Categories
SASTERA

Menyusuri Lorong Itu

Oleh Nurul Aufa Husni

Warna-warni cahaya lampu neon terpantul dalam ruangan yang gelap menampakkan bayang-bayang tangan badan kaki yang lemah-gelamai di dinding. Kepala digoyang dari atas ke kiri ke bawah ke kanan seperti senaman eroebik di sekolah. Sekumpulan kelkatu yang tidak pernah serik dengan sayapnya yang sudah acap kali terbakar. Entah mengapa mereka ini tidak puas walaupun sudah berkali-kali kecundang.

Seperti kelkatu yang mengurungi pelita api di malam hari akhirnya meninggalkan sayapnya bila menjelang subuh. Suara nyanyian teriakan kegembiraan melalaikan mereka. Segelas demi segelas air anggur masam yang ditapai berhari-hari itu dicapai. Berpakaian seksi seperti nangka yang berbalut ketat tidak penat menatang berdulang-dulang air anggur masam. Pekerjaan itu sudah biasa bagi mereka seperti pelayan restoran di hotel-hotel mewah bertaraf lima bintang. Keluar masuk keluar masuk menghantar permintaan pelanggan – rutin harian mereka dari malam hingga subuh melabuhkan tirai. Malam itu seperti dunia mereka yang punya.

Dia perempuan yang setiap malam bekerja memuaskan nafsu sang lelaki. Memanfaatkan kejelitaan yang dianugerahkan. Menghuraikan rambut mayangnya yang berkarat. Menayangkan susuk badan mahkota perhiasan yang sepatutnya untuk sang suami kelak. Seperti mendapat bisikan nyaring di cuping telinga, mereka akur dengan bisikan itu. Tiada siapa yang mampu menghalangnya. Di siang pula mereka tidak sedarkan diri. Menghabiskan sisa yang tertinggal di atas katil. Qada’ waktu tidur yang dilaburkan di malam hari. Gastrik tidak dipedulikan lagi. Sesudahnya barulah keluar dari gerabak usang mencari sebungkus dua mee goreng bersalur air panas dan telur ayam. Sudah cukup menampung tangki perut mereka yang tidak pernah merasa lapar kerana kembung dengan berbotol-botol air anggur masam dan berpaket-paket serbuk berperisa tepung.

Mereka ini ingin saja melarikan diri dari neraka yang dicipta manusia berhati binatang itu, tetapi tiada pilihan lain. Ugutan menjadikan mereka setia dengan pekerjaan haram itu. Setiap malam mereka berlumba menunggang dosa ke garisan penamat. Merekalah juara yang berjaya menyarung pingat emas di badan Adam.

Dia bertukar-tukar pasangan. Ada yang tua ada yang muda. Arus sungai mengabadikan cinta sementara mereka yg beralaskan nafsu. Permaidani dosa dibentangkan bagi menyaksikan tayangan filem percuma. Demi sejumlah wang untuk menampung carikkan hidup. Tergantung sepenuhnya kepada pekerjaan haram itu. Ibu yang membawa perut ke sana sini seperti ikan kembung itu langsung tidak diendahkan. Abaikan semua kata-kata nasihatnya. Disalahkan pada didikan walhal diri yang memilih arah yang salah itu. Dia derhaka kepada ibunya. Dimaki dihamun dipersalahkan kerana melahirkannya dalam cahaya api pelita minyak tanah, berbumbungkan zink hitam, berdindingkan kayu repuk, berlantaikan tikar berlubang.  Dihina kelahirannya, dicaci keturunannya, dikeji takdirnya.

Atas desakan hidup Dia lupa diri. Lupa Sang Pencipta. Lupa ibu yang mengandung dan melahirkannya. Dia anak derhaka. Ayahnya meninggal dunia kerana serangan jantung. Dipersalahkan ibunya yang tidak mampu berbuat apa-apa. Dunia seakan tergantung dengan wang ringgit. Tanpa sekeping kertas bernombor berwarna itu hidup seperti tidak dapat diteruskan lagi. Walhal sudah ajalnya datang menjemput walaupun sesaat tidak dapat dicegah. Itulah penyebab Dia bertambah sesat. Dijadikan alasan kematian Pak Din punca segala hal yang terjadi pada dirinya sekarang. Mak Enab tidak menginginkan duit haram itu untuk pembiayaan perubatannya. Mak Enab hanya ingin Dia berhenti daripada terus menggadaikan mahkotanya kepada lelaki durjana di luar sana. Penggadaian yang tidak dapat ditebuskan lagi sampai bila-bila. Masih belum terlambat untuk meninggalkan semuanya di belakang. Hanya dengan pilihan dapat merubah segalanya. Pilihan di tangan sendiri bukan pada orang lain.

“Jangan dibuang anak syurga ni, Dia. Anak ni suci, tiada dosa ke atasnya,” jerit Mak Enab yang hampir tidak memiliki suara lagi. Sudah penat memberi nasihat sudah penat menahan Dia daripada membuang anaknya itu.

“Anak ni menyusahkan hidup aku. Entah siapa bapanya pun aku tidak tahu. Nanti bila dia sudah besar, ditanya siapa ayahnya? Apa aku nak cakap? Aku sendiri pun tak tahu,” tengking Dia yang semakin berkeras untuk membuang darah dagingnya sendiri. Ditolaknya Mak Enab di dapur kayu itu. Terlucut genggaman tangannya yang memegang erat cucu pertamanya. Dia melangkah keluar rumah membawa anaknya itu. Dia tercari-cari lorong jijik gelap dan jauh dari pandangan orang awam. Diletaknya anak syurga itu di dalam sebuah kotak bertilamkan kertas surat khabar cina berlampinkan kain sarung tanpa berbekalkan susu. Anak itu menangis meraung kehausan susu badan ibu. Diseksanya anak syurga itu. Dia berlalu meninggalkan teriakan anak itu dengan hati yang tidak berperikemanusiaan. Dia dahulunya seorang yang penyayang kini menjadi seekor manusia. Dia tidak penat menabung dosa dari dasar yang cetek hingga meninggi seperti gunung. Satu per satu dosa yang Dia lakukan.

“Anakku… ibu…” ucap Dia tersekat-sekat. Berlumurahan darah terpancut-pancut keluar dari mulutnya. Dia dilanggar dengan van sekolah. Berkecai organ-organ yang bersalut dengan pes darah merah di atas jalan.

“Ampunkan dosa anakku, ya Allah. Ini salahku, tidak mampu memberi kemewahan kepadanya. Aku tidak mampu mempertahankan keluargaku. Aku tidak mampu merawat suamiku, ayah Dia. Aku kerdil ya Allah,” rungut Mak Enab meratap takdirnya. Tidak ada apa lagi yang harus dia ratapkan. Semuanya telah tertulis sejak di azali. Mak Enab bersyukur dengan kiriman Dia kepadanya walaupun tidak mampu menyempurnakan agamanya.

Categories
SASTERA

Perempuan, sihirku

Jalang mata api, kau resap darahku seperti
aku memasuki tubuhmu kelmarin; menghapus
bisa semburat. Merasai kekeringan dengan
tunas lidahku yang hangus dengan mata
kabur, tak melihat di mana kau gantungkan
air jampi ayat-ayat palsu untuk diteguk keras;
membohongiku lagi dan lagi.

Senyummu kuntum mawar di taring serigala;
aku tetap akan mengulit cermat belahan
garis-garis bibirmu; waktu ia basah, ketika ia kering.
Kulitmu, di permukaan tanganku terasa mulus
sekali gus dingin logam, menyeramkan.

Apakah kau sedang mengingatkan aku
kepada tuhanku, atau sedang ingin
memandang ke dalam diriku yang telanjang?
Benjolan di lehermu sempat aku rawati
tetapi doaku tak didengar; akan kau bawa
naik ke ranjang beradu ini malam.

Aku ingin melekapkan tanganku ke tubuhmu;
merayap perlahan membawa luka yang belum
pernah kau rasakan. Tetapi untuk membayangkan itu saja
aku takut; berundur untuk nanti akan datang lagi melihatmu
dalam mimpi. Keningmu adalah dahan rapuh tempat orang
sepertiku menggantung diri sebagai korban.

Aku dalam jiwamu, penghuni randuk racun.

Hafiz Hamzah

Categories
SASTERA

Mall Milik Kita Milik Mall

Oleh Aliaa Alina

Hani melangkah kepenatan selepas hampir dua belas jam dia bekerja di Mall itu. Suasana di Mall bingit dengan muzik Latin yang dipasang kuat untuk menghiburkan pengunjung Mall yang tidak putus-putus masuk melalui pintu utama. Dia melihat jam, baru pukul sebelas malam. Patutlah ramai yang masih datang ke Mall, malam masih muda lagi rupanya.

Kalau ikutkan hati, dia juga mahu berlibur di dalam Mall namun dia sudah penat berdiri melayan kerenah pelanggan yang datang ke kedai. Lagipun, kredit untuk dia terus berhutang sudah sampai ke hadnya. Dia terlalu banyak berhutang sehingga dia telah dilarang oleh pegawai pemerintah untuk menambah hutangnya.

Sebaik sahaja dia duduk di kerusi monorel, telefon pintar segera dikeluarkan untuk mengetahui perkembangan terkini tentang hal-hal dunia. Kebanyakan berita melaporkan tentang upacara perasmian bagi pembukaan Mall yang keseratus di kota raya itu.

Hani bertepuk tangan gembira, berita ini menunjukkan ekonomi negara semakin pesat membangun. Seperti yang diajar oleh Pemerintah, Mall adalah lambang kemodenan dan kemajuan negara itu. Malah delegasi Pemerintah pernah membuat kenyataan bahawa pedalaman Afrika harus membina Mall jika mereka mahu negara Afrika maju. Ruginya apabila cadangan itu mendapat kecaman hebat daripada Pemerintah negara lain.

“Hani…” sapa seseorang kepadanya

Hani terkejut lalu dia terus mengangkat kepala kerana sudah berbelas-belas tahun dia menggunakan monorel, inilah pertama kali ada orang yang menegurnya.

Hani mencebik apabila individu yang ada di hadapannya adalah sahabat lama yang sudah dibuang oleh masyarakat. Senang sahaja mahu mengenali manusia buangan ini, selalunya mereka memakai baju, kasut dan telefon yang tidak berjenama.

Kerana mereka ini kononnya menolak budaya konsumerisme yang berlebihan dan mereka juga golongan yang paling kuat menentang pembinaan Mall di kota raya itu. Disebabkan pemberontakan yang telah dilakukan, Pemerintah telah melarang golongan ini untuk memasuki Mall dan gerakan berfahaman Super Mall pula memanggil mereka ini sebagai manusia gasar.

“Kau sihat Hani?” sapa sahabat lamanya lagi.

“Perbuatan kau ni sangat tidak beradab, Sahabat,” tegur Hani lantas matanya kembali tertumpu ke skrin telefon.

“Maaf, aku tidak berniat untuk jadi biadab. Boleh aku tahu apa silapnya?” soal sahabatnya untuk mendapatkan kepastian.

“Tengoklah sekeliling kau. Manusia yang beradab tidak akan menegur orang lain sebaliknya mereka akan buat hal masing-masing,” ujarnya lalu menjeling ke sebelah. Di dalam monorel itu, tiada sesiapa yang bercakap antara satu sama lain kerana mata mereka sentiasa melekat pada skrin telefon pintar masing-masing.

“Maafkan aku,” mohon Sahabat ikhlas. “Aku tegur kau sebab dah lama tak jumpa.”

Hani tersenyum tawar lalu dia menyimpan sebentar telefon untuk melayan karenah aneh sahabatnya.

“Aku sihat je. Pergi kerja balik kerja, hujung bulan bayar hutang. Awal bulan buat hutang baru. Macam manusia yang normal. Kau pula?” soal Hani pula sekadar untuk berbasa-basi.

“Aku bekerja sebagai penjual idea. Kalau ada orang beli idea, adalah duit. Kalau orang minta percuma, laparlah aku,” balas Sahabat mengeluh namun bibirnya masih tersenyum.

“Kau bagi percuma? Mana ada benda percuma dalam dunia ni. Sebab itulah kau nampak…” ayatnya tergantung dan dia memandang atas bawah penampilan sahabatnya.

“Kau nak kata miskin ke?” soal Sahabat. “Memang aku nampak miskin tapi sekurang-kurangnya aku tak berhutang dengan sesiapa.”

Hani menjuih mulut terasa, “Kalau kau jenis hidup tak mahu berhutang, baik tak payah jadi manusia.”

“Memanglah berhutang tu dah jadi macam satu keperluan tapi aku memilih untuk menjauhinya,” balas sahabatnya tenang.

Perbualan mereka terhenti seketika apabila sekumpulan pelajar masuk ke dalam monorel itu. Tangan kanan mereka sedang memegang telefon manakala tangan kiri pula menjinjit beg-beg barangan berjenama yang baru dibeli di Mall.

Salah seorang daripada mereka membuka balutan gelas kacanya. Cebisan buku lama yang digunakan sebagai pembalut terus digumpalnya untuk dibuang. Sahabat lama Hani segera bangun dan mendekati pelajar sekolah itu untuk meminta helaian buku lama tersebut.

Pelajar itu tersengih, “Kalau saya bagi kertas ini, apa yang saya akan dapat?” soalnya kepada Sahabat.

Hani tersentak mendengar soalan itu. “Eh kau ni dik. Kau memang nak buangkan sampah tu, bagi je lah,” katanya dengan suara yang tinggi.

“Kalau ada permintaan, maknanya benda boleh dijual. Itukan asas pembelajaran di sekolah kak,” balas pelajar itu sinis.

Hani mahu berbalas kata namun Sahabat segera mencengkam bahunya sebagai isyarat pertengkaran itu harus dihentikan.

“Saya bagi nasi lemak ini sebagai pembayaran untuk kertas itu,” ujar Sahabat lalu dia memberi makanannya demi sehelai kertas lama yang sudah keronyok.

“Kau ni kenapa nak sangat sampah tu?” soal Hani kehairanan apabila melihat sahabatnya melipat kemas kertas itu lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya.

“Sampah bagi kau, harta bagi aku,” balas Sahabat selamba. “Lagi satu, kau jangan marah budak-budak tu sebab tak salah pun caranya. Kita semuakan sudah diajar oleh Pemerintah bahawa semua benda harus dijual dan perlu dibeli.”

“Memanglah budak tu tak salah prinsip tapi kertas tu memang dia nak buang kan?” Pertikai Hani yang berang dengan sifat berkira pelajar itu.

“Hani, sekolah terpaksa dibina di dalam Mall kerana tanah lebih berharga jika dibangunkan Mall baru. Mall milik kapitalis dan sekolah sudah menjadi sebahagian daripada dunia itu. Segala-galanya berputar mengeliling duit sahaja sekarang ini,” ujar sahabatnya lantas membuatkan dia terus terdiam.

Hani mengalihkan pandangan ke luar monorel dan dia hanyut memandang lampu sorot di Mall-Mall yang beroperasi selama 24 jam sebagai satu perkhidmatan untuk memudahkan hidup masyarakat.

Timbul perasaan kurang senang kepada Mall ketika itu namun semangat bangga diri terhadap modenisasi membuatkan perasaan itu terus kabur. Hani kembali berpegang teguh dengan prinsip kepentingan Mall di dalam kehidupan.

Seperti yang pernah disebut oleh guru sejarahnya dahulu, “Mall bukan sekadar sebuah bangunan konkrit bersifat materialistik sahaja. Mall ini tarafnya seperti Pantheon di zaman Rom ataupun Taj Mahal bagi negara India. Mall merupakan suatu lambang yang menunjukkan kita ini adalah masyarakat yang maju, moden dan yang paling penting sekali, masyarakat yang bertamadun. Kesimpulannya, Mall adalah sebuah identiti rasmi bagi kita, masyarakat dan negara ini.”

Categories
SASTERA

Mentari Menerjah Kaca

Sewaktu mentari menerjah kaca
aku semakin tergamam pada kejutan
yang memanggang dan

pesananmu yang menjulang itu
tidak sempat kusampaikan
pada tokoh-tokoh yang terbilang.

Mereka masih kurang pengalaman
membilang kesengsaraan terpendam
membiarkan kemarahan dan dendam
saling berlaga dengan yang lain

di atas permukaan
menusuk poket-poket nan kosong.
memakamkan tubuh telanjang.

Sewaktu mentari menerjah ke kaca
tiada hujan yang membasah pohon
deruan angin menatang santun

mengembalikan selaut tenang
membersihkan jiwa insani gundah
yang masih beralun.

Ismail Hashim
Sikamat, Seremban

Categories
SASTERA

Disiplin kritikan dan sikap penulis

Oleh Roslan Jomel

 Setelah membaca esei Dicari: Krtik(us) Sastra Indonesia dari buku Politik Sastera karangan Saut Situmorang, jelaslah ada perbezaan besar memisahkan antara kritikan sastera dengan tulisan-tulisan apresiasi dan ulasan. Secara ringkas, itulah batasan takrifannya. Tidak semua penulis membicarakan karya sastera di akhbar atau majalah dianggap kritikus sastera berautentik. Seorang pengarang fiksyen menulis tentang sepak terajang permasalahan dunia sastera dalam esei, tidak semestinya karangan yang dihasilkan itu diistilahkan sebagai kritikan. Bahkan ruangan Kritikan Cerpen dalam majalah seumpama Dewan Sastera belumlah layak sepenuhnya dijadikan contoh kritikan sempurna sebagai rujukan.

Proses mendapat pengiktirafan sebagai kritikawan sastera diraih daripada rejim pembelajaran bawah seliaan tenaga pengajar di universiti. Perakuan itu tidak didapatkan melalui kemenangan-kemenangan dari sayembara penulisan karya kreatif. Mahir menguasai teori-teori sahaja sahaja belum memadai. Dalam esei, Masalah Kriteria Kritikan Sastera di Malaysia, SN Muhammad Haji Salleh menyatakan, “seorang kritikawan yang baik, adalah seorang yang benar-benar teliti dan menyeluruh dalam menurunkan kesannya terhadap sesebuah karya, daripada seluruh peribadinya: akal, emosi, pengetahuan dan sebagainya, kerana sesebuah karya sastera itu adalah hasil daripada keseluruhan manusia penulis, penuh dengan kompleksiti dan paradoks yang terdapat dalam hidup tiap-tiap manusia.”

Sasterawan-sasterawan besar mampu menulis karya yang luar biasa tanpa menerima pendidikan tertinggi. Manakala gelaran pengkritik sastera bertauliah tidak dipetik di jalanan. Ia diperoleh secara akademik dengan latihan sistematik dan mengambil masa untuk memantapkan anatomi bidang berkaitan. Maka, tulisan yang kononnya berpaut pada bayangan kata hati, perasaan dan tanggapan melulu semata-mata, tidak dinilai dalam disiplin kritikan. Saut Situmorang mendefinisikan dalam bahasa mudah, “Arti istilah “kritik(us)” tidak dianggap main-main karena adanya pertanggungjawaban profesional diharapkan dari para “kritikus” yang menulis ‘kritik” seni, karena “kritikus” adalah sebuah “profesi” sama seperti pengacara atau dokter gigi.” Ada beban intelektual di situ.

Sementara tulisan-tulisan yang mengupas karya sastera dihasilkan oleh pengarang-pengarang berkaliber malahan disepakati lebih menarik dan penuh kreativiti. Kadang-kadang kita menemui tulisan-tulisan demikian dalam majalah atau buku dan berasa terlibat secara intim kerana keahlian penulisnya menurunkan pelbagai elemen manusiawi ketika menggeledah isi karya. Pembaca dibawa menyelami pergolakan batin watak-wataknya dengan begitu organik sekali. Karya sastera adalah hasil daripada reaksi kepekaan seseorang penulis terhadap isu-isu yang menyentuh jiwa nuraninya. Berbanding kajian ilmiah yang ditekuni berpandukan dengan segala jenis teori sastera dari langit namun sangat kaku dan robotik, akhirnya terasa membosankan kerana tiada sentuhan imaginasi dan tautan emosinya kepada pembaca. Itulah ironinya.

Dalam Kata Penghantar untuk Siri Wacana Persuratan Baru Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, terbitan Wadi al-Irfan Klasika Media, 2019, Mohd Affandi Hassan dengan nada tanpa berlapis menyatakan keraguan-keraguannya berhubung kaedah penganugerahan gelaran Sasterawan Negara. Beliau menilai dan mempersoal kelayakan kualiti para penulis Malaysia oleh barisan juri yang bertanggungjawab mengangkat darjat kerja kepengarangan.

Semenjak tahun 1981 lagi, saya telah menolak “projek Sasterawan Negara” sebagai tidak perlu dan bertentangan dengan perkembangan penulisan kreatif yang bertunjangkan ilmu yang benar. Pertama sekali, belum ada lagi seorang tokoh kreatif dalam bidang penulisan yang layak digelar pujangga, yang akan melayakkannya disanjung sebagai “Sasterawan Negara”. Keduanya, karya para Sasterawan Negara tidak memenuhi konsep karya kreatif bermutu hatta dinilai dari perspektif barat sekali pun. Ketiga, ukuran yang digunakan untuk membuat pilihan tidak jelas dan tidak tepat, serta cara penerapannya adalah salah.”

Persoalan besar sekarang adalah bagaimana seseorang penulis sama ada baharu atau sudah ternama berhadapan dengan pengkritik sastera neutral? Adakah keegoannya sebagai penulis hebat terlucut oleh teguran yang mengesani beberapa kelemahan dalam karya-karya mereka? Mengapa sebahagian penulis tidak boleh berlapang dada dengan kritikan atau ulasan yang tidak menyenangkan hati mereka? Atau mereka hanya gembira dan bersetuju apabila tulisan ke atas karya mereka dilimpahi kata-kata pujian waima palsu? Jika hal itu berlanjutan, secara psikologinya, naskhah kritikan sastera kita tidak akan mematangkan sikap penulis.

Beberapa nama besar dalam bidang penulisan ketara sungguh emosional apabila dihadapkan dengan pandangan berbeza ketika karya kreatif mereka dikupas. Sebahagian penulis demikian lebih ghairah agar karya kiriman mereka segera disiarkan. Sedangkan Sasterawan Negara pun masih dipersoalkan oleh Mohd Affandi Hassan. Gelaran itu bukan imuniti istimewa. Soal setuju atau tidak, perkara lain. Sepatutnya bidang penulisan karya kreatif dan kritikan beriringan dan saling sokong-menyokong secara sihat. Bayangkan sekian lama karya-karya mereka dibentangkan dalam kertas kerja di dewan seminar gah dengan pelbagai teori canggih. Tiba-tiba beberapa buah tulisan mendedahkan sudut-sudut negatif yang segan diselongkar para pembentang kertas kerja sebelum ini mengganggu kredibiliti nama mereka. Jangan dilupakan, kadang-kadang penulisan seseorang mula merosot akibat faktor usia dan tenaga kreativiti yang semakin melemah. Itu lumrah.

Apa diinginkan oleh para penulis sebegitu ialah kritikan dan ulasan yang hanya menaikkan nama dan reputasi peribadi masing-masing. Bukannya untuk memajukan standard kesusasteraan itu sendiri. Mereka telah melepaskan diri daripada tanggungjawab terpenting sebaliknya lebih bernafsu narsisisme. Saya keliru dengan pemikiran sebegitu yang tertanam dalam mentaliti penulis berpengalaman. Apa tujuan sebenar mereka berkarya? Menulis sebagai ikhtiar menambah sumber pendapatan sampingan? Teruskanlah selagi boleh. Menyedihkan, pada masa kini, dengan sayembara demi sayembara dianjurkan, sukar untuk kita mencari seniman berjiwa besar dan sofistikated akalnya.

Categories
SASTERA

Bibir yang menggasingkan bicara

Sepasang mata tumbuh di bibir
menjadi panggung berkaki
mendikirkan wayang semasa
ke mana langkah menikam tanah
di situ lidahnya terlayar
tanpa berbayar.

Kata-kata tak berbaju
jauh sekali berbutang luhur
noda setitik tahi lalat
di tubuh ayat
meski dipupuri
tetap jua berwarna fitnah
sesiapa pun enggan dipersalah.

Bibir, kembalilah ke wajah
yang bijaksana
usah menggasingkan bicara.

Siti Alimah
Tawau

Categories
SASTERA

Selepas Subuh

Selepas subuh
rindu mengelupur resah
seperti dedaun muda luruh
dicatuk angin

Embun menetes kutadah
hilangkan dahaga sepanjang malam
mentafsir mimpi dibunuh berkali-kali
di tengah kota manusia.

Selepas subuh
fajar berarak pulang ke daerahnya
doa mengisi ruang duha

sepagi damai diranah bonda
kutinggalkan segala mimpi
di piring ingatan.

Mamu MK Hasny
Anjung Karyawan Lekir

Categories
SASTERA

Membuka Dimensi

Barangkali mereka telah jemu dengan teka teki
atau menolak dadu di atas dam ular
percaya datang dari jawapan
bukan soalan yang panjang
tidak juga janji kepada angin
biarlah diukir pada lantai
sebuah rumah perjuangan
bersama dimengertikan
zahir yang berdimensi.

Mungkin mereka ingin melihat bentuk
bangunnya sebuah pemberian
tidak hanya melihat fatamorgana
atau berjalan di dalam kabut
kemudian ditidurkan oleh siang
penantian menjadi rindu
yang tersangat panjang.

Mereka telah melepasi garis dewasa
dimekarkan oleh tamadun minda
mereka telah membuka segala pintu
sebuah rumah tanpa dinding
sebuah perjalanan tanpa muktamad.

Solihin Osman
Dangau Seni, Kangar.

Categories
SASTERA

Mata Ketiga Encik Rahman

Oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali

SEMUA staf di syarikat itu sentiasa dalam kerajinan dan kesungguhan kerana mereka tahu majikan mereka iaitu Encik Rahman memiliki mata ketiga yang boleh memandang tembus dinding-dinding dan kubikel pejabat hatta setebal peti besi keselamatan emas milik Rostchild sekalipun.

Cerita ini bukan sekadar gosip liar yang berlegar tanpa tujuan. Seorang pekerja bernama Aizen adalah contoh klasik kepada kegagalan seorang staf yang cuba culas dan terkantoi oleh bosnya. Ia berlaku ketika matahari sedang memanjat langit di luar bangunan dan penyaman udara pejabat seperti salju di Ittaweon yang membuatkan Aizen terketar-ketar cuba menahan kantuk dan melawan keinginan untuk merokok setelah sejak pagi dia belum menjamah sebarang puntung manis kereteknya. Lalu, Aizen yang menyangka Encik Rahman, yang ketika itu baru hari pertama masuk sebagai bos baru yang pada anggapannya pastilah tidak begitu peka dan kalaupun dia garang sekurang-kurangnya pada fasa awal ia sebagai bos, masih punya timbang rasa – jika dia tertangkap cuba keluar pejabat.

Aizen baru sahaja melangkah melepasi pintu pejabat dan dari kesenyapan pejabat itu yang hening dia terdengar dehem-dehem yang agak kuat. Dia tidak peduli dan meneruskan langkah. Keinginannya terlalu memuncak sehinggakan jari manisnya kelihatan seperti sebatang rokok Nusantara. Lalu ia keluar terus, menuju ke port lepaknya yang biasa – yang dia yakin Encik Rahman tidak tahu.

Dia menghisap rokok sepuas-puasnya, mencuci wajah di tandas, mengunyah gula-gula getah dan dengan keyakinan tanpa risau ia masuk ke pejabat dan tatkala melangkah menuju ke kubikelnya, Nuraina Ngadina (nama panggilannya Dina) seorang setiausaha yang jelita beranting-anting besar pada cuping telinganya, memberitahunya bahawa Encik Rahman ingin berjumpanya di pejabat.

Aizen dapat berasakan yang Encik Rahman mengetahui dia keluar tetapi dia boleh beralasan yang dia cuma ke tandas atau ada urusan di tingkat lain. Tercengang Aizen bila Encik Rahman menyebut dengan terperinci tentang apa yang dia lakukan, malah jenama gula-gula getahnya, Wrigley’s. Untuk kesalahan itu Encik Rahman telah memberi amaran keras dan akan mencatatkannya di dalam fail laporan prestasi pekerja yang membuatkan Aizen terus insaf daripada melakukan kerja-kerja hina sebegitu.

Adrian Lowel adalah staf kedua yang kantoi oleh Encik Rahman apabila beliau membawa sepuluh ketul karipap pusing ke meja kerjanya, menyorokkan bungkusan plastik di bawah laci meja komputer dan sambil menaip beliau makan satu persatu sampai habis. Sebelum waktu rehat dia dipanggil Encik Rahman, yang mengetahui semua kelakuannya, bahawa Adrian Lowel telah tertumpahkan teh halia di lantai berhampiran mejanya dan pada suatu-suatu masa Adrian Lowel tidak membawa tisu, dia selsema lalu menyelek kahaknya (bagi mengelakkan ia bergumal di dalam mulut atau berulang-alik ke tandas) pada bawah mejanya.

Adrain Lowel kebingungan. Bagaimana Encik Rahman boleh mengetahuinya dengan jelas. Sewaku rehat, Adrian Lowel yang tidak dibenarkan keluar telah menahan Aizen dan memberitahu tentang ilmu laduni Encik Rahman. Mereka berdua tidak dapat menerima akan kepengetahuan Encik Rahman itu, yang terlalu teliti. Apakah perkara yang bisa menjelaskan ini semua?

Mereka cuba berfikir. Dan akhirnya mereka mendapati ada satu kejanggalan pada Encik Rahman iaitu ia suka memakai songkok yang terpesuk ke dalam, menutupi dahinya. Memang benar, sejak hari pertama masuk ke pejabat itu lagi Encik Rahman tidak pernah menanggalkan songkoknya yang dipakai sehingga menutupi dahinya. Kalau tidak songkok, ia memakai kopiah dan ketika waktu pulang, Aizen selalu mengesyaki yang songkok Encik Rahman akan terkendap dengan bau peluh dan mengakibatkan ketidakselesaan pada Encik Rahman yang berkemungkinan membuatkannya mencabut songkok itu. Tetapi tidak berlaku. Sebaliknya Encik Rahman menggantikannya dengan topi penuh yang juga melindungi dahinya.

Dakwaan ini diperkuatkan lagi oleh cerita orang lain seperti Maimun Jaharah yang terkantoi mengumpat Encik Rahman dengan Rozilia Daud. Atau Joceline Tan yang diketahui kerap bermain judi dalam talian, turut diketahui oleh Encik Rahman. Lama-kelamaan semua staf mula bekerja dengan baik. Tidak ada lagi yang culas atau memonteng. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana mereka tahu jika ada sebarang kesilapan yang mereka lakukan Encik Rahman pasti akan mengetahuinya.

Setelah beberapa tahun menabur bakti di bahagian itu Encik Rahman dinaikkan pangkat. Sewaktu majlis perpisahannya semua staf tidak dapat menahan diri daripada persoalan itu. Iaitu benarkah Encik Rahman memiliki mata ketiga di dahinya. Encik Rahman ketawa dan menafikannya. Namun semua staf kelihatan serius dan membuatkan Encik Rahman menghela nafas dan perlahan-lahan – sambil disaksikan dengan penuh debar oleh semua staf – menanggalkan songkoknya.

Ada yang menggeleng dan ada yang tercengang. Tenyata dahi Encik Rahman biasa sahaja dan tiada apa yang pelik. Ia rata malah ada kesan lebam seperti orang yang kuat bersembahyang.

“Tapi bagaimana selama ini encik boleh tahu semuanya?” Tanya Aizen. Yang lain angguk sama mengiakan. Encik Rahman dengan tenang dan riak wajah yang tak terkesan menjawab, “Aku melihat dengan mata hatiku.”

Namun perihal itu akan dilupakan oleh staf itu, baik Aizen, baik Adrian Lowel, baik Rozilia Daud, baik Maimun Jaharah, baik Joceline Tan atau Nuraina Ngadina kerana kepercayan dan persoalan mereka selama ini cumalah satu ketidakwujudan yang mengecewakan. Tapi saya tahu itu semua tidak benar. Sebelum majlis perpisahan itu bermula Encik Rahman sudah mengesan perkara seperti ini akan berlaku lalu menyorokkan saya ke dalam hatinya, untuk sementara.

Categories
SASTERA

Bergayutan Keresahan di Kelopak Mata

Oleh Nik Aidil Mehamad

Tengah malam kelmarin,Pak Rumi yang dingin, ekonomis tutur bicaranya, mengoyak bungkusan mee segera, campak mee ke dalam periuk kecil yang menguap wap. Dapur gas menyala, bayang tubuh kurusnya makin jelas terbekas di langsir jendela dapur apabila api dapur gas melayang-layang ditiup angin dari luar rumah. Bayangnya turut menari-nari. Dia duduk di meja makan dalam tempoh masa yang agak lama hanya untuk sepinggan mi segera.

Langsir dapurnya seolah-olah kelir wayang kulit. Betapa bosan pun wayang gambar malam itu, Elena akan duduk menonton Pak Rumi. Lelaki itu selalunya akan mundar-mandir di dapurnya. Lampu dapur dipadam barulah Elena turun dari loteng rumah Ibu Yu. Dalam rumah yang tidak punya cahaya elektrik yang cukup – hanya ruang dapurnya bercahaya pada waktu malam, Pak Rumi tinggal.

Sepasang merpati bertengkar di atap rumah. Rumah dicat dengan warna senja. Polesan cat tidak rata, dinding rumah masih terlihat permukaan papan kayu. Ada tingkap yang tercabut dari tubuh rumah. Sebahagian tubuh rumah Pak Rumi disembur grafiti, barangkali luahan remaja-remaja di kampung Elena. Grafiti lirikal dari kumpulan musik dari UK. Potongan lirik itu melekat dalam kepala Elena, “ I don’t care if it hurts, I want to have control, I want a perfect body and I want a perfect soul.”

Tombol pintu dapur dipulas dengan sangat pelan. Seolah-olah ada bayi sedang lena tidur. Bukan pertama kali Elena masuk ke dalam rumah yang pengap bau kayu arang. Baunya masih juga sama hari ini. Cahaya matahari menerebos masuk dari rekahan atap rumah, melimpah di lantai yang tidak ditampal jubin mozek. Sebuah telaga di penjuru dapur, aneh telaga terletak di ruang dapur. Kedengaran ikan-ikan puyu berenangan dalam telaga kerana suasana dalam rumah yang sunyi juga sayup-sayup kedengaran lagu folk klasik Tagalog yang tiris dari radio. Pokok-pokok orkid tergantung di dinding dapur. Berderetan ikan laga  dalam botol kaca disusun di atas para-para. Lumut menempel di dinding dapur. Elena menyentuhnya dengan jari-jemarinya, lumut tidak basah.

Pak Rumi sedang merenung balang kaca. Seekor ikan laga berekor kemerahan seperti model-model dalam iklan fesyen busana – memperagakan ekornya yang berkilau mengembang. Dia menjentik balang kaca beberapa kali sebelum memandang Elena sekilas dan kembali merenung balang kaca sebelum berkata, “ibuku dalam balang kaca”. Kata-kata Elena tidak dihiraukannya apabila gadis itu memberitahunya tentang kematian Ibu Yu.

Lelaki itu bangun dan berdiri di sebelah Elena yang sedang menekuni pemandangan di hadapannya. Di hadapan mereka tergantung pokok-pokok orkid – bunga-bunga orkid yang pelbagai warna melahirkan visual psikedelik dalam keremangan cahaya lampu ayam yang menyala di atas kepala.

Pak Rumi tidak tahu, tubuh kecil Ibu Yu tumbang ke lantai, pada malam Elena menonton filem Happy Together arahan Wong Kar Wai. Kebetulan, imej-imej keintiman Elena dengan Ibu Yu ada di sela-sela imej bergerak dalam filem ini. Ibu Yu tewas dengan gangren – bakteria menjalar ke buah pinggang dan menumpang tinggal di paru-paru.

Elena keluar dari rumah Pak Rumi, di tangannya tergenggam botol kaca yang terisi ikan laga berekor kemerahan . Uban yang memutih di kepala Pak Rumi seperti pokok kapas di hadapan rumahnya. Sepanjang tali air yang mati ini, berderetan rumah yang akan ditenggelami bah bila musim tengkujuh datang. Rumah-rumah ini dibina di atas tanah pusaka. Susun atur rumah yang berterabur seperti rumah lego yang disusun anak kecil.

Pintu dan tingkap rumah yang belum dikatup menayangkan kehidupan dalam rumah walaupun senja makin hampir. Bagus juga cahaya lampu jalan tidak melimpah di bumbung-bumbung rumah, kegelapan menyorok keresahan yang berkeliaran pada waktu malam.

Bunyi-bunyi ambien dari perut rumah ketika Elena berjalan dari satu rumah ke satu rumah menuju pulang ke rumah Ibu Yu; bunyi tumbukan lesung batu adalah melodi keghairahan seorang ibu menyiapkan makan malam, kedengaran mesin basuh uzur membilas keringat semalam, tangisan anak kecil yang menikam dada, suara gitar yang melagukan My Bloody Valentine. Elena juga dengar alunan bacaan ayat Quran pada satu jendela dapur, seorang perempuan bertelekung putih masih di atas sejadah, cahaya matahari yang masuk dari jendela dapurnya terbekas bayang Elena di dinding hadapannya. Elena menghilang sebelum perempuan itu menoleh ke arah jendela dapur.

Tiket bas terhimpit di antara not-not kertas dalam dompet. Bas menuju ke Kuala Lumpur malam ini. Drebar bas melaung kepada penumpang, “dilarang membawa masuk nostalgia ke dalam bas”. Bas teroleng-oleng seperti kemabukan memanjat bukit-bukau dan kegatalan bas yang dinaiki Elena mengenyitkan mata kepada bas yang berselisih dengannya.

Diari harian dibuka, kata-kata terakhir Ibu Yu ditulis di atas kertas memo terselit dalam diari dan Elena akan tampalnya di pintu peti ais,“jangan bawa balik keresahan dan bawa masuknya ke dalam rumah”.

Sering saja Elena membawa masuk keresahan ke dalam rumah. Hunikannya dalam rumah, seolah-olah ia aib diri sendiri. Begitulah Elena menjaga rahsia keresahan yang sebenarnya tumbuh seperti teratai yang meliar di tali air sepanjang petempatan dirinya dibesarkan dan pada waktu malam ada yang membelah kesunyian dengan deruman enjin motorsikal, membawa keresahan merayau-rayau di belakang rumah kosong, di alur-alur kecil berselut, di tepi sungai, belakang bangunan kedai terbiar, dalam semak-samun juga ditepi kuburan.

Bergayutan keresahan di kelopak mata dan mereka tidak peduli.

Categories
SASTERA

Intertekstualiti dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

Oleh Za’im Yusoff

 SEKALIPUN kata “creative” berasal daripada kata akar “create” mengisyaratkan kepada penciptaan baru, kebanyakan karya tidak lebih daripada apa yang disifatkan Aristotle dalam Poetics, yakni sejenis mimesis, bahasa mudahnya peniruan.

Namun, peniruan berbeza dengan penipuan seperti ciplak cuplik kerana kedua-duanya mampu dibezakan. Misalnya, mimesis kelas tinggi mampu dihurai melalui alat kritikan mimetik antaranya menerusi teori intertekstualiti.

Intertekstualiti adalah kajian hubung kait antara suatu teks dengan teks lain yang dipelopori oleh Julia Kristeva, tokoh linguistik Perancis hasil pengembangan teori dialogik Bakhtin sekitar 1960-an menerusi tulisan “Le mot, le dialogue et le roman“.

Kristeva meringkaskan intertekstualiti sebagai sebarang penyerapan dan transformasi daripada karya-karya terdahulu (dikenali sebagai hipogram) yang kemudian dihurai melalui prinsip-prinsip intertekstualiti seperti transformasi (pemindahan), modifikasi (pengubahsuaian), paralel (keselarian), ekserp (petikan), ekspansi (pengembangan), eksistensi (unsur baru), haplologi (pengguguran), defamiliarisasi (luar kelaziman), demitefikasi (penentangan) dan konversi (putar balik).

Ringkasnya melalui kaedah intertekstualiti, naratif Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang idea dan cerita asalnya ditukangi Hajah Ainon Ariff, Nur Naquyah Burhanuddin dan Aliya Nazlan membawa penikmat sinema mendenai ziarah muhasabah.

Ziarah yang dimaksudkan adalah memercikkan nuansa-nuansa naratif legenda dongeng Melayu yang pernah disinemakan (sekaligus menjadi hipogram bagi filem ini) seperti Si Tanggang (1961), Singapura Dilanggar Todak (1961), Bawang Putih Bawang Merah (1959), Raja Bersiong (1963, 1968), Batu Belah Batu Bertangkup (1959), juga legenda ciptaan P. Ramlee seperti Nujum Pak Belalang (1959) dan Anakku Sazali (1956).

Setelah menziarahi naratif, filem itu menggugah dengan mengajak kita jujur bermuhasabah seraya berani mengubah bagi melengkapkan sebarang sudut pandang yang memerlukan rejuvenasi ke atas interpretasi sekaligus mengkayakan penghayatan khazanah bangsa.

Selama ini, nilai pengajaran yang sering dikuak tanggap termasuklah jendela legenda dongeng Melayu lebih cenderung ditelusuri menerusi bingkai pendekatan tarhib (ancaman) berbanding pendekatan targhib (anjuran).

Ini diamati dengan cermat oleh Bapa Pendidikan Malaysia, Che Aminuddin Baki dalam “Aminuddin Baki di Rumah Persekutuan (2015)”. Beliau berpandangan pendekatan pendidikan informal khususnya di rumah lebih banyak menggunakan perkataan “jangan” seraya tidak berani mencuba, mitos yang lebih bertujuan menakut-nakutkan kanak-kanak sehinggalah persoalan suratan azali yang menjadi wahana pendidikan tanpa sedar menjadi penghalang kepada kemajuan bangsa dan masyarakat Melayu.

Di sinilah, filem berperanan memaparkan secara konsisten watak-watak protagonis dalam naratif legenda yang dijungkir balik menjadi antagonis, bukan semata-mata ingin menguar-uar “inilah kreativiti cicit piut Tok Selampit Melayu moden”. Bahkan lebih cemerlang, beginilah kita harus pandang bagi menghadapi ‘todak-todak’ masa depan yang menerjang.

Misalnya, acapkali dalam legenda Si Tanggang termasuklah naratif filem Si Tanggang (1961) arahan Jamil Sulong, kompas moral dihala kepada Si Tanggang yang mencuaikan hak seorang ibu bermula dengan si anak meremehkan tanggungjawabnya kepada si ibu. Hal ini membawa kepada nilai pengajaran secara tarhib iaitu si anak jangan sesekali menderhaka kepada ibunya.

Namun, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal melalui prinsip ekspansi menduga kita untuk mengubah halaan kompas moral ke arah pihak yang dicuaikan hak — apakah pantas seorang ibu menggunakan ‘keramat sumpahan’ sebegitu? Selain hal ini bersifat lencongan plot yang bermutu tanpa menolak dapatan nilai pengajaran dalam naratif terdahulu; naratif baru sebegini menemukan kita dengan nilai pengajaran segar.

Akhirnya, kita mendakap pesan betapa hubungan kekeluargaan bukan sekadar berlegar antara hak dengan tanggungjawab bahkan kasih sayang yang menerima penuh kewujudan tiap-tiap insan dalam keluarga sebagaimana anjuran golongan sufi untuk kita “memakai sifat-sifat Tuhan yang mendahulukan kemaafan berbanding kemurkaan”.

Intertekstualiti paling mahal dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal adalah melalui prinsip haplologi dengan memperdalam makna peribahasa mahsyur, “Harimau mati meninggalkan belang; manusia mati meninggalkan nama” tatkala mengetengahkan naratif Singapura Dilanggar Todak.

Kendatipun kembara naratif ternyata menjelmakan batang-batang pisang mengubui Inderaloka daripada serangan tsunami todak kemudian batang-batang pisang hadir di luar dugaan sebagai bedil-bedil meriam sehingga lasykar musuh terkebil-kebil dihunjam, sesuatu yang nyata adalah watak Hang Nadim pula sengaja ditiadakan.

Secara halus, ‘kehilangan’ watak Hang Nadim memperdalam sudut pandang peribahasa berkenaan betapa nama yang ditinggalkan manusia setelah pemergiannya adalah erat terkait pada jasa-jasanya yang membukit. Namanya mungkin hilang tetapi watak Hang Nadim pasti muncul dikenang saat jasa-jasanya timbul direntang di layar besar wayang.

Sejujurnya, keberanian Les’ Copaque dalam mempertaruhkan deretan intertekstualiti seumpama ini adalah sesuatu yang berisiko khususnya menyoroti penerimaan khalayak penonton yang belum pernah memesrai naratif legenda dongeng Melayu.

Di sini terserlahnya kebijaksanaan pasukan produksi saat memanfaatkan pelbagai instrumen naratif misalnya melalui lirik-lirik OST khususnya Buai Laju-Laju dalam episod menziarahi naratif lagenda sebelum meneruskan naratif dengan episod tafsir semula menerusi lensa muhasabah.

Rangkap pertama Buai-Buai Laju iaitu Sunyi sepi hidup tanpa keluarga/ Menagih kasih ibunda/ Diriku ini terperangkap di sini/ Sanggupnya difitnah insan yang dikasihi – dengan tembang puitis sederhana alunan mezzo-soprano Ernie Zakri sudah cukup menumpahkan gambaran naratif asal legenda malah diselitkan imbas muka bagi lencongan plot pada kalimah “terperangkap di sini”.

Terperangkap adalah paradoks ironis lantaran yang dipenjara adalah Bawang Putih yang memfitnah sedangkan lirik ini mengisyaratkan Bawang Merah yang terperangkap bahkan kolam air yang ditanggap sebagai laluan penyelesaian kembara menjadi kering walhal arus air mengalir di daratan sekeliling.

Simbol kata dan simbol visual ini usainya bertujuan memberatkan lagi makna keterperangkapan spiritual dalam diri Bawang Merah lantas memperkenal sisi antagonisnya sendiri melalui prinsip modifikasi pada peleraian sebelum jujur mengikuti jejak langkah separalel kisah mulia Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang memilih untuk memaafkan Mistah Ibn Usasah, saudaranya sendiri yang terlibat memfitnah Ummul Mukminin Aisyah semasa musibah Hadisul Ifki.

Simbol Keris Siamang Tunggal juga dihipogram dari Keris Panjang Beruk Berayun, alat kebesaran diraja Selangor sebagai lambang Raja Berdaulat iaitu legenda mengisahkan keris yang tidak berlok hanya berfungsi dengan baik jika berada di tangan mereka yang benar-benar layak sahaja.

Dalam filem ini, bilah ghaib dimunculkan berdikit-dikit sebagai instrumen bagi melengkapkan rejuvenasi ke atas interpretasi legenda dongeng Melayu secara bertahap-tahap. Selain itu, keadaan keris yang ringan pada sahabat yang setia sebaliknya menjadi berat pada seteru yang derhaka. Ini ternyata menganjurkan prinsip eksistensi dalam intertekstualiti untuk menguatkan makna moral bagi watak protagonis, Mat Jenin selain menceritakan keluhuran fitrah kanak-kanak menerusi watak Upin dan watak Ipin.

Tuntasnya, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang disutradarai tiga pengarah berbakat, Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid dan Ahmad Razuri Roseli benar-benar menyuntik sedar betapa pohon sinema sebenar adalah saat pembikinnya berpaut erat pada naratif yang berakartunjangkan jati diri warisan. Hanya dengannya, barulah sinema kita mampu berkembang mekar berhayat panjang, tinggi dipandang dirakam zaman.

Categories
SASTERA

Sajak buat lelaki yang keluar dari halaman sebuah Buku

Seorang lelaki keluar dari helaian buku
dan memberiku seteguk penawar
dari kata-katanya yang meliuk
seperti ular yang menyusur akar.

Kemudian dia meninggalkan sepasang kasut
bersama nota yang bertandakan namaku
“jangan lelah bermain dalam dunia kata-kata”.

Ah, lalu kusarung kasut dan berlari
ke padang sajak, kutebas semak
fikiran yang tumbuh tajam juga
merapikan wajah bunga yang pucat.

Bulan dan bintang di tangan langit
kuambil ketika malam ketiduran
lantas kupakai selendang awan
sebagai penyamaran untuk sebuah
pengembaraan paling berani.

Kerana belum puas bermain kata
aku mahu ke halaman sebelah
di situ kutemukan baki penawar
kuteguk, menghilangkan hausku
sebelum kupilih untuk menulis
tentangnya, di bahu sebuah jalan.

Hidayyah At Mizi
Sendayan