Categories
SELANGOR

Keluarga Pendapatan Bawah RM 3,000 Boleh Terima Skim MES

rodziah bubur lambuk dengkil 01

DENGKIL, 25 JULAI: Keluarga yang berpendapatan RM 3,000 dan bawah akan mula menikmati skim-skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti bantuan yuran taska, tadika dan hadiah anak masuk universiti.

Dasar memperluaskan kelayakan menerima bantuan MES ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari kemakmuran ekonomi Selangor, kata Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.

Sebelum ini, kebanyakkan program MES hanya untuk keluarga yang pendapatan isi rumahnya RM 1,500 dan ke bawah.

“Sekarang kita sedang melihat untuk membantu golongan menengah rendah pula. Kita naikkan sedikit tumpuan kita kepada mereka yang berpendapatan RM 3,000 ke bawah pula.

“Maknanya, kita tengok satu lapisan masyarakat lagi bagaimana kita nak bantu supaya akhirnya kita tengok pendapatan rakyat Selangor melebihi RM 1,500.

“Sekarang kita sedang kaji semula beberapa polisi, contohnya macam hadiah IPTA, kalau dahulu hadiah IPTA kita bagi kepada yang berpendapatan RM 1,500 ke bawah, sekarang kita meletakkan supaya RM 3,000 ke bawah juga layak dapat.

?Juga dengan skim Si KEMBAR, TUNAS juga kita akan berikan sasaran RM 2,500 ke bawah, ada yang RM 3,000 ke bawah lihat kepada keperluan keluarga.”

Demikian kata Rodziah ketika ditemui dalam Program Jejak Amal Ramadhan Bersama Exco Kebajikan Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang di sini petang semalam.

Selepas berjaya mentadbir Selangor selepas Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Kerajaan PR Selangor mula memperkenalkan pelbagai skim di bawah agenda MES yang kini mempunyai sebanyak 16 skim.

Antara skim bantuan yang diperkenalkan  termasuklah Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Si KEMBAR), Bantuan Tadika Selangor (TUNAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Air Percuma dan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Sementara itu, dalam program semalam, sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada pengunjung Bazar Ramadhan Kampung Bukit Changgang.