Categories
ADN SELANGOR

Ratu rock negara sumbang pek makanan kepada mangsa banjir Batu Tiga

SHAH ALAM, 20 DIS: Kesusahan dihadapi mangsa banjir di Batu Tiga di sini mendapat perhatian ratu rock tanah air, Ella.

Pemilik nama lengkap Norzila Aminuddin, 55, tampil menghulurkan 300 pek makanan sedia dimakan kepada Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga semalam.

Perkara itu dikongsikan wakil rakyat kawasan terbabit Rodziah Ismail melalui Facebook yang berterima kasih dan menghargai sumbangan penyanyi berkenaan.

“Terima kasih Ella (beri sumbangan). Dia beri makanan sedia dimakan iaitu terubuk steam jenama Timore, jadi tak perlu masak,” kata Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri.

Sementara itu, pelantun Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu meminta orang ramai mengulang kicau tulisannya di Twitter berkenaan inisiatif sedang digerakkan bagi membantu mangsa terjejas.

“Ella nak hantar 300 pek makanan ‘ready to eat’ kepada mangsa banjir sekitar Shah Alam.

“Mohon RT (ulang kicau) untuk team (pasukan) Ella hantarkan ke lokasi dengan sebaiknya #daruratbanjir,” tulisnya di Twitter.

Hujan lebat luar biasa sejak Jumaat, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di Selangor ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais bantu 604 keluarga di Klang, Kuala Langat dan Hulu Langat

SHAH ALAM, 11 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM60,400 kepada 604 penerima di Klang, Kuala Langat dan Hulu Langat hari ini.

Sumbangan diberikan kepada golongan memerlukan menerusi pek makanan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula bernilai RM100.

“Bagi melancarkan pengagihan sumbangan, seramai 26 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri daripada masjid dan surau di sekitar Klang, Kuala Langat Dan Hulu Langat membantu Mais menyalurkan sumbangan terus kepada penerima yang telah dikenal pasti.

“Penerima di sekitar Klang seramai 220 keluarga, Kuala Langat 72 keluarga dan Hulu Langat 312 keluarga,” kata Mais menerusi Facebook.

Mais menyeru orang ramai yang masih belum menunaikan kewajipan membayar fidyah boleh melakukannya secara dalam talian melalui http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 13 Ogos, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sumbang pek makanan RM60,000 kepada pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 9 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan pek makanan dan minuman bernilai RM60,000 kepada pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan yang diperuntukkan di bawah asnaf “Amil” itu merupakan sebahagian inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang diumumkan pada 2 Julai lepas.

Beliau berkata sumbangan itu akan dimanfaatkan 20 agensi kerajaan yang bertugas di pusat berkenaan termasuk petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sumbangan ini adalah inisiatif yang kita laksanakan di bawah peruntukan asnaf ‘Amil’ yang peruntukan asalnya bernilai RM1 juta tetapi melihat kepada keperluan sekarang ini, LZS telah membelanjakan hampir RM1.2 juta bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Kita juga dimaklumkan bahawa pihak pusat kuarantin memerlukan susu dan lampin pakai buang dewasa setelah pusat ini dinaik taraf kepada pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat…oleh itu kita akan melihat keperluan ini jika perlu ditambah di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di sini.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata LZS turut mengagihkan bantuan kewangan kira-kira RM800,000 kepada seluruh hospital di Selangor bagi membeli barangan keperluan berkaitan Covid-19.

“Antara barangan keperluan itu termasuk katil, tong oksigen, pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan lain-lain,” katanya.

Pada 2 Julai lepas, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.0 juta peruntukan wang amil disalurkan bagi menyokong keperluan asas petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19.

Sebelum ini, LZS turut menyalurkan sumbangan sebanyak 2,000 pek makanan dan minuman selama 30 hari kepada orang ramai yang hadir membuat penilaian kesihatan di di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI SELANGOR

Mais agih 800 pek makanan hargai petugas hadapan

SHAH ALAM, 18 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan sumbangan 800 pek makanan kepada petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) dan pejabat kesihatan daerah (PKD) semalam.

Mais menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan PPV terlibat adalah Dewan Semai Bakti Felda Soeharto Kuala Kubu Bharu, Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Dewan Orang Ramai Kg Ampang Indah, Hulu Langat dan Dewan Taman Bukit Mewah, Kajang.

Turut menerima sumbangan pek makanan itu empat PKD di Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

“Setiap PPV dan PKD masing-masing menerima 100 pek makanan. Ini sebagai menghargai selain sokongan kepada petugas barisan hadapan,” katanya.

Edaran sumbangan itu dengan kerjasama Teraju Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Penyerahan sumbangan  berjalan selama lima hari bermula kelmarin di PKD Petaling, Klang dan Pelabuhan Klang serta PPV Dewan Sukan Pandamaran.

Categories
AGENSI SELANGOR

Petugas pusat vaksin, pusat kesihatan daerah terima pek makanan

SHAH ALAM, 16 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin dan pejabat kesihatan daerah.

Agensi berkenaan berkata bantuan disalurkan mulai hari ini membabitkan penerima di PKD Petaling, Klang dan Pelabuhan Klang serta PPV Dewan Sukan Pandamaran dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).

Sumbangan disampaikan Ketua Zon Daerah Klang dan Kuala Langat, Mohd Hidayat Mohd Suhaimi. Turut hadir, Pengurus Sektor Latihan Asnaf Teras, Muhammad Sayifullah Masiron.

“Masing-masing menerima 100 pek makanan terdiri roti dan air mineral.

“Mais sentiasa komited dengan kebajikan ummah terutama barisan hadapan dalam memutuskan rantaian Covid-19,” katanya di Facebook hari ini.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Morib agih makanan sejuk beku bantu penduduk terjejas PKP

SHAH ALAM, 12 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menyediakan 500 pek makanan bagi membantu penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata selain makanan asas seperti beras, gula, biskut dan minyak masak, pek makanan itu turut diisi makanan sejuk beku.

“Kita beri kelainan untuk kali ini. Setakat ini, jumlah diagihkan tidak banyak, mungkin penduduk telah membuat persediaan.

“Bagaimanapun, kita jangka permohonan bakul makanan akan meningkat kerana PKP disambung,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Hasnul berkata sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah dalam tempoh sebulan.

“Kita faham mereka tidak boleh keluar kerana mahu kekang penularan pandemik. Jadi, kita bantu meringankan beban mereka,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP dilanjutkan dua minggu lagi mulai 15 hingga 28 Jun susulan kes Covid-19 melebihi 5,000 sehari.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI belanja RM3 juta bantu masjid, B40 sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 juta diagihkan untuk program Jelajah Ramadan Kita Selangor oleh Dato’ Menteri Besar.

Sementara baki, jelasnya, dibelanjakan untuk program Ihya Ramadan yang memfokuskan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan anak yatim.

“Kita akan jelajah ke seluruh daerah dan menyerahkan sumbangan kepada masjid, surau, institusi pendidikan, persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada program edaran 500 pek juadah berbuka puasa kepada Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini semalam.

Agihan itu sebahagian inisiatif Ihya Ramadan membabitkan peruntukan sebanyak RM280,000 di beberapa lokasi terpilih sehingga tamat puasa.

Antara agensi terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Agama Islam Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Lembaga Zakat Selangor, Universiti Selangor dan Universiti Pengurusan dan Sains.

Turut menerima agihan ialah Politeknik Shah Alam, Balai Bomba Shah Alam, Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Karangkraf Seksyen 15, Proton dan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

PPR Lembah Subang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, DUN Kota Anggerik, Pejabat Parlimen Shah Alam dan PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26 juga menerima pek makanan berbuka puasa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB tunai solat Jumaat, agih sumbangan di masjid Cyberjaya

CYBERJAYA, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar menyampaikan sumbangan 300 pek berisi makanan, minuman dan pelitup muka kepada kariah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk beramah mesra dengan ahli jawatankuasa masjid.

Terdahulu beliau mendengar khutbah yang disampaikan Imam Burhanuddin Helmi Hisamuddin bertajuk ‘Israk dan Mikraj: Perjalanan Agung Rasulullah’.

Kandungan khutbah antara lain meminta umat Islam mengambil suntikan vaksin bagi mencegah penularan Covid-19.

“Terimalah dengan baik saranan kerajaan supaya mengambil vaksin dengan mendaftarkan diri kita melalui aplikasi MySejahtera dan SELangkah.

“Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang bersabar ketika penyakit menimpa, berdisiplin dan mematuhi tatacara operasi standard (SOP) demi keselamatan diri serta masyarakat,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Hampir 700 calon SPM DUN Dusun Tua terima pek makanan

SHAH ALAM, 24 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menyediakan pek makanan kepada 689 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dua sekolah kawasannya hari ini.

Wakil rakyatnya berkata seramai 419 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil dan 270 dari SMK Dusun Nanding, Hulu Langat menerima bantuan tersebut.

“Sumbangan ini bertujuan memberi semangat kepada calon SPM ini untuk menjawab peperiksaan selain tidak mahu mereka kelaparan.

“Saya berharap makanan yang disediakan pasukan Gerak 23 DUN Dusun Tua membantu mereka lebih fokus dan semoga berjaya menduduki SPM,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini.

Menurutnya, sebanyak RM6,000 diperuntukkan untuk kedua-dua sekolah tersebut dengan harapan mampu meringankan beban keluarga dan pihak sekolah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS agih pek makanan kepada pelajar Politeknik Shah Alam

SHAH ALAM, 28 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menyerahkan pek makanan kepada 556 pelajar Politeknik Shah Alam yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnafnya Abdul Basith Hamid berkata bantuan khas Covid-19 bernilai lebih RM50,000 bagi meringankan beban pelajar terutama dari keluarga berpendapatan rendah.

“Lebih 500 pelajar yang terkandas ini tidak dapat pulang ke rumah masing-masing atas pelbagai sebab dan mereka tinggal di asrama serta kawasan sekitar.

“Pendapatan keluarga mereka rendah, jadi mereka kekurangan bekalan. Justeru, LZS mengambil insiatif menyumbangkan pek makanan mentah dan pelajar ini akan masak sendiri,” katanya dalam video yang disiarkan di Facebook LZS.

Abdul Basith turut meminta orang ramai melaksana tanggungjawab membayar zakat bagi membantu golongan memerlukan yang semakin bertambah di Selangor.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Shah Alam Dr Mohd Zahari Ismail berterima kasih kepada LZS atas kesudian mengagihkan bekalan makanan kepada pelajarnya.

“Kami sangat bersyukur kerana bantuan ini membolehkan pelajar menyara kehidupan untuk tempoh lebih sebulan di samping meneruskan pengajian kerana sekarang musim peperiksaan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Petugas PBT Selangor dapat juadah sahur, berbuka sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Petugas barisan hadapan di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dibekalkan juadah bersahur dan berbuka puasa mulai esok, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata 15,000 pek makanan yang disediakan sepanjang Ramadan sebagai tanda penghargaan dan sokongan moral terhadap sumbangan petugas hadapan menangani wabak Covid-19.

“Ini juga salah satu usaha Kerajaan Selangor membantu peniaga kecil tempatan melalui tempahan makanan untuk bersahur dan berbuka puasa.

“Oleh itu, setiap PBT disaran membuat tempahan makanan daripada peniaga berlainan sebagai satu langkah untuk memulihkan ekonomi setempat,” katanya dalam kenyataan yang turut memaklumkan RM120,000 diperuntukkan bagi tujuan tersebut.