Categories
AGENDA NASIONAL

Pelakon veteran Idris Mat Diah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Pelakon veteran, Idris Mat Diah yang membawa watak Pak Andak dalam drama ‘7 Hari Mencintaiku’, meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita kematian Idris, 61, disahkan Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan, hari ini.

“Menurut anak Allahyarham, Alia, ayahnya tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi tadi, mereka menghubungi pihak ambulans yang kemudiannya mengesahkan arwah meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi,” kata Hafiz.

Hafiz berkata jenazah Allahyarham kini dalam perjalanan dari Putrajaya ke rumah mereka di Kepong dan akan diuruskan di Masjid Al-Faizin Kepong sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong.

“Anak arwah juga memaklumkan jika arwah ada berhutang pada sesiapa beliau memohon agar menghubungi pihak waris,” katanya menambah Seniman Malaysia turut mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.

Selain drama ‘7 Hari Mencintaiku’, Allahyarham juga pernah muncul dalam drama ‘Cucu Tauke Beras’, ‘Menantu Bilal’, ‘Andainya Takdir’ dan ‘Zahir Tak Terucap’.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Seminar bincang garis panduan hiburan di Institut Integriti Malaysia khamis ini

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama): Penggiat industri hiburan disaran supaya menyertai Seminar Kebangsaan Hiburan dan Islam bagi membincangkan garis panduan hiburan dari perspektif Islam selama dua hari mulai Khamis ini.

Ia akan diadakan di Institut Integriti Malaysia di Persiaran Duta off Jalan Duta di sini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata seminar itu akan memberi ruang kepada para ulama dan pemain industri hiburan bagi melengkapkan kertas kerja dan memorandum untuk diserahkan kepada semua agensi terlibat termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Kebanyakan media hari ini begitu melebihkan kepada hiburan tetapi tidak semuanya sesuai mengikut aliran Islam. Persoalannya apa bentuk hiburan yang boleh dan tidak boleh dalam Islam.

“Oleh itu seminar ini merupakan jalan tengah untuk mencari kebaikan bersama kerana industri hiburan memainkan peranan penting dalam mengubah masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya pada sidang media mengenai seminar tersebut di sini Isnin.

Antara penceramahnya ialah Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar, Pengarah Jabatan Agama Islam Kelantan Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan pengarah filem Aziz M. Osman.

Semua pemain industri hiburan seperti pengarah, penerbit, penulis skrip dan selebriti adalah dijemput untuk menyertai seminar yang dihadkan untuk 100 orang sahaja.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan PPIM di talian 019-9130000 atau menerusi laman Facebook dengan menaip ‘Seminar Hiburan dan Islam’.