Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI belanja RM3 juta bantu masjid, B40 sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 juta diagihkan untuk program Jelajah Ramadan Kita Selangor oleh Dato’ Menteri Besar.

Sementara baki, jelasnya, dibelanjakan untuk program Ihya Ramadan yang memfokuskan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan anak yatim.

“Kita akan jelajah ke seluruh daerah dan menyerahkan sumbangan kepada masjid, surau, institusi pendidikan, persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada program edaran 500 pek juadah berbuka puasa kepada Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini semalam.

Agihan itu sebahagian inisiatif Ihya Ramadan membabitkan peruntukan sebanyak RM280,000 di beberapa lokasi terpilih sehingga tamat puasa.

Antara agensi terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Agama Islam Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Lembaga Zakat Selangor, Universiti Selangor dan Universiti Pengurusan dan Sains.

Turut menerima agihan ialah Politeknik Shah Alam, Balai Bomba Shah Alam, Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Karangkraf Seksyen 15, Proton dan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

PPR Lembah Subang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, DUN Kota Anggerik, Pejabat Parlimen Shah Alam dan PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26 juga menerima pek makanan berbuka puasa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada program Ramadan di masjid dan surau di Selangor

SHAH ALAM, 17 APRIL: Semua program Ihya’ Ramadan di masjid dan surau membabitkan orang ramai tidak dibenarkan di negeri ini, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata ini termasuk pengedaran bubur lambuk, program berbuka puasa, memasak dan mengagih juadah secara pandu lalu, lapor Sinar Harian.

“Mana-mana kutipan bagi penganjuran program Ihya’ Ramadan diterima masjid dan surau sebelum ini boleh ditangguhkan penggunaannya untuk tahun berikutnya.

“Program sumbangan prihatin kepada ahli kariah termasuk anak yatim yang memerlukan boleh dibuat berdasarkan keupayaan kewangan masing-masing, tertakluk kepada garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan Jais pada 2 April lalu,” katanya.

Mohd Shahzihan turut menasihatkan jawatankuasa masjid dan surau menyalurkan sumbangan tunai ke akaun penerima secara dalam talian.

Pada 13 April lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan solat Jumaat, jemaah dan aktiviti ceramah serta kuliah di semua masjid dan surau di negeri itu ditangguh sehingga 31 Mei ini.

Keputusan itu diambil susulan kebimbangan terhadap 6.5 juta penduduk Selangor yang mungkin terdedah kepada jangkitan Covid-19 jika langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.

Categories
NASIONAL

Agresif guna teknologi digital perkasa ekonomi masjid dan surau – Azmin

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Golongan belia Islam disaran lebih agresif menggunakan teknologi digital dan e-dagang bagi memperkasakan peranan masjid dan surau di negara ini sebagai satu daripada tempat penjanaan ilmu dan ekonomi masyarakat setempat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, terdapat masjid dan surau di seluruh negara yang masih lagi ketinggalan dan tidak mengambil kesempatan kemajuan teknologi IT terutama masjid-masjid dan surau-surau lama yang kawasannya terhad untuk aktiviti keilmuan dan penjanaan ekonomi.

“Untuk masjid-masjid baharu kita tahu banyak yang telah menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi, koperasi dan majlis-majlis ilmu kerana ada kawasan yang luas.

“Justeru saya galakkan supaya belia-belia (Islam) dapat menggunakan teknologi baru seperti Artificial Intelligence, e-commerce, online application..ini semua boleh membantu menjana ekonomi masyarakat Islam setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM1.93 juta kepada masjid dan surau dalam Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa dalam ucapannya berkata umat Islam tidak ada pilihan selain ‘mendakap’ segera kemajuan teknologi digital bagi memperkasakan ekonomi dan meningkatkan ilmu pengetahuan bagi mendepani pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini.

Ia sekali gus dapat membangkitkan semula kemajuan umat Islam menerusi penggabungan tenaga yang diperoleh dari para jemaah yang mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau.

“Masjid dan surau tempat terbaik (kemajuan ekonomi) sebab ia menjadi tumpat tumpuan dan berhimpun umat Islam…semua kepakaran dan pengalaman dapat digembleng sekali bagi menambah kekuatan umat Islam dalam bidang keilmuan dan (penjanaan) ekonomi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam di negara ini menjadikan bulan Ramadan yang bakal menjelang sebagai bulan kembali kepada fitrah dengan membudayakan amalan nilai-nilai murni dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain agar menjadi contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam.

“Jadikan Ramadan ini sebagai tempat kita kembali untuk menggilap nilai-nilai murni, saling hormat menghormati kerana Islam itu agama yang indah dan harmoni.

“Jika kita faham Islam sebenarnya, kita tidak akan terjebak dalam kegiatan radikal atau ektremisme yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam keadaan masyarakat kita yang rencam (majmuk) ini.. saya yakin jika ini terus menjadi amalan kita dapat bangkit semula menjadi umat yang cemerlang dan menjadi contoh kepada orang lain sebab Islam itu agama yang syumul dan lengkap,” katanya.

— BERNAMA

– Foto Sumber: Facebook Azmin Ali

 

 

Categories
SELANGOR

MBI lancar Ihya Ramadan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUN: Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) semalam melancarkan Program Ihya Ramadan untuk menghidupkan bulan mulia itu hingga menjelang Syawal.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali Al-Hafiz berkata, ia khusus bagi memperkukuh pengisian rohani kakitangan MBI dan anak syarikat serta agensi kerajaan di Bangunan Darul Ehsan.

Katanya, jemputan program turut dipanjangkan kepada penghuni banguan lain di sekitar pusat pentadbiran Selangor.

“Program ini adalah salah satu usaha membawa masyarakat Selangor kembali kepada fitrah beragama yang menuntut persepakatan sebagai budaya kecemerlangan dipandu nilai Islamik.

“Matlamat bagi mendapatkan darjat ketaqwaan seperti difirmankan Allah menerusi surah Al-Baqarah ayat 183 yang menuntut kepada konsep mujahaddah yang perlu kepada istiqamah dan puasa tarbiah dijalani secara bersama,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Jaafarudin berkata, Ihya Ramadan juga giat mengajak peserta membawa al-Quran kembali dekat dalam kehidupan berteraskan agama, seterusnya meningkatkan persepakatan warga Selangor.

IMG-20170605-WA0043“Tajuk dibentangkan merangkumi hakikat pembangunan roh Ramadan sebenar dan perbezaan puasa daripada hanya menahan lapar dan dahaga,” katanya.

Seawal jam lapan pagi, program dimulakan dengan peserta mengambil bahagian bertadarus selama sejam di Musolla Al-Husna, Bangunan Darul Ehsan.

Program ini juga bakal diisi tazkirah zohor oleh Ustaz Syed Abd Kader Al-Joufrey, Ustaz Zul Ramli Razali dan Ustaz Dato’ Dr Izuan Arif.

Pada setiap Jumaat, kakitangan wanita pula berpeluang bertaklim bersama ustazah jemputan melalui sesi khas buat mereka.

Categories
SELANGOR

Ihya Ramadan bantu saudara baru, fakir miskin

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 30 MEI : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merangka pelbagai pengisian program sepanjang Ramadan dengan aktiviti keagamaan bermatlamat menjurus kepada kebaikan perpaduan ummah.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim, berkata antara inisiatif itu termasuk penyerahan sumbangan ihya Ramadan oleh DYMM Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

RamadanMeritsandRulings-100-Fatwas“JAIS khususnya di bawah pengurusan masjid dengan kerjasama unit keraian, dan DYMM Tuanku Sultan berkenan berangkat ke Majlis Ihya Ramadan bersama fakir miskin dan saudara baru di 18 masjid termasuk 14 masjid kariah dan empat masjid Institusi.

“Sepanjang Ramadan ini, Tuanku berkenan menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada golongan memerlukan seperti tahun sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Konvensyen Pemantapan dan Pemerkasaan Pengurusan Masjid dan Surau Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu mampu menjadi pemangkin penyatuan seluruh anggota masyarakat agar golongan memerlukan terus dibantu dan tidak tercicir menerima bantuan sewajarnya.

Selain itu, progam berunsurkan keagamaan di masjid dan surau seluruh negeri juga terus dipergiatkan bagi menyemarakkan lagi kemuliaan Ramadan.

“Diharapkan ahli kariah dan masyarakat boleh bersama-sama mengimarahkan lagi program ini,” katanya.

EZY