Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada aliran trafik luar biasa keluar dari ibu negara

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Keadaan jalan-jalan utama menuju keluar daripada ibu kota dalam keadaan terkawal setakat tengah hari ini dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan di lebuhraya-lebuhraya utama seluruh negara menjelang sambutan Aidiladha, esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pihaknya berharap agar orang ramai akur dengan larangan merentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan kini agar kes jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan.

“Kami berharap orang ramai untuk duduk di rumah dan tidak keluar jika tiada urusan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sebagai kelulusan pergerakan sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri susulan terdapat individu menyalahguna surat itu untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata kesesakan hanya berlaku di beberapa lokasi terdapat Sekatan Jalan Raya yang didirikan polis.

“Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berlaku kesesakan biasa sepanjang 400 meter sebelum Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan susulan sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan di lokasi berkenaan.

“Keadaan trafik menghala ke Pantai Timur juga berada dalam keadaan terkawal yang mana kesesakan hanya berlaku di lokasi terdapat SJR, di Plaza Tol Bentong menghala ke pantai Timur dan di Plaza Tol Gombak menghala ke ibu kota dengan kesesakan dianggarkan sepanjang 200 meter,” katanya.

Menurut jurucakap itu, tiada kesesakan luar biasa dikesan sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke utara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Siti Hasmah dianugerah gelaran ‘Ibu Negara’

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dianugerah gelaran ‘Ibu Negara’ oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di majlis Makan Malam Gala sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Pengerusi ASLI dan Pengasas Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah (JCF), Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata, anugerah itu adalah sebagai pengiktirafan kepada pengorbanan tidak terhingga Dr Siti Hasmah dalam memberi sokongan penuh kepada suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjuangan Perdana Menteri membina negara.

“Beliau adalah ikon yang memberi inspirasi kepada kita semua untuk meraikan kepelbagaian kita sebagai sebuah negara yang berbilang budaya, berbilang kaum dan berbilang agama.

“Nilai dan karekter Tun Dr Siti Hasmah mencerminkan sikapnya yang baik dan penyayang, yang merupakan ciri-ciri utama kepimpinan sebenar. Beliau bermula dengan memecahkan tradisi dengan menjadi sebagai salah seorang doktor Melayu pertama di negara ini.

“Tun Dr Siti Hasmah turut meraih pengiktirafan global terhadap bantahan kerasnya kepada peperangan, dan juga rayuannya bagi mendapat simpati kemanusian bagi pihak yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam ucapan beliau di majlis itu.

Cheah berkata, Dr Siti Hasmah berjaya memenangi kasih sayang, rasa hormat dan kekaguman semua rakyat Malaysia dengan pesona serta keanggunannya, dan juga kebijaksanaan dan ketenangannya.

Di majlis itu JCF turut melancarkan Biasiswa Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali untuk Seni Kreatif dan Muzik, dan menyumbang RM10 juta kepada dana itu.

Cheah menyampaikan anugerah itu kepada Dr Siti Hasmah dengan disaksikan oleh Dr Mahathir, dan juga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas ASLI, Tan Sri Razman Hashim.

Sementara itu Dr Siti Hasmah dalam ucapan ringkasnya merujuk kejayaan yang diraih itu kepada hasil sumbangan ibu bapa, abang serta kakaknya.

“Saya sebenarnya ingin berkongsi detik bermakna ini dengan arwah ibu bapa, abang dan kakak saya, kerana mereka mencorakkan diri saya seperti sekarang, benar-benar berharap mereka dapat melihat saya berdiri di sini menerima anugerah berprestij ini, pastinya ia sesuatu yang amat hebat bagi mereka..,” katanya dalam nada yang penuh emosi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Cheah yang mewujudkan biasiswa berkenaan.

“Usia bukan penghalang kepada sesiapa jua yang ingin belajar muzik, dan muzik adalah seni yang amat berharga kepada semua. Bagi saya mempelajari muzik adalah salah satu cara untuk anda mengurangkan stress,” katanya.

– BERNAMA