Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tarikh akhir daftar Skim Air Darul Ehsan 31 Disember

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat melaksanakan kempen dan hebahan sebagai pecutan terakhir buat rakyat Selangor mendaftar Skim Air Darul Ehsan sebelum tarikh tutup pada 31 Disember ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Abdul Halem Mat Som berkata, pelbagai medium komunikasi dimanfaatkan termasuk menerusi media cetak, elektronik,  berita atas talian dan media sosial seperti Facebook, Instagram serta Twitter bagi menyeru rakyat negeri ini mengambil peluang mendaftar air percuma.

“Kerajaan Negeri bersama-sama Air Selangor dan Pusat Khidmat Masyarakat juga membuat hebahan dan promosi yang meluas berhubung skim ini.

“Ia juga dilakukan melalui sesi jelajah penerangan kepada rakyat Selangor melalui wakil komuniti di setiap daerah,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Abdul Halem Mat Som ketika diwawancara di pejabat beliau di Jalan Pantai Baharu pada 17 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Abdul Halem berkata, sebanyak 1,476 program jelajah penerangan telah diadakan di sembilan daerah setakat ini.

Katanya, ia membabitkan pecahan 26 program di pejabat Ahli Parlimen, 69 di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri, 37 di pejabat penghulu/mukim dan 190 di kampung-kampung.

“Manakala, 487 program di badan pengurusan bersama dan Pesuruhjaya Bangunan, 51 di zon Ahli Majlis, 55 di agensi kerajaan, 512 di pusat ibadat dan 49 bagi kategori lain-lain lokasi.

“Kami di Air Selangor serius dalam membuat hebahan dan promosi bagi pelaksanaan skim ini. Kami mahu rakyat Selangor mendapat manfaat, jika tidak rugilah rakyat negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut menyediakan maklumat skim itu melalui bahan promosi bercetak seperti poster dan soalan lazim kepada rakyat melalui 10 kaunter perkhidmatan pejabat wilayah Air Selangor dan Pejabat Khidmat Masyarakat.

Setakat 15 Disember lalu, hanya 83,382 permohonan Skim Air Darul Ehsan diterima Air Selangor.

Daripada jumlah itu, hanya 46,941 pemohon mempunyai maklumat lengkap manakala 27,415 permohonan lagi tidak boleh diproses kerana maklumat tidak lengkap.

Manakala baki 9,026 pemohon pula sedang diproses untuk dikemas kini.

Sehubungan itu, Abdul Halem berharap, orang ramai menggunakan peluang terakhir ini untuk mendaftar dalam skim berkenaan yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

Categories
SELANGOR

Keluarga Pendapatan Bawah RM 3,000 Boleh Terima Skim MES

rodziah bubur lambuk dengkil 01

DENGKIL, 25 JULAI: Keluarga yang berpendapatan RM 3,000 dan bawah akan mula menikmati skim-skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti bantuan yuran taska, tadika dan hadiah anak masuk universiti.

Dasar memperluaskan kelayakan menerima bantuan MES ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari kemakmuran ekonomi Selangor, kata Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.

Sebelum ini, kebanyakkan program MES hanya untuk keluarga yang pendapatan isi rumahnya RM 1,500 dan ke bawah.

“Sekarang kita sedang melihat untuk membantu golongan menengah rendah pula. Kita naikkan sedikit tumpuan kita kepada mereka yang berpendapatan RM 3,000 ke bawah pula.

“Maknanya, kita tengok satu lapisan masyarakat lagi bagaimana kita nak bantu supaya akhirnya kita tengok pendapatan rakyat Selangor melebihi RM 1,500.

“Sekarang kita sedang kaji semula beberapa polisi, contohnya macam hadiah IPTA, kalau dahulu hadiah IPTA kita bagi kepada yang berpendapatan RM 1,500 ke bawah, sekarang kita meletakkan supaya RM 3,000 ke bawah juga layak dapat.

?Juga dengan skim Si KEMBAR, TUNAS juga kita akan berikan sasaran RM 2,500 ke bawah, ada yang RM 3,000 ke bawah lihat kepada keperluan keluarga.”

Demikian kata Rodziah ketika ditemui dalam Program Jejak Amal Ramadhan Bersama Exco Kebajikan Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang di sini petang semalam.

Selepas berjaya mentadbir Selangor selepas Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Kerajaan PR Selangor mula memperkenalkan pelbagai skim di bawah agenda MES yang kini mempunyai sebanyak 16 skim.

Antara skim bantuan yang diperkenalkan  termasuklah Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Si KEMBAR), Bantuan Tadika Selangor (TUNAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Air Percuma dan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Sementara itu, dalam program semalam, sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada pengunjung Bazar Ramadhan Kampung Bukit Changgang.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harapan Rakyat 2013 : Tambah program bantuan, selesai masalah infrastruktur

tunas sg pelek halimah 01

SHAH ALAM : Rata-rata rakyat Selangor berpuashati dan mendapat manfaat daripada program Kerajaan Negeri yang ditawarkan sepanjang 2012 seperti bantuan persekolahan (Kembali Ke Sekolah), Bonus Selangorku TAWAS dan Skim Air Percuma.

Di samping mengharapkan agar bantuan untuk golongan bawahan diperbanyakkan dan diteruskan tahun depan, mereka juga berharap agar Selangor boleh memperbaiki dan memberi kemudahan infrastruktur di bawah kawalannya.

Contohnya Nasaruddin Mohd Yusof, tidak pernah membayar bil air sejak Kerajaan Negeri memperkenalkan skim air 20 metre padu percuma empat tahun dahulu.

“Harapan pada 2013 pula, semoga PR kekal mentadbir Selangor dan menang di Putrajaya supaya dapat tumpu program membela nasib pekerja swasta yang berpendapatan rendah seperti saya,” ujar pegawai keselamatan, 39 tahun itu.

Beliau juga berharap agar Kerajaan Negeri memperbanyakkan lagi sekolah agama dan lebih tegas membenteras kegiatan mesin judi di seluruh Selangor.

Di samping mendapat manfaat dari skim air percuma, Sembagavalli Kaniapan, 35, turut menikmati faedah dari program ‘Kembali Ke Sekolah’ yang diwujudkan Kerajaan Negeri.

“?Kembali Ke Sekolah’ ini juga banyak membantu meringankan beban saya, lebih-lebih lagi harga barang semakin mahal dan dengan penjimatan ini saya dapat biayai keperluan lain,?katanya.

Beberapa warga emas daripada keluarga Sembagavalli merupakan peserta program Jom Shopping dan Khairat Kematian dalam Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Beliau berharap agar Kerajaan Negeri menggandakan usaha membantu golongan berpendapatan rendah pada tahun 2013 nanti.

Hamidah Salam dari Batu Tiga, Shah Alam pula mengharapkan agar Kerajaan Negeri dapat melaskanakan projek mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan yang didiami kini.

“Harap pada 2013 Kerajaan Negeri dapat beri bantuan kepada mangsa banjir dan atasi segera masalah banjir di Kebun Bunga,” kata beliau yang juga merupakan penerima bantuan persekolahan dari Kerajaan Negeri tahun ini.

Hashim Bulat, pula berharap Kerajaan Negeri melipat gandakan program penerangan bagi dasar-dasarnya supaya lebih ramai dan mengetahui dan memohon bantuan.

“Kerajaan Negeri dah buat pelbagai program bagi memastikan semua lapisan rakyat Selangor dapat bersama menikmati faedah dari hasil pendapatan Kerajaan Negeri,
“katanya.