Categories
NASIONAL

Pemecatan Haziq daripada PKR wajar, adil

KOTA BHARU, 5 JUL: Pemecatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah satu tindakan yang wajar dan adil, kata Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul Iskandar berkata asas pemecatan Haziq adalah jelas apabila telah disahkan membuat tuduhan tidak berasas terhadap pimpinan parti berhubung salah laku rasuah selain tuduhan berhubung sebuah video intim.

“Tuduhan itu tiada kaitan langsung dengan pimpinan parti dan apa yang dilemparkan adalah tuduhan yang tidak berasas. Ini sudah jadi satu asas kuat untuk parti mengambil tindakan.

“Prinsip kita, isu berkaitan parti harus dirungkai melalui kaedah dalaman. Jadi, tiada sebarang asas yang kuat lagi untuk beliau pertahankan. Saya juga percaya proses keadilan telah diberikan kepada beliau ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Citra dan Khidmat Bakti Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di sini, malam tadi.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama Datuk Tan Yew Chong, Pengerusi LKTN Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN Samsudin Noor.

Dua hari lepas PKR membuat keputusan memecat Haziq Abdullah daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tataetika parti.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Biro Politik PKR yang diketuainya membuat keputusan itu selepas menerima syor dibentangkan Lembaga Disiplin parti dan surat pemecatan itu akan dikeluarkan segera.

Sementara itu Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama itu berkata setakat ini beliau masih belum mendapatkan pengganti bagi memenuhi jawatan Setiausaha Sulit Kanannya.

“Saya menerima banyak permohonan daripada pelbagai latar belakang namun pengalaman lepas mengajar saya untuk lebih teliti dalam memilih calon terbaik.

“Saya memerlukan masa bagi meneliti permohonan yang diterima bagi memastikan pegawai yang dilantik mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang tugas yang dipertanggungjawabkan,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu video: Hilman nafi ugut Haziq

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham menafikan dakwaan beliau mengugut Haziq Abdullah Abdul Aziz ketika bertemu di sebuah hotel di Putrajaya berhubung isu video, pada 11 Jun lalu.

Beliau menjelaskan, laporan dibuat Haziq yang juga pegawai timbalan menteri itu sebagai palsu sebaliknya pertemuan tersebut adalah atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk menteri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut dan ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah laporan palsu.

“Dalam pertemuan tersebut, Haziq telah menyatakan kepada saya bahawa beliau adalah mangsa permainan politik kotor untuk menjatuhkan Mohamed Azmin.

“Beliau juga menyatakan bahawa video tersebut palsu dan menafikan beliau adalah karakter dalam video tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Haziq memuatnaik dua keping gambar laporan polis yang dibuat terhadap Muhammad Hilman di laman Facebook berhubung ugutan yang diterimanya.