Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Labuan catat jumlah hujan tahunan tertinggi, Kuala Kangsar terendah

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Labuan mencatatkan jumlah hujan tahunan tertinggi iaitu 4,938.9 milimeter (mm) manakala Kuala Kangsar mencatatkan jumlah hujan tahunan terendah iaitu 1,955.4mm pada 2017, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jabatan itu menerusi Kompendium (ringkasan) Perangkaan Alam Sekitar (KPAS) Malaysia 2018 memaparkan statistik alam sekitar bagi tempoh 2013 hingga 2017/2018 meliputi udara, air, tanah, dan penduduk serta keadaan alam sekitar, impak aktiviti manusia ke atas alam sekitar dan langkah yang diambil bagi mengurangkan impak itu.

“Selain itu, Malaysia turut mengalami iklim panas dan lembap dengan Jerantut, Temerloh dan Kuala Kangsar mencatatkan suhu tertinggi dengan bacaan 32.9 darjah Celsius, manakala suhu terendah 16.1 darjah Celsius dicatatkan di Cameron Highlands,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelepasan bahan pencemar ke udara pada 2017 berpunca daripada kenderaan bermotor mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 70.4 peratus, diikuti stesen jana kuasa (24.5 peratus), industri (2.9 peratus) dan lain-lain (2.1 peratus).

“Penggiat industri turut berusaha mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Berdasarkan Banci Ekonomi 2016 (tahun rujukan 2015), sejumlah RM2.6 bilion telah dibelanjakan bagi melindungi alam sekitar dengan sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar iaitu 73.6 peratus,” menurut kenyataan itu.

Statistik itu juga turut memaparkan jumlah kejadian banjir pada 2017 iaitu sebanyak 498 kes dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 86 kes diikuti Sarawak (64 kes), dan Pahang (61 kes).

“Dalam pada itu, demam denggi mencatatkan 83,443 kes pada 2017 tanpa melibatkan kes kematian. Bagaimanapun, demam denggi berdarah mencatatkan 406 kes dengan 177 kematian manakala malaria mencatatkan 4,114 kes dengan dua kematian.

Bijih besi merupakan hasil bumi tertinggi dengan jumlah pengeluaran 3.92 juta tan metrik pada 2017. Import dan eksport mineral itu turut mencatatkan nilai tertinggi masing-masing iaitu RM3.27 bilion dan RM3.86 bilion,” kata kenyataan itu lagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Bersedia hadapi banjir, purata hujan tinggi sehingga Disember

SHAH ALAM, 17 OKT: Penduduk di kawasan berisiko banjir digesa lebih bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa ekoran purata hujan yang tinggi dari Oktober hingga Disember terutamanya ketika fenomena air pasang besar.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (SSCC) memaklumkan, purata hujan itu dianggarkan antara 210-320 milimeter (mm) (Oktober), 250-370 mm (November) dan Disember sebanyak 200-300 mm.

Katanya, pasang surut air laut tertinggi pula dicatatkan 5.4 meter bagi kawasan Pelabuhan Klang pada 26 Oktober, 7 – 8 November manakala 4.9 meter bagi kawasan Permatang Sedepa pada 25, 26 Oktober, 7 – 8 November ini.

“Fenomena ini akan memberi impak kepada beberapa buah daerah di Selangor.

“Antaranya Daerah Petaling, Hulu Langat, Sabak Bernam, Gombak, Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor merupakan daerah-daerah yang berisiko banjir dan banjir kilat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, SSCC berkata, pihaknya mengarahkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengarahkan agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersiap siaga dan meneruskan pemantauan di sebahagian kawasan banjir.

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor terdedah kenaikan paras air laut akibat ribut petir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 OKT: Selangor diantara negeri yang diramalkan mengalami kenaikan paras air laut akibat cuaca ribut petir, lapor Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia).

METMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara negeri lain terlibat termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Ia berikutan ramalan cuaca ribut petir yang dijangka berlaku hari ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu beberapa lokasi di negeri ini turut dijangka mengalami hujan ribut petir sehingga Selasa depan.

Antara lokasi terlibat ialah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Hulu Langat, Petaling dan Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Halimey: Faktor cuaca & cuti panjang, punca peratusan mengundi rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 8 SEPT: Faktor cuaca dan cuti panjang antara punca utama yang menyebabkan peratusan mengundi rendah, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Bagaimanapun beliau berkata, semua jentera parti sudah melaksanakan kerja sebaik mungkin, bahkan pihaknya turut menyasarkan 60 peratus pengundi akan keluar mengundi kali ini.

“Seperti saya maklum, cuti panjang ini yang menakutkan dan itulah hasilnya.

“Namun saya tidak fikir perkara itu berlaku disebabkan oleh boikot ataupun janji 100 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media selepas Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, di Dewan MBPJ, di sini, hari ini.

Terdahulu, Halimey menepati ramalan untuk terus mengekalkan kerusi apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi berbanding PAS.

Beliau memperoleh 13,725 undi menewaskan calon PAS Dr Halimah Ali dengan 9,698 undi.

Kemenangan Halimey itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Seri Setia Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Categories
SELANGOR

Hujan lebat sepanjang proses penamaan calon DUN Seri Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 OGOS: Cuaca dengan keadaan hujan lebat berlaku sepanjang proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang berlangsung, di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Keadaan itu awalnya tidak dijangka ekoran cuaca cerah, bermula jam 6 pagi.

Bagaimanapun, cuaca panas bertukar hujan selepas rombongan calon Pakatan Harapan dan PAS tiba, pada jam 8.45 pagi.

Melalui laman sesawang rasmi Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), cuaca pada hari ini dijangka hujan di satu dua tempat pada waktu pagi, sementara petang dan malam hampir tiada hujan.

Namun, keadaan cuaca hujan dan ribut petir pula dijangka berlaku, bermula 20 Ogos hingga 24 Ogos lalu.

 

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Ahad

NASIONAL 10 JUL: Angin kencang barat daya dengan kelajuan 40 hingga 50 km sejam serta gelombang hingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hingga Ahad (15 Jan).

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata angin kencang itu dijangka turut melanda perairan Selat Utara Melaka, Samui, Selatan Condore, Selatan Reef North dan Labuan.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan air,” katanya.

Selain itu, angin kencang Selatan yang kuat 50 hingga 60 km sejam serta ombak tinggi mencapai 4.5 meter dijangkakan berlaku di perairan Phuket, Utara Condore, Utara Reef North, Layang-Layang dan Palawan.

Keadaan ini turut berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk perkhidmatan memancing dan feri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

MRR2, Ampang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Beberapa kawasan rendah di pinggir ibu kota terutama di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Ampang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih dua jam petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata hujan lebat sejak pukul 3 petang menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air kira-kira setengah meter.

“Hujan lebat di MRR2 menghala Ampang selepas Zoo Negara menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih lima kilometer namun keadaan adalah terkawal dan air mulai surut pada pukul 7.30 petang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata di kawasan Lembah Jaya Utara, Ampang di sini, paras air sungai di kawasan berhampiran turut dilaporkan meningkat setinggi satu meter dan masih dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, pihak bomba telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Hujan lebat, angin kencang jejas beberapa kawasan di ibu negara

KUALA LUMPUR 23 JUN: Hujan lebat serta angin kencang yang melanda ibu negara petang semalam menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan, selain kejadian bumbung sekolah diterbangkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata, antara kawasan terlibat ialah Bandar Manjalara, Bukit Kerinchi dan Pantai Dalam.

Hujan lebat kira-kira pukul 4 petang tadi menyebabkan beberapa kenderaan dihempap pokok.

“Antaranya di Jalan 1/2B berhampiran kawasan perumahan Villa Manja Bandar Manjalara yang mana sebatang pokok menghempap kenderaan jenis Hyundai Veloster dipandu seorang lelaki. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

“Selain itu, angin kencang juga menyebabkan bumbung bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kampung Kerinchi di sini diterbangkan angin,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Hujan diramal turun pada Hari Raya

KUALA LUMPUR 14 JUN: Hujan diramal turun di satu dua tempat di pantai barat Semenanjung manakala cuaca baik di tempat-tempat lain pada pagi Hari Raya Aidilfitri yang diraikan akhir minggu ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan turut diramal turun di beberapa tempat pada sebelah petang dan malam 15 dan 16 Jun ini.

Pada sebelah petang, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, beberapa bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah dan Bintulu, serta di Sabah iaitu Kudat dan Sandakan, menurut kenyataan yang dipaparkan menerusi laman sesawang jabatan itu hari ini.

Cuaca di tempat-tempat lain dijangka baik.

Kenyataan itu menyebut, beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta beberapa bahagian di Bintulu, Kapit dan Miri di Sarawak dan bahagian Sandakan dan Kudat di Sabah dijangka mengalami hujan pada sebelah malam.

SUMBER: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA

Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat & Angin Kencang

Dikeluarkan pada: 3:05PM, 23 Mei 2018

AMARAN RIBUT PETIR

I) Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis • Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu)

• Pulau Pinang • Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung dan Perak Tengah)

• Pahang (Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin) • Johor (Mersing) sehingga 6:00 petang; Rabu, 23 Mei 2018.

II) Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perak (Muallim)

• Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat) • WP Kuala Lumpur

• Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) • Melaka (Alor Gajah dan Jasin) • Johor (Tangkak, Segamat dan Muar) sehingga 4:00 petang; Rabu, 23 Mei 2018.

SUMBER: MET MALAYSIA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA NASIONAL

Peralihan Monsun: Waspada, hujan lebat dan angin kencang bermula

SHAH ALAM 27 MAC: Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada terhadap keadaan cuaca dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca ketika tempoh peralihan monsun yang dijangka bermula hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) menerusi kenyataan semalam berkata, fasa peralihan monsun itu akan berterusan sehingga pertengahan Mei tahun ini sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut.

“Dalam tempoh ini, kawasan serantau negara akan mengalami tiupan angin daripada pelbagai hala dengan kelajuan yang rendah.

“Keadaan cuaca yang lazim semasa tempoh itu ialah hujan lebat, ribut petir dan angin kencang terutamanya pada waktu petang dan awal malam,” kata kenyataan itu.

Ia lebih kerap berlaku di kawasan negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

Katanya, ribut petir kuat yang disertai hujan lebat dan angin kencang itu boleh menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang MET www.metgov.my, aplikasi mobil myCuaca dan Rakan MET atau laman sosial Facebook Malaysiamet dan Twitter @malaysianmet, SMS 15888 atau talian hotline 1300 22 1MET (1638).

 

Categories
NASIONAL

Lebih 300 penduduk di Kluang dipindahkan

OLEH SABIRAH AZIZ

JOHOR BAHRU, 21 JAN: Lebih 300 orang daripada 82 keluarga di Kluang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi berikutan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat yang berlarutan.

Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kawasan terjejas ialah Kampung Chokro, Kampung Shaari dan Kampung Kolam Air, kesemuanya di Simpang Renggam.

“Setakat ini, seramai 179 orang daripada 41 keluarga ditempatkan di  Balai Raya Kampung Chokro; 127 mangsa daripada 32 keluarga di Masjid As-Sobirin, Kampung Shaari dan 42 mangsa daripada sembilan keluarga di Dewan Kampung Kolam Air,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga pusat pemindahan itu dibuka secara berperingkat bermula 9 malam tadi hingga 1 pagi ini.

Berdasarkan pemantauan, air Sungai Kampung Chokro yang didapati melimpah dan memasuki rumah penduduk sebelum ini, sudah pun semakin surut setakat 8 pagi ini.

Bagaimanapun, paras air di Sungai Benut pula telah melebihi aras berbahaya, lapor Bernama.