Categories
NASIONAL

Gagal kemuka pelan atasi sisa radioaktif, rakyat serah memorandum

projek-Lynas(radioaktif)KUALA LUMPUR 26 SEPT: Lebih 30 individu daripada kumpulan anti-Lynas hari ini mengadakan demonstrasi secara aman di pintu masuk Parlimen sebagai bantahan terhadap isu loji memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Kumpulan itu berarak sekitar jam 10.30 pagi tadi sambil memegang sepanduk dan melaungkan “Hentikan Lynas” di perkarangan Parlimen.

Turut bersama ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Kumpulan itu kemudian bertindak menghantar 10 wakil mereka ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi.

Wakilnya, Tan Bun Teet berkata, tindakan itu dibuat susulan kegagalan Lynas menyediakan pelan terperinci bagi tapak pembuangan sisa radioaktif yang berbahaya kepada penduduk.

“Ini susulan kegagalan Lynas menyediakan pelan terperinci untuk mengenal pasti tapak pembuangan sisa radioaktif sebelum tempoh 3 Julai 2013 seperti yang dipersetujui.

“Kami menggesa supaya menteri bertanggungjawab mengarahkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk segera batalkan serta hentikan serta-merta projek mega Lynas,” katanya.

Loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan itu sebelum ini menerima kecaman hebat berikutan isu bahan radioaktif yang berbahaya kepada penduduk sekitar.

Bagaimanapun, Lynas pada 11 Disember lalu mendakwa Loji Bahan Lanjutan Lynas (LAMP) itu mematuhi undang-undang dan peraturan.