Categories
AGENSI SELANGOR

Kemudahan sukan jadi tumpuan semula, penggemar futsal teruja

BALAKONG, 20 SEPT: Penggemar aktiviti sukan menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor sukan secara berkumpulan seperti gelanggang futsal kembali beroperasi.

Tengku Azha Tengku Yusoff, 50, berkata beliau teruja dengan pengumuman itu dan kesempatan itu disifatkan dapat mengatasi kebosanan selain meningkatkan stamina.

Tengku Azha Tengku Yusoff. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini hanya boleh jogging namun tidak sepuas dan seronok seperti bermain futsal secara beramai-ramai memandangkan saya memang seorang yang aktif bersukan serta sering melakukan aktiviti ini bersama rakan sebaya.

“Malah, bersukan dan beriadah bukan hanya untuk kesihatan badan tetapi memberi kesan positif terhadap mental juga,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki, 22, yang juga aktif bersukan berkata pembukaan semula gelanggang futsal merupakan berita gembira buatnya selepas lebih enam bulan tidak beraksi.

Ahmad Taufeq Ismadi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya seronok kerana dapat berkumpul semula dengan rakan-rakan di samping boleh mengamalkan gaya hidup sihat seperti sebelum ini,” katanya.

Manakala, Raja Muhammad Azhan Shah, 50, berharap masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) supaya tiada lagi sekatan aktiviti sukan berkumpulan selepas ini.

“Jika kerajaan umumkan lagi penutupan disebabkan kes Covid-19 meningkat susulan penglibatan ramai dalam sukan ini, saya reda tetapi kecewa dan berharap kita semua amalkan sikap ‘kita jaga kita’,” katanya.

Pada 15 September Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan terbuka serta tertutup kepada individu lengkap vaksin dengan pematuhan SOP penuh.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pengusaha futsal lega dibenar beroperasi, rancakkan kembali aktiviti sukan

BALAKONG, 20 SEPT: Keputusan kerajaan membenarkan gelanggang sukan seperti futsal kembali beroperasi bakal merancakkan semula aktiviti berkaitan dalam kalangan orang ramai.

Pengusaha Sport Station Futsal Andy Choo berkata kebenaran diberikan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) itu melegakan pihak sepertinya yang berdepan kesukaran selepas hampir setahun perniagaan itu ditutup.

“Kita tiada masalah memantau pematuhan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara kerana pemain serta pegawai terlibat sahaja dibenarkan masuk dengan perlu mendaftar awal.

“Kemasukan orang awam dihadkan pada satu-satu masa kerana hanya mereka terdapat dalam rekod sistem sahaja yang boleh dan tidak bagi penyokong,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang telah 10 tahun membuka arena futsal di sini berkata keputusan kerajaan itu umpama memberi ‘nafas baharu’ kepadanya yang terpaksa menanggung sewa bulanan sehingga RM50,000 sebulan meskipun tidak beroperasi.

Menurutnya, sambutan diterima amat menggalakkan dengan hampir setiap hari ada pengunjung dan berharap pengguna gelanggang mematuhi SOP supaya pengusaha sepertinya tidak mengalami kerugian yang parah.

“Selain itu, saya cadangkan kerajaan melanjutkan waktu operasi sehingga 2 pagi seperti sebelumnya kerana rata-rata ramai pemain futsal pada waktu tengah malam,” katanya yang membuka gelanggang setiap hari mulai 10 pagi hingga 10 malam.

Pada 15 September Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan terbuka serta tertutup kepada individu lengkap vaksin dengan pematuhan SOP penuh.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri belanja RM10.33 juta bina gelanggang futsal sejak 2008

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM10.33 juta bagi pembinaan gelanggang futsal rakyat sejak 2008 hingga 2013.

Exco Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi, berkata 98 projek dibina melalui peruntukan infrastuktur sukan daripada jumlah perbelanjaan berkenaan.

Katanya, bagi baik pulih kemudahan sukan yang lain membabitkan diperuntukkan RM800,000 setahun.

yunus hairi soal jawab DUN 01“Walaupun peruntukan itu tidak besar untuk menaik taraf gelanggang atau kemudahan sukan yang lain, namun kita melaksanakannya mengikut keperluan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menaik taraf kemudahan yang rosak itu mengikut kemampuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan daerah yang kurang berkemampuan,” katanya yang menjawab soalan Amiruddin Shari (PKR- Batu Caves), di Sidang Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Yunus berkata, pihaknya masih mengumpul data semua gelanggang dan stadium untuk dinaik taraf jika perlu.

“Kita akan memberikan keutamaan kepada kemudahan yang kerap digunakan contohnya penggunaan stadium yang lebih besar,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

RM150,000 Untuk Gelanggang Sukan Di Beranang

BERANANG 02 JUN : Penduduk khususnya kalangan remaja di mukim Beranang kini berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sukan selepas gelanggang sukan yang bernilai kira-kira RM150,000 siap sepenuhnya, baru-baru ini.

Kemudahan sukan itu termasuk gelanggang futsal, sepak takraw dan badminton dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Kampung Sesapan Kelubi, Alias Yaakob berkata pembinaan kemudahan itu memberi peluang kepada semua generasi menggunakan gelanggang terbabit.

Katanya, kini gelanggang terbabit menjadi tumpuan enam buah kampung lain di kawasan berhampiran.

“Sebelum ini, golongan remaja dan belia mengeluh kerana terpaksa keluar jauh ke bandar untuk menggunakan kemudahan itu malah kos sewaannya juga mahal,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata gelanggang futsal itu dikenakan bayaran sebanyak RM10 bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak.

“Gelanggang futsal itu dibuka selepas waktu maghrib bagi golongan belia dan petang bagi kanak-kanak,” katanya.

Majlis perasmian gelanggang itu disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas Program Penerangan Geran Selangorku dan Program Khas Mesra Rakyat, di Kampung Sesapan Kelubi.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail; Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari serta MP Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat.

Dua pasukan dari pejabat Menteri Besar dan Majlis Perbandaran Kajang bersaing dalam acara futsal bagi menandakan kemudahan dibuka secara rasmi.

Sebagai simbolik perasmian, Abdul Khalid dan Exco yang hadir menendang bola di gelanggang itu.

Kira-kira 1,000 penduduk hadir ke program terbabit.

Di program itu, Abdul Khalid turut menyumbangkan RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Toh Fah dan Sekolah Rendah Agama Kafa Integrasi Tasik Semenyih.

Beliau turut menyampaikan sebanyak RM1,000 setiap seorang kepada sembilan pelajar sebagai hadiah anak masuk universiti.