

GBKL dalam kenyataan hari ini memberitahu produk Gardenia yang akan mengalami perubahan harga ialah Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread 200g; Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread 375g dan Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread 200g.

Selain itu, produk Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread 375g; Gardenia Auntie Rosie – Original Homestyle Kaya 200g dan Gardenia Auntie Rosie – Natural Pandan Kaya 200g turut mengalami perubahan harga.

Pengurusan syarikat itu memaklumkan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, GBKL telah mengalami kenaikan kos luar biasa dari segi kos pembuatan dan kos bahan mentah yang berada di luar kawalan.

“Selama ini GBKL menyerap kos kenaikan tersebut dan kini GBKL tidak mempunyai alternatif lain kecuali untuk melaksanakan semakan semula harga produk-produk Gardenia terpilih yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pengurusan GBKL menjelaskan harga bagi produk Gardenia yang lain masih dikekalkan dan GBKL akan terus menyerap kenaikan kos produk-produk tersebut.

“Antara bahan-bahan mentah yang mengalami kenaikan mendadak adalah seperti lemak sayuran, serbuk koko, susu serta kos pembungkusan dan lain-lain.

“Fokus GBKL adalah untuk terus mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang dan kenaikan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha digembleng terlebih dahulu,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga roti Gardenia tanpa perisa kaya kekal

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Harga roti Gardenia masih kekal dan tiada kenaikan harga akan berlaku bermula 1 Jun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat tidak perlu bimbang dan melakukan pembelian panik berikutan tersebarnya surat yang menyatakan bahawa akan berlaku kenaikan harga roti Gardenia.

“Pegawai saya telah memeriksa (kesahihannya) dan mendapati harga roti tidak naik sebaliknya kenaikan harga membabitkan produk lain syarikat itu seperti sapuan perisa kaya,” katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu surat syarikat Gardenia yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan terdapat perubahan harga produk bermula 1 Jun ini.

Perubahan harga berkenaan juga serentak dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

“Peniaga, pengguna juga perlu bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha mengurangkan penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan peningkatan jangkitan kes baharu setiap hari.

“Bagi masyarakat, kita ada pengalaman ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama dan pengalaman itu sangat berguna. Jangan lakukan pembelian panik kerana barangan keperluan termasuk pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan sentiasa ada dan mencukupi,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gardenia jamin bekalan roti cukup

SHAH ALAM, 28 MAC: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) memberi jaminan bekalan rotinya cukup bagi keperluan pasaran setelah pengeluarannya ditingkatkan kepada 2.2 juta buku roti sehari.

Pengurus Besar Kanannya Desmond Tan berkata ia akan dihasilkan menerusi kelima-lima kilang milik mereka yang beroperasi 24 jam.

“Pengeluaran ini merupakan penambahan lima peratus dari jumlah pengeluaran sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan dan mampu menampung 60 peratus permintaan dari seluruh Semenanjung,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengadakan lawatan ke kilang Gardenia di sini hari ini.

Pengeluaran 2.2 juta itu adalah meliputi semua jenis roti termasuk 840,000 roti putih.

Sejak beberapa hari lepas sepanjang tempoh PKP, pengguna merungut apabila bekalan roti Gardenia dikatakan sentiasa habis.