Categories
AGENDA NASIONAL

Lynas: Kerajaan ikut laporan pakar – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohammad berkata kerajaan akan tetap berpegang kepada keputusan berhubung pembaharuan lesen operasi kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd, dan akan mengikut pandangan pakar serta saintis yang memahami mengenai bahaya sisa radioaktif.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh selalu mendengar pandangan popular terutamanya apabila ada segelintir pihak yang menggunakan media alternatif untuk menyalurkan idea mereka sehingga siapapun yang menentang akan dikecam.

“Sekarang saya mahu mengikut apa yang dilaporkan oleh pakar. Jika ia merupakan bahan sangat berbahaya, maka kita tentu akan menyelesaikannya, Tetapi laporan itu mengatakan bahawa (ia) tidak berbahaya…sisa diletakkan di satu tempat sahaja.

“Mungkin terdapat satu penumpuan…kita bersedia untuk menyuraikannya tetapi kita tidak boleh eksport kerana tiada siapa yang mahu menerimannya, dan kita tidak boleh membuangnya ke laut juga kerana ikan akan mati. Jika betul, kita mahu mengikut pandangan pakar,” kata beliau selepas merasmikan Kongres Perangkaan Dunia ke-62 anjuran International Statistical Institute (ISI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dr Mahathir mengulas dakwaan oleh beberapa pihak bahawa pembaharuan lesen Lynas merupakan suatu yang memalukan negara.

Pada 15 Ogos, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengumumkan lesen operasi kilang nadir bumi milik syarikat perlombongan Australia, Lynas Corp itu diperbaharui selama enam bulan.

Sebelum ini, lesen operasi Lynas dilanjutkan selama tiga tahun pada 2016 sehingga 2 September tahun ini.

Bagaimanapun, pembaharuan lesen Lynas, yang beroperasi di Gebeng Kuantan itu, kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama.

Antara syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi itu ialah pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Lynas juga mesti menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai Condisoil dalam bidang pertanian.

Perdana menteri juga menjelaskan bahawa adalah sukar bagi kerajaan untuk memutuskan mengenai isu itu selepas pakar mengesahkan bahawa tidak bahaya.

“Pandangan orang ramai satu perkara, pandangan pakar pula satu perkara lagi. Adakah kamu mengikut pandangan popular atau mengikut pandangan pakar? Jika mengikut pandangan popular, tiada apa yang boleh dilakukan kerana setiap kali kita bercadang melakukan sesuatu, akan ada yang menentangnya,” katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan mempunyai pilihan, sama ada menghapuskan industri dan hilang kredibiliti dari segi berurusan dengan pelaburan langsung asing, atau meneruskannya dan mengurus apa yang dianggap sebagai masalah.

“Kita boleh mengurus masalah itu. Tidak ada masalah. Sebenarnya di kabinet, kami telah membincangkannya…,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gagal kemuka pelan atasi sisa radioaktif, rakyat serah memorandum

projek-Lynas(radioaktif)KUALA LUMPUR 26 SEPT: Lebih 30 individu daripada kumpulan anti-Lynas hari ini mengadakan demonstrasi secara aman di pintu masuk Parlimen sebagai bantahan terhadap isu loji memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Kumpulan itu berarak sekitar jam 10.30 pagi tadi sambil memegang sepanduk dan melaungkan “Hentikan Lynas” di perkarangan Parlimen.

Turut bersama ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Kumpulan itu kemudian bertindak menghantar 10 wakil mereka ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi.

Wakilnya, Tan Bun Teet berkata, tindakan itu dibuat susulan kegagalan Lynas menyediakan pelan terperinci bagi tapak pembuangan sisa radioaktif yang berbahaya kepada penduduk.

“Ini susulan kegagalan Lynas menyediakan pelan terperinci untuk mengenal pasti tapak pembuangan sisa radioaktif sebelum tempoh 3 Julai 2013 seperti yang dipersetujui.

“Kami menggesa supaya menteri bertanggungjawab mengarahkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk segera batalkan serta hentikan serta-merta projek mega Lynas,” katanya.

Loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan itu sebelum ini menerima kecaman hebat berikutan isu bahan radioaktif yang berbahaya kepada penduduk sekitar.

Bagaimanapun, Lynas pada 11 Disember lalu mendakwa Loji Bahan Lanjutan Lynas (LAMP) itu mematuhi undang-undang dan peraturan.