Categories
NASIONAL

Wan Azizah: “Harga bahan api Mei kekal, Jun tak tau”

Oleh: HAFIZAN TAIB

PERMATANG PAUH, 1 MEI: Bantahan berterusan rakyat menyebabkan Kerajaan Persekutuan tiada pilihan selain mengekalkan harga bahan bakar bagi Mei ini, sama seperti mana sebelumnya.

Keputusan itu juga diyakini akibat berlaku dua pilihanraya kecil, Permatang Pauh dan Rompin dalam masa terdekat.

pasar taniPresiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ianya menggambarkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan terdesak bagi meraih sokongan rakyat biarpun ura-ura sebelum ini adalah sebaliknya.

“Memang mulanya ura-ura akan dinaikkan, tersebar luas dalam media sosial tetapi keluar kenyataan tiada kenaikan harga.

“Itu menunjukkan tekanan ekoran pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Rompin,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Calon PKR di Permatang Pauh itu berkata, rakyat kini mampu mengubah keadaan dan pilihanraya kecil bakal dihadapi adalah peluang terbaik untuk tujuan itu.

Katanya, apa berlaku ketika ini juga dipercayai hanya sementara dan BN akan mengubahnya kembali selepas keadaan reda.

“Tapi itu hanya untuk Mei, untuk Jun tak tahu lagi,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Kerajaan patut turun harga minyak sejajar penurunan harga dunia

SHAH ALAM 5 NOV: Kerajaan patut menurunkan harga minyak sejajar dengan kejatuhan harga bahan api itu di pasaran antarabangsa.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus jatuh mewajarkan semakan semula harga petrol dan diesel yang ditetapkan kerajaan.

Berikut adalah kenyataan media berkenaan isu itu:

MinyakDi samping itu, fenomena harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal pada paras yang lebih rendah memerlukan penilaian semula kepada beberapa dasar menaikkan harga petrol dan diesel yang selama ini dijalankan secara agresif oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Harga minyak mentah dunia yang berlegar sekitar USD$105 ke USD$108 setong di antara Mei hingga Ogos tahun ini (rujukan harga piawai Brent) tiba-tiba mula jatuh bermula Ogos. Ia jatuh dari paras USD$105 setong ke USD$85 setong pada awal Oktober dan kekal pada paras itu sehingga kini.

Penganalisa pasaran minyak mentah dunia turut meramalkan bahawa harga minyak mentah akan kekal sekitar paras itu bagi tempoh yang lebih lama sehingga ke tahun 2015.

Dalam sidang Parlimen minggu lepas, saya telah menanyakan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Chua Tee Yong apakah kerajaan bersedia untuk menurunkan harga petrol dan diesel mengambil kira tekanan inflasi yang membebankan rakyat serta harga minyak mentah yang semakin susut di pasaran antarabangsa. Beliau tidak memberi komitmen sekadar menyebut kerajaan sedang memantau keadaan.

Saya telah membuat analisa jumlah subsidi petrol dan diesel yang akan ditanggung kerajaan sekiranya harga minyak mentah kekal pada harga sekitar USD$85 setong sehingga ke tahun 2015.

Bagi suku terakhir tahun ini, kerajaan akan menjimatkan RM1.45 bilion dalam bentuk subsidi yang tidak perlu dibayar kerana harga minyak mentah yang lebih rendah menyebabkan kos pengeluaran petrol dan diesel juga lebih rendah.

Jumlah subsidi petrol dan diesel bagi tahun 2015 pula dijangka berjumlah hanya RM9.5 bilion (jika harga minyak mentah kekal pada paras USD$85 setong) iaitu penjimatan sebanyak RM4.2 bilion dari jumlah subsidi bagi tahun 2014 yang dijangkakan berjumlah RM13.7 bilion.

Ini bermakna, alasan bahawa harga minyak perlu dinaikkan kerana bebanan subsidi yang tinggi tidak lagi benar akibat kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Jika kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel apabila jumlah subsidi meningkat, bukankan apabila jumlah subsidi turun dengan mendadak maka beban rakyat yang disebabkan oleh kenaikan harga petrol dan diesel itu boleh dikurangkan dengan menurunkan pula harga petrol dan diesel?

Penjimatan sebanyak RM1.45 bilion bagi suku terakhir tahun ini dan RM4.2 bilion yang dijangka bagi tahun 2015 itu perlulah dipulangkan kepada rakyat dan bukannya disimpan sebagai peruntukan untuk dibelanjakan oleh Perdana Menteri dan menteri-menterinya.

Keengganan Dato’ Seri Najib untuk memulangkan penjimatan ini kepada rakyat akan terus menjejaskan popularity beliau yang sudah pun merudum kerana keputusan-keputusan yang menaikkan harga barang dan membebankan rakyat.

Categories
SELANGOR

Vox Pop: Harga minyak naik, baran pun naik!

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 OKT : Pengumuman mengejut Putrajaya berhubung kenaikan harga bahan bakar sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa malam tadi menimbulkan kemarahan orang ramai di seluruh negara.

Tinjauan Selangor Kini di beberapa lokasi di sekitar Shah Alam mendapati rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan pusat menaikkan harga petrol dan diesel tatkala rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ‘mengumpan’ dengan meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bajet 2015, namun dilihat tidak memberikan kesan kepada penduduk khususnya di kawasan bandar.

Ini kerana kebanyakan daripada mereka tidak layak menerima bantuan berkenaan, dan bagi yang layak hanya diberikan sekali sahaja sedangkan kesan kenaikan terpaksa ditanggung setiap hari.

Wan Noor Azli, 40, yang berkhidmat sebagai juruteknik terpaksa membelanjakan hampir RM200 sebulan untuk berulang alik dari rumahnya di Klang ke tempat kerjanya di Damansara.

“Kita yang kerja di peringkat rendah memang terasa betul (dengan kenaikan petrol) sebab dulu isi minyak penuh RM7 untuk motorsikal tetapi sekarang bertambah sehingga RM9 sehari.

“Tambahan lagi perjalanan saya yang agak jauh memang menyebabkan bajet bulanan itu lari,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian BR1M untuk menampung kos sara hidup rakyat, Azli berkata bantuan itu tidak sesuai kerana tidak semua rakyat dapat menikmatinya.

“Saya sendiri tidak dapat bantuan itu dan kini terpaksa menanggung kenaikan harga petrol, jadi saya rasa ia tidak adil,” katanya lagi.

Beliau turut mengandaikan harga barangan keperluan serta makanan akan turut dinaikkan selepas ini memandangkan peningkatan harga petrol dan diesel memberi kesan kepada pengangkutan.

Mohd Syahmi, 22, pula berpendapat kenaikan harga minyak menjejaskan kewangan beliau sebagai seorang pelajar kerana terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih untuk kegunaan petrol.

Katanya pemberian wang saku oleh ibu bapa juga tidak cukup untuk menampung perbelajaan petrol ditambah dengan tugasan dan kerja luar yang terpaksa dihadapi mereka sebagai pelajar.

“Saya rasa kenaikan ini membebankan terutama di kalangan pelajar kerana banyak duit diperlukan untuk bayar yuran kolej, tugasan dan kerja luar.

“Tiba-tiba kenaikan petrol ini berlaku memang membebankan sebab duit kini banyak diperuntukkan untuk petrol sahaja,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Shamsul Amin, 33 mengesyaki harga minyak akan terus dinaikkan beberapa kali lagi dalam tempoh beberapa tahun.

“Kalau minyak sahaja yang naik tiada masalah tetapi harga makanan dan barang keperluan juga akan turut ikut naik nanti.

“Saya belanja kira-kira RM300 sebulan untuk petrol, memang rasa terbeban sebab harga minyak kalau sudah naik susah untuk turun,” katanya.

Harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan mulai tengah malam tadi ekoran keputusan kerajaan menurunkan subsidi minyak dan diesel sebanyak 20 sen.

Berikutan itu, harga petrol akan naik kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 sekarang dan diesel RM2.20 daripada RM2.

Langkah itu dikatakan selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh selain dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan golongan tidak bertanggungjawab.

Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel ialah tahun lepas iaitu sebanyak 20 sen mulai 3 September 2013.

 HM

Categories
NASIONAL

Pemuda: Tiada keperluan naikkan harga minyak

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 OKT : Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berpendapat tiada keperluan mengurangkan subsidi petrol RON95 dan diesel yang menyumbang kepada kenaikan harga bahan bakar itu sebanyak 20 sen seliter secara mendadak, berkuatkuasa tengah malam tadi.

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat berkata tindakan drastik Putrajaya itu menimbulkan suasana panik dan kelam kabut di kalangan rakyat yang terpaksa berpusu-pusu mengisi petrol di saat-saat akhir sebelum jam 12 malam tadi.

“Apakah tiada ruang buat rakyat memberikan pandangan balas serta cadangan bagi membantu kerajaan menampung perbelanjaan negara?

“Apakah para pemikir negara sudah kekeringan idea sehingga mengambil langkah drastik menaikkan harga minyak tanpa memikirkan impak dan kesan ke atas rakyat?” katanya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS turut membidas cadangan menambah kadar pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dikatakan sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Nampaknya rakyat tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa lebih mengikat perut, bekerja lebih masa, mencari sumber pendapatan tambahan serta pekerjaan tambahan bagi menampung kehidupan sekeluarga,” tegas Suhaizan.

Sementara itu, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) berpendapat kenaikan harga bahar bakar memberi kesan langsung kepada harga barangan keperluan lain.

DAPSY berpendirian Putrajaya melakukan penjimatan kos melalui pembasmian rasuah yang lebih serius, sebelum meningatkan beban rakyat biasa.

“Seperti yang diketahui umum, setiap kali harga RON95 atau diesel meningkat, segala-galanya akan naik secara seiring.

“BN perlu menunjukkan kepada kita keperluan untuk mengurangkan subsidi dan di manakah penjimatan ini akan disalurkan?” soal Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Rajiv Rishyakaran.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga petrol RON95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20 mulai pukul 12 tengah malam tadi.

Kali terakhir kenaikan harga minyak RON 95 adalah pada 2 September 2013 iaitu sebanyak 20 sen dari RM1.90 kepada RM2.10, manakala diesel dari RM1.80 kepada RM2.00.

HM