Categories
AGENDA NASIONAL

Barang keperluan cukup, tidak perlu pembelian panik – menteri

PUTRAJAYA, 29 MEI: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini memberi jaminan bekalan makanan keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi bagi menghadapi ‘total lockdown’.

Beliau berkata, seperti mana pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas yang tidak merekodkan sebarang kes bekalan barangan keperluan asas terputus, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin, bekalan barang keperluan di seluruh negara stabil dan mencukupi semasa ‘lockdown’ itu.

“Pengguna diseru tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan, bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan,” katanya dalam kenyataan.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 semalam, memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh atau ‘total lockdown’ sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

Nanta berkata, pemantauan akan terus dilaksanakan penguat kuasa kementerian setiap hari, bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di semua negeri.

Nanta dalam pada itu berkata penguatkuasaan Ops Had 2J, yang memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan had masa maksimum dua jam keberadaan pelanggan di premis perniagaan, ditangguhkan serta-merta sehingga ke satu tarikh kelak.

Bagaimanapun beliau berkata, SOP PKP 3.0 yang lain masih terus dikuatkuasakan.

“Kementerian berharap pengguna dan pengunjung premis perniagaan, akan terus merancang perbelanjaan dan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di premis perniagaan, yang boleh menyebabkan penularan Covid-19 meningkat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga roti Gardenia tanpa perisa kaya kekal

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Harga roti Gardenia masih kekal dan tiada kenaikan harga akan berlaku bermula 1 Jun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat tidak perlu bimbang dan melakukan pembelian panik berikutan tersebarnya surat yang menyatakan bahawa akan berlaku kenaikan harga roti Gardenia.

“Pegawai saya telah memeriksa (kesahihannya) dan mendapati harga roti tidak naik sebaliknya kenaikan harga membabitkan produk lain syarikat itu seperti sapuan perisa kaya,” katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu surat syarikat Gardenia yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan terdapat perubahan harga produk bermula 1 Jun ini.

Perubahan harga berkenaan juga serentak dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

“Peniaga, pengguna juga perlu bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha mengurangkan penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan peningkatan jangkitan kes baharu setiap hari.

“Bagi masyarakat, kita ada pengalaman ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama dan pengalaman itu sangat berguna. Jangan lakukan pembelian panik kerana barangan keperluan termasuk pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan sentiasa ada dan mencukupi,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak belian panik, bekalan barangan cukup – menteri

PUTRAJAYA, 10 JAN: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik, kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan, di dalam pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini berkata, bekalan barangan di dalam pasaran ketika ini adalah terkawal.

“Kesemua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara, akan terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin buat semua pengguna,” katanya.

Nanta berkata situasi pembelian panik yang dilaporkan di beberapa kawasan di negara ini mungkin berlaku, berikutan pengumuman khas yang akan dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan, berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19.

Katanya situasi itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi dan semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit, masih beroperasi seperti biasa.

Nanta berkata keadaan ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020, apabila kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.

Katanya KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan harian terhadap keberadaan barangan keperluan pengguna termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.

“Pemantauan 12 barang keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah, 1,039 pemborong terpilih daerah dan 223 pengilang terpilih daerah yang merangkumi 222 kawasan Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak pembelian panik sempena Deepavali – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 9 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan masyarakat India yang akan menyambut perayaan Deepavali Sabtu ini supaya tidak melakukan pembelian panik bagi mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata pembelian panik hanya akan menyebabkan kesesakan di lokasi tumpuan membeli-belah, sekali gus memudahkan jangkitan berlaku.

“Bila kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sektor ekonomi masih dibuka, kedai masih dibuka, jadi tidak perlu kita melakukan pembelian panik,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesesakan di beberapa lokasi tumpuan membeli persiapan sambutan Deepavali di Lembah Klang yang menimbulkan kebimbangan muncul kluster Deepavali.

Dr Noor Hisham meminta orang ramai supaya membataskan pergerakan dan mengelakkan perhimpunan ramai serta merancang pembelian sepanjang PKPB bagi membantu meratakan lengkung jangkitan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: KPDNHEP Selangor ingatkan masyarakat tidak buat pembelian panik

SHAH ALAM, 15 OKT: Orang ramai diingatkan tidak membuat pembelian panik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasa di Selangor mulai semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata semua keperluan mencukupi berdasarkan pemeriksaan sejak dua minggu lalu, lapor Sinar Harian.

“Antara barangan diperiksa ialah gula, tepung dan minyak masak membabitkan 2,526 premis di seluruh negeri. Secara keseluruhan, semua barangan itu termasuk telur, roti dan ayam mencukupi,” kata Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengeluarkan nilai kompaun berjumlah RM286,450 sejak 18 Mac meliputi 562 kes kesalahan, termasuk tanda harga mengelirukan dan penjualan dalam talian.

“KPDNHEP memberi amaran keras supaya peniaga tidak mengambil kesempatan ketika PKPB. Usah sesuka hati menaikkan harga. Jika dikesan, tindakan diambil mengikut akta tertentu,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jangan buat pembelian panik, elak harga barang naik

SHAH ALAM, 13 MEI: Penduduk Selangor dinasihat supaya tidak membuat pembelian panik barang keperluan asas kerana stok dan keperluan sedia ada mencukupi.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata langkah itu juga dapat mengelakkan kenaikan harga barang keperluan.

“Pemantauan terhadap bekalan barangan #stoppanicbuying terus dilakukan terhadap 91 premis meliputi barangan basah dan kering serta barangan dalam tin supaya bekalan terkawal dan mencukupi.

“Kepada semua pengguna, kami memohon supaya tidak mengulangi #panicbuying (pembelian panik) kerana ia akan mengakibatkan kenaikan harga banyak barangan keperluan,” kata agensi tersebut di Facebook.

Sementara itu, KPDNHEP berkata pemeriksaan terperinci terhadap 62 barang terpilih di pasar raya dan pasar basah mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas pada setiap barangan yang dijual.

“Tiada tanda harga mengelirukan dan hasil pemeriksaan dilakukan mendapati harga dipamer sama dengan harga yang dibayar oleh pelanggan.

“Peniaga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah yang dikuatkuasakan KPDNHEP,” katanya lagi.