Categories
AGENDA NASIONAL

Harga enam jenis roti Gardenia naik bermula 1 Jun

SHAH ALAM, 29 MEI: Syarikat pengeluar roti ternama Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL) mengesahkan harga enam produk mereka dinaikkan berkuat kuasa 1 Jun ini.

GBKL dalam kenyataan hari ini memberitahu produk Gardenia yang akan mengalami perubahan harga ialah Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread 200g; Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread 375g dan Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread 200g.

Selain itu, produk Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread 375g; Gardenia Auntie Rosie – Original Homestyle Kaya 200g dan Gardenia Auntie Rosie – Natural Pandan Kaya 200g turut mengalami perubahan harga.

Pengurusan syarikat itu memaklumkan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, GBKL telah mengalami kenaikan kos luar biasa dari segi kos pembuatan dan kos bahan mentah yang berada di luar kawalan.

“Selama ini GBKL menyerap kos kenaikan tersebut dan kini GBKL tidak mempunyai alternatif lain kecuali untuk melaksanakan semakan semula harga produk-produk Gardenia terpilih yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pengurusan GBKL menjelaskan harga bagi produk Gardenia yang lain masih dikekalkan dan GBKL akan terus menyerap kenaikan kos produk-produk tersebut.

“Antara bahan-bahan mentah yang mengalami kenaikan mendadak adalah seperti lemak sayuran, serbuk koko, susu serta kos pembungkusan dan lain-lain.

“Fokus GBKL adalah untuk terus mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang dan kenaikan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha digembleng terlebih dahulu,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP Selangor rampas roti, kek guna logo halal tidak sah

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas produk roti dan kek dianggarkan bernilai RM10,000 dari sebuah kilang kerana disyaki menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan berkata serbuan ke atas premis terletak di Ampang dilakukan pada 3 petang tadi oleh lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan 10 pegawai Jabatan Agama Islam Selangor hasil aduan orang ramai.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 10,000 unit produk merangkumi 50 jenis roti dan kek telah siap dibungkus dengan turut diletakkan logo halal selain yang diiktiraf Jakim.

“Kilang ini sudah beroperasi sejak 20 tahun lepas dan hasil keterangan daripada pemilik kilang, mereka pernah memohon sijil halal pada 2012 tetapi gagal memperolehnya kerana tidak mematuhi syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) terutamanya berhubung kebersihan premis,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut, hari ini.

Muhamad Zikril berkata pihaknya juga mendapati tiada penambahbaikan dilakukan oleh pemilik premis sejak permohonan itu dilakukan bagi membolehkan kebenaran menggunakan logo halal yang sah diberikan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Peraturan 4 Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Peraturan 4 Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) 2011.

Katanya, peraturan itu memperuntukkan hukuman denda RM200,000 hingga RM10 juta bagi syarikat dan denda RM100,000 hingga RM5 juta atau penjara tiga hingga lima tahun atau kedua-duanya bagi individu, jika sabit kesalahan.

Selain kesalahan menggunakan logo halal tidak diiktiraf, beliau berkata premis berkenaan juga didapati menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan dan tindakan sitaan ke atas 17 alat penimbang bernilai RM2,500 turut diambil mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

Muhamad Zikril berkata tahap kebersihan kilang berkenaan yang kurang memuaskan turut akan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan kerana ia di luar bidang kuasa KPDNHEP.

“Didapati roti tidak ditutup selepas siap dibakar, selain terdapat kesan air dari bumbung yang bocor,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Harga gula dan petrol naik, pengeluar roti terpaksa naik harga

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 13 NOV : Syarikat pengeluar roti, Roti Sedap Sdn Bhd terpaksa menaikkan harga produk keluarannya bagi mengimbangi peningkatan kos pengeluaran syarikat yang semakin melonjak sejak kebelakangan ini.

Exsekutif Pemasaran syarikat itu, Azlin Kassim berkata, antara faktor utama yang menyebabkan meningkatnya kos pengeluaran adalah disebabkan kenaikan harga petrol dan gula baru-baru ini.

harga-naikAnalisis pasaran yang dibuat syarikat itu turut menjangkakan syarikat pengeluar roti lain akan turut mengambil langkah sama, menaikkan harga pasaran produk keluaran masing-masing.

“Bukan tujuan kami mengejar keuntungan tetapi kenaikan ini tak boleh dielakkan, petrol contohnya, kami bukan beli 10 atau 20 liter tetapi beribu liter untuk memasarkan produk kami di seluruh negara dan begitu juga dengan gula dan lain-lain.

“Selama 20 tahun kita pasarkan roti keluaran kami dengan harga rendah berbanding syarikat lain tetapi apabila barang mentah semakin naik khususnya gula dah dua kali naik, petrol pun dah naik. Jadi kami terpaksa menaikan sedikit harga kami.

“Laporan dari lain-lain syarikat pengeluar roti, mereka juga ada kemungkinan akan menaikan harga, kalau tidak mereka akan alami kerugian,” kata Azlin ketika dihubungi Selangor Kini.

cukainaikBagaimanapun Azlin menambah, sehingga kini produk keluaran Roti Sedap Sdn Bhd masih mengekalkan harga yang rendah berbanding pesaing lain.

Selain itu Roti Sedap Sdn Bhd juga mengambil beberapa langkah menghadkan pasaran produk mereka hanya di kedai yang mempunyai jualan yang tinggi sahaja.

“Sekarang kami hanya menjual roti-roti kami di kedai yang tinggi jualannya sahaja seperti di pasaraya atau mini market yang boleh beri jualan tinggi dan cara itu dapat mengurangkan ‘return’ produk tidak terjual sekaligus setiap sen kos yang dikeluarkan dapat dimanfaatkan.

“Sebelum ini, dianggarkan lebih kurang 40 peratus ‘return’ tetapi sekarang dapat dikurangkan sehingga 20 peratus sahaja,” kata Azlin.

-EZY