Categories
SELANGOR

DAP: PEMANDU Gagal Tingkat Urus Tadbir Korporat

SHAH ALAM 02 OGOS : DAP hari ini mempertikaikan penubuhan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri yang hanya dilihat merugikan wang rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata berjuta-juta wang rakyat dibazirkan dengan penubuhan itu kerana Kerajaan Pusat mengabaikan dasar kecekapan unit itu dalam meningkatkan urus tadbir korporat.

Katanya, hal itu dapat dilihat dalam kes kontrak untuk projek sambungan LRT Ampang dianugerahkan kepada syarikat kerjasama George Kent-Lion Pasific Venture (JV).

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat mencampuri urusan PEMANDU dan memihak ke atas kontraktor yang dipilihnya berdasarkan ‘suka’.

“Perkara itu jelas membuktikan usaha Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Idris Jala dalam melaksanakan dasar yang digubal oleh PEMANDU hanya sia-sia.

“Peranan PEMANDU dalam menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan program transformasi kerajaan (GTP) dan program transformasi ekonomi (ETP) juga gagal untuk melaksanakan pembaharuan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, tindakan Najib mengabaikan GTP dengan menganugerahkan kontrak terus kepada vendor pilihan beliau sendiri tanpa mengambil kira ‘tender terbuka’.

“Ini tidak selaras dengan tujuan penubuhan PEMANDU yang mahu mengurangkan ketirisan dana yang diperuntukkan bagi pembangunan negara dan perbelanjaan operasi serta memastikan ketelusan dalam pemberian kontrak,” katanya.

Terdahulu, Pua mendedahkan George Kent hanyalah sebuah syarikat perpaipan yang tidak mempunyai kemahiran khusus berhubung pembinaan laluan LRT.

Lebih memburukkan keadaan katanya, syarikat itu hanya memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM19.3 bilion dengan perolehan RM152 juta sehingga 31 Januari tahun ini.

Kelmarin, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengumumkan George Kent sebagai pemenang bidaan kontrak untuk projek tambahan LRT Ampang.

Projek yang bernilai RM7 bilion itu merangkumi laluan baru dari laluan Kelana Jaya dan laluan Ampang yang akan bersambung di stesen baru di Putra Heights.

Projek tambahan LRT Ampang ini akan merangkumi sepanjang 17.7 kilometer dari Stesen Sri Petaling dan akan mempunyai 11 stesen baru dengan dua stesen tambahan untuk masa hadapan

Sebelum ini, pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli berulang kali mendakwa Najib campurtangan dalam proses bidaan projek ini untuk memberinya kepada George Kent yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beliau.

Malah dedah Rafizi, Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) sebelum ini memilih syarikat Balfour-Beatty, namun Najib memilih George Kent JV untuk pelaksanaan projek itu.