Categories
GLOBAL

Harga minyak dunia kukuh pagi ini

SINGAPURA, 17 JULAI: Harga minyak dunia mengukuh hari ini, disokong pengurangan pelantar minyak baharu dan jangkaan permintaan kukuh, lapor Reuters.

Kontrak minyak mentah Brent, kontrak penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, berada pada paras AS$49.08 setong pada 0126 GMT, naik 17 sen atau 0.35 peratus berbanding penutup terakhirnya.

Kontrak hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) berada pada paras AS$46.70 setong, meningkat 16 sen atau 0.34 peratus.

Kedua kontrak meneruskan pengukuhan minggu lalu.

Peniaga dan penganalisis berkata, peningkatan harga susulan permintaan kukuh serta petunjuk bahawa peningkatan berterusan dalam pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS) kini perlahan.

“Pengurangan kukuh dalam inventori minyak AS minggu lalu disokong oleh komen dari IEA bahawa permintaan lebih kukuh daripada mereka jangkakan.

“Peningkatan berterusan dalam pelantar gali minyak yang beroperasi di AS juga merosot,” kata Bank ANZ hari ini.

Penggali minyak AS menambah dua pelantar minyak bagi minggu berakhir sehingga 14 Julai, menjadikan kiraan jumlah kepada 765, kata firma perkhidmatan tenaga, Baker Hughes pada Jumaat lalu.

Categories
GLOBAL

Harga minyak mentah menjunam

SHAH ALAM, 1 MEI: Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh 5.06 peratus kepada AS$45.40 setong dan Brent berada pada paras AS$48.35, turun 4.8 peratus, lapor Reuters.

Penganalisis Kanan Tenaga Interfax Energy, Global Gas Analytics, Abhishek Kumar dilaporkan sebagai berkata, perkembangan itu sekali gus menghapuskan sepenuhnya keuntungan yang diperolehi akhir November lalu.

Katanya, kejatuhan itu juga adalah pada paras paling rendah sejak akhir November selepas OPEC dan negara pengeluar lain dijangka tidak akan melaksanakan beberapa langkah lebih drastik mengurangkan lebihan bekalan minyak dunia.

“Walaupun OPEC dijangka meneruskan pengurangan pengeluaran sendiri bagi tempoh enam bulan akan datang, ia akan menjadi cabaran untuk ahli bukan OPEC menjejaki langkah sama.

“Pertumbuhan berterusan pengeluaran minyak AS akan turut menyaksikan kemungkinan lanjutan pengurangan bekalan OPEC melangkaui 2017 untuk tidak berlaku,” katanya.

 

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia jatuh

SINGAPURA 26 APRIL: Harga minyak mentah dunia menunjukkan trend menurun hari ini apabila data menunjukkan peningkatan dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan bekalan di seluruh dunia.

Ia menimbulkan keraguan terhadap keupayaan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan bekalan dan mengetatkan pasaran, lapor REUTERS.

Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) diniagakan AS$49.32 setong pada 0052 GMT, turun 24 cents atau 0.5 peratus berbanding sesi sebelumnya.

Peniaga berkata laporan pada lewat Selasa oleh Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan inventori minyak mentah AS naik 897,000 tong untuk tempoh seminggu sehingga 21 April kepada 532.5 juta tong.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada paras AS$51.88 setong, susut 22 cents atau 0.4 peratus daripada penutup sebelumnya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Harga petrol turun hingga 19 sen

SHAH ALAM, 30 MAC: Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel turun masing-masing sebanyak 17 sen, 19 sen dan sembilan sen mulai tengah malam tadi.

minyakPenurunan itu, sekali gus memperlihatkan RON95 kini berada pada RM2.13 seliter, RON97 pula turun kepada RM2.41 seliter, manakala diesel (RM2.11) dan harga bahan api itu pertama kali diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggunakan sistem harga siling mingguan.

Mengikut sisitem itu, sebarang syarikat dibenarkan menjual bahan bakar itu lebih rendah tetapi perlu mendapatkan kebenaran kementerian dahulu.

Memetik MalaysiaKini, Hamzah mengingatkan semua syarikat minyak dan pengedar petrol mematuhi harga baru ditetapkan itu.

Katanya, tindakan tegas bakal dikenakan ke atas peniaga yang menjual petrol atau diesel selain kadar ditetapkan kerajaan.

-NFN-

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah dunia terus susut

NEW YORK 15 MAC: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) terus susut semalam selepas OPEC melaporkan peningkatan dalam stok minyak mentah global dan peningkatan pengeluaran yang mengejutkan daripada negara ahli terbesarnya, Arab Saudi.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ia meningkatkan lagi tekanan harga sejak OPEC mengumumkan pengurangan pengeluaran pada November lalu.

Walaupun OPEC telah membuat peningkatan semakan terhadap jangkaan permintaan global, isyarat pengeluaran oleh Arab Saudi yang masih tinggi mengelirukan pelabur.

Minyak mentah AS jatuh ke paras terendah sejak 29 November, sehari sebelum Arab Saudi mengetuai negara OPEC untuk mengurangkan bekalan. Brent juga ditutup pada paras terendah sejak 30 November lalu.

Niaga hadapan Brent susut di bawah purata bergerak 200 hari untuk pertama kali sejak akhir November lalu semasa dagangan semalam.

Ia ditutup susut 43 cents atau 0.8 peratus kepada AS$50.92 setong. West Texas Intermediate AS susut 68 cents, atau 1.4 peratus kepada AS$47.72 setong untuk penurunan hari ketujuh berturut-turut, kerugian terpanjang sejak Januari lalu. Ia susut hampir 11 peratus sejak 3 Mac lalu.

Sumber menyatakan pengeluaran minyak Arab Saudi susut pada Februari kepada 9.797 juta tong sehari tetapi Riyadh memberitahu OPEC ia meningkat kepada 10.011 juta tong sehari.

Dalam usaha untuk menghilangkan kebimbangan pasaran, Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata perbezaan antara apa yang dipantau oleh pasaran sebagai pengeluaran dengan sebarang paras bekalan dalam bulan tertentu adalah disebabkan faktor operasi.

“Ia dipengaruhi oleh penyesuaian simpanan dan faktor tidak tetap yang lain,” katanya.

Laporan bulanan OPEC mendapati bekalan minyak di negara industri meningkat pada Januari kepada 278 juta tong melelbihi purata lima tahun dengan bekalan minyak syal AS dan negara bukan ahli OPEC yang lain terus meningkat.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenaikan harga bahan api dibimbangi tingkat korban penunggang motosikal

OLEH LIEW CHIN TONG

Keputusan Kerajaan menaikkan harga petrol 20 sen pada 1 Februari selepas menaikkannya 20 sen pada 1 Januari lalu adalah langkah tidak berhati perut yang memberi kesan besar kepada ekonomi dan kesan serta kos terhadap manusia, khususnya apabila ia menjadi penyumbang kepada kemalangan jiwa melibatkan motosikal.

Apa yang benar-benar membimbangkan saya ialah, tanpa akses kemudahan pengangkutan awam yang baik di seluruh negara, kita bakal menyaksikan lebih banyak nahas kemalangan jiwa pengguna motosikal pada hari-hari mendatang.

Kajian menunjukkan bahawa kemalangan jiwa melibatkan motosikal meningkat selepas kenaikan harga petrol pada Mac 2006 dan Jun 2008 apabila kumpulan berpendapatan rendah beralih daripada memandu kereta kepada menunggang motosikal bagi menjimatkan kos. Kita sedar ekonomi negara semakin buruk hari demi hari.

Kemalangan maut motosikal adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kereta, dan enam kali ganda lebih tinggi berbanding pejalan kaki, dan lebih 50 kali ganda lebih tinggi berbanding pengguna bas. Malah, 60% kemalangan maut di jalan raya melibatkan motosikal.

Hal ini dapat dielakkan sekiranya Malaysia memiliki sistem pengangkutan awam yang baik dan berkesan.

Di negara yang memiliki sistem pengangkutan awam yang baik dan efisyen, kenaikan harga petrol akan mendorong rakyat memilih pengangkutan awam sebagai pilihan lain.

Walaupun perkhidmatan LRT dan MRT dilihat sebagai sebahagian daripada prasarana pengangkutan awam, di Malaysia ia bukan jalan penyelesaian yang baik.

Projek LRT dan MRT di Malaysia sebenarnya merupakan projek mega yang memakan belanja berbilion ringgit yang bertujuan menjaga kehendak korporat gergasi, dan bukannya memenuhi keperluan rakyat yang mahu kepada sistem pengangkutan awam yang baik untuk seluruh negara.

Projek-projek besar ini tidak dapat berdaya maju serta di luar kemampuan pengguna di kawasan bandar-bandar dan di pinggir bandaraya-bandaraya besar.

Semua prasarana ini bertumpu di Lembah Klang sedangkan mutu pengangkutan awam di negeri-negeri serta wilayah di luar kawasan prima itu masih berada di takuk lama.

Bahkan di Lembah Klang, laporan menunjukkan bahawa jajaran LRT dan MRT tidak berjaya mengurangkan kesesakan lalulintas serta gagal membawa peralihan kepada pengangkutan awam kerana tambang LRT dan MRT yang mahal, dan tiada kemudahan penuh penyambungan bas pengantara.

Tiba masanya untuk rakyat mendesak agar perkhidmatan bas awam secara besar-besaran dilaksanakan di seluruh negara.

Bas merupakan pengangkutan awam yang mampu digunakan setiap orang, dan jika ia dirancang dan dilaksanakan dengan baik, ia adalah cara yang paling murah dan pantas untuk memperbaiki jaringan pengangkutan awam untuk keperluangan pengguna seramai mungkin di kawasan seluas mungkin di seluruh negara.

Untuk menjayakan usaha ini, kita tidak boleh lari daripada melaksanakan reformasi institusi.

Pertama, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mestilah diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan bagi memastikan dasar penambahbaikan pengangkutan awam menjadi agenda terpenting kepada Menteri dan kementeriannya.

Kedua, sebahagian kuasa mengurus pengangkutan awam mestilah diberikan kepada Kerajaan Negeri supaya Kerajaan Negeri boleh merancang, mengurus dan menyediakan pengangkutan awam yang seluas mungkin liputannya.

Ketiga, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu ditugaskan untuk memastikan perancangan bandaraya dan bandar memberi keutamaan kepada pengangkutan awam yang berasaskan bas.

Ini bagi membolehkan pengangkutan awam lebih mudah diakses, mengenakan tambang berpatutan dan berdaya maju.

Agak memalukan apabila melihat segolongan pemimpin UMNO memberi petrol percuma kepada penunggang motosikal baru-baru ini, seolah-olah pemimpin tersebut berasa bersalah dengan kenaikan harga minyak.

Saya faham dan menyokong langkah mana-mana pemimpin pembangkang memberi petrol percuma kepada penunggang motosikal kerana ia adalah tanda solidariti bersama rakyat.

Namun apabila pemimpin UMNO berbuat demikian, ia amat janggal sekali kerana pihak yang menaikkan harga minyak adalah kerajaan mereka sendiri, yang mana kenaikan harga petrol berlaku dua bulan berturut-turut.

Pada masa yang sama, saya mendesak agar Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib Razak segera mendedahkan mekanisma harga petrol dan diesel untuk menunjukkan ketelusan pihak Kerajaan.

Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua, tiada asas kukuh untuk kerajaan menaikkan harga petrol baru-baru ini.
Mekanisme tersembunyi apungan harga minyak perlu ditamatkan sekarang. Kerajaan mesti mendedahkannya kepada umum.

Mereka yang memegang tampuk kuasa perlu sedar bahawa setiap kali harga petrol dinaikkan, ia bermakna lebih banyak berlaku kemalangan maut, khususnya yang melibatkan golongan berpendapatan rendah yang menunggang motosikal.

LIEW CHIN TONG

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Majoriti rakyat termasuk warden penjara terkesan harga barang naik

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Kenaikan harga barangan di pasaran menjadi isu dalam kehidupan rakyat yang terbeban kerana terpaksa menempuhnya dengan peningkatan kos sara hidup tinggi.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majoriti rakyat kini amat terkesan dengan perkara itu dan turut menjadi topik perbualan warden di penjara.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan digesa menangani perkara berkenaan demi melindungi kepentingan rakyat dan semua pihak di negara ini.

anwar-nst“Harga barang makin naik dan kerajaan harus lakukan sesuatu macam tubuh satu jawatankuasa untuk lihat perkara ini.

“Perkara ini dirasai semua termasuk warden (penjara),” katanya dipetik MalaysiaKini ketika ditemui pada perbicaraan kes mahkamahnya di Kuala Lumpur.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun sejak Februari tahun lalu apabila didapati bersalah dalam kes Fitnah II.

Semalam, harga petrol RON 95 dan 97 meningkat 20 sen menjadi RM2.30 serta RM2.60 manakala diesel naik 10 sen menjdi RM2.15.

Kehidupan rakyat turut terkesan berikutan nilai ringgit yang lemah dan ekonomi negara tidak menentu ketika ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Apa penjelasan Putrajaya harga bahan api naik?

SHAH ALAM 1 FEB: Kerajaan Persekutuan digesa memberikan penjelasan mekanisme pengiraan kenaikan harga bahan api ekoran kenaikan kali ini tidak boleh diterima memandangkan harga minyak mentah sedunia menurun di samping kenaikan nilai ringgit.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata sementara harga minyak mentah pada Disember 2016 naik daripada AS$51.48 kepada AS$56.73 setong, ia menyusut sedikit pada Januari kepada AS$55.86

“Ia disebabkan kenaikan harga minyak mentah pada Disember,” kata Tony Pua dalam kenyataan medianya.

Mulai 1 Februari, harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing ditetapkan RM2.30 dan RM2.60 seliter, iaitu kenaikan 20 sen, manakala diesel naik 10 sen kepada RM2.15. Ia merupakan kenaikan kedua pada tahun ini.

Beliau berkata kemerosotan ringgit, yang menurut Putrajaya merupakan antara punca kenaikan harga minyak, juga tidak boleh dijadikan alasan kali ini.

Ini kerana, menurut Tony Pua, nilai ringgit pada Januari adalah di sekitar RM4.42 berbanding dolar AS, naik sedikit daripada RM4.48 pada Disember.

“Kami menuntut pendedahan penuh data, formula dan butiran tepat bagaimana kenaikan harga minyak dikira supaya rakyat tahu mengapa mereka terpaksa tersiksa akibat dasar kerajaan,” katanya.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia didagang lebih tinggi

SINGAPURA 21 DIS: Harga minyak didagangkan lebih tinggi berikutan jangkaan pengurangan minyak mentah Amerika Syarikat.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) diniagakan AS$53.58 pada 0105 GMT, naik 28 cents daripada penutup sebelumnya.

Bagaimanapun, aktiviti perdagangan suram selepas pasaran mula memperlahankan aktiviti menjelang cuti umum Krismas pada hujung minggu, lapor REUTERS.

Minyak mentah Brent diniagakan AS$55.57 satu tong, naik 22 cents.

Peniaga berkata, harga lebih tinggi didorong jangkaan pengurangan dalam inventori minyak mentah AS, yang dikeluarkan lewat hari ini.

Penganalisis di OANDA berpangkalan di Singapura, Jeffrey Halley, berkata bekalan minyak mentah AS dijangka susut sebanyak 2.563 juta tong.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Harga minyak naik tertinggi 18 bulan sejak 2015

NEW YORK 13 DIS: Harga minyak melonjak ke paras tertinggi 18 bulan pagi ini selepas pengeluar minyak mentah utama dunia bersetuju mengurangkan pengeluaran sejak 2001.

Ia mencetuskan kebimbangan berhubung inflasi yang menolak pulangan bon Perbendaharaan AS ke paras puncak lebih dua tahun, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Pulangan bon itu juga menokok menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan bermula hari ini, yang mana bank pusat AS itu dijangka menaikkan kadar faedah buat kali kedua sejak krisis kewangan global.

Harga dagangan hadapan minyak mentah AS menokok AS$1.33 untuk ditutup pada AS$52.83 satu tong, naik 2.6 peratus, sungguhpun ia di bawah paras tertinggi harian.

Brent menokok AS$1.36 untuk ditutup pada AS$55.69, naik 2.5 peratus, selepas mencecah paras puncak sesi AS$57.89, tertinggi sejak Julai 2015.

Adalah mengejutkan, Arab Saudi selaku mengeluar minyak mentah terbesar dunia, berkata ia bersedia menambah jumlah pengurangan pengeluaran daripada apa yang dipersetujui sebelum ini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Harga minyak ikut budi bicara Perdana Menteri?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tungku, Lau Weng San mempersoal sekiranya mekanisme kadar kenaikan harga minyak semasa ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, persoalan mengenainya wujud susulan peningkatan kadar bahan api negara ini walaupun harga pasaran dunia mengalami penurunan.

“Maklumat terperinci seperti formula pengiraan mekanisme ini masih mejadi tanda soal sehingga ada yang tertanya-tanya kenapa harga tidak turun apabila harga pasaran dunia jatuh.

“Adakah kerajaan sebenarnya tidak mempunyai formula tetap untuk membuat pengiraan? Atau adakah ianya tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri?

“Bukankah benar kalah harga bahan api bergantung kepada perubahan harga pasaran dunia, maka ianya tidak memerlukan campur tangan manusia?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya berhubung peningkatan 15 sen seliter semua jenis harga bahan api, ketika pasaran harga minyak kini mengalami penurun.

minyak-duniaLebih menimbulkan persoalan, peningkatan kadar harga tersebut merupakan kadar paling tertinggi sejak Januari lalu untuk tempoh 2016.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata Kerajaan Persekutuan sepatutnya menaikkan pada kadar 20 sen seliter.

Bagaimanapun Eng San berkata, sistem formula kiraan harga kadar petrol di negara ini ternyata gagal dan mempunyai kelemahan yang tidak diketahui rakyat.

Semalam, isu kenaikan harga bahan api turut dibangkitkan Ahli Dewan Negeri dalam perbahasan pembentangan Belanjawan Selangor 2017.

Bagaimanapun, majoriti ADN Barisan Nasional memberikan gambaran bahawa rakyat perlu bersyukur kerana Perdana Menteri tidak menaikkan harga petrol sebanyak 20 sen.

-nR-

Categories
NASIONAL

Diesel naik 10 sen, RON 95 & RON 97 kekal

SHAH ALAM 31 JULAI: Harga runcit bagi petrol RON95, RON97 bagi bulan Ogos kekal seperti bulan lepas, manakala diesel mengalami kenaikan sebanyak 10 sen berkuat kuasa tengah malam ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petron Malaysia, Datuk Alang Zari Ishak ketika mengesahkan kenaikan itu berkata harga runcit bagi RON95 kekal RM1.75 seliter manakala harga runcit bagi RON97 ialah RM2.10 seliter.

“Harga runcit bagi diesel pula naik 10 sen kepada RM1.70 seliter,” katanya dipetik BERNAMA.

Bulan lepas harga runcit petrol buat pertama kali mengalami kenaikan sejak April lalu apabila ketiga-tiga bahan berkenaan naik 5 sen berkuat kuasa 1 Julai.

Harga runcit petrol sejak April lepas adalah RM1.70 seliter bagi RON95, RM2.05 bagi RON97 manakala diesel dijual dengan harga RM1.55 seliter.

EZY