SHAH ALAM 13 MAC : Jika dahulu Hidayatul Husna Nazarudin,22, terpaksa berkongsi komputer dengan tiga orang adik-beradiknya yang lain untuk menyiapkan tugasan pembelajaran.
Tetapi kini pelajar Universiti Selangor (Unisel) Bidang Pengurusan Perniagaan itu bagaikan mendapat ‘sinar baru’ yang menyuntik semangat untuk lebih cemerlang dalam pembelajarannya dengan bantuan komputer riba daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
“Jadi bila tiada komputer dahulu itu agak menyukarkan sedikit pembelajaran saya, tetapi apabila sudah mendapat bantuan ini maka akan memudahkan melaksanakan tugasan yang diberikan kelak,” kata beliau.
Hidayatul Husna yang merupakan anak yatim apabila kehilangan ayahnya tujuh tahun lepas merupakan antara pelajar Unisel yang cemerlang apabila memperolehi PNGK 3.89 pada semester lepas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Komputer Riba daripada LZS yang disampaikan oleh Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid di Dewan Pro-Canselor Unisel di sini.
Semangat itu dikongsi bersama dengan Nurul Farhana Abdul Aziz,23, berkata, pemberian bantuan itu akan memberikan kelebihan kepadanya untuk memudahkan pembelajaran kerana tidak perlu meminjam daripada rakan-rakannya dan pergi ke pusat siber.
“Dengan adanya ia akan memberi manfaat kepada saya, dahulu saya kena pergi ke perpustakaan dan pusat siber hanya semata-mata untuk menyiapkan tugasan,” katanya.
Beliau mengambil jurusan Ijazah Komunikasi Media memperolehi PNGK 3.74 adalah merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik daripada keluarga yang susah apabila hanya ibunya menanggung pembelajaran.
“Bantuan ini sangat membantu dan LZS banyak membantu saya untuk wang saku dan lain-lain,” kata Nurul.
Sementara itu, Mohammad Shahisam Mokhtar,21, berkata, komputer itu nanti memberikannya semangat untuk lebih cemerlang dalam pembelajarannya di masa hadapan serta akan digunakan sebaik mungkin.
“Alhamdulillah syukur dapat kemudahan ini dan akan memudahkan untuk saya menyiapkan tugasan,” katanya.
Para pelajar yang ditemui itu merupakan antara 200 penerima bantuan komputer riba berharga RM2,000 yang disumbangkan daripada LZS kepada Asnaf Zakat di mana jumlah keseluruhan bantuan RM400,000.