Categories
AGENDA EKONOMI

Insentif pengeluaran getah bagi Mei 2020 diaktifkan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi Mei 2020 diaktifkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pekebun kecil membuat tuntutan pembayaran berdasarkan pengeluaran pada Mei.

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kenyataan hari ini, pengaktifan itu berikutan harga purata getah peringkat ladang pada Mei 2020 bagi getah sekerap berada pada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, RM1.35 sekilogram di Sabah dan RM1.50 sekilogram di Sarawak.

“LGM juga memaklumkan IPG teraktif bagi Mei 2020 dengan bayaran di Semenanjung pada RM0.85 sekilogram, RM1.15 sekilogram di Sabah serta RM1.00 sekilogram di Sarawak,” katanya.

Sejak Januari 2019, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan getah SMR 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada pada paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang mencecah RM2.50 sekilogram ke bawah.

“Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan pengeluaran Mei 2020 mulai 1 Jun hingga 30 Jun, 2020,” menurut LGM.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lepasan cemerlang SPM digalak mohon IPG

PUTRAJAYA, 30 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang untuk memohon Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan ( PPISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, sebanyak 6,000 tempat ditawarkan di bawah program itu namun kebanyakan pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional sedangkan negara juga memerlukan guru-guru yang cemerlang.

“Semuanya ingat nak masuk matrikulasi, akhirnya IPG mengalami kemerosotan. Jadi kita menggalakkan pelajar cemerlang yang berminat memohon menjadi guru” kata pada majlis berbuka puasa KPM bersama media, di sini semlam.

Selain itu, Maszlee berkata KPM juga menggalakkan permohonan untuk menjadi guru Bahasa Mandarin dan Tamil yang diperlukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

“Kita menghadapi kurangnya permohonan untuk guru mengajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata KPM akan memberi tumpuan kepada usaha mendidik masyarakat supaya melihat kepada kursus yang menjanjikan peluang kerjaya pada masa depan seperti bioteknologi, teknologi nano, analisis data dan robotik.

Mengakui KPM belum berjaya mendidik masyarakat untuk melihat masa depan yang lebih mencabar, beliau berkata pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional seperti perubatan, farmasi, pergigian, guaman dan akauntan.

“Ramai yang masih terikat dengan kursus tradisional dan bila tak dapat, masing-masing marah walhal banyak kursus yang menjanjikan peluang kerja lebih baik pada masa depan tidak ada orang ambil,” katanya.

Katanya, pada tahun lepas terdapat 5,000 tempat di universiti awam (UA) bagi kursus-kursus sains berbeza yang tidak mendapat sambutan.

Maszlee berkata kerajaan tidak mahu wujud ketidak sepadanan antara kursus yang diambil pelajar di institusi pengajian tinggi dengan peluang kerjaya yang ditawarkan pada masa akan datang.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

IPG akan diaktifkan bagi Oktober

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan diaktifkan bagi Oktober 2018 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan bayaran untuk cuplump.

Lembaga Getah Malaysia dalam kenyataan berkata, harga ditetapkan ialah 20 sen sekilogram (Semenanjung), 50 sen sekilogram (Sabah) dan 40 sen sekilogram (Sarawak).

IPG diaktifkan pada Oktober ekoran harga purata peringkat ladang bagi cuplump bulan terbabit adalah RM2 sekilogram bagi kawasan Semenanjung, RM1.70 sekilogram (Sabah) dan RM1.80 sekilogram (Sarawak).

“Mulai Januari 2016, IPG akan diaktifkan jika harga purata bulanan SMR 20 FOB, pada paras RM5.50 sekilogram atau harga di peringkat ladang, pada paras RM2.20 sekilogram ke bawah.

“Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan kepada pengeluaran Oktober 2018 mulai 1 hingga 30 Nov, 2018,” katanya.

*Sumber: BERNAMA