Categories
AGENDA NASIONAL

Industri pelancongan tunjuk tanda pemulihan – Shopee

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Platform e-dagang Shopee menunjukkan isyarat pemulihan dalam industri pelancongan Malaysia susulan sambutan yang menggalakkan bagi kempen Tourism Malaysia di platform itu.

Katanya, sebanyak 22,000 tawaran “Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before” direbut sejak larangan sekatan perjalanan antara daerah diumum untuk ditamatkan pada 2 Mac dan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ini amat menggalakkan berbanding 500 transaksi terkumpul yang dibuat antara 11 Jan (apabila PKP 2.0 diumumkan) dan 1 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shopee bekerjasama buat kali pertama dengan Tourism Malaysia dalam kempen ini pada Disember dan dilancarkan semula baru-baru ini selepas terhenti selama dua bulan.

Menurutnya, permintaan pelancongan telah mendorong aktiviti bercuti inap dalam kalangan penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Johor yang menyumbang kepada purata sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan permintaan tawaran itu di negeri-negeri berkenaan.

Malah, katanya, rakyat Malaysia juga menzahirkan keyakinan bahawa sempadan negeri akan dibuka semula terutamanya dari Sarawak, Terengganu dan Melaka yang memilih tawaran “Buy Now, Travel Later.”

Shopee berkata destinasi terkenal adalah termasuk Aquaria KLCC di Kuala Lumpur; Sunway Lagoon dan Zoo Negara di Selangor; dan Rainbow SkyWalk di The Top Penang dan Wonderfood Museum di Pulau Pinang.

Turut disenaraikan sebagai destinasi popular ialah Port Dickson, Negeri Sembilan untuk aktiviti seperti memancing, snorkeling dan ‘banana boat ’, manakala aktiviti hotel, pelancongan dan rekreasi di Langkawi, Kedah,

“Kami akan terus memainkan peranan kami untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan pemilik hotel dan pengendali pelancongan menerusi teknologi untuk menyumbang kepada kelestarian industri ini.

“Permintaan yang kukuh ini menunjukkan rakyat Malaysia mahu dan perlu berehat selepas pendekatan untuk duduk di rumah dilanjutkan,” kata Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho.

Sementara itu, Shopee berkata berikutan peningkatan kunjungan ke pusat beli-belah, kempen 4.4 ‘Mega Shopping Day’ Shopee akan menawarkan e-baucar sehingga 50 peratus daripada penyewa yang turut serta di Mid Valley Megamall KL dan The Mall dan Mid Valley Southkey Johor Bahru.

Katanya, kempen itu menawarkan penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM4, tawaran potongan 95 peratus setiap hari, baucar, permainan, persembahan Shopee Live oleh penyanyi tempatan serta pelancaran kerjasama eksklusif antara label fesyen dan selebriti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Shopee lancar kempen jualan 9.9 susulan kejayaan 8.8

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Acara beli-belah dalam talian Festival Jenama 8.8 (8 Ogos) Shopee berakhir dengan amat menggalakkan, termasuk mencatat jualan lima juta helai pelitup muka dalam tempoh sehari.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata antara yang mendapat permintaan ketara pada acara beli-belah itu termasuk produk penjagaan kebersihan, barangan runcit, aksesori mudah-alih dan perkakasan rumah.

Malah, beribu-ribu helai bendera Jalur Gemilang turut dibeli kalangan rakyat patriotik bersempena sambutan Hari Kebangsaan bagi tujuan menghias rumah, sekolah dan restoran.

“Pada 8 Ogos lepas, kami mencatatkan jualan lima juta pelitup muka tiga lapisan. Malah, produk pelitup muka itu antara salah satu jualan paling laris.

“Barangan runcit, perkakasan dan keperluan dapur seperti periuk tekanan, penggoreng berasaskan udara, cecair basuh baju dan produk lain termasuk tisu basah untuk bayi, kotak (rak) kasut terus mendapat permintaan ketara,” katanya kepada Bernama semalam.

Ho berkata sambutan yang amat menggalakkan ketika Festival 8.8 itu juga dipacu oleh beberapa faktor seperti tawaran menarik RM8 ketika acara Jualan Kejutan yang merentasi semua kategori dan penghantaran percuma dengan hanya berbelanja serendah RM10 bagi tempoh jam 12 pagi hingga 2 pagi serta baucar diskaun 50 peratus pada 8 Ogos tersebut.

Faktor lain termasuk kempen jenama bersama dikenali Hari Jenama Terhebat membabitkan Shopee berserta 15 jenama lain dengan tawaran menarik untuk para pengguna.

Selain itu, susulan kejayaan tersebut, platform beli-belah popular itu kini melancarkan acara jualan tahunannya yang merupakan edisi kelima penganjurannya – Hari Beli-Belah Terhebat sehingga 9 September 2020.

“Banyak yang ditawarkan untuk rakyat Malaysia termasuk penghantaran percuma setiap hari dengan perbelanjaan minimum serendah RM9; Jualan Kejutan setiap hari dengan tawaran RM9, baucar diskaun 50 peratus serta peluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM99,000 dengan menyertai acara Permainan Shopee,” katanya.

Ho berkata Shopee turut bekerjasama dengan kerajaan bagi menyediakan penyelesaian e-dagang serta membolehkan pelaksanaan digitalisasi perniagaan terutama bagi mereka yang mempunyai premis konvensional dan berteraskan objektif untuk memacu pemulihan ekonomi.

Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah melancarkan beberapa inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Ini termasuk Kempen E-Dagang PENJANA Perusahaan Mikro dan Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Shop Malaysia Online bagi membantu perniagaan mengembangkan saluran dagangan dalam talian mereka menerusi pendedahan dalam Shopee dan baucar diskaun.

“Tidak ketinggalan, usaha mendorong penggunaan domestik dalam kalangan pengguna Malaysia menerusi potongan harga, baucar dan wang tunai melalui dana yang diperuntukkan oleh kerajaan,” katanya.

Malah, lebih daripada 36,000 perniagaan di platform itu telah meraih manfaat menerusi Kempen E-Dagang PMKS PENJANA berkenaan.

-BERNAMA