Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan berterusan dorong tanah runtuh, waspada tanda awal – pakar

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Hujan dilihat antara faktor dominan di kawasan iklim bertropika lembap yang mendorong berlakunya kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan lereng dan cerun tinggi di negara ini.

Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM) Prof Emeritus Ibrahim Komoo berkata hujan lebat yang berterusan dalam tempoh beberapa hari akan menjadikan cerun tepu air, lembap dan lemah.

“Situasi ini akan menyebabkan struktur tanah lemah, mencetus pergerakan sehingga menyebabkan kejadian runtuhan tanah seperti yang berlaku di Sabah dan Perak…kita lihat tragedi ini berlaku akibat hujan lebat berterusan pada cerun berisiko tinggi,’’ katanya kepada Bernama di sini.

Malaysia kini berada pada fasa awal Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat signifikan, lazimnya boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

Hujan lebat yang melanda beberapa negeri sejak pagi semalam dikenal pasti menyebabkan kejadian tanah runtuh melibatkan sebuah resort peranginan di Tambun, Perak yang mengakibatkan dua penghuni resort tertimbus, manakala kejadian di Kimanis, Sabah memusnahkan dua rumah namun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Ibrahim berkata setiap cerun berisiko mengalami pergerakan tanah dan kejadian lazimnya tercetus selepas hujan turun berterusan.

“Setiap cerun berisiko (berlaku tanah runtuh) dan mempunyai tanda-tanda awal rekahan permukaan apabila gerakan tanah mula berlaku…keadaan ini hanya menunggu faktor pencetus (hujan) untuk menyebabkan runtuhan. Tanda-tanda ini boleh dilihat dan sistem amaran awal boleh digunakan pihak berkuasa untuk memberi amaran kepada orang awam,” katanya.

Pandangan serupa dikongsi Pakar Geologi dan Geosains Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah yang menyatakan kejadian tanah runtuh boleh berlaku apabila hujan berpanjangan turun di satu-satu kawasan.

“Apabila memasuki November dan Disember (Monsun Timur Laut) memang tidak dinafikan kejadian tanah runtuh boleh berlaku, ini disebabkan oleh hujan berpanjangan di satu-satu kawasan yang menyebabkan tanah menjadi tepu air dan tanah yang berjuram akan menggelongsor,” katanya.

Azizan berkata orang ramai hendaklah mengelakkan diri dan tidak berada di kawasan bercerun apabila terjadinya rekahan jalan yang menunjukkan tanda awal berlaku pergerakan tanah.

“Selain rekahan jalan, selalunya ada tanda-tanda seperti pokok di sekitar kawasan cerun mula condong, ini adalah tanda awal pergerakan tanah yang boleh membawa kepada kejadian tanah runtuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Jailan Simon berkata semua pihak harus mengambil langkah berwaspada dan berjaga-jaga dengan fasa awal Monsun Timur Laut yang berlaku sepanjang November sehingga Disember ini.

Beliau berkata hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari bukan sahaja boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah tetapi juga mendorong gelongsoran tanah apabila keadaan tanah menjadi lembap di kawasan bercerun.

“Jadi kita nasihatkan semua pihak termasuk orang ramai agar bersiap sedia dengan segala kemungkinan ini, dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan MET Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Tiada gelombang kedua ribut landa tiga negeri

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) memaklumkan tiada sebarang amaran gelombang kedua membabitkan kejadian ribut yang melanda tiga negeri di kawasan utara Semenanjung, malam tadi.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, keadaan di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah sudah kembali pulih dengan kemungkinan hanya mengalami keadaan mendung dan hujan biasa, pada hari ini.

“Fenomena garis badai kesan tiupan angin susulan taufan Lekima itu dijangka tidak akan kembali.

“Keadaan ribut dan hujan lebat yang melanda Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam tadi, bagaimanapun memberi impak positif dalam mengurangkan keadaan jerebu yang melanda negara sekarang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, MET akan terus memantau dari semasa ke semasa berhubung fenomena itu.

-BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Hujan diramal turun pada Hari Raya

KUALA LUMPUR 14 JUN: Hujan diramal turun di satu dua tempat di pantai barat Semenanjung manakala cuaca baik di tempat-tempat lain pada pagi Hari Raya Aidilfitri yang diraikan akhir minggu ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan turut diramal turun di beberapa tempat pada sebelah petang dan malam 15 dan 16 Jun ini.

Pada sebelah petang, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, beberapa bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah dan Bintulu, serta di Sabah iaitu Kudat dan Sandakan, menurut kenyataan yang dipaparkan menerusi laman sesawang jabatan itu hari ini.

Cuaca di tempat-tempat lain dijangka baik.

Kenyataan itu menyebut, beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta beberapa bahagian di Bintulu, Kapit dan Miri di Sarawak dan bahagian Sandakan dan Kudat di Sabah dijangka mengalami hujan pada sebelah malam.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jabatan Meteorologi nafi mesej tsunami di Sabah

KUALA LUMPUR 28 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini menafikan penyebaran mesej yang kononnya kejadian tsunami dan ribut akan melanda pantai timur Sabah dalam masa 36 jam.

Dalam kenyataan di sini malam tadi, jabatan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang nasihat atau amaran yang disebarkan melalui media sosial yang sumbernya bukan dari MetMalaysia.

MET MALUntuk pengesahan maklumat, orang ramai diminta merujuk laman sesawang MetMalaysia http://www.met.gov.my atau mobile web rasmi m.met.gov.my atau Facebook https:/facebook.com/malaysiamet atau Twitter https://twitter.com/malaysiamet atau MetMalaysia Hotline di talian 1300221MET (1638).

Sementara itu, jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor yang dijangka berterusan sehingga Isnin.

Angin kencang timur laut itu berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan.

Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga terdedah kepada kenaikan paras air laut sehingga Isnin.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MET: Orang ramai elak sebar maklumat palsu kejadian tsunami

SHAH ALAM 9 SEPT: Orang ramai diharap tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kejadian tsunami yang disebarkan di media sosial.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata jabatan itu sedang menjalankan Latihan Komunikasi Exercise Indian Ocean Wave (IOWAVE14) pada hari ini, 9 September.

MET1Latihan itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Diharap orang awam mengabaikan sebarang maklumat palsu mengenai kejadian tsuna,i yang tersebar di media-media sosial,” kata Jabatan Meteorologi Malaysia di lama Facebook.

Katanya, Malaysia bersama dengan lebih 20 negara sekitar Lautan Hindi mengambil bahagian dalam latih amal tsunami menggunakan senario gempa bumi kuat di Jawa Selatan pada 9 September 2014 dan di Makran Trench (barat Pakistan) pada 10 September 2014.

Latih amal ini penting untuk menguji  Sistem Amaran Lautan Hindi termasuk negara ini serta mengenal pasti kelemahan dan kekangan operasi setiap negara.

“Sekiranya berlaku ancaman tsunami sebenar dalam tempoh latih amal pada 9 dan 10 September 2014, maka latih amal tersebut akan dihentikan,” katanya.

tsunami palsuSebanyak 24 negara terlibat dalam latihan menghadapi tsunami selepas 10 tahun kejadian tsunami melanda Acheh yang mengorbankan lebih 300,000 nyawa pada 2004.

Negara yang terlibat dalam latihan itu adalah Australia, Bangladesh, Comoros, France (Réunion), India, Indonesia, Iran, Kenya, Madagascar, Malaysia, Maldives, Mauritius, Mozambique, Myanmar, Oman, Pakistan, Seychelles, Singapore, Afrika Selatan, Sri Lanka, Tanzania, Thailand, Timor-Leste dan Yemen.

EZY