Categories
ADN SELANGOR

Hilman: Bersatu rencana pelan, hala tuju negara

SHAH ALAM, 1 JAN: Tahun 2020 membuka lembaran baharu buat seluruh masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama memperkukuh tekad merencana pelan dan hala tuju pentadbiran negara.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata tekad itu selaras fajar perubahan yang terbit dua tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Sejak kecil, tahun 2020 adalah satu wawasan dan harapan raksasa yang dipasak dalam kehidupan saya sebagai anak watan dan hasrat seluruh rakyat Malaysia menuju ke arah negara maju, berteknologi dan hebat.

“Sebagai kesinambungan visi dan misi ini, PAKATAN mencerakinkan Wawasan Kemakmuran Bersama yang akan membawa kita mendepani arus perubahan zaman,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2020.

Hilman berkata tirai 2019 dilabuhkan dengan pelbagai peristiwa, usaha dan ikhtiar pembangunan yang sudah dirancang serta dilaksanakan Kerajaan PAKATAN.

“Saya merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih buat sekalian warga di atas kerjasama, muafakat serta ukhwah yang dijalinkan sepanjang saya berkhidmat dan mengabdikan kepada rakyat.

“Menjadi harapan saya supaya usaha gigih ini dapat terus dilipat gandakan pada 2020. Semoga azam ini akan membawa kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat khususnya warga Gombak Setia,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Gombak Setia bidas kelesuan pembangkang

SHAH ALAM, 4 NOV: Ahli Dewan Negeri pembangkang dibidas ekoran gagal mengambil peluang membahaskan Belanjawan #Selangor2020 yang dibentangkan pada 1 November lalu.

Muhammad Hilman Idham (PAKATAN-Gombak Setia) berkata sikap ditunjukkan itu mencerminkan kegagalan pembangkang melihat belanjawan negeri sebagai dokumen penting.

“Saya terkilan sikap pembangkang yang gagal menggunakan peluang dan landasan Dewan Negeri Selangor sebagai tempat terbaik membahaskan belanjawan.

“Ini menunjukkan pembangkang tidak menganggap sidang ini dan belanjawan negeri sebagai dokumen serius,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di DNS di sini hari ini.

Beliau turut terkilan apabila hanya ketua pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan.

“Lebih menyedihkan apabila terdapat anggota pembangkang tidak hadir ketika belanjawan negeri dibentangkan Jumaat lalu,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Projek Regenerasi bandar hidupkan kesuraman Taman Greenwood

GOMBAK, 24 OGOS: Kemegahan Taman Greenwood yang sebelum ini menjadi nadi Gombak kembali ‘berdenyut’ melalui pembangunan Projek Regenerasi Bandar dengan penjenamaan ‘Greenwood The New Outlook’.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, projek berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa pembangunan meliputi kawasan dari persimpangan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) ke Taman Greenwood ke Masjid As-Shariff, Gombak.

Katanya, fasa pertama projek itu sudah dimulakan dengan anggaran kos RM4 juta dan dijangka siap menjelang April 2020.

“Fasa pertama akan meliputi usaha pembangunan Linear Park dan Taman Hijau untuk kegunaan riadah keluarga, pembinaan Dataran Greenwood yang lebih menarik, kerja menaik taraf laluan pejalan kaki serta railing juga pembangunan mercu tanda (pylon).

“Sementara itu, pembangunan fasa kedua meliputi usaha menaik taraf medan selera, stesen bas dan laluan pejalan kaki dan railing termasuk pengindahan fasad bangunan komersial dengan konsep ‘street art’,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Hilman melancarkan ‘Greenwood The New Outlook’ dan Kempen Basmi Tikus Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di Medan Selera MPS Taman Greenwood, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, projek dengan perancangan bersama MPS itu akan menampilkan Taman Greenwood yang berwajah baharu dan lebih ceria serta berdaya huni, sekali gus memacu perkembangan komuniti bandar sejahtera.

Katanya, nilai hartanah semasa terutama di Gombak Setia mampu ditingkatkan selain menjamin pembangunan berkualiti demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian lingkungan.

“Ini kerana kawasan komersil perniagaan yang sebelum ini suram tanpa kunjungan pelanggan bakal disuntik dengan imej lebih kreatif, di samping prasarana yang moden akan menarik lebih ramai anak muda melakukan aktiviti di Greenwood Park.

“Malah, lebih penting kemegahan Taman Greenwood akan menjana ‘esprit de corps’ atau kebersamaan dalam masyarakat yang bangga dengan kawasan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Majlis Silaturrahmi Eidul Fitr DUN Gombak Setia meriah

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 16 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari antara yang hadir memeriahkan Majlis Silaturrahmi Eidul Fitr DUN Gombak Setia di Padang Taman Selaseh Fasa 2.

Mohamed Azmin yang terlebih dahulu tiba sekitar jam 10 pagi bersama isteri, Datin Seri Shamshida Taharin meluangkan masa hampir satu jam sebelum beredar.

Manakala Amirudin bersama isteri, Masdiana Muhammad pula tiba sekitar jam 12 tenghari.

Kedua-dua pemimpin itu turut memberikan duit raya kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang hadir ke majlis ini.

Pengunjung turut mengambil kesempatan bersalaman bersama pimpinan dan merakam gambar kenangan.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham selaku tuan rumah mengucapkan terima kasih kepada hampir 3,000 orang awam yang hadir memeriahkan rumah terbuka hari ini.

Beliau berharap majlis ini akan memperkukuh ukhwah dan muafakat di semua peringkat khususnya di kawasan DUN Gombak Setia.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

 

Categories
NASIONAL

Isu video: Hilman nafi ugut Haziq

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham menafikan dakwaan beliau mengugut Haziq Abdullah Abdul Aziz ketika bertemu di sebuah hotel di Putrajaya berhubung isu video, pada 11 Jun lalu.

Beliau menjelaskan, laporan dibuat Haziq yang juga pegawai timbalan menteri itu sebagai palsu sebaliknya pertemuan tersebut adalah atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk menteri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut dan ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah laporan palsu.

“Dalam pertemuan tersebut, Haziq telah menyatakan kepada saya bahawa beliau adalah mangsa permainan politik kotor untuk menjatuhkan Mohamed Azmin.

“Beliau juga menyatakan bahawa video tersebut palsu dan menafikan beliau adalah karakter dalam video tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Haziq memuatnaik dua keping gambar laporan polis yang dibuat terhadap Muhammad Hilman di laman Facebook berhubung ugutan yang diterimanya.

Categories
SELANGOR

Lebih 2,000 penduduk Parlimen Gombak terima sumbangan Aidilfitri

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 22 MEI: Lebih 2,000 penduduk di sekitar Parlimen Gombak menerima sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri dengan nilai keseluruhan RM1.8 juta, hari ini.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, ia membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bukit Antarabangsa, Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Katanya, sumbangan itu adalah antara tradisi Parlimen Gombak dalam menyantuni rakyat di kawasan terbabit terutama ketika Aidilfitri.

“Secara tradisinya kita memang sudah mengadakan sumbangan Aidilfitri ini sejak dahulu lagi, sekali gus menyantuni rakyat di sini untuk menceriakan mereka.

“Pada tahun ini juga kita berpeluang menyumbang bantuan tunai RM500 setiap seorang dan sedikit keperluan dapur bernilai RM150,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sumbangan Eidul Fitr Parlimen Gombak di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, di sini hari ini.

Beliau mewakili Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyampaikan sumbangan terbabit.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan pengecut simbah cat merah, lempar molotov cocktail

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 18 MEI: Dua kejadian ancaman dan ugutan terhadap Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Norhayati Ahmad disifatkan pengecut serta tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku dan akan terus menyokong serta mempertahankan penjawat awam baik di peringkat Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan.

“Kehadiran kami memberikan sokongan moral dan solidariti kepada kejadian yang berlaku sebanyak dua kali.

“Kita sama sekali beranggapan bahawa ini satu tindakan pengecut dan tidak bertanggungjawab, berkemungkinan dilakukan untuk menggugat keselamatan atau mengurangkan tindakan tegas diambil MPS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meluangkan masa lebih setengah jam menziarahi keluarga Norhayati, 40 dan suami, Muhamad Norsam Md Arof, 42, di Taman Muhibbah, Rawang.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia itu juga memaklumkan Parlimen Gombak sedang meneliti beberapa isu yang perlu diselesaikan dengan kerjasama MPS dan pasukannya tetap bersemangat serta bersedia untuk bertindak.

Pada 28 April lalu, kawasan anjung kediaman Norhayati dilempar cat merah sehingga mengakibatkan kerosakan dua buah kenderaan yang diparkir di dalam rumah.

Perkara itu disedari suaminya sekitar 7 pagi selepas terhidu bau cat yang kuat, manakala Norhayati ketika itu berada di Shanghai, China atas urusan kerja.

Tidak terhenti di situ, ancaman kedua dilakukan pada awal pagi 13 Mei lalu apabila molotov cocktail dilemparkan ke atas bumbung rumahnya yang mengakibatkan kebakaran kecil.

Dentuman kuat yang turut didengari jiran menyebabkan mereka keluar untuk melihat keadaan serta membantu memadamkan kebakaran.

Kesan daripada kejadian itu menyebabkan enam buah kereta rosak terkena percikan cat dan laporan polis turut dibuat.

Difahamkan, kes terbabit masih disiasat polis dan pihak MPS turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kawasan rumah serta kejiranan Norhayati.

 

Categories
SELANGOR

Utamakan prasarana baharu kampung tradisi Gombak Setia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pembangunan prasarana baharu untuk kemudahan penduduk antara agenda yang akan diberi perhatian sebagai usaha memberdaya dan menaik taraf kampung tradisi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Ahli Dewan Negerinya, Muhammad Hilman Idham berkata, terdapat tujuh kampung tradisi yang memerlukan kehidupan lestari antaranya Kampung Gombak Utara, Kampung Sungai Pusu, Kampung Sungai Cincin, Kampung Simpang Tiga, Kampung Tengah, Kampung Changkat termasuk Kampung Kerdas.

Beliau berkata, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang meneliti keperluan terhadap perkara itu bagi merealisasikan hasrat penduduk yang menetap di kampung Melayu tradisi.

“Kita sudah selesai membangunkan sebuah gelanggang futsal di Batu 11, Kampung Gombak Utara dan Kampung Simpang Tiga kepada generasi muda, malahan ada beberapa lagi perancangan lain yang sedang kita laksanakan.

“Kampung Melayu tradisi ini adalah kampung terkenal, cuma sebelum ini tidak kelihatan ekoran tiada tanda nama kampung, jadi saya sudah meluluskan peruntukan lebih RM150,000 untuk MPS melaksanakan kerja pembinaan tanda nama kampung untuk ketujuh-tujuh kampung berkenaan.

“Kita berharap sebelum tiba Syawal, kerja pelaksanaan ini sudah disiapkan dan keluarga yang pulang beraya di semua kampung tradisi dapat melihat perubahan di kampung mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Sejak mengambil alih pentadbiran di DUN berkenaan, Hilman berkata, perkara pertama dilaksanakan ialah mencadangkan kepada MPS untuk menaik taraf Taman Greenwood melalui program Rejuvenasi.

“Langkah awal kita adalah menaik taraf Taman Greenwood seperti dataran, ‘green park’, ‘pedestrian walk’ selain memperindah kawasan itu dengan tanda nama ‘Greenwood’.

“Selepas itu, kita melihat terdapat keperluan disebabkan di hujung Taman Greenwood ada dua kampung iaitu Kampung Simpang Tiga dan Kampung Changkat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Gerak ‘task force’ bancian kediaman kawasan rizab berisiko

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 13 APR: Kerajaan Negeri sedang menggerakkan satu pasukan bertindak atau ‘task force’ untuk menjalankan bancian terhadap kediaman penduduk di sekitar Gombak Setia, khususnya kawasan rizab berisiko tinggi.

Ahli Dewan Negerinya, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya mahu memastikan setiap keluarga atau kediaman di kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat dan sempurna bagi mengelakkan kejadian seperti ribut petir berulang.

Katanya, sebahagian besar penduduk yang menjadi mangsa kejadian itu menetap sama ada di rizab jalan, sungai atau hutan.

“Kita dalam peringkat membuat bancian untuk melihat dan menyenaraikan semua rumah serta keluarga yang tinggal dalam ketiga-tiga rizab ini selain melihat risiko yang mereka perlu hadapi.

“Anggaran mereka yang menetap di tanah rizab berisiko adalah sangat ramai di kawasan antara Batu 10 hingga 12 dan kebanyakan mereka tinggal di sana sudah lama, ada yang menetap lebih 40 tahun agak susah meminta mereka berpindah.

“Saya yakin dengan ketegasan dan komitmen Kerajaan Negeri khususnya dalam soal keselamatan serta kesejahteraan keluarga, mereka akan bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan Ehsan dan Penyerahan Kunci Kediaman Baharu kepada mangsa bencana, di Masjid Zakaria, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Muhammad Hilman berkata, pihaknya berjaya menawarkan 13 rumah kepada mangsa terjejas dalam kejadian ribut itu dan yakin untuk turut menawarkan kediaman sama jika penduduk bersetuju berpindah.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang meneliti beberapa usaha pembangunan baharu di kawasan berkenaan termasuk untuk melebarkan jalan Gombak.

“Tawaran sama kepada kumpulan lain yang bersetuju untuk berpindah selain kita melihat pilihan lain dengan mengutamakan mereka memiliki rumah mampu milik seperti Rumah SelangorKu.

“Ada dalam kalangan mereka berada di usia muda masih berkemampuan membuat pinjaman perumahan, malahan ramai dalam kalangan mereka ini yang mahu kita utamakan supaya dapat beli rumah SelangorKu,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Mangsa ribut senyum, syukur terima rumah baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 13 APR: Senyum lebar tidak lekang daripada raut wajah 13 keluarga penerima kunci kediaman baharu sebagai tanda terharu dan bersyukur atas komitmen Kerajaan Negeri membina semula kehidupan mereka.

Seorang mangsa, Salimah Dahari, 52, berkata, beliau bersyukur kerana Kerajaan Negeri tampil membantu menempatkannya sekeluarga di tempat baharu, sekali gus membuktikan keprihatinan terhadap mangsa bencana.

Katanya, bersama tiga anak lelakinya, kini mereka dapat menetap di kediaman lebih selesa dan sempurna biarpun sukar meninggalkan rumah lama milik arwah bapanya yang menyimpan banyak kenangan bersama.

“Saya menetap di rumah lama sejak dari lahir lagi. Kalau diikutkan memang sukar untuk terima kenyataan kehilangan rumah pusaka milik arwah bapa, namun kami terima seadanya.

“Alhamdulillah..kami sekeluarga amat berterima kasih kepada wakil rakyat di sini yang berusaha memastikan kami dapat rumah baharu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunci rumah berkenaan.

 

Penyerahan kunci rumah kediaman itu yang masing-masing bernilai RM42,000 seunit disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, di Masjid Zakaria, Gombak Utara, di sini, malam tadi.

Seorang lagi penerima, Amirah Ariffin, 53, berkata, dia menghargai inisiatif Kerajaan Negeri kerana memahami masalah kebajikan mangsa ribut petir yang terpaksa berdepan kesempitan hidup selepas dilanda musibah berkenaan.

“Keadaan rumah selepas dihimpap pokok sangat teruk sehingga saya tidak sanggup mengingatkan kembali kejadian pokok tumbang yag berlaku secara tiba-tiba.

“Apabila dapat berpindah ke rumah baharu ini, tiada apa yang dapat saya katakan melainkan syukur kerana dapat tinggal di rumah lebih selesa bersama anak,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

13 keluarga mangsa ribut terima kunci kediaman baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 13 APR: Penantian 13 keluarga yang kehilangan tempat berteduh ekoran dipukul ribut di Batu 11, di sini, akhirnya terlerai apabila menerima kunci kediaman baharu, malam tadi.

Penyerahan kunci rumah berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, di Masjid Zakaria, Gombak Utara.

Beliau berkata, kesemua keluarga terbabit menerima sebuah rumah yang ditawarkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bernilai RM42,000 seunit dengan keluasan 700 kaki per segi.

Katanya, rumah ditawarkan menggunakan konsep Sewa Milik kediaman (Rent-To-Own) dengan kadar sewa serendah RM250 setiap bulan tanpa dikenakan sebarang bayaran deposit.

“Mereka ditawarkan untuk memiliki rumah berkenaan dalam tempoh empat tahun, manakala jumlah sewaan sepanjang tempoh itu akan dianggap sebagai deposit untuk pembelian rumah terbabit, maka ia hanya akan tinggal 50 peratus lagi.

“Kita juga memberikan wang tunai RM3,000 setiap seorang untuk membeli kelengkapan rumah memandangkan kebanyakan rumah didiami sebelum ini musnah dan hanya tinggal sehelai sepinggang.

“Mereka bersetuju untuk berpindah sama ada rumah mereka musnah secara keseluruhan mahupun berada dalam zon tidak selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan itu.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Dalam majlis itu, Hilman turut menyerahkan sumbangan ehsan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada 40 mangsa ribut yang mengalami kerosakan rumah, sementara 141 penduduk terjejas banjir kilat menerima RM500 membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan RM150,000.

Selain wang tunai, pelajar terjejas dalam kejadian itu diberi komputer riba sumbangan kemasyarakatan daripada Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali.

Pada kejadian 28 Mac lalu, beberapa kawasan di daerah Gombak dilanda bencana ribut dan pokok tumbang sehingga meranapkan beberapa buah rumah dalam sekelip mata.

Kejadian malang itu juga menyebabkan lima buah rumah di Pondok Penyayang Raudhah musnah.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

Bantu baiki kediaman mangsa terjejas

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 29 MAC: Kerajaan Negeri akan membantu membaiki atau membina semula kediaman mangsa yang terjejas ekoran bencana ribut di Batu 11, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, keputusan dibuat sewaktu beliau menghubungi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, bagi memaklumkan kejadian terbabit.

Katanya, selain Kampung Gombak Utama, turut terjejas dalam kejadian ribut itu adalah Kampung Sungai Pusu dan Kampung Sungai Cincin.

“Ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan ini. Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan memberikan komitmen terbaik dalam membantu mangsa terjejas,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa lebih satu jam melawat mangsa di pusat pemindahan sementara, di Dewan Orang Asli Kampung Gombak Utara, Batu 11 bersama Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dalam kejadian malang itu, dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan lelaki berusia 31 tahun kritikal akibat terkena renjatan dan kini dirawat di Hospital Selayang.

Dalam kejadian petang semalam, lapan termasuk tiga kanak-kanak yang menghuni Pondok Penyayang Raudhah, Batu 11, Jalan Gombak, cedera selepa dihempap pokok susulan hujan dan ribut.