Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar bayaran kompaun letak kereta RM30 hari ini

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan bayaran kompaun RM30 bagi kesalahan tempat letak kereta menerusi program Hari Bertemu Pelanggan hari ini.

Program bermula 11 pagi hingga 4 petang di Plaza Shah Alam, Seksyen 9 turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi kompaun terpilih.

Menurut MBSA, orang ramai juga boleh membuat semakan dan bayaran cukai taksiran, kompaun khususnya kompaun trafik serta menerima semakan aduan permohonan ubah suai premis.

“Anda juga boleh merebut peluang membayar kompaun tertunggak dengan diskaun bagi kompaun MBSA ialah 50 peratus (hanya kompaun terpilih sahaja).

“RM30 untuk kompaun perintah pengangkutan jalan (peruntukan tempat letak kereta) MBSA 2007,” maklum agensi di Facebook.

Selain itu, 40 orang yang terawal mendaftar program berkenaan layak menerima cenderahati mangkuk tingkat.

Categories
SELANGOR

MBSA terima 67 aduan sempena Hari Bertemu Pelanggan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima 67 aduan daripada orang awam yang hadir ke program Hari Bertemu Pelanggan (HBP) di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di sini hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program berkenaan menjadi landasan kepada orang ramai untuk bertemu pengurusan atasan MBSA bagi membincangkan aduan serta permasalahan untuk tindakan terus.

“Seramai 100 pengunjung hadir ke program HBP MBSA dengan antara aduan-aduan yang diajukan adalah pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB), kerosakkan jalan, parkir kenderaan di luar petak, kerosakkan lampu jalan , halangan awam kenderaan buruk, pembersihan longkang, dan cantasan pokok.

“Program itu juga adalah komitmen berterusan MBSA mempertingkatkan serta memperbaiki sistem penyampaian komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, HBP MBSA turut disertai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan, Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan-Jabatan MBSA.

Antara jabatan MBSA terlibat adalah Jabatan Pelesenan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Bangunan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Perancangan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Jabatan Kesihatan Persekitaran.

Program ini turut menawarkan perkhidmatan antara seperti penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan dan pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik dan semakan aduan permohonan ubahsuai premis.

“HBP MBSA juga merupakan usaha pihaknya untuk memberi ruang kepada Jabatan mempromosikan perkhidmatan serta produk kepada orang ramai yang hadir ke program ini,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA anjur Hari Bertemu Pelanggan pada 1 Mac

OLEH MUHAMMAD ZAIM

SHAH ALAM, 19 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan program Hari Bertemu Pelanggan, pada 1 Mac ini bagi memberi peluang kepada orang ramai menyalurkan aduan dan saranan kepada Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program yang bermula dari jam 9.30 sehingga 11.30 pagi itu adalah inisiatif MBSA untuk mendekati warga Shah Alam secara terus.

“Orang ramai dan pihak berkepentingan berpeluang menyalurkan aduan, komen dan saranan kepada MBSA dalam usaha memperbaiki sistem penyampaian berkesan untuk manfaat warga Shah Alam.

“Selain itu, ia adalah landasan untuk warga Shah Alam bertemu dengan pihak pengurusan atasan MBSA,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, program yang bakal berlangsung di Dewan Bankuet, Wisma MBSA itu turut memberi ruang kepada jabatan, bahagian dan pejabat Cawangan MBSA untuk mewar-warkan serta mempromosikan perkhidmatan juga produk kepada orang ramai.

“Pada program itu, MBSA akan memberikan 100 cenderahati percuma kepada 100 pengunjung terawal.

“Program itu turut menyediakan perkhidmatan seperti penyemakan dan pembayaran cukai taksiran dan kompaun trafik, semakan aduan serta permohonan ubah suai premis,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang anjur HBP dekati masyarakat

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 23 OKT: Majlis Perbandaran Sepang menjemput orang ramai khususnya warga daerah itu menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan (HBP) dan Hari Terbuka, pada Sabtu ini.

Menurut laman Facebook MPSepang, program itu akan diadakan bermula jam 7.30 pagi hingga 4 petang.

Program akan diadakan di Pentas Budaya Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dengan pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya senaman zumba, derma darah, persembahan buskers dan pemeriksaan kesihatan.

Selain itu, terdapat juga pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan kids idol, pameran agensi kaunter cukai dan aduan serta cabutan bertuah.