Categories
AGENDA NASIONAL

Ikan bekok tambah selera ketika berbuka puasa, sahur

KOTA BHARU, 5 MEI: Seorang pengusaha ‘ikan bekok’ (ikan bengkak) meraih pendapatan berganda dan tidak menang tangan apabila permintaan pelanggan terhadap hidangan pembuka selera itu terus meningkat sepanjang Ramadan kali ini.

Nor Azreena Mohd Nor, 37, mengusahakan ikan bekok sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, bermula sekitar 50 kilogram (kg) sebulan, permintaan terus meningkat mencecah 150 kg pada Ramadan kali ini.

Katanya idea untuk membuat ikan bekok tersebut tercetus, setelah beliau memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Tak sangka pula mendapat sambutan berganda berbanding sebelum ini, proses hanya 50 kg ikan sahaja purata sebulan.

“Pada bulan puasa seperti sekarang, pelanggan gemar makan ikan bekok untuk berbuka, malah ia membuka selera ketika bersahur, kerana ada kecapan rasa masin, lemak ditambah pula adanya bawang dan cili goreng serta perahan asam limau,” katanya ketika ditemui di gerai Ikan Bekok Kadok di Kampung Berangan Jalan Kota Bharu-Ketereh, di sini.

Bercerita lanjut, Nor Azreena untuk menyediakan ikan bekok tersebut, beliau mempunyai dua cawangan iaitu di Kadok dan Tanah Merah, dibantu tujuh pekerja untuk menyiang ikan segar dengan membelah perut, kemudian ikan itu direndam di dalam air garam semalaman.

“Pada keesokan hari, air garam tadi dibuang dan ikan kemudian direndam ke dalam air biasa selama empat jam untuk menghilangkan rasa masin berlebihan. Selepas itu barulah dijemur selama tiga hingga lima jam, bergantung kepada tahap cuaca panas.

“Sebaik sahaja ikan ini dijemur mengikut tempohnya, kita perlu angkat dan terus dimasukkan ke dalam peti, bagi membolehkan penyimpanan lebih lama sehingga tiga minggu,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Nor Azreena berkata bekalan ikan segar diambil daripada pembekal di Tok Bali, Pasir Puteh Geting, Tumpat, Jelawat dan Bachok.

“Antara jenis ikan bekok yang dihasilkan termasuk gelama bongkok, gelama gigi, cencaru, layur, talang, selar kuning dan ‘butir nako’, manakala ikan kering seperti tambang, pari, pelata serta bulu ayam, yang dijual dari harga RM18 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada jenis ikan.

Nor Azreena berkata, ikan bekok tersebut juga mendapat permintaan untuk dipasarkan ke luar negara seperti United Kingdom dan Arab Saudi, namun beliau terpaksa menangguhkan atas beberapa kekangan seperti kos penghantaran, ketahanan ikan serta pembungkusan, bagi memastikan ia dihantar berada dalam keadaan baik.

“Walau bagaimanapun, untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mendapatkan ikan bekok di luar Kelantan, sehingga kini saya mempunyai 20 hingga 30 ejen dari seluruh negara,” kata ibu kepada tujuh anak dan mendapat sokongan suami Muhammad Ai’Amin Mohamad Kasim, 37, yang bekerja sebagai kakitangan awam.

Sementara itu seoarang pelanggan, Tuan Jusoh Tuan Dollah, 50, yang berasal dari Pasir Puteh berkata, sejak puasa beliau sudah beberapa kali membeli ikan bekok di situ, kerana gemarkan aroma dan rasanya yang boleh membuka selera.

“Ikan bekok ini adalah makanan tradisi sejak dulu, dan biasanya orang berpuasa kurang berselera terutama waktu dinihari ketika sahur, tetapi apabila ada ikan bekok yang digoreng panas-panas, ia menambah kenikmatan semasa makan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA

Ikan bekok pembuka selera masyarakat Kelantan

TUMPAT, 28 MAC: Budu, cencaluk dan ikan pekasam adalah antara makanan “pembuka selera” yang digemari masyarakat Melayu di Malaysia, namun tidak ramai yang tahu mengenai “ikan bekok”, yang juga dikategorikan sebagai pembuka selera popular terutama dalam kalangan masyarakat Kelantan.

Bekok adalah satu proses mengawet ikan yang diamalkan secara turun-temurun oleh penduduk Kelantan terutama yang tinggal di tebing Sungai Kelantan.

Ikan bekok biasanya dibuat daripada ikan gelama yang dipancing dari sungai itu.

Untuk menikmati kulinari tradisi Kelantan itu, ikan bekok gelama yang agak besar saiznya akan digoreng garing dan dicicah dengan hirisan bawang besar, cili padi dan cuka untuk dinikmati dengan nasi panas.

Pembuat ikan bekok, Hasmah Mamat, 60, dari Kampung Kok Majid di sini berkata beliau hanya membuat bekok daripada ikan gelama sungai yang dipancing oleh suaminya Rozlen Mahmud, 58, pesara tentera di muara sungai Kelantan yang airnya payau.

“Untuk membuat bekok, ikan yang sudah disiang dan dibersihkan, direndam dalam air garam bersama cuka selama 30 minit atau dilumur dengan garam secukupnya sebelum dijemur seharian. Ini bagi menimbulkan rasa masin, lemak dan masam yang seimbang,” katanya kepada Bernama ketika ditanya tentang resipi membuat ikan gelama bekok.

“Biasanya bekok dijual pada harga antara RM40 hingga RM80 sekilogram dan bagi ikan gred A ia boleh mencapai sehingga RM90 sekilogram,” katanya sambil menambah harga bekok lebih tinggi daripada ikan masin biasa dan ikan segar yang lain.

Seperti ikan masin, gelama bekok boleh tahan lama dan tidak mudah rosak jika betul cara ia disimpan.

Rozlen berkata, ikan gelama sungai atau gelama bengkok lebih sedap berbanding gelama batu dan gelama batang yang banyak terdapat di perairan negara.

Tinjauan Bernama di Sungai Kelantan baru-baru ini mendapati lebih 50 bot berlabuh di Sungai Kelantan untuk memancing ikan gelama sungai. Ada juga pegawai kerajaan menghabiskan cuti dengan aktiviti memancing ikan gelama.

Kebanyakan mereka memakai topi untuk berlindung daripada panas matahari semasa memancing. Pada waktu malam, lampu dari bot nelayan berkelipan menandakan aktiviti memancing sedang berlangsung di situ. Suasana meriah itu boleh dilihat antara bulan Februari hingga Oktober setiap tahun.

Seorang lagi pemancing dan pengusaha ikan bekok sambilan Rosli Ahmad, 45, yang juga ditemui semasa memancing di Sungai Kelantan berkata aktiviti memancing dan menyiang ikan untuk dibuat bekok memberikan ketenangan kepadanya selepas berdepan dengan tugas hakiki sebagai penjawat awam.

Anak kelahiran Tumpat yang sedang bercuti itu berkata beliau lebih gembira menghabiskan tiga minggu cuti dengan memancing ikan gelama sungai serta menolong isteri membuat bekok dan kemudiannya diagih kepada rakan untuk simpanan bagi juadah pada bulan puasa yang akan disambut tidak lama lagi.
-BERNAMA