Categories
NASIONAL SELANGOR

Had Kelayakan MES Kepada Pendapatan RM 3,000 Ke bawah Usaha Proaktif Bantu Rakyat

MB jom shopping 31 jul 01

SHAH ALAM 31 JULAI : Keputusan Kerajaan Selangor memperluaskan skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada keluarga berpendapatan RM 3,000 dan bawah dapat membantu mengurangkan beban golongan sederhana rendah yang semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurut pegawai perundangan swasta, Haiza Hamid, 34, usaha itu merupakan tindakan yang bijak Kerajaan Selangor untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Ini adalah usaha yang bagus walaupun angka RM 3,000 itu nampak besar, tetapi dengan keadaan kos hidup yang semakin meningkat, bantuan itu tentunya akan dapat membantu meringankan beban rakyat.

Haiza MES 3000 01

“Sekurang-kurangnya kita akan ada duit tambahan untuk perkara-perkara kecemasan seperti anak sakit di tengah malam untuk pergi ke klinik dan hal-hal yang mendesak diluar jangkaan,” kata beliau.

Bagi seorang lagi pegawai eksekutif Amir Hamzah Amha, 35, usaha itu satu tindakan proaktif yang perlu dipuji dan merupakan satu usaha perlaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat.

“Umum sedia maklum kos kehidupan kini bukan sahaja membebankan mereka yang miskin, malah golongan pertengahan juga turut merasai keperitan tersebut.

Shahril MES 3000 02

“Langkah ini memastikan bahawa kekayaan negeri turut dirasai oleh lebih ramai Rakyat. Tahniah kepada PR Selangor dan teruskan agenda kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” kata beliau dalam satu tinjauan wartawan TVSelangor/Selangorkini.

Sebelum ini, Exco Kebajikan, Rodziah Ismail berkata, keluarga yang berpendapatan RM3,000 dan bawah akan mula menikmati skim-skim MES seperti bantuan yuran taska, tadika dan hadiah anak masuk universiti.

Dasar memperluaskan kelayakan menerima bantuan MES ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari kemakmuran ekonomi Selangor.

Pada ketika ini kebanyakkan program MES hanya untuk keluarga yang  pendapatan isi rumahnya RM 1,500 dan ke bawah.

Peniaga Shahril Mutel, 30, berkata kenaikan kos barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat membuatkan gaji RM 3,000 susut nilainya berbanding dahulu.

Categories
SELANGOR

Keluarga Pendapatan Bawah RM 3,000 Boleh Terima Skim MES

rodziah bubur lambuk dengkil 01

DENGKIL, 25 JULAI: Keluarga yang berpendapatan RM 3,000 dan bawah akan mula menikmati skim-skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti bantuan yuran taska, tadika dan hadiah anak masuk universiti.

Dasar memperluaskan kelayakan menerima bantuan MES ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari kemakmuran ekonomi Selangor, kata Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.

Sebelum ini, kebanyakkan program MES hanya untuk keluarga yang pendapatan isi rumahnya RM 1,500 dan ke bawah.

“Sekarang kita sedang melihat untuk membantu golongan menengah rendah pula. Kita naikkan sedikit tumpuan kita kepada mereka yang berpendapatan RM 3,000 ke bawah pula.

“Maknanya, kita tengok satu lapisan masyarakat lagi bagaimana kita nak bantu supaya akhirnya kita tengok pendapatan rakyat Selangor melebihi RM 1,500.

“Sekarang kita sedang kaji semula beberapa polisi, contohnya macam hadiah IPTA, kalau dahulu hadiah IPTA kita bagi kepada yang berpendapatan RM 1,500 ke bawah, sekarang kita meletakkan supaya RM 3,000 ke bawah juga layak dapat.

?Juga dengan skim Si KEMBAR, TUNAS juga kita akan berikan sasaran RM 2,500 ke bawah, ada yang RM 3,000 ke bawah lihat kepada keperluan keluarga.”

Demikian kata Rodziah ketika ditemui dalam Program Jejak Amal Ramadhan Bersama Exco Kebajikan Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang di sini petang semalam.

Selepas berjaya mentadbir Selangor selepas Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Kerajaan PR Selangor mula memperkenalkan pelbagai skim di bawah agenda MES yang kini mempunyai sebanyak 16 skim.

Antara skim bantuan yang diperkenalkan  termasuklah Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Si KEMBAR), Bantuan Tadika Selangor (TUNAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Air Percuma dan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Sementara itu, dalam program semalam, sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada pengunjung Bazar Ramadhan Kampung Bukit Changgang.