Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pelajar B40 terima bantuan tablet, mudah belajar dalam talian

PETALING JAYA, 27 FEB: Pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerima bantuan tablet bagi kemudahan sesi pembelajaran dalam talian.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan itu diberi ekoran terdapat ibu bapa terpaksa menggadai barangan termasuk barang kemas dan motosikal semata-mata membeli gajet bagi tujuan berkaitan.

“Walaupun sesi persekolahan sudah dibuka namun ia tidak menyeluruh. Kita masih teruskan pemberian tablet dan setakat ini 15 pelajar menerimanya membabitkan peruntukan RM20,000.

“Sekiranya masih ada keluarga memerlukan, bawa penyata gaji dan kita akan pilih mereka yang benar-benar layak untuk dibantu,” kata Halimey Abu Bakar kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan baucar Jom Kembali ke Sekolah di sini semalam.

Seramai 500 pelajar menerima sumbangan berkenaan membabitkan pakaian dan sekolah serta alat tulis.

Categories
ADN SELANGOR

JPN disaran atasi isu tunggakan bil air PPR Lembah Subang 2

PETALING JAYA, 26 FEB: Jabatan Perumahan Negara (JPN) digesa menyelesaikan isu tunggakan bil air Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini demi kebaikan penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak boleh dipersalahkan berikutan sudah menyerahkan lima notis peringatan kepada jabatan itu berhubung tunggakan bernilai lebih RM100,000.

“Pemakluman telah diberikan kepada JPN yang berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun tidak tahu di mana silapnya, bil berkenaan tidak dibayar sehingga mempunyai hutang lapuk.

“Bagaimanapun difahamkan, mereka sudah membuat bayaran bil terkini tetapi tunggakan itu masih belum selesai sepenuhnya,” kata Halimey Abu Bakar kepada SelangorKini selepas program Jom Kembali ke Sekolah di sini hari ini.

Pada 24 Februari lalu, beliau menggesa JPN menyelesaikan tunggakan itu bagi membolehkan bekalan air disambung semula di PPR Lembah Subang 2 yang dikendalikannya.

Tunggakan berkenaan membabitkan meter pukal yang digunakan untuk kemudahan awam seperti surau dan dewan.

Mengulas lanjut, wakil rakyat Seri Setia memaklumkan JPN akan mengadakan pertemuan bersama Air Selangor dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah berkaitan.

“Saya berharap ADN juga dapat terlibat dalam pertemuan itu memandangkan banyak masalah perlu diselesaikan membabitkan penduduk PPR Lembah Subang 2 antaranya isu lif sudah lama dikemukakan yang perlu diselesai segera,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Duduk PPR secara haram, KPKT digesa ambil tindakan tegas

PETALING JAYA, 31 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mendiami unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 secara haram.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata kediaman kosong kembali menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab, termasuk rakyat tempatan dan warga asing yang enggan membayar sewa.

Halimey Abu Bakar memaklumkan walau tindakan sudah diambil sebelum ini, namun kejadian sama terus berleluasa berikutan aspek pemantauan longgar.

“Pentadbiran kerajaan sebelum ini melalui imigresen dan polis bersama Kerajaan Selangor mempergiat usaha menangani isu tersebut dan kes berjaya dikurangkan. Malangnya kini ada yang masuk semula dan duduk percuma,” katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Blok 1 Hairuddin Idris berkata pihaknya pernah menasihati individu berkenaan supaya meninggalkan kediaman terbabit, namun tidak diendahkan.

Jelasnya, tindakan pengusiran hanya boleh dilaksana oleh pihak pengurusan yang perlu dibuat secepat mungkin bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita sudah kenal pasti rumah yang diceroboh dan memiliki senarai nama individu berkaitan tetapi kita tiada hak untuk halau,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat mahu KPKT selesai segera isu PPR Lembah Subang 1

PETALING JAYA, 31 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa melantik segera kontraktor penyelenggaraan baharu bagi menyelesaikan isu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.

Wakil rakyat Seri Setia berkata penamatan perkhidmatan kontraktor lama pada akhir Disember lalu menimbulkan masalah pengurusan sampah pukal dan longkang tersumbat selain kerosakan infrastruktur bangunan.

Halimey Abu Bakar menjelaskan ketiadaan kontraktor syarikat Intra Harta Sdn Bhd itu juga menjejaskan kehidupan hampir 6,000 penghuni di lapan blok bangunan terbabit yang terpaksa menghidu bau busuk.

Longgokan sampah yang tidak terkawal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 31 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita menerima aduan bahawa keadaan di PPR ini agak kritikal selepas terbiar hampir sebulan berikutan tiada kontraktor yang menggantikan peranan tersebut.

“Sepatutnya hal seperti kutipan sampah pukal di bawah selenggaraan kontraktor lantikan KPKT memandangkan sampah domestik sudah diurus oleh KDEB Waste Management (KDEBWM),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Halimey berkata pihaknya akan menghantar surat kepada kementerian berkenaan untuk memohon tindakan sewajarnya.

“Kita menjangka kontraktor dilantik bulan ini tetapi masih belum apa-apa perkembangan sehingga banyak aduan dibangkitkan penduduk setiap hari.

“Saya berharap KPKT bantu selesaikan isu dan jika tiada lantikan baharu, sekurang-kurangnya lantik kontraktor sementara yang boleh menguruskan PPR setiap bulan,” katanya lagi.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Salur segera, pakej rangsangan langkah tepat bela golongan sasar

SHAH ALAM, 21 JAN: Pakej Rangsang Ekonomi Kita Selangor diumumkan Dato’ Menteri Besar semalam diharap dijalankan segera bagi membela golongan sasar.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata pengumuman Dato’ Seri Amirudin Shari diyakini suntikan terbaik untuk menjaga kebajikan semua golongan di negeri itu.

“Peruntukan RM74.877 juta bagi memastikan kebajikan rakyat Selangor terbela terutama ketika berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

“Pengagihan RM6 juta untuk ujian saringan bersasar dengan tumpuan kepada 50,000 individu berisiko tinggi adalah langkah tepat dalam usaha memerangi Covid-19,” kata Halimey Abu Bakar dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pakej disediakan Kerajaan Negeri memahami denyut nadi kesukaran rakyat ketika proklamasi darurat dengan melupuskan pinjaman 762 peminjam Yayasan Selangor.

“Penghargaan kepada petugas barisan hadapan juga tidak dilupakan dengan pelaksanaan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan dan bantuan makanan dua kali sehari kepada 9,822 petugas perubatan di hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Halimey turut menzahirkan penghargaan dengan peruntukan RM100,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjayakan program mesra rakyat.

“Walaupun Selangor berhadapan dengan situasi angka melonjak kes baharu Covid-19 tetapi kita tidak lupa untuk bantu mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Pengumuman ini sekali gus menyedarkan kita untuk bertindak sebagai satu kesatuan warga tanpa mengira aspirasi politik dan bendera ideologi demi kesejahteraan serta kebajikan rakyat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat Seri Setia tekad atasi isu miskin bandar

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berusaha mengatasi masalah kemiskinan bandar di beberapa kawasan di Petaling Jaya.

Justeru, beliau menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan mereka terutama di Desa Ria, Desa Mentari Kampung Lindungan, Lembah Subang dan Ladang Glenmarie.

Beliau berkata golongan berpendapatan bawah RM2,000 terpaksa membuat kerja sampingan termasuk berniaga dalam talian, berjualan tepi jalan dan mengambil upah menjaga anak-anak jiran.

“Jadi saya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berikhtiar mencari jalan untuk mendapat lesen niaga, kursus perniagaan dan pinjaman melalui skim mikrokredit Hijrah Selangor dan Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan,” katanya kepada SelangorKini.

Sebenarnya, kerja menyalur bantuan kepada penduduk miskin bandar dipikulnya sejak menjadi ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) lagi. Kedudukannya sebagai wakil rakyat melicinkan lagi usaha itu.

Halimey percaya masalah pembangunan tidak seimbang antara punca khususnya di Kelana Jaya dan Ara Damansara. Sebab itu, katanya, di celah-celah kawasan gah terselit perumahan kos rendah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang serba-serbi terpinggir.

Selain itu, beliau menubuhkan perpustakaan komuniti dan medan selera di Kampung Lindungan untuk kemudahan penduduk.

Beliau juga tidak lupa isu kekurangan tapak letak kenderaan di beberapa perumahan yang menjadi punca orang ramai disaman polis dan MBPJ.

“Saya sudah merayu MBPJ dan polis supaya jangan kerap saman mereka yang mendiami kawasan padat seperti Desa Mentari. Tambahan pula tempat letak kereta mereka tidak tersusun.

“Pada masa sama, saya juga berharap penduduk memainkan peranan dengan tidak meletakkan kenderaan sesuka hati atau menggunakan petak persendirian milik orang lain,” katanya.

Halimey turut menyeru PBT supaya mengatasi masalah kerosakan kelengkapan prasarana termasuk jalan berlubang dan lampu jalan.

Tunai janji

Beliau juga memuji agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang cekap menangani masalah pembuangan sampah haram di lereng sungai Taman TTDI Jaya dan Taman Mesra.

Halimey Abu Bakar menyantuni penduduk di sekitar DUN Seri Setia baru-baru ini. Foto Facebook Halimey Abu Bakar

“Cuma saya harap tindakan perlu dikenakan kepada pemaju yang membiarkan tanah-tanah tidak dibangunkan hingga menyebabkan ia tidak terurus dan kotor,” katanya.

Halimey turut menunaikan kebanyakan janji manifesto pilihan raya kecil pada 8 September 2018 antaranya projek menaik taraf tadika dan pusat prasekolah yang berusia lebih 15 tahun di Seri Setia.

Beliau juga memandang tinggi usaha Dato’Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu menjadikan Selangor negeri maju. Beliau berharap penduduk Seri Setia mengambil kesempatan itu supaya tidak ketinggalan.

“Kita tahu teknologi maklumat bidang yang paling berkesan terutama untuk anak-anak muda atau remaja, jadi untuk menjadi negeri maju, perkara ini mesti ditekankan Kerajaan Negeri,” katanya.

 
Bantuan lain:

– Membaik pulih tangki air lama di Lembah Subang
– Membina gerai dan kios di Petaling Jaya Selatan
– Membantu usahawan kecil mendapatkan dana usahawan mikro
– Sumbangan kit pengurusan jenazah ke semua surau

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Patuh arahan pakai pelitup muka, elak bayar denda tinggi

SHAH ALAM, 3 OGOS: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dinasihatkan mematuhi arahan wajib memakai pelitup muka di tempat awam bagi mengelak denda yang tidak setimpal dengan harga peralatan itu.

Ahli Dewan Negerinya Halimey Abu Bakar berkata masyarakat perlu akur dengan arahan pemakaian pelitup muka yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha menyekat penularan Covid-19.

“Saya menyeru kepada semua penduduk supaya patuh peraturan ini kerana nilai denda cukup tinggi dan tidak semua (penduduk) mampu bayar sekiranya dikenakan tindakan tersebut,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bermula 1 Ogos, pemakaian pelitup muka diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Halimey berkata hampir 50 peratus pemantauan dijalankan di kawasan pentadbirannya bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap arahan pemakaian pelitup muka sehingga semalam.

“Setakat minggu lepas, kita sudah agihkan pelitup muka kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk cecair pembasmi kuman dan pengimbas suhu. Kita juga akan cuba bantu beri pelitup muka kepada masyarakat setempat,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Selesai sumbang 90 peratus, Seri Setia terus hulur bantuan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia berjaya mengagihkan sumbangan pada tahap 90 peratus kepada penduduk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ahli dewan negerinya.

Halimey Abu Bakar berkata pihaknya kini sedang dalam fasa merangka sumbangan seterusnya dan bercadang mahu memberi lampin pakai buang terutama kepada warga emas dan bayi.

“Kita bercadang fokus kepada dua kumpulan ini namun barangan asas lain masih diberi perhatian terutamanya beras sebab itu antara keperluan asas.

“Cuma, saya merayu kepada penduduk yang sudah terima beras atau bantuan asas lain untuk beri peluang kepada orang lain. Ini kerana selepas disiasat kita dapati terdapat beberapa rumah ada lebih dua kampit beras tetapi masih meminta bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Halimey berkata penduduk diharap bersikap jujur dan tidak tamak sebaliknya memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, DUN Seri Setia turut menerima 132,000 keping penutup mulut dan hidung dari kerajaan yang bakal diedarkan menerusi ahli majlis kepada seluruh pengundi di kawasan tersebut.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Buat saringan urin sebelum ambil lesen

SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan disaran melakukan saringan ujian air kencing ke atas calon yang mahu mengambil lesen kenderaan, kata ahli dewan negeri Seri Setia.

Halimey Abu Bakar berkata ia bagi mengelakkan mereka dibawah pengaruh alkohol atau dadah layak mendapat lesen.

“Saya cadangkan untuk peringkat pertama lakukan ujian air kencing, jika positif, elak beri golongan ini ambil lesen kenderaan kerana ia mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai Kementerian Pengangkutan yang mengenakan hukuman lebih berat kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, Halimey berkata beliau setuju dan optimis ia dilaksanakan segera.

“Saya setuju hukuman lebih berat dikenakan kerana undang-undang sedia ada ini tidak setimpal. Setidak-tidaknya apabila hukuman ini dilaksana akan jadi pengajaran kepada semua orang,” katanya.

Kabinet setuju meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya agar hukuman lebih berat dan setimpal dikenakan kepada pesalah.

Categories
ADN SELANGOR

Setahun Halimey, rai pengamal media

PETALING JAYA, 10 SEPT: Kira-kira 50 pengamal media memeriahkan Pertandingan Tenpin Bowling Mesra Media anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Wangsa Bowl, One Utama, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, pertandingan itu bagi meraikan pengamal media sempena setahun kepimpinannya di DUN berkenaan.

Katanya, program itu juga sebagai usaha mengukuhkan silaturrahim yang sedia terjalin antaranya bersama rakan media.

“Kita berbesar hati meraikannya dan merapatkan ukhuwah bersama pengamal media yang banyak membantu memberikan liputan terbaik sepanjang kerjaya saya bermula dari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia sehingga kini.

“Semoga hubungan ini lebih erat demi manfaat rakyat keseluruhannya,” katanya.

Pada masa sama, Halimey berharap program sedemikian akan terus diadakan dan berterima kasih kepada seluruh warga kerja media yang sentiasa menyokong kerjayanya selaku ADN di kawasan itu.

Pertandingan itu disertai agensi media antaranya TV3, Utusan Malaysia, TV AlHijrah, Sinar Harian, Selangor FM, Malaysia Gazette, Malaysia News TV, TV Selangor dan SelangorKini.

Pada PRK tahun lalu, Halimey memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 4,027 undi menewaskan calon dari PAS, Dr Halimah Ali.

Categories
SELANGOR

Jangan jadikan kematian bahan kempen murahan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Datuk Mohamed Satim Diman diingatkan supaya berkempen menggunakan akal waras dengan tidak menjadikan kematian orang lain sebagai bahan kempen murahan lagi menjijikkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, beliau kesal dan sedih atas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Puchong itu, apabila mengaitkan kematian empat ADN Selangor sebagai amaran daripada tuhan supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

“Kematian mereka sudah suratan takdir dan mengaitkannya sebagai tanda untuk mencari pengganti yang lebih baik pasti melukakan perasaan ahli keluarga dan penyokong.

“Mereka yang pergi sudah berjuang dalam bidang politik dengan mengorbankan masa bersama keluarga dan selepas pemergian mereka pastinya ahli keluarga lebih merasai kesakitan itu,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mendesak mantan ADN Seri Serdang itu supaya memohon maaf kepada semua ahli keluarga wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) itu dan menjaga sensitiviti keluarga mereka.

“Sebagai (individu) yang mengenali Allahyarham Shuhaimi Shafiei yang meninggal kerana kanser, saya juga terasa kehilangan dan kesedihan itu masih ada lagi.

“Begitu juga dengan pemergian Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang menyebabkan saya mengganti tempatnya di Seri Setia, manakala Eddy Ng meninggal akibat kemalangan jalan raya dan Bakhtiar (Mohd Nor) meninggal dunia ekoran serangan jantung.

“Pemergian mereka semua bukan dirancang supaya ada penganti yang lebih baik,” katanya.

Tredahulu, Mohamed Satim dilaporkan sebagai berkata, semua pilihan raya kecil di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Semenyih membabitkan kematian wakil rakyat daripada PAKATAN, bukan daripada Barisan Nasional.

Beliau didakwa berkata, Allah memberi amaran sejak (PRK) Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

PRK DUN Semenyih yang bakal diadakan pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

 

Categories
SELANGOR

Keputusan bina perpustakaan awam selepas Tahun Baharu Cina

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 JAN: Keputusan berhubung cadangan tapak pembinaan perpustakaan awam di Program Perumahan Rumah Termiskin (PPRT) Lembah Subang, di sini, akan dimuktamadkan dalam perbincangan yang diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, pihaknya perlu menyelesaikan beberapa perkara penting termasuk membuat semakan terperinci berkaitan dokumen, undang-undang dan peraturan sebelum memberi kata putus.

Katanya, peruntukan bagi tujuan pembinaan perpustakaan itu juga sudah diluluskan membabitkan kerjasama antara Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Isunya adalah tempat sahaja. Selepas menerima maklumat berkenaan, saya mengatur pertemuan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), PPAS, Ahli Majlis termasuk Majlis Perwakilan Penduduk Zon 4 Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk melihat sendiri tempat yang dicadangkan bagi pembinaan perpustakaan awam itu.

“Di PPRT Lembah Subang sebelum ini dicadangkan untuk membuat bazar oleh kerajaan terdahulu, tetapi sampai sekarang tiada apa-apa, bahkan tidak ada sebarang permohonan diterima kerajaan masa itu kepada KPKT,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Katanya, konsep perpustakaan kontena di Kampung Lindungan akan dibawa bagi projek pembinaan perpustakaan komuniti di kawasan Lembah Subang.

Pada masa sama, katanya, inisiatif itu diambil bagi menghindari gejala tidak sihat ekoran kebanyakan golongan muda yang menghuni kawasan terbabit tidak bersekolah.

“Sekurang-kurangnya dengan ada kemudahan seperti ini akan dapat menggalakkan anak ini membaca, belajar, menghadiri tuisyen dan berkumpul bersama, malahan mereka boleh melakukan aktiviti santai seperti riadah serta bermain ‘game’.

“Memandangkan permohonan daripada penduduk sudah lama dibuat, maka saya amat berharap perpustakaan komuniti ini dapat didirikan demi manfaat penduduk, khususnya di Lembah Subang,” katanya.