Categories
AGENDA NASIONAL

MB dedikasi ucapan buat bapa, kecekalan jadi inspirasi

SHAH ALAM, 20 JUN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua insan bergelar bapa, ayah mahupun abah di seluruh negara.

Dalam perkongsian di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kecekalan mereka menjadi inspirasi dan motivasi terhadap keluarga.

“Pengorbanan dan jasa mereka sangat besar nilainya, demi kesejahteraan kehidupan insan yang tercinta,” tulisnya.

Beliau turut menyampaikan ucapan sama kepada bapanya Shari Mokhsin dan mentua Muhamad Yahya.

“Semoga Allah SWT memelihara kesihatan dan memberkati kehidupan mereka,” katanya.

Hari Bapa disambut bagi menghormati bapa dan pengaruhnya dalam masyarakat. Di Malaysia, sambutan itu diraikan pada minggu ketiga Jun pada setiap tahun.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Usaha gigih lelaki OKU fizikal sara keluarga

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Ramai yang mungkin terpaksa menjalani kehidupan yang sukar ketika ini akibat diberhentikan kerja atau pendapatan yang kurang, dalam negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Apatah lagi bagi Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal seperti Mohd Rafae Abd Raof, 46, yang berasal dari Baling, Kedah yang perlu menyara hidup isteri dan lima orang anak.

Namun, tidak ada putus asa dalam kamus kehidupan Mohd Rafae yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekatronik dari Kolej Negeri (Negeri Sembilan) ini. Saban hari, beliau tetap berusaha gigih untuk memastikan makanan sentiasa tersedia di atas meja buat keluarganya.

Dengan mengambil semangat sambutan Hari Bapa, beliau berharap perkongsian kisah hidupnya ini dapat menjadi inspirasi, “ tiada apa yang mustahil sebenarnya di dunia ini. Yang perlu semangat, azam serta usaha gigih. Jangan lupa berdoa semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita.”

Penuh kesukaran 

Ketika dihubungi oleh Bernama baru-baru ini, Mohd Rafae yang juga seorang pencipta inovasi kreatif berkongsi pahit maung realiti kehidupan sebaik tamat pengajiannya di Kolej Negeri dan semasa bekerja di sebuah kilang automotif di Senawang, Negeri Sembilan.

“Bayangkan saya baru sahaja tamat belajar dan memulakan karier saya sebagai eksekutif teknikal, baru hampir setahun saya bekerja di situ namun kemudiannya Malaysia dilanda kegawatan ekonomi akibat Krisis Ekonomi Dunia 1998-1999 yang dahsyat.

“Pada ketika itulah saya belajar banyak benda tentang ilmu pengurusan krisis dan bagaimana menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai salah seorang pegawai yang terlibat dalam pasukan menguruskan krisis supaya kilang tidak bankrap, kami mengemukakan pelan khas bagi memastikan operasi kilang terus berjalan lancar. Alhamdulillah, kami berjaya mengharunginya sehingga kilang kembali stabil selepas krisis ekonomi tamat,” katanya.

Setelah hampir tujuh tahun berkhidmat dengan kilang berkenaan, Mohd Rafae mengambil keputusan untuk beralih arah. Beliau kemudian berkhidmat sebagai jurutera automotif di Delphi Packard Electric di Shah Alam, Selangor.

“Saya banyak mengaplikasikan ilmu yang saya belajar di kilang itu dan pengalaman kerja banyak mendewasakan diri saya,” katanya.

Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dengan kehidupan Mohd Rafae apabila pada 8 Februari 2008, beliau terlibat dalam kemalangan kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah. Kemalangan itu mengakibatkan tulang pinggulnya pecah dan membuatkan beliau tidak lagi dapat berjalan normal seperti dahulu.

“Ketika itu saya sudah pun berkahwin dan anak sulung kami masa itu berumur lima bulan. Semasa kejadian malang itu berlaku, isteri saya berada di kampungnya di Kuala Pilah bersama anak sulung kami. Namun, kemalangan itu mengubah status saya dari seorang lelaki yang normal fizikal kepada seorang OKU.

“Saya akui kejadian ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada keyakinan diri saya. Kadangkala saya menjadi murung. Namun ingatan saya terhadap keluarga membuatkan saya terus tabah walaupun doktor memperakukan saya sebagai cacat kekal, ” jelas Mohd Rafae yang kini terpaksa membiasakan diri berjalan terhincut-hincut akibat kemalangan yang menimpa beliau.

Mencari sinar

Meskipun berstatus OKU fizikal, keadaan ini tidak sedikit pun menghalang Mohd Rafae untuk terus menggunakan segenap kudrat tulang empat keratnya, mencari nafkah bagi menyara isteri dan anak-anaknya.

“Ketika kejadian kemalangan itu, saya masih lagi seorang jurutera di Kilang Delfi, namun disebabkan keadaan diri saya ketika itu, majikan saya menawarkan cuti sakit dengan bergaji penuh selama enam bulan, seterusnya bergaji separuh selama enam bulan. Akhirnya saya terpaksa mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

“Kehidupan begitu sukar ketika itu kerana saya sudah pun tiada pekerjaan dan perlu terus menanggung nafkah keluarga kerana isteri tidak bekerja. Saya terpaksa membuat pelbagai jenis pekerjaan sampingan antaranya menjual seluar jeans terpakai dan lampin bayi, ” kongsi Mohd Rafae.

Memandangkan beliau mempunyai latar belakang pendidikan kejuruteraan mekatonik dan meminati bidang automatif, beliau mengeluarkan duit simpanan KWSP berjumlah RM120,000 untuk membuka sebuah bengkel servis tayar di Seremban.

Namun, yang dirancang tidak menjadi dan bengkel servis itu terpaksa ditutup pada 2013 selepas tiga tahun beroperasi akibat kehabisan duit modal.

Tidak berputus asa, Mohd Rafae meneruskan minatnya dengan menawarkan perkhidmatan servis kereta secara kecil-kecilan dari rumahnya dan menerima banyak permintaan dari jiran serta rakan terdekat.

Pada masa yang sama, beliau juga menghasilkan pelbagai inovasi, antaranya ciptaan sebuah alatan khas yang boleh membantu tukang paip menembak keluar barang-barang yang tersumbat di dalam lubang tandas. Inovasi ini pernah memenangi hadiah utama pertandingan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pada 2015.

“Saya akui kehidupan dan karier saya bermula perlahan-lahan dan beransur ke arah lebih baik selepas saya menyertai pertandingan inovasi ini. Ia banyak membantu saya membina kembali keyakinan terhadap diri saya walaupun berstatus OKU fizikal, tiada yang mustahil di dunia ini,” katanya.

Program SUPERB adalah program berasaskan pertandingan business pitching yang mengangkat idea perniagaan inovatif dan kreatif sebagai tema pertandingan. Antara objektif utama program ini diwujudkan untuk mengenalpasti usahawan permulaan Bumiputera berdaya saing yang menerapkan amalan kreatif dan inovatif dalam penghasilan produk dan perniagaaan mereka.

Gigih cipta inovasi 

Tidak lagi menoleh ke belakang, Mohd Rafae melihat potensi dirinya boleh dikembangkan dalam bidang inovasi serta penciptaan alatan yang boleh membantu memudahkan kehidupan seharian, dalam masa yang sama boleh dijadikan sebagai salah satu punca rezeki buatnya.

Bemula tahun 2016, beliau mula dijemput oleh pelbagai universiti sebagai penceramah berkaitan topik inovasi, dan turut mempunyai modul sendiri untuk dikongsikan bersama peserta. Beliau juga sering dijemput menjadi jurulatih bagi pelbagai pertandingan inovasi di seluruh negara.

“Khidmat saya untuk masyarakat tidak terhenti di situ kerana saya ingin idea inovasi saya terus memanfaatkan ahli masyarakat. Baru-baru ini, ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara pada sekitar penghujung tahun 2019, saya mula mencari idea bagaimana untuk membantu petugas Barisan Hadapan yang ketika itu menghadapi kekurangan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE), antaranya pelindung muka.

“Dengan keadaan kebanyakan kedai ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, saya mencipta sendiri pelindung muka menggunakan bahan yang ada di rumah antaranya fail plastik lama yang dipotong, dan disambungkan dengan getah paip. Beberapa kali juga saya tambah baik prototaip ini hingga akhirnya mendapat sambutan oleh NGO untuk disumbangkan ke hospital, antaranya Hospital Serdang dan Hospital Kajang. Seingat saya hampir tiga ribu keping pelindung muka juga terjual ketika itu,” jelasnya.

Di samping mencipta pelbagai produk inovasi, beliau turut mengusahakan perkhidmatan rawatan untuk masalah berkaitan sakit tulang belakang dengan menggunakan teknik urutan beliau sendiri dinamakan teknik Bugaga.

Perlu berdikari 

Sebagai bapa, Mohd Rafae berazam tidak mahu anak-anaknya hidup susah selepas ketiadaan beliau nanti apatah lagi status dirinya sebagai seorang OKU fizikal, maka beliau perlu mempersiapkan mereka dengan pelbagai ilmu kelangsungan hidup.

Sebagai budak kampung, beliau mempunyai kepakaran menjerat dan menangkap burung, dan ilmu itu diperturunkan kepada anak-anaknyanya, Anwar Danish, 14, Muhammad Kamil, 12, Nurul Hana, 10, Siti Hajar, 8, dan Aufa, 4.

“Saya mahu mereka pandai berdikari mencari makanan sendiri sekiranya suatu hari nanti keputusan bekalan makanan. Di zaman pandemik ini sebarang kemungkinan buruk boleh berlaku, diharapkan dengan kemahiran menjerat burung ini dapat dimanfaatkan mereka. Saya ajar mereka bagaimana ingin memasang jaring dan perangkap burung, setiap hari dapat jugalah beberapa ekor burung merbah dan tekukur untuk dijadikan hidangan makanan seisi keluarga.

“Selain itu, saya juga rajin ajar mereka kemahiran pembaikan yang ringkas seperti mesin basuh dan enjin motorsikal. Saya turut ajar mereka kemahiran memasak yang ringkas seperti nasi goreng dan lauk. Diharapkan semuanya ini bermanfaat untuk anak-anak saya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hargai jasa bapa, titipkan doa jika sudah tiada

SHAH ALAM, 21 JUN: Setiap anak diingatkan supaya tidak sesekali memperkecilkan peranan dan jasa yang dicurahkan bapa mereka selama ini, kata EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata anak-anak wajar memberi penghargaan kepada bapa mereka dan sentiasa mendoakan kesejahteraan jika sudah tiada.

“Tanggungjawab yang besar dan pengorbanan ayah jangan pernah kita kecilkan. Dan ingatlah sentiasa, kedudukan ibu bapa sangat tinggi di sisi agama.

“Saya menyeru kepada semua anak-anak untuk menghargai bapa anda. Berikanlah penghormatan, penghargaan atas jasa mereka. Jika sudah tiada, titipkanlah doa untuk kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Bapa hari ini.

Beliau juga berharap sambutan khas bagi meraikan insan bergelar bapa tahun ini memberi peluang untuk mengeratkan kasih sayang sesama keluarga.

“Dalam kesibukan mencari rezeki dan rencam ekonomi yang semakin menghimpit, seorang ayah diharapkan dapat memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak. Masa yang sedikit mungkin bermakna buat mereka.

“Kebahagiaan di dalam keluarga merupakan asas yang paling penting dalam membina keharmonian rumah tangga. Keluarga yang baik dapat melahirkan anak yang mempunyai jiwa yang besar, jati diri yang tinggi demi membangun masyarakat yang bertamadun,” katanya.

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: Adun Sekinchan agih 500 pati ayam sempena hari bapa

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JUN: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mengagihkan 500 botol Pati Ayam Brand kepada golongan bapa sekitar DUN berkenaan sempena hari bapa, baru-baru ini.

Suee Lim mengedarkan minuman pati ayam itu di perkarangan pasar awam sebagai tanda menghargai peranan bapa dalam masyarakat.

“Kasih seorang bapa sebenarnya terlalu banyak. Pengorbanan mereka bekerja tanpa kenal erti penat dan tidak mengira wang ringgit harus dihargai.

150620 hari bapa-02“Walaupun pemberian ini tidak seberapa tetapi menjadi tanda ingatan kepada semua bapa bahawa jasa dan peranan mendidik serta membesarkan anak sangat penting,” katanya kepada Selangor Kini.

Suee Lim mengingatkan semua anak supaya tidak lupa untuk memberikan ucapan atau hadiah sebagai tanda terima kasih.

“Pada zaman teknologi ini, kita tahu semakin kurang komunikasi antara anak dan bapa. Namun, sebagai anak tidak sewajarnya melupakan pengorbanan bapa.

“Setidaknya, mereka memberikan ucapan dan hadiah sebagai tanda terima kasih. Walaupun sebenarnya setiap hari bapa perlu dihargai,” katanya.

-NFN-