Categories
RENCANA WAWANCARA

Banyak kepuasan buat kerja amal kebajikan

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Secara jujur, tidak semua insan sanggup mengabdikan diri melakukan sesuatu yang tidak menjanjikan pulangan besar termasuklah kerja amal, apatah lagi kebanyakannya dibuat secara sukarela.

Di sebalik pujian, tidak kurang juga ada yang dilemparkan dengan kata-kata nista dan sindiran, seperti yang dikongsikan sendiri oleh Datuk Chua Sui Hau, 47, pengasas serta pengerusi pusat kebajikan One Hope Charity and Welfare yang berpejabat di Padang Lalang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Biarpun niat murni beliau mahu membantu insan dalam kesusahan tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama, masih ada terdengar suara hasutan yang meminta beliau hanya menghulurkan bantuan kepada kaum Cina semata-mata.

Tidak mengalah dengan hasutan itu, Chua tetap bertekad untuk menyempurnakan impiannya iaitu membantu mereka yang dalam kesempitan, kesusahan sekali gus mengembalikan keceriaan insan yang perlu dibantu, tanpa mengira latar belakang, kaum serta agama yang dianuti.

Menyingkap kisah penubuhan One Hope Charity and Welfare, Chua berkata, semuanya bermula pada tahun 2002 ketika beliau berumur 27 tahun.

Pada masa itu, beliau mempunyai karier yang stabil namun acap kali Chua melihat dalam masyarakat ada ahli keluarga yang ditimpa kesusahan, menghidap sakit kritikal serta dihimpit masalah kewangan untuk melunaskan bayaran rawatan. Bukan sahaja kesihatan semakin merosot bahkan ada yang sehingga meninggal dunia.

“Kita maklum, ada pesakit yang tidak boleh tunggu lama, perlu segera jalani pembedahan, jadi saya tubuh One Hope Charity untuk membantu orang yang seperti itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sepanjang menjalankan kerja-kerja amal, Chua tidak menafikan ada sahaja cabaran yang terpaksa dilalui ketika mengendalikan pusat kebajikan berkenaan.

“Sejak hari pertama memulakan kerja amal, saya menanam hasrat ingin membantu orang Melayu, Cina dan India. Tidak juga kira agama, saya akan memberi pertolongan yang sama kepada mereka yang benar-benar memerlukannya. Saya pernah dikritik dengan sindiran dan kata-kata nista oleh masyarakat sekeliling yang cuba menghasut untuk tidak menolong kaum lain selain kaum saya.

“Bagaimanapun, semuanya itu tidak langsung mematahkan semangat dan menjadi penghalang kepada saya. Saya pernah diaju pertanyaan oleh segelintir pihak mengapa harus bantu kaum lain selain kaum Cina sedangkan setiap kaum mempunyai persatuan kebajikan masing-masing yang boleh membantu mereka yang susah,” katanya.

Kepercayaan dan sokongan masyarakat jadi kekuatan

Pendorong utama untuk Chua tekad meneruskan kerja amal sudah tentunya kepercayaan dan sokongan masyarakat umum.

Beliau berasa puas apabila melihat ramai pesakit yang dahulunya menderita kini ceria dan semakin sihat menjalani kehidupan bersama keluarga.

“Kita semua maklum, sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang pemurah dan baik hati. Mereka memberi sumbangan tanpa mengira kaum dan agama. Bagi mereka, walaupun warna kulit kita berbeza, namun darah kita semuanya berwarna merah dan nyawa lebih bernilai daripada segala-galanya,” jelasnya.

Chua berharap agar lebih ramai masyarakat bersatu padu memperjuangkan hal kebajikan kerana ia dapat melahirkan suasana hidup bertoleransi dan muhibah.

“Sebelum pandemik Covid-19 ini, ibu bapa sering datang mengunjungi pejabat One Hope Charity dengan anak-anak mereka yang sudah pulih dari rawatan. Ketika melihat kanak-kanak ini yang diselamatkan di Unit Rawatan Rapi sebelum ini tersenyum riang sambil memeluk ibu bapa mereka dan berlari-lari di sekitar kawasan pejabat membuatkan saya gembira kerana mereka kembali pulih dan lincah,” katanya sambil menambah, ada juga yang sebelum ini mempunyai masalah pendengaran kini mampu mendengar semula.

Menurut Chua, beliau juga berasa bangga apabila semakin banyak pertubuhan kebajikan muncul dalam masyarakat, masing-masing menabur bakti untuk sama-sama membantu tanpa mengira kaum dan sekaligus dapat memupuk semangat perpaduan.

Mahu tubuh hospital kebajikan

Apabila ditanya tentang impian masa hadapannya, Chua berkata beliau mahu membuka sebuah hospital kebajikan dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Fokus utamanya mahu memberikan sinaran kegembiraan kepada ramai pesakit di luar sana.

Di musim pandemik Covid-19 ini, Chua berkata, pihaknya aktif menyokong hospital bagi memerangi koronavirus yang boleh membawa maut ini.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuk menderma peralatan perubatan, peralatan perlindungan peribadi (PPE), pelitup muka serta penyerahan dua buah katil ICU (Unit Rawatan Rapi) kepada Wad HDU Cardiothoracic Hospital Pulau Pinang.

“Selain itu, kami juga membuka Pusat Pemberian Vaksin One Hope Charity di Auto City, Juru, Bukit Mertajam. PPV ini adalah yang pertama dibuka oleh NGO (Badan Bukan Kerajaan) di negara ini,” katanya.

Kepuasan yang sukar ditafsir

Bernama turut menemu bual Maziiana Mhd Azhari, Ketua Projek Aktiviti Kemanusiaan & Media NGO di Al-I’tisam Relief Program yang berpejabat di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Menurut beliau, melakukan kerja amal merupakan kepuasan yang tidak terhingga dan sukar untuk ditafsir dengan kata-kata apabila berpeluang melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan.

Aktiviti sedemikian, katanya sudah sebati dalam dirinya sejak dari kecil bermula dari aktiviti keluarga yang suka memberi makanan kepada insan yang memerlukan.

“Walaupun ketika itu keluarga saya juga bukanlah dari kalangan orang senang namun niat dan sikap ibu yang suka membantu dan berkongsi rezeki. Sikap ini menjadi kebiasaan sehingga saya dewasa.

“Apabila diberi peluang sepenuh masa menjadi pekerja sosial ianya merupakan satu hadiah yang paling bermakna. Saya sangat berharap saya terus istiqamah dalam kerja-kerja kebajikan ini hingga akhir hayat,” kongsi wanita itu dalam perbualan telefon bersama Bernama baru-baru ini.

Selain menjadi pekerja kemanusiaan di NGO Al-I’tisam, Maziiana turut aktif menyertai aktiviti sukarelawan bersama NGO lain serta menjalankan aktiviti amal sendiri bersama kawan-kawannya.

Sepanjang sembilan tahun melaksanakan kerja amal itu, antara misi kemanusiaan di luar negara yang disertai Maziiana adalah di Kemboja sejak tahun 2012, misi kemanusiaan ke Gaza di Semenanjung Utara Gaza (Februari 2013), Bangladesh (2015) serta misi kemanusiaan Gempa Bumi di Palu, Sulawesi.

Manakala misi kemanusiaan di dalam negara yang pernah disertai Maziiana ialah Misi Banjir (seluruh negeri) bermula tahun 2014 hingga kini. Terkini membantu mangsa banjir di Yan, Kedah.

Selain itu, beliau turut menyertai misi Bantuan Dapur Panas (memasak masakan panas), misi Bantuan Pek Makanan termasuk perkampungan orang asli dan misi Bantuan Joran (memberi bantuan perniagaan kepada peniaga kecil).

Selain aktif dengan badan yang disertainya, Maziiana turut melakukan kerja amal secara peribadi bersama kenalan rapatnya antaranya mengutip sampah di pantai, memberi makan kepada gelandangan, membersihkan rumah asnaf, bantuan pek makanan asnaf serta membersihkan kubur tidak berwaris.

Kerja amal di luar negara

Maziiana berkata, sebelum berlakunya pandemik Covid-19, beliau kerap berada di Kemboja setiap tiga bulan bagi memastikan projek di negara itu dijalankan dengan baik dengan dibantu oleh sukarelawan Kemboja yang merupakan anak tempatan Kemboja.

Menurut Maziiana, dalam menjalankan misi kemanusiaan itu sudah tentu harapan utama adalah misi yang disertainya itu mencapai matlamat.

“Kami berharap, menerusi misi yang kami jalankan ini, generasi yang kurang berkemampuan di negara berkenaan akan berubah dan keluar daripada kemelut kemiskinan.

“Miskin ini bukan satu pilihan tetapi kita mampu mengubahnya. Di samping itu dapat mengurangkan beban penderitaan yang ditanggung walau adakalanya bantuan yang diberikan hanya seketika,” katanya yang bertanggungjawab dalam mengendalikan video serta bertindak sebagai jurukamera sepanjang misi berlangsung.

Bagi Maziiana, peluang melihat sendiri keadaan sebenar yang berlaku di negara lain banyak memberi keinsafan kepada dirinya.

“Kita boleh mendidik hati dan minda kita sendiri dengan bermuhasabah diri dengan setiap apa yang dilihat di hadapan mata. Selain itu kita sedar bahawa kita tidak senantiasa berada dalam zon selesa kerana di sekeliling kita lebih ramai yang memerlukan bantuan,” katanya.

 

Rencana ini bersempena dengan sambutan Hari Amal Antarabangsa yang disambut pada 5 Sept.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Petugas amal perlu manfaat teknologi, berani depani cabaran global

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Tanggal 5 Sept ini menandakan tarikh sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa seperti yang diamanatkan perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tujuan utama sambutan ini adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan menyediakan platform berupa aktiviti berkaitan amal di seluruh dunia untuk setiap organisasi, badan amal, dermawan dan sukarelawan bagi menjalankan aktiviti mereka sendiri.

Amal, sama seperti konsep kesukarelaan dan kedermawanan, memberikan ikatan sosial yang nyata, di samping menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang inklusif dan lebih berdaya tahan.

Menurut laman web rasmi PBB, 5 Sept dipilih bagi memperingati ulang tahun kematian Ibu Teresa dari Calcutta, India yang pernah menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1979 bagi meraikan hasil kerja beliau memerangi kemiskinan dan kesusahan, yang juga dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan.

Tentunya, sambutan tahun ini perlu memberi fokus terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bagi kewujudan pelbagai aktiviti amal serta fungsinya mengurangkan kesan buruk akibat krisis kemanusiaan, menambah perkhidmatan awam dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan dan perlindungan kanak-kanak terutama dalam mendepani cabaran global yang wujud pasca pandemik Covid-19.

Cabaran baharu petugas amal

Tidak dinafikan, pandemik Covid-19 yang berlaku di hampir setiap pelosok dunia tentunya memberi impak terhadap kerja amal berikutan sempadan negara yang masih ditutup bagi mengekang penyebaran virus ini.

Penolong Setiausaha Yayasan Amal Malaysia (Amal) Hafizul Husni Alias mengambil contoh di Malaysia, jika sebelum ini prosedur untuk menyampaikan sumbangan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada para penerima tidaklah begitu sukar, namun kini akibat Covid-19, segalanya berubah dengan pengamalan norma baharu tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Contohnya, sebelum ini, apabila diadakan program agihan sumbangan, kita perlu menghimpunkan orang ramai untuk menerima sumbangan. Namun kini dengan SOP baharu, kita perlu mempercepatkan serta mematuhi SOP agihan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan menghadkan waktu penerimaan mengikut giliran,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat sementara Amal di Sungai Merab, baru-baru ini.

Menjelas lanjut, terdapat banyak hikmah tersembunyi dari asbab pandemik dan pengamalan norma baharu ini, antaranya ia membuka ruang baharu kepada setiap NGO khususnya untuk mengkaji kaedah terkini bagi mengutip dan menyampaikan sumbangan kepada penerima, di samping boleh memanfaatkan setiap teknologi yang wujud untuk dijadikan medium pemudah cara.

“Pada zaman Revolusi Perindustrian 4.0 ini, kita seharusnya mengguna pakai teknologi yang ada, contohnya internet dan Data Raya. Ada sebahagian NGO bangunkan sendiri Data Raya mereka dan ia boleh dikongsikan dengan NGO yang lain. Penggunaan telefon bimbit juga dapat memudahkan kita menghubungi mana-mana ketua kampung terbabit untuk dapatkan senarai nama penduduk yang layak menerima sumbangan.

“Di pihak Amal, kita turut bekerjasama dengan pihak pembangun aplikasi BOOST untuk kita kongsi iklan program kita, capaiannya lebih meluas dan orang ramai boleh turut menyalur sumbangan mereka dengan hanya klik pada ikon ‘donate charity’, begitulah mudahnya untuk kita buat kerja amal pada zaman teknologi ini,” katanya.

Lahirkan belia cinta amal

Mengikut data terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan muda belia akan menjadi golongan majoriti negara ini dengan hampir menyamai 50-60 peratus penduduk negara menjelang 2030.

Hafizul Husni menjelaskan, adalah amat wajar pihak NGO melihat perkara ini sebagai satu potensi besar untuk merekrut mereka menjadi sebahagian petugas amal kerana mereka perlu dipersiapkan untuk menjadi generasi pelapis berwibawa pada masa hadapan.

“Jika kita lihat situasi sekarang, rata-ratanya golongan ini merasa muak dengan suasana politik negara yang tidak menentu, jadi ramai dalam kalangan mereka memilih untuk sertai NGO dan pertubuhan amal untuk mereka teruskan momentum berkhidmat kepada masyarakat.

“Amatlah penting untuk kita terus menyuburkan rasa peduli ummah dalam jiwa-jiwa belia kita, dengan itu sistem pendidikan khususnya di peringkat sekolah dan universiti perlu mainkan peranan proaktif dalam menumbuhkan idealisme cintakan kerja amal ini kepada para pelajar,” jelas beliau.

Satukan semangat

Sebenarnya, nilai sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa adalah amat sama dan signifikan dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut 16 Sept ini.

Di manakah titik persamaannya? Hafizul Husni menjelaskan, Hari Kerja Amal Antarabangsa adalah hari untuk menyemarakkan aktiviti beramal tanpa mengira warna kulit atau bangsa, manakala Hari Malaysia pula adalah bagi meraikan rasa kebersamaan walaupun kita hidup dalam kepelbagaian agama dan kaum namun tetap rukun dan harmoni.

“Pada hakikatnya, kedua-dua sambutan ini mempunyai nilai dan semangat yang sama, lebih-lebih lagi Malaysia ini negara yang unik kerana citranya berbilang bangsa dan kaum, jadi dengan menyatukan semangat kedua-dua sambutan ini, dapatlah kita semarakkan lagi kesatuan dan toleransi di antara kita.

“Janganlah kita menyempitkan fikiran yang kita hanya perlu membantu bangsa kita sahaja, walhal nilai manusiawi itu menjangkaui batas bangsa dan agama. Sebenarnya pandemik Covid-19 ini membuka mata kita bahawa kita ini sebenarnya perlu hidup bersatu dan saling bantu-membantu,” katanya.

Aktiviti amal beri impak

Bagi diri penulis pula, sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa ini amat bermakna kerana penulis pernah terlibat sebagai delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menjayakan misi kemanusiaan ke Syria dan Lubnan pada April 2019.

Itulah pengalaman pertama kali penulis menjadi wakil wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi melaporkan aktiviti delegasi sepanjang berada di sana selama dua minggu.

Misi delegasi 13 orang itu adalah bagi menyerahkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada pelarian Syria di kem-kem pelarian sekitar Lubnan dan Syria.

Masih segar dalam ingatan, betapa riangnya kanak-kanak dan penghuni di kem pelarian Dataran Beyrouti di wilayah Beqaa, Lubnan ketika pihak delegasi tiba bagi menghulurkan sumbangan makanan asas dan barangan keperluan kepada hampir 35 keluarga di situ.

Ketika delegasi tiba di kem itu kira-kira 8 malam waktu tempatan, cuaca teramat sejuk iaitu sekitar empat darjah Celcius dan penulis sendiri melihat ramai kalangan mereka tidak mempunyai baju sejuk yang sesuai untuk bertahan dengan cuaca ekstrim itu.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah memasak hidangan sup panas dan menikmatinya secara beramai-ramai, di samping aktiviti meniup belon bersama kanak-kanak, dan suasana amat meriah walaupun dalam keadaan kem yang agak gelap kerana kekurangan lampu yang menerangi sekitar kem.

Titik tolak positif

Seketika hati penulis tiba-tiba terasa luluh dan hiba melihatkan nasib anak kecil yang menjadi mangsa pelarian akibat perang yang meletus di Syria sejak sembilan tahun yang lepas.

Dalam kembara yang sama, penulis sempat masuk ke Syria antaranya kota Al-Rashidin (terletak satu kilometer dari barat daya Aleppo), kota Hayyan dan Kafar Hamra bagi menyampaikan bantuan kepada hampir 100 keluarga dengan jumlah penerima kira-kira 700 pelarian dan menyaksikan sendiri betapa hancurnya negara itu akibat perang yang meletus.

Pengalaman sebegini membuka mata penulis betapa pentingnya kita menghargai jasa mereka yang sentiasa melakukan kerja amal kerana sanggup mengorbankan segala-galanya bagi membantu insan-insan yang amat memerlukan bantuan dan sokongan.

Pengalaman emas ini juga menjadi satu titik tolak positif buat diri penulis untuk terus membantu mereka yang kesusahan, kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang manusia iaitu sentiasa meringankan beban orang lain yang tersepit dengan masalah.

-BERNAMA