Categories
EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan yang kecil pada minggu depan disebabkan kebimbangan yang berterusan ke atas lebihan bekalan dalam negara pengeluar serta cabaran ketidaktentuan global.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low Jau Foo berkata krisis perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, ketidaktentuan di Eropah selepas Brexit dan pergerakan harga minyak akan terus memberi kesan ke atas pasaran komoditi termasuk getah.

“Pasaran juga dijangka lengang minggu depan disebabkan oleh permintaan yang lembap. Prospek pasaran niaga hadapan juga suram kerana cabaran ketidaktentuan. Semua ini memberikan petunjuk bahawa wujud kemungkinan aliran penyusutan harga,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga memberitahu Malaysia mungkin akan mengalami kadar hujan yang tertinggi dan musim banjir pada bulan depan, ini dijangka akan menganggu aktiviti menoreh.

“Harapan sekarang terletak pada hujan monsun dan aktiviti-aktiviti menoreh yang lebih terhad. Ini akan meningkatkan harga tetapi, buat masa sekarang, kebanyakan cuaca negara-negara pengeluar adalah baik,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga berkata para peneraju pasaran juga lebih suka mengambil sikap ‘tunggu-dan-lihat’ di hadapan mesyuarat perdagangan AS-China yang akan mengambil tempat, semasa sidang kemuncak G20 di Buenos Aires pada minggu depan.

Urus niaga dalam minggu ini menjadi pendek berikutan cuti Maulidur Rasul pada Selasa lepas.

Untuk minggu yang baru berakhir, harga getah diniagakan rendah.

Asas Jumaat kepada Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 6.5 sen kepada 503.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun lapan sen kepada 370 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang, bagi SMR 20 merosot sebanyak 5.5 sen kepada 505.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal jatuh enam sen kepada 371.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nasib penoreh getah diberi perhatian

JELEBU, 18 NOV: Kementerian Industri Utama sedang mengambil perhatian tentang nasib penoreh getah berdasarkan kedudukan harga getah sekarang.

Menteri berkenaan Teresa Kok berkata kementerian telah membawa perkara itu ke Kabinet untuk penelitian Jemaah Menteri.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri pada Jumaat mengenai implikasi kos sekiranya kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada paras sedia ada iaitu RM2.20 sekilogram.

“Semalam dalam mesyuarat Kabinet, saya telah memberitahu para anggota Kabinet tentang keadaan yang dialami oleh penoreh getah kita. Dan saya juga telah membentangkan kepada mereka bahawa sekiranya kerajaan memberikan apa-apa bentuk bantuan, apakah kos yang terlibat,” katanya.

Ditemui pemberita selepas melawat Pusat Mengumpul Getah (PMG) PRIMINIS Lembaga Getah Malaysia di sini hari ini, Teresa menarik perhatian bahawa paras harga (pengaktifan) kini ditetapkan pada RM2.20 sekilogram.

“Jadi, kalau harga getah jatuh di bawah RM2.20, LGM (Lembaga Getah Malaysia) akan ‘top up’ bagi mereka sehingga RM2.20. Jadi, mengikut pengiraan yang saya ada, sekiranya kesemua penoreh getah hari ini menuntut perbezaan sekiranya harga jatuh di bawah RM2.20 sekilogram itu, kerajaan kena adakan peruntukan sebanyak RM294 juta untuk dibayar kepada semua penoreh getah untuk membayar perbezaan harga getah itu.

“Jadi, ini adalah sistem Insentif Pengeluaran Getah. Ini adalah apa yang kita boleh lakukan sekarang,” kata menteri itu.

Menurutnya, jika ada pekebun kecil yang tidak berpuas hati dengan menyatakan kadar RM2.20 itu masih rendah, kementerian telah membuat pengiraan.

“Jika kita tingkatkan paras harga kepada RM2.50 (sekilogram), jadi, kerajaan perlu membayar RM657.54 juta kepada semua (yang terlibat). Ini memang satu angka yang sangat besar.

“Kita harus juga ingat kita ada pekebun kecil yang menanam tanaman lain macam sawit dan pekebun kecil yang lain juga mengalami keadaan yang susah sekarang. Jadi ini adalah kos yang perlu dibayar,” katanya.

Teresa berkata beliau telah membentangkan pengiraan itu kepada Kabinet dan Kementerian Kewangan telah menyatakan akan mengkaji perkara itu.

“Oleh kerana kita tahu keadaan persekitaran ekonomi kita sekarang ini kurang baik, jadi bagi Kementerian Kewangan saya rasa mereka perlu membuat pengiraan yang lebih teliti,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Getah kekal pada paras semasa minggu depan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan pada paras semasa minggu depan, berikutan pelabur dijangka mengekang minat belian.

Pasaran getah dijangka mengambil petunjuk daripada pergerakan harga di pasaran getah serantau dan minyak mentah, selain prestasi ringgit terhadap dolar US.

“Peniaga tidak akan memasuki pasaran berikutan menantikan hala tuju pasaran yang lebih jelas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit yang lemah berbanding dolar US akan menyokong permintaan dan mengekang penurunan harga.

Sementara itu, katanya pasaran getah serantau, yang terus lemah disebabkan penurunan harga minyak mentah, telah menyumbang kepada aliran penurunan dalam pasaran.

Harga minyak turut cenderung untuk mempengaruhi harga getah berikutan peningkatan dan penurunannya akan menentukan harga saingan getah asli — getah sintetik.

Pasaran turut mengambil perhatian mengenai amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pertumbuhan global yang perlahan dengan unjurannya bagi 2018-2019 pada 3.7 peratus.

Pasaran turut dijangka terus berhati-hati mengenai perang perdagangan AS-China, yang dijangka berlarutan, menurut penganalisis.

Bagi minggu baru berakhir, harga getah diniagakan kebanyakannya rendah.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 4.5 sen kepada 510 sen sekilogram, manakala susu getah pukal merosot 12 sen kepada 378 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi 5 petang bagi SMR 20 berkurangan lima sen kepada 511 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun 15.5 sen kepada 377.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

IPG akan diaktifkan bagi Oktober

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan diaktifkan bagi Oktober 2018 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan bayaran untuk cuplump.

Lembaga Getah Malaysia dalam kenyataan berkata, harga ditetapkan ialah 20 sen sekilogram (Semenanjung), 50 sen sekilogram (Sabah) dan 40 sen sekilogram (Sarawak).

IPG diaktifkan pada Oktober ekoran harga purata peringkat ladang bagi cuplump bulan terbabit adalah RM2 sekilogram bagi kawasan Semenanjung, RM1.70 sekilogram (Sabah) dan RM1.80 sekilogram (Sarawak).

“Mulai Januari 2016, IPG akan diaktifkan jika harga purata bulanan SMR 20 FOB, pada paras RM5.50 sekilogram atau harga di peringkat ladang, pada paras RM2.20 sekilogram ke bawah.

“Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan kepada pengeluaran Oktober 2018 mulai 1 hingga 30 Nov, 2018,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Pasaran getah dijangka kekal lemah minggu depan

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Pasaran getah Malaysia dijangka kekal lemah minggu depan memandangkan kebimbangan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China terus mempengaruhi pertimbangan peserta pasaran.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Denis Low Jau Foo berkata ,sentimen pasaran tidak begitu baik dalam kalangan pembeli asing, terutama dari China.

“Ketidaktentuan ekoran perang perdagangan itu telah menjejaskan sentimen belian dari China, yang akan menjadikan harga getah diniagakan rendah bagi minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pasaran getah tempatan juga mungkin menjejaki pergerakan harga di pasaran getah serantau, harga minyak mentah serta prestasi ringgit berbanding dolar AS.

Turun naik harga penanda aras minyak mentah akan memberi kesan ketara ke atas harga getah.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah Malaysia diniagakan bercampur-campur, menyusuli prestasi pasaran serantau.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik tiga sen kepada 544.5 sen sekilogram,manakala susu getah pukal turun sembilan sen kepada 395.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 susut lima sen kepada 540.5 sen sekilogram dan susu getah pukal merosot 9.5 sen kepada 395.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

Pasaran getah diniagakan lebih tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pasaran Getah Malaysia dijangka diniagakan lebih tinggi pada minggu hadapan selaras dengan jangkaan prestasi yang lebih baik di pasaran hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Harga komoditi itu turut diramal akan dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak mentah dan prestasi ringgit, yang dijangka akan terus melemah, katanya.

“Nilai ringgit yang lemah berbanding dolar US mungkin akan menyokong permintaan terhadap komoditi itu dan musim hujan sekarang ini, diharap dapat membantu menyokong harga getah,” katanya kepada Bernama.

Untuk minggu yang baru sahaja berakhir, harga getah kebanyakannya didagangkan rendah, berikutan kesan daripada faktor-faktor luaran seperti prestasi pasaran serantau, pergerakan harga minyak mentah dan ringgit.

Semalam, Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa stok getah asli Malaysia telah meningkat sebanyak 0.02 peratus kepada 185,670 tan pada Ogos 2018 berbanding dengan 185,640 tan pada akhir Julai.

Ia juga berkata pengeluaran getah asli bertambah 11.4 peratus pada bulan di bawah kajian kepada 62,862 tan berbanding 56,454 tan yang direkodkan semasa Julai. Pengeluaran dari tahun ke tahun menokok 2.9 peratus.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 merosot sebanyak 1.5 sen kepada 545 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun satu sen kepada 403.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 naik tiga sen kepada 550 sen sekilogram, manakala lateks pukal bertambah sebanyak satu sen kepada 402.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Pasaran getah dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati minggu depan, dipengaruhi konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan, kata penganalisis.

Beliau berkata, bagaimanapun permintaan tinggi terhadap komoditi tersebut mungkin memberi sedikit sokongan kepada pasaran.

Faktor luaran, termasuk jangkaan kelembapan perdagangan global, akan memberi kesan ke atas komoditi itu, katanya.

Beliau berkata, selain kemelut perdagangan AS-China, kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS tidak mempengaruhi harga getah secara positif.

Sementara itu, Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) memaklumkan pengeluaran getah asli dunia meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada 8.510 juta tan pada lapan bulan pertama 2018.

Penggunaan dunia meningkat 5.5 peratus kepada 9.342 juta tan sekali gus menyebabkan kekurangan sebanyak 832,000 tan.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, pasaran getah Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur hingga rendah, dengan harga tengah hari gred tayar SMR 20 Lembaga Getah Malaysia susut satu sen kepada 545 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun 11 sen kepada 400.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 naik 3.5 sen kepada 549 sen sekilogram, manakala susu getah pukal susut 11 sen kepada 399.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Pasaran getah asli Malaysia dijangka menyaksikan dagangan kecil minggu depan berikutan faktor luaran termasuk ketidaktentuan membabitkan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan Beijing yang berterusan, kata seorang pakar industri itu.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low Jau Foo berkata aktiviti belian dan jualan itu berkemungkinan kekal pada paras semasa yang mendatar tanpa mencatat pengurangan mahu pun meningkat.

“Harganya mungkin meningkat atau susut sedikit dengan perbezaannya sekitar beberapa sen yang bagaimanapun, disifatkan sebagai biasa dan stabil.

“Perkembangan itu disebabkan para pedagang masih kurang jelas bagaimana tindakan China mengenakan tarif ke atas pelbagai produk getah sintetik dan tayar keluaran AS dapat memberi kesan kepada penggiat pasaran lain, termasuk di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, pasaran hadapan getah serantau yang lebih kukuh serta kenaikan harga minyak akan dapat menampung sebarang kejatuhan harga dalam pasaran getah asli tempatan.

Bagi minggu dagangan singkat akibat cuti umum pada Isnin, pasaran tempatan kebanyakannya menyaksikan penurunan, dijejaskan oleh sentimen lebih lemah dalam pasaran getah serantau dan perkembangan membabitkan pertikaian dagangan antara AS-China.

Pada asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia adalah berampur-campur dengan harga tengah hari bagi gred tayar SMR 20 tidak berubah pada 546.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 3.5 sen kepada 411.50 sen sekilogram.

Harga penutup pada 5 petang untuk SMR 20 menokok 0.5 sen kepada 545.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun lima sen kepada 411.00 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Keluaran Getah Asli meningkat 11.1% pada Ogos

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2017 meningkat 11.1 peratus kepada 61,252 tan berbanding 55,121 tan yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan media melaporkan sektor pekebun kecil merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran NR, iaitu sebanyak 93.0 peratus, katanya dalam Perangkaan Getah Bulanan Malaysia, Ogos 2017 yang dikeluarkan.

Purata harga bulanan lateks pekat pada 543.52 sen sekilogram, meningkat sebanyak 25.95 sen sekilogram (5.0 peratus) berbanding Julai2017.

Manakala Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 9.01 sen sekilogram kepada 644.25 sen sekilogram.

DoS berkata eksport NR meningkat 17.1 peratus kepada 55,563 tan pada Ogos berbanding bulan sebelumnya.

Lima destinasi utama eksport NR ialah China (44.7 peratus), Jerman (15.8 peratus), Iran (5.7 peratus), Amerika Syarikat (4.7 peratus) dan Finland (3.8 peratus).

=EZY=

Categories
EKONOMI

Pasaran getah bergerak seiring pasaran niaga hadapan

KUALA LUMPUR 27 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka bergerak seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau minggu depan, kata peniaga.

Ia termasuk Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM), Bursa Niaga Hadapan Shanghai (SHFE) dan niaga hadapan getah di Bursa Singapura (SGX).

Peniaga berkata, prestasi pasaran getah tempatan juga bergantung kepada pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak mentah.

“Pada 25 Mei, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan pengurangan pengeluaran minyak selama sembilan bulan sehingga Mac 2018.

“Bagaimanapun, pasaran dipengaruhi pelabur yang mahu pengurangan itu dilakukan secara lebih ketara,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, dagangan kebanyakannya tinggi, menjejaki harga niaga hadapan getah lebih kukuh di pasaran serantau dan pergerakan ringgit yang meningkat berbanding dolar AS susulan kestabilan harga minyak mentah.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 turun 7.5 sen kepada 657 sen sekilogram, manakala susu getah pukal susut 10.5 sen kepada 631.50 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 merosot 23.5 sen kepada 632 sen sekilogram, manakala susu getah pukal kurang 8.5 sen kepada 637 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Harga getah diunjur turun minggu depan

KUALA LUMPUR 6 MEI: Pasaran getah Malaysia diunjur kekal lengang minggu depan setelah kurang pemangkin, kata seorang peniaga.

Beliau berkata pergerakan pasaran tempatan akan bergantung kepada prestasi kontrak hadapan getah di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) dan Bursa Niaga Hadapan Shanghai (SHFE), serta pergerakan ringgit dan harga minyak.

“Bagi minggu yang baru berakhir yang singkat, pasaran diniagakan rendah dan bercampur-campur, mengikuti perkembangan faktor-faktor luar terutama TOCOM, SHFE dan prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya, lapor BERNAMA.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti umum Hari Pekerja. Menurut laporan, harga minyak jatuh ke paras rendah dalam enam bulan setelah terdapat kebimbangan mengenai kemelut minyak dunia.

Bagaimanapun, gangguan bekalan berikutan hujan lebat di Selatan Thailand dan di beberapa kawasan penanaman getah di Malaysia boleh memberi sokongan kepada pasaran minggu depan.

Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 susut 46 sen kepada 634.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 18 sen kepada 616 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi SMR 20 turun 70 sen kepada 625 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 13 sen kepada 613 sen sekilogram.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Pasal serangan Tomahawk, harga getah dijangka meningkat

KUALA LUMPUR 8 APRIL: Pasaran getah Malaysia dijangka meningkat pada minggu depan berikutan unjuran peningkatan harga minyak mentah global, kata peniaga.

Ia susulan laporan tindakan Amerika Syarikat melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan udara Syria pada Jumaat yang melonjakkan harga minyak mencecah paras tertinggi dalam masa hampir sebulan pada hari sama.

Seorang peniaga menyifatkan kenaikan harga bahan api itu akan menjadikan getah sintetik lebih mahal, sekaligus meningkatkan harga getah asli.

Selain itu, laporan mengenai rancangan Thailand menubuhkan sebuah pusat ujian tayar dan kenderaan bertaraf antarabangsa yang pertama di negara itu pada tahun depan juga dijangka turut merangsang permintaan terhadap komoditi itu.

“Laporan itu menyatakan pusat bernilai US$107.6 juta yang bakal beroperasi sepenuhnya pada 2019, akan dimanfaatkan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.

“Ini akan menjadikan negara itu sebagai hab serantau untuk produk automotif generasi baharu,” katanya lapor BERNAMA.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran didagangkan secara bercampur-campur yang kebanyakannya dipacu oleh penyusutan harga minyak mentah serta stok simpanan getah di pelabuhan-pelabuhan Jepun.

Ia juga seiring dengan prestasi pasaran hadapan getah di Bursa Komoditi Tokyo.

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 31.5 sen kepada 767 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 7.5 sen kepada 664 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 menokok tiga sen kepada 760 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 11 sen kepada 662.5 sen sekilogram.

=EZY=