Categories
SELANGOR

Januari bulan kesihatan DUN Seri Setia

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia memilih Januari sebagai bulan kesihatan, bagi menggalakkan amalan hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Ahli Dewan Negerinya, Halimey Abu Bakar berkata, program itu bersesuaian dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia menguat kuasakan larangan merokok di semua premis makanan, pada 1 Januari lalu.

“Oleh itu, saya akan menganjurkan beberapa program kesihatan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Setia membabitkan sesi pemeriksaan kesihatan dan derma darah,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat DUN Seri Setia, di sini, semalam.

Beliau juga komited untuk melaksanakan lebih banyak program di DUN Seri Setia bersesuaian dengan perayaan atau majlis keraian, pada bulan terbabit.

“Untuk bulan akan datang, kita akan laksanakan pelbagai program mengikut kesesuaian perayaan pada bulan terbabit contoh seperti Februari akan ada sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN sokong larangan merokok di premis makanan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Larangan merokok di semua premis makanan yang berkuat kuasa semalam mendapat sokongan orang ramai termasuk Halimey Abu Bakar.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu berkata, larangan itu diperlukan kerana merokok bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, namun turut memberi kesan kepada orang sekeliling.

“Saya bukan seorang perokok, namun keputusan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menguat kuasakan arahan itu amat dipersetujui dan disokong.

“Cadangan untuk memperluaskan kawasan larangan merokok yang diuar-uarkan seperti di dobi dan hotel satu tindakan yang bagus,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat DUN Seri Setia, di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, di sini, semalam.

Justeru, beliau menasihati perokok supaya mengikuti undang-undang yang sudah ditetapkan kerajaan.

Terdahulu, KKM mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan terbabit.

Malah, tindakan akan diambil terhadap perokok dan pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

 

 

Categories
SELANGOR

Halimey komited selesai isu rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Bersempena sambutan tahun baru, Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar terus menyatakan komitmen untuk menyelesaikan masalah rakyat, di kawasan itu.

Katanya, pelbagai program sudah dirangka untuk dilaksanakan pada setiap bulan bagi mensejahterakan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Atas dasar itu, kita menganjurkan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat DUN Seri Seti untuk meraikan rakyat yang sering memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya sejak sebelum menjadi ADN sehingga dipilih dalam pilihan raya kecil lalu.

“Selain itu, majlis tahlil turut diadakan buat Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, bekas ADN Seri Setia yang banyak berjasa kepada kita selama ini,” katanya kepada Media Selangor, pada majlis berkenaan di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, di sini, semalam.

Turut hadir ADN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din.

Pada majlis sama, Halimey turut menyerahkan beg sekolah kepada peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), di DUN terbabit.

Katanya, program “Back To School” juga akan diadakan pada hujung Januari ini bertujuan meraikan pelajar yang memasuki tahun satu.

“Sumbangan agak lambat sedikit kerana saya menyambung kerja Allahyarham Prof Shaharuddin, jadi ada beberapa perkara tergendala yang perlu disusun semula.

“Selain itu, Januari juga akan dijadikan sebagai bulan kesihatan dengan kita akan mengadakan beberapa program untuk orang ramai mendapatkan rawatan kesihatan di pusat khidmat saya,” katanya.

Katanya, Klinik Rakyat juga akan mula dibuka di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, pada 4 Januari ini dari jam 8 malam hingga 10 malam (minggu pertama dan ketiga setiap bulan).

Categories
SELANGOR

Program DUN Seri Setia terima respon positif masyarakat setempat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 DIS: Penerimaan baik masyarakat setempat terhadap program dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, memberi kesan positif kepada pembangunan kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, dengan sambutan sebegitu, memudahkan pihaknya merangka pelbagai program dan aktiviti demi manfaat penduduk di DUN itu.

“Perkembangan ini memberi kebaikan kepada semua di kawasan ini dengan aktiviti dijalankan disertai komunti setempat secara aktif.

“Program pendidikan membabitkan pengurusan sekolah juga berjalan lancar tanpa sekatan, tidak seperti mana dialami sebelumnya,” katanya yang terpilih sebagai ADN Seri Setia bagi menggantikan Allyarham Dr Shaharuddin Badaruddin dalam pilihanraya kecil, awal September lalu.

Sebagai penghargaan kepada semua pihak berkaitan, Halimey telah menganjurkan satu pertandingan boling persahabatan di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya, akhir November lalu.

“Selain menghargai kerjasama diberikan, ia juga dapat menemukan semua dalam satu acara serta mengeratkan silaturrahim,” katanya.

Pertandingan boling ‘Sport For All’ diadakan dengan kerjasama Kumpulan Perangsang Selangor dan dikelolakan JAB Bowling Academy turut diserikan dengan acara kanak-kanak seperti peraduan mewarna dan lukisan muka.

Categories
SELANGOR

Isu peniaga: Halimey jumpa MBPJ minggu hadapan

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 NOV: Masalah peniaga tempatan di hadapan pusat membeli belah Giant lama dan Bank CIMB Kelana Jaya akan dipanjangkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu hadapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, beliau sudah mengenal pasti beberapa masalah yang perlu diberikan perhatian hasil pertemuan bersama Persatuan Peniaga Kelana Jaya, pada 1 November lalu.

“Mereka ada mengemukakan cadangan supaya kawasan ini dicantikkan lagi supaya memberikan keselesaan kepada pengunjung.

“Selain itu, mereka turut memohon kepada MBPJ supaya membaiki longkang serta mencantas dahan pokok yang dikhuatiri patah jika hujan lebat atau angin kuat,” katanya.

Dalam pertemuan sama yang disertai Ahli Majlis MBPJ Zon 21, Mohamad Shakirien Abd Razak, persatuan peniaga turut mencadangkan supaya tapak perniagaan di Bank CIMB diperluaskan dengan menempatkan beberapa kiosk.

Cadangan itu bagi membolehkan lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk setempat.

Categories
SELANGOR

Halimey bawa isu PPR Lembah Subang pada Oktober

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 SEPT: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang bakal menarik nafas lega ekoran permasalahan di situ akan dibincangkan bersama kementerian berkenaan, tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, perkara itu akan dibawa bermula Oktober ini setelah pihaknya selesai membuat pertemuan bersama penduduk dan pihak bertanggungjawab.

“Antara permasalahan utama di PPR Lembah Subang ialah lif dan tekanan air yang terlalu rendah hingga menyebabkan ada penduduk menerima gangguan ketiadaan air lebih kerap.

“Isu ini akan dibincangkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta tidak ketinggalan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Halimey berkata, setelah memegang tanggungjawab sebagai ADN, tugasannya bertambah sejak dua minggu yang lalu.

“Memang tidak dinafikan sebelum ini saya sudah sedia sibuk dengan tugas sebagai Ahli Majlis, namun setelah menjadi ADN, ada saja jemputan ke majlis perkahwinan, tidak ketinggalan program bersama masyarakat.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk melaksanakan manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu,” katanya.

Halimey daripada Pakatan Harapan (PAKATAN) memenangi PRK Dewan Undangan Negeri Seri Setia apabila menewaskan calon PAS, Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi, pada 8 September lalu.

Halimey, 46, yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh 13,725 undi, manakala Dr Halimah, 58, yang merupakan bekas EXCO Kerajaan Negeri mendapat 9,698 undi.

Categories
SELANGOR

PAS Seri Setia sendiri ‘seram’ reputasi Halimey

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Reputasi calon Pakatan Harapan (PAKATAN) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar menyebabkan tiada calon PAS dalam kalangan anak jati mahu bertanding pada bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, beliau diberitahu PAS Seri Setia sendiri merasa ‘seram’ dengan rekod cemerlang Halimey sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sehingga memaksa PAS ‘mengimport’ calon luar bagi menentang Halimey.

“Saya diberitahu Dato’ Bandar Petaling Jaya, rekod Halimey di Seri Setia memang hebat sehinggakan beliau diberitahu Yang Dipertua PAS pun tak sanggup lawan Halimey.

“Dia kata, kalau Halimey bertanding, mereka tak sanggup nak lawan sebab semua orang kenal Halimey,” katanya pada program ceramah ‘Grand Finale’ di sini, hari ini.

Azmizam turut menggesa penyokong PAKATAN tidak mengulangi kesilapan pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini di mana peratusan keluar mengundi terlalu rendah.

Beliau yang ketika itu bertanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah PRK Sungai Kandis berkata, kebanyakkan penyokong PAKATAN yang ditemui pada masa itu menyatakan keyakinan PAKATAN akan menang mudah.

“Rata-rata rakan ditemui berkata tak payah mengundi kerana mereka yakin PAKATAN akan menang sehinggakan pada pagi itu saya berdebar kerana baru 15 peratus turun mengundi,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

PAKATAN peduli isu rakyat, pembangkang sibuk tiup api perkauman

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Parti pembangkang ketandusan isu menyerang Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor dan Persekutuan sehingga memaksa mereka menggunakan isu perkauman dan agama.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Izham Hashim berkata, berbeza dengan PAKATAN menjadikan usaha membangunkan rakyat menerusi pelbagai program bagi meraih kepercayaan rakyat.

“Jangan mainkan isu perkauman dan agama. Mereka dah cerita Melayu telah hilang kuasa. Yang jadi Perdana Menteri tu bukan Melayu ke?

“Dia tak ada benda nak jual. Kita ada banyak program rakyat boleh jual. Sebab itulah mereka mainkan isu perkauman,” katanya pada program ceramah ‘Grand Finale’ di Padang Permainan di sini, hari ini.

Izham berkata, nasib masyarakat Melayu di Selangor juga sentiasa dipelihara Kerajaan Negeri.

Katanya, tindakan meniup api perkauman dan agama dalam kalangan pembangkang membuktikan sikap tidak bertanggungjawab serta biadap.

Ketika menyentuh pemilihan Halimey Abu Bakar sebagai calon PAKATAN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia, Izham berkata, ia merupakan keputusan tepat.

“Saya cukup mengenali beliau dan keluarga beliau. Beliau cukup tahu isu di sini dan bagaimana hendak atasinya,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Halimey sedia isytihar harta

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytiharkan harta seperti yang dikehendaki oleh Pas dan Umno.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakan mengisytihar harta hanya boleh dibuat selepas tamat PRK ekoran kesuntukan masa disebabkan hari pengundian akan berlangsung esok.

“Terima kasih atas pandangan dia, saya sedia isytihar harta,” katanya pada sidang media hari terakhir kempen PRK Seri Setia di Bilik Gerakan Utama PAKATAN di sini, hari ini.

Halimey berkata demikian selepas Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang memaklumkan bahawa parti Islam itu dan Umno sepakat mahukan kedua-dua calon PRK DUN Seri Setia mengisytiharkan harta masing-masing.

Mengulas peluang untuk menang, Halimey yakin beliau mampu meraih sebanyak kira-kira 96 peratus sokongan daripada pengundi di DUN ini.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kelebihan beliau sebagai anak jati Seri Setia, rekod pengalamannya selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan mood rakyat yang menyokong Kerajaan PAKATAN Selangor.

“Dengan testimoni ini sekali lagi InshaAllah saya percaya segala usaha menjaga kepentingan DUN Seri Setia akan dapat dilakukan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

PAKATAN pilihan terbaik, undi pembangkang umpama curah garam ke laut – Halimey

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia diingatkan bahawa reformasi perubahan masa depan lebih gemilang hanya dapat dilaksanakan jika bersama kerajaan memerintah hari ini.

Calon PAKATAN, Halimey Abu Bakar berkata, pilihan terbaik buat rakyat adalah PAKATAN demi menjaga kebajikan rakyat kawasan itu.

“Wakil rakyat pembangkang tidak mungkin dapat berbuat apa-apa untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Mengundi mereka hanya bagaikan mencurah garam ke laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir kempen PRK Seri Setia di Bilik Gerakan Utama PAKATAN di sini, hari ini.

Halimey bagaimanapun berkata, beliau bukanlah memperlekehkan kehadiran pembangkang tetapi sebaliknya realiti hari ini menunjukkan suara pembangkang semakin jauh hanyut daripada arus pentadbiran Kerajaan Negeri mahu pun pusat.

Selain memberi jaminan suara pengundi DUN Seri Setia didengari di Dewan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua jabatan serta agensi kerajaan, Halimey turut menegaskan bahawa pembangkang tidak mampu menjayakan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menjadi teras perjuangan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kemenangan saya yang mewakili PAKATAN pada PRK kali ini akan menjadi hadiah terbaik buat pengundi di sini, sempena sambutan hari kebangsaan dan Hari Malaysia yang masih diraikan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Halimey mahu promosi gaya hidup sihat melalui sukan

 

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 6 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berhasrat membuka sebuah akademi sukan di peringkat DUN sebagai usaha memupuk budaya bersukan dalam kalangan rakyat menerusi program Sukan Untuk Rakyat.

Katanya, gaya hidup kurang sihat termasuk corak pemakanan tidak menentu mendorong seseorang mudah menghidapi penyakit dan langkah segera mesti diambil bagi mengatasi perkara itu.

Menyedari perkara itu, beliau bercadang melantik jawatankuasa dalam kalangan petugas Pusat Khidmat Masyarakat, ketua komuniti dan pakar dalam setiap jenis sukan bagi bersama menjayakan program berkenaan pada setiap minggu jika dipilih selaku Ahli Dewan Negeri (ADN).

“Berdasarkan terdapat banyak kawasan lapang di DUN Seri Setia ini, saya percaya rancangan ini tidak akan berdepan halangan. Pelbagai jenis sukan seperti senamrobik, Zumba, Tai Chi dan Silat dan Muay Thai boleh dipraktikkan sempena program sukan untuk rakyat itu.

“Penduduk setempat digalakkan menyertai program ini beramai-ramai bagi tujuan riadah dan menyihatkan badan. Selain mampu menghindarkan pelbagai penyakit yang berbahaya, penyertaaan penduduk pada program itu akan menjadi wadah merapatkan lagi silatulrahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Saya juga bercadang memberi perhatian serius untuk mempromosikan sukan berprestasi tinggi seperti bola sepak, sepak takraw dan badminton,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebagai salah seorang penggemar aktiviti berbasikal, Halimey juga akan mempertimbangkan program ini di dalam perancangan memajukan sukan di DUN Seri Setia.

“Selain sukan rakyat dan sukan berprestasi tinggi, saya dapati sukan berbasikal juga semakin diminati masyarakat sejak kebelakangan ini. Ini adalah petanda baik ke arah melahirkan masyarakat bersukan.

“Berbasikal juga antara senaman terbaik yang perlu diamalkan dan diberi sokongan secara berterusan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Zawawi turun padang bantu Halimey

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin kemampuan Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar untuk mengekalkan kerusi DUN itu bawah Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya, calon PAKATAN itu bukan sahaja anak muda berjiwa besar, malah sudah sekian lama bergerak dilapangan membantu masyarakat di situ ketika menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Sebagai anak jati yang membesar di kawasan Kampung Lindungan dan menjadi Ahli Majlis dalam jangka masa lama tentunya beliau sangat masak dan faham tentang ‘sepak terajang’ di situ,” katanya.

Mohd Zawawi dalam masa sama memohon semua pengundi DUN Seri Setia keluar mengundi pada 8 September ini.

“Pilihlah Halimey, calon terbaik menerajui Seri Setia dan membawa perubahan,” katanya.