Categories
GLOBAL

Gempa bumi sekali lagi gegar Pulau Hokkaido

TOKYO: Pulau Hokkaido di utara Jepun sekali lagi berdepan gempa bumi pagi ini, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Pulau sama di utara Jepun itu juga mengalami gegaran paling kuat, awal bulan lalu.

Gegaran pada kira-kira jam 8.58 pagi (waktu tempatan) itu, pada awalnya berkekuatan 5.3 magnitud dan berada pada tahap lemah.

Berpandukan kepada skala kekuatan gempa bumi 1 hingga 7 Jepun, 7 adalah tahap paling kuat, menurut penyiar rasmi Jepun, NHK.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikar (USGS) berkata, gempa itu, yang diukur pada 5.2 magnitud berada pada kedalaman 42 kilometer dan berpusat di pantai selatan Hokkaido.

Pada 6 September lalu, gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melumpuhkan Hokkaido, mengorbankan berpuluh-puluh penduduk, mengakibatkan tanah runtuh dan menyebabkan 5.3 juta penduduknya terputus bekalan elektrik.

– Reuters

 

Categories
NASIONAL

Gempa Hokkaido: 16 terkorban, 26 masih hilang

TOKYO, 7 SEPT: Sekurang-kurangnya 16 terkorban dalam kejadian gemba bumi di uatara pulau Hokkaido sementara 26 lagi masih hilang, kata Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, hari ini.

Lebih separuh daripada 5.3 juta penduduk pulau itu terputus bekalan elektrik selain berdepan ancaman tanah runtuh yang memusnahkan kediaman ekoran gempa berkekuatan 6.7 magnitud itu.

Terdahulu, Hokkaido Electric Power Co terpaksa menutup logi kuasanya sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini, 1.31 juta daripada 2.95 juta pelanggannya sudah menerima bekalan elektrik, kata Kementerian Ekonomi Perdagangan dan Industri.

Menteri Industri, Hiroshige Seko berkata, kuasa elektrik akan kembali pulih sepenuhnya dalam masa sekurang-kurangnya seminggu.

Gempa bumi itu adalah bencana besar kedua melanda Jepun minggu ini selepas dipukul taufan, banjir dan gelombang haba.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai masih ditutup selepas Taufan Jebi membadai Osaka pada Selasa, namun beberapa penerbangan tempatan kendalian Japan Airlines (JAL) dan penerbangan tambang murah, Peach Aviation kendalian ANA kembali beroperasi hari ini.

Lapangan terbang utama Hokkaido, New Chitose sedang membuat persiapan untuk menggerakkan beberapa penerbangan sekitar jam 11 pagi hari ini, kata seorang jurucakap.

Operasi kereta api laju juga akan disambung semula tengah hari ini. Bagaimanapun, kebanyakan sektor perkilangan masih terjejas akibat gangguan bekalan elektrik. – Reuters

Foto Kredit : ABS-CBN News

Categories
GLOBAL

Gempa bumi Hokkaido: 8 maut, 3 juta kediaman terputus bekalan elektrik

TOKYO 6 SEPT: Sekurang-kurangnya lapan mangsa maut apabila gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda pulau Hokkaido di utara Jepun awal pagi tadi.

Kejadian itu juga menyebabkan banyak rumah musnah, selain insiden tanah runtuh mengakibatkan puluhan penduduk hilang.

Pemandangan dari udara yang berjaya dirakamkan menunjukkan puluhan kediaman yang terletak di kaki bukit musnah akibat tanah runtuh, ketika helikopter yang membawa anggota penyelamat, bertungkus lumus mengesan mangsa yang terselamat.

Dalam pada itu, hampir tiga juta kediaman terputus bekalan elektrik, apabila insiden gempa bumi itu memusnahkan loji tenaga yang membekalkan elektrik ke wilayah terbabit.

Menurut jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga, kira-kira 20,000 anggota penyelamat, termasuk polis dan kakitangan pasukan pertahanan awam terbabit dalam misi mencari serta penyelamat bencana itu.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Gempa bumi 6.7 magnitud gegar Hokkaido

TOKYO 6 SEPT: Kira-kira 10 cedera, termasuk seorang parah selepas gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melanda pulau Hokkaido, di utara Jepun, awal pagi tadi.

Media tempatan melaporkan, gempa bumi turut menyebabkan bekalan elektrik terputus dan memusnahkan kediaman serta jalan raya.

Imej yang dirakamkan dari udara oleh stesen penyiaran NHK memaparkan kejadian tanah runtuh di bandar Atsumi.

“Seramai 10 mangsa yang cedera, termasuk seorang yang parah sudah dibawa ke hospital.

“Gempa bumi turut menyebabkan bekalan elektrik terputus dan banyak jalan tidak boleh dilalui, namun setakat ini, tiada laporan kematian diterima,” lapor NHK.

Menurut media tempatan, seorang lelaki dilaporkan mengalami serangan jantung selepas terjatuh dari tangga.

Sementara itu, Agensi Meteorologikal Jepun, berkata gempa bumi yang berlaku pada jam 3.08 pagi (waktu tempatan) tidak menyebabkan risiko tsunami.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula berkata gempa bumi itu berpusat kira-kira 68 kilometer di tenggara Sapporo, iaitu bandar utama di pulau Hokkaido.

Perdana Menteri, Shinzo Abe turut mengumumkan mengumumkan penubuhan pusat kawalan bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat.

Abe berkata, usaha menyelamatkan mangsa menjadi keutamaan kerajaan

SUMBER: REUTERS