Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran ribut petir, hujan lebat tiga daerah di Selangor

SHAH ALAM, 25 DIS : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan tiga daerah di Selangor, petang ini.

Maklum agensi itu menerusi Twitter, amaran cuaca sehingga jam 4 petang itu meliputi Klang, Kuala Langat dan Sepang. Keadaan sama diramal berlaku di Putrajaya serta Pontian dan Kulai di Johor.

Amaran cuaca ribut petir dan hujan lebat sehingga 3 petang pula diramal berlaku di Terenganu (Kemaman), Pahang (Kuantan, Pekan, Rompin), Johor (Kluang dan Mersing) serta Sarawak (Bintulu).

Categories
AGENDA NASIONAL

Paras air beberapa kawasan di Shah Alam meningkat pagi ini

SHAH ALAM, 22 DIS: Paras air di Laluan Lanchong Jaya dan Seksyen 28 di sini berhampiran Pasar Raya Hero meningkat susulan hujan lebat pagi ini.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meminta orang ramai supaya berwaspada dan mengelak daripada menggunakan laluan tersebut.

Dalam makluman segera melalui Facebook, MBSA juga memaklumkan perkembangan sama di kawasan TTDI Jaya, Stadium Seksyen 13 dan Batu Tiga (berhadapan Kilang Central Sugars).

 

Paras air Sungai Damansara di depan kondominium Puri Aiyu, Seksyen 22 meningkat sebelah pagi 22 Disember 2021.

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk di pantai barat Sabah sehingga esok

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk, dengan hujan lebat dijangka berterusan berlaku di kawasan pantai barat Sabah sehingga esok (19 Januari).

MetMalaysia dalam kenyataan turut menyatakan amaran cuaca waspada, dengan hujan lebat juga dijangka berlaku di Labuan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga hari ini.

Kawasan yang terlibat di Sarawak ialah Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang, manakala di Sabah ialah Sandakan (Kinabatangan).

“Selain itu, hujan lebat dijangka di negeri Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga esok (19 Jan),” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Grafik: METMalaysia
Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Pahang, Johor, Kelantan turun

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Keadaan banjir di Pahang, Johor dan Kelantan beransur pulih pagi ini, dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Bagaimanapun, portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan, paras air sungai di beberapa lokasi masih melepasi paras bahaya antaranya di sepanjang Sungai Pahang termasuk Lubuk Paku dan Maran, Sungai Jelai di Lipis serta Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu di Kelantan.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang berada di 206 PPS pagi ini ialah seramai 20,823 orang daripada 5,702 keluarga.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan daerah masih terjejas banjir dengan Temerloh merekodkan mangsa paling ramai iaitu 11,039 orang diikuti Pekan (2,842) dan Maran (2,224), Bera (1,614), Lipis (1,149), Kuantan (749), Raub (658), Jerantut (523) dan Rompin (25).

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 3,598 orang daripada 996 keluarga setakat 8 pagi ini melibatkan tujuh daerah berbanding 3,612 orang daripada 1,001 keluarga, yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata Kota Tinggi kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,198 orang diikuti Johor Bahru (1,084), Kulai (99), Kluang (97), Segamat (81), Mersing (22) dan Pontian (17) yang ditempatkan di 40 PPS.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata hanya tiga jalan yang masih ditutup untuk kenderaan ringan iaitu Jalan J172 (di Mawai Lama) di Kota Tinggi, Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J156) (Segamat) susulan dinaiki air, manakala Jalan Kota Tinggi-Kluang (FT091) di Taman Seri Impian, Kluang ditutup berikutan tanah runtuh selain cuaca di beberapa daerah hari ini adalah mendung.

Situasi sama turut berlaku di KELANTAN apabila jumlah mangsa banjir membabitkan jajahan Pasir Mas dan Kuala Krai semakin berkurang kepada 369 mangsa setakat 8 pagi ini, berbanding 888 mangsa pada petang semalam di tujuh PPS.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, daripada jumlah itu seramai 316 orang ditempatkan di empat PPS di Pasir Mas, dan tiga PPS masih dibuka bagi menempatkan 53 mangsa di Kuala Krai.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA NASIONAL

Amaran cuaca bahaya, buruk beberapa negeri sehingga esok

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya dengan hujan sangat lebat, yang dijangka berterusan di Johor sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan pada 11 pagi memaklumkan kawasan yang dijangka terlibat di Johor ialah Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan turut diramal berlaku di Johor, yang membabitkan daerah Segamat dan Mersing.

Sementara itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat sehingga Selasa turut dikeluarkan bagi Pahang yang melibatkan daerah Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin serta Tangkak dan Muar di Johor.

Keadaan cuaca sama juga diramal sehingga esok melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah di Sarawak; Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat di Sabah serta Labuan.

– BERNAMA

Sumber Grafik: METMalaysia

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 43,000 masih di pusat pemindahan banjir di lima negeri

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Keadaan banjir di lima negeri menunjukkan sedikit tanda positif apabila jumlah operasi pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan, pagi ini.

Setakat 8 pagi ini, sejumlah 43,791 orang berada di pusat pemindahan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak berbanding 47,038 mangsa petang semalam.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit penurunan iaitu 26,016 mangsa setakat 7 pagi ini, berbanding 27,090 orang petang semalam.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Temerloh masih lagi mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu 11,547 diikuti Maran (3,002); Lipis (2,421); Pekan (1,968); Raub (1,866); Jerantut (1,663); Kuantan (1,530); Bera (1,383) dan Rompin (636) yang ditempatkan di 290 PPS.

Portal berkenaan turut memaklumkan air Sungai Pahang di daerah Bera, Maran, Pekan dan Temerloh melepasi tahap bahaya.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad dalam laman Twitternya memaklumkan laluan di KM126 Chenor-Temerloh masih ditutup di kedua-dua arah.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 11,804 orang di 53 PPS, berbanding 13,092 orang pada 3 petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,424 orang diikuti Dungun (2,292) dan Hulu Terengganu (88).

“Penurunan ini kerana ada kawasan di Hulu Kemaman yang banjirnya sudah surut, jadi penduduk terjejas sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Bagaimanapun, situasi banjir di bandar Chukai masih belum pulih ketika ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan dua sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman setinggi 5.83m dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau setinggi 13.04m.

Di KELANTAN, sebanyak 4,633 orang daripada 1,386 keluarga masih ditempatkan di 60 PPS membabitkan enam jajahan negeri itu.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, Kuala Krai masih kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,400 orang diikuti Pasir Mas (1,592); Tanah Merah (406); Gua Musang (149); Jeli (64) dan Kota Bharu (22).

Portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan setakat 7 pagi ini, lima sungai di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.38 meter), Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah (17.36m), Sungai Kelantan di Jeti Kastam (5.04m), Sungai Golok di Rantau Panjang (10.42m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu (2.92m).

Di JOHOR, sebanyak 1,207 mangsa daripada 305 keluarga masih berada di 13 PPS pagi ini, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 578 orang daripada 137 keluarga berada di dua PPS di Kluang; 320 mangsa daripada 85 keluarga di lima PPS di Mersing; 148 orang daripada 35 keluarga (tiga PPS di Kota Tinggi); 89 orang daripada 24 keluarga di dua PPS di Segamat dan 72 mangsa daripada 24 keluarga di sebuah PPS di Johor Bahru.

“Setakat ini, dua jalan iaitu Jalan Haji Suhud di Johor Bahru dan Jalan Tanah Abang di Mersing masih ditutup kepada semua kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Di PERAK, seramai 131 mangsa banjir daripada 35 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS di daerah yang terjejas.

Menurut portal Info Bencana JKM, daerah Hilir Perak mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 108 orang diikuti Hulu Perak (16) dan Perak Tengah (tujuh).

Menurut infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Perak di Kuala Kenderong dan Tasik Temenggor di Hulu Perak serta di Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah kini pada tahap amaran selepas masing-masing mencatat bacaan 112.31m, 247.15m serta 6.71m, setakat 7 pagi ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk di Pahang, Johor hingga esok

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk (peringkat jingga) dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga esok.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam kenyataan hari ini, berkata amaran cuaca waspada (kuning) turut dikeluarkan bagi beberapa daerah lain di dua negeri terbabit serta di Kelantan dan Terengganu bagi tempoh sama.

Menurutnya amaran cuaca peringkat jingga melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Segamat dan Mersing di Johor, manakala amaran peringkat kuning meliputi daerah Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang serta seluruh Kelantan dan Terengganu.

“Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

“Pada masa sama, kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

“Keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur tidak kukuh,” katanya.

Jailan berkata angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dalam tempoh berkenaan.

Keadaan itu, katanya boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit.

– BERNAMA

Sumber Grafik: Facebook MET Malaysia

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Mangsa banjir Kelantan, Pahang meningkat, Terengganu berkurangan

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Banjir di Kelantan dan Pahang masih mencatat peningkatan manakala keadaan di Terengganu semakin baik.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di tiga jajahan di Kelantan terus meningkat kepada 400 orang sehingga 8 pagi ini, berbanding 323 orang petang semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 87 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) jajahan Kota Bharu iaitu 26 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor, SK Tiong (50) dan 11 mangsa di Islamic Out Reach ABIM Kok Lanas.

Pasir Puteh pula mencatat jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan enam PPS dibuka iaitu Dewan Kompleks Kamil yang menempatkan 67 mangsa, SK Changgai (17), SK Bukit Jawa 2 (37), SK Kamil 3 (44), SK Sungai Petai (23) dan SK Wakaf Raja (31).

Di Pasir Mas, seramai 74 mangsa daripada 16 keluarga di tempatkan di PPS SK Gual Tok Deh dan 20 mangsa di PPS SK Kubang Kual, manakala di PPS Balai Raya Padang Kijang, Tanah Merah yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga sebelum ini, ditutup.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi ini, Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.59 meter (m) (bahaya 9 m) namun ia adalah trend menurun.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 156 mangsa melibatkan 52 keluarga berbanding petang semalam iaitu 109 mangsa daripada 34 keluarga dengan lapan PPS di Raub beroperasi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, SK Ulu Sungai menempatkan mangsa paling ramai iaitu 42 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Sungai Ulu diikuti Masjid Kampung Kuala Semantan (38 orang, 12 keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Pia (26 orang,10 keluarga) dan Masjid Kuala Temau (16 orang, tujuh keluarga).

Selain itu, Balai Raya Kampung Sengkela pula menempatkan 12 orang daripada empat keluarga, SK Tersang (11 orang, tiga keluarga), Balai UMNO Kampung Batu Talam (enam mangsa, empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Chenua (lima orang, satu keluarga)

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi, Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Maran telah melepasi tahap waspada dengan mencatat 29.6 meter paras air berbanding 29 meter setakat 8 pagi ini.

Di PERAK, banjir termenung di Kampung Matang Tengah, Beriah dalam daerah Kerian belum surut dan menyebabkan 27 orang masih berada di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai setakat pukul 8 pagi ini.

Di TERENGGANU pula, situasi banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,621 orang daripada 416 keluarga setakat 8 pagi tadi, berbanding 2,130 orang daripada 550 keluarga pada 4 petang semalam.

Penurunan itu berikutan penutupan 10 PPS iaitu lima di Besut, Marang (dua), Hulu Terengganu (dua) dan Dungun (satu) menjadikan jumlah terkini PPS adalah 48.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata mangsa paling ramai adalah di Marang iaitu 527 orang daripada 138 keluarga berbanding 769 orang daripada 203 keluarga petang semalam.

Di Dungun, jumlah mangsa berkurangan daripada 166 orang berbanding 190; Besut (359 mangsa daripada 385); Setiu (268 mangsa daripada 294); Kemaman (43 mangsa daripada 116); Kuala Nerus (134 mangsa daripada 218) dan Kuala Terengganu pula berkurangan kepada 124 orang berbanding 139 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Waspada hujan lebat kebanyakan negeri Semenanjung

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Segamat & Muar) sehingga Isnin ini (23 November).

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata hujan lebat juga dijangka berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh & Kuala Krai); dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu & Marang) bermula esok (22 November) hingga Isnin (23 November) ini.

“Angin kencang barat laut dan timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5-meter dijangka bertiup di perairan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu dalam tempoh itu.

“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

-BERNAMA

 

Sumber Grafik: MetMalaysia

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KL dilanda banjir kilat, pokok tumbang

KUALA LUMPUR,18 JULAI: Beberapa kawasan sekitar ibu negara dilanda banjir kilat selain kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat sejak petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan dilanda banjir kilat ialah di hadapan Masjid Ububiah, Jalan Segambut Dalam melibatkan air naik setinggi satu kaki.

Turut dilaporkan lima kejadian pokok tumbang di hadapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Taman Pusat Kepong, Taman Tun Dr Ismail, Taman Sri Rampai dan Sungai Penchala.

Kejadian pokok tumbang itu turut menyebabkan tiga kenderaan dan bahagian dapur sebuah rumah rosak.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

-BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Selangor diramal kembali hujan hingga 1 Februari

SHAH ALAM, 26 JAN: Setelah dilanda cuaca panas berlarutan, Selangor diramal mengalami hujan ribut petir bermula esok (27 Januari) sehingga 1 Februari ini, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Melalui portalnya, keadaan itu dijangka berlaku di Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Keadaan mendung dan ribut petir berlaku bermula pada waktu pagi di beberapa lokasi.

Orang ramai boleh melayari laman web www.met.gov.my untuk mendapatkan maklumat terbaru mengenai keadaan cuaca semasa di negeri ini.

Categories
SELANGOR

Hujan dan ribut petir berterusan di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JUN: Cuaca hujan dan ribut petir diramalkan berlaku di beberapa daerah seluruh Selangor sehingga Rabu depan, 12 Jun.

Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) melalui laman webnya melaporkan, keadaan itu dijangkakan berlaku di Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling, Gombak dan Hulu Selangor.

Hujan dan ribut petir itu turut dilaporkan kemungkinan berlaku pada waktu petang dan juga malam di beberapa lokasi.

Sementara di Sepang pula, cuaca hujan dijangkakan berlaku di beberapa tempat pada waktu pagi.

Namun, bagi daerah Klang dan Sabak Bernam pula diramalkan cuaca panas sehingga 12 Jun ini.