Categories
SELANGOR

Bicara buku ‘Di Atas Padang Sejarah’ karya Pak Samad esok

samad-padang-sejarah

SHAH ALAM, 13 SEPT: Orang ramai dijemput menghadiri Bicara Buku “Di Atas Padang Sejarah” karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said di Dewan Serbaguna Tingkat 3, Perpustakaan Raja Tun Uda di sini, esok (14 September).

Program yang dijadual bermula jam 8 pagi hingga 2 petang itu anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Anggota Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera), Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir berkata, program itu akan dikendalikan tiga panel jemputan khas dan seorang moderator.

“Panel yang terlibat ialah Rahmat Haron (penyusun antologi Di Atas Padang Sejarah), aktivis Paksi, Hasni Abas dan Fazallah Pit, bekas Ketua Editor Suara Keadilan yang kini Ketua Pengarang TV Selangor.

“Moderatornya ialah wartawan Harakah Daily, Arif Atan,” katanya.

Penyertaan masuk percuma dan orang ramai yang berminat boleh melayari laman web www.ppas.gov.my atau hubungi 03-5519 7667 untuk maklumat lanjut.