Categories
BUDAYA RENCANA

Teori konspirasi Frankie Latit

Oleh Ilya Alias

Ilustrasi Matarojit

AH! Apakah ayat terbaik untuk menggambarkan keadaan emosi, fizikal serta kewarasan mindaku saban waktu ini. Setiap ketika, bulan bagaikan naik meskipun hari siang, dan aku persis kucing di tengah-tengah jalan raya yang melahap deruman enjin kenderaan yang lalu lalang; menyesakkan! Tingkap rumah yang baru dihuni beberapa minggu yang lalu masih berhabuk. Penangan virus Covid-19 sangat mendesak. Aku kontang idea untuk meneruskan penulisan manuskrip novel yang sentiasa dihambat oleh editor. Berkali-kali jugalah aku meminta simpati agar diberikan kelonggaran masa kerana serebrum aku seakan terikat untuk mengambangkan idea dan kata-kata. Bahkan, untuk menulis sebuah cerpen pun aku tidak mampu! Mujurlah aku sempat berhijrah ke sebuah apartment baru di tengah-tengah kota. Sejak aku memiliki kunci rumah ini, seluruh kawasan sekitar bagaikan kena sumpah dan berubah kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan. Namun, semua itu langsung tidak memberi kesan kerana ketegangan emosiku sudah tidak dapat dibendung. Apakah ini merupakan fasa kegagalanku sebagai seorang penulis? 

Pagi musim panas tanpa angin ini, aku bertekad akan mengemas rumah. Aku tidak betah lagi menghirup atmosfera habuk dan mungkin juga dengan cara ini, aku dapat meminjam aura penghuni rumah ini yang terdahulu. Aku mula dengan menilik barang-barang yang penuh di dalam kotak dalam sebuah bilik kecil. Segalanya berupa buku dan kertas. Ada juga sebuah mesin taip versi lama yang dibalut kemas. Aku kian tertarik melihat nama yang terukir pada mesin taip tersebut, Frankie Latit. Ya, aku belum kisahkan bahawa aku tidak memilih untuk menyewa rumah ini secara suka-suka. Seorang penulis muda yang terkenal ketika zamannya, Frankie Latit pernah menghuni rumah ini beberapa tahun yang lalu ketika dia masih menuntut di ibu kota. Aku seperti anak kecil yang mendapat gula-gula kapas apabila melihat beberapa naskhah manuskrip lama yang disimpan kemas di dalam kotak-kotak koko besar dan penuh habuk. Aku membuka tingkap untuk membebaskan sebahagian habuk yang sakan menari di udara. Kebanyakan manuskrip tersebut ditulis dengan tulisan tangan dan aku masih dapat membaca sebahagian karyanya. Pandanganku tertancap pada helaian kertas yang disimpan rapi dalam sebuah fail nipis berwarna hijau terang. Helaian-helaian kertas tersebut sudah agak lusuh dimakan waktu. Aku bersila sambil meneliti helaian kertas yang aku kira sangat mengagumkan. Ianya sebuah cerpen yang mengangkat konspirasi kewujudan xenofobia. Aku tidak lama di dalam bilik kecil itu. Nampaknya, jadual untuk membersihkan rumah terpaksa aku ubah. Aku berjalan ke sofa, dan untuk kali pertama menghuni rumah ini, inilah saatnya aku merasa deru bayu yang berpuput laju melalui tingkap di ruang tamu.   

Hatiku terasa penuh dan pastinya ini perasaan yang dialami oleh Thomas Edison apabila tenang mengatakan hal ini kepada anaknya ketika semua keringatnya musnah dijilat api di West Orange pada 10 Disember 1914; 

“Benar, premis kita semuanya bertukar abu, pasti atas kesalahan yang pernah kita lakukan. Esok kita akan mula semula.”

Aku cuba mengawal perasaan teruja dengan mengeluarkan satu tin kopi segera sejuk dari peti ais. Aku duduk bersila di atas sofa dengan penuh debar hendak memulakan pembacaan pada helaian karya yang magis ini. 

Konspirasi yang dibawa oleh penulis ini memang hebat dan disulam dengan unsur-unsur medikal, yang memang menjadi impianku untuk menulis hal-hal begitu. Sejak kali pertama aku menulis, seringkali rakan-rakanku berceramah agar aku mempunyai identiti kepengarangan aku sendiri. Bagaimana? Aku tidak mempunyai latar pendidikan yang hebat, kenal ilmu sains dan biologi, atau ilmu-ilmu ekonomi yang boleh dijadikan kekuatan karya. Kebanyakan karya yang pernah aku tulis segalanya mengangkat isu-isu marhaen serta kehidupan manusia secara total. Aku pernah memaksa diri untuk membaca dan mendalami fakta-fakta mengenai budaya masyarakat di Borneo, dan hal-hal lain yang lebih serius, namun tidak berhasil. Seolah-olah bacaanku tidak lekat dalam kepala di saat aku mahu memuntahkannya sebagai sebuah karya. 

Aku menarik nafas dalam-dalam, menyambung bacaan yang masih suku perjalanan. Naskhah ini ditulis tangan dengan pen dakwat basah, namun tulisannya masih jelas dan langsung tidak terjejas oleh masa. Berbeza dengan naskhah dan helaian karyanya yang lain. Hanya karya ini sahaja yang masih elok benar, barangkali takdirnya untuk bertemuku. Aku semakin teruja apabila melihat sulaman unsur-unsur medikal dengan budaya yang diterapkan oleh penulis yang sejak dahulu aku cemburui bakatnya. Keningku seakan bertaut tatkala menghadam intipati karya ini yang mengangkat isu kedatangan pendatang asing ke tanah air kita.  Kehadiran mereka telah memberi impak negatif kepada psikologi anak-anak generasi baru. Aku menggigit bibir apabila kemuncaknya, diberikan persoalan, apakah keadaan ini bakal menjadi pandemik yang melanda negara? Terus fikiranku berkelintar akan kes kematian Covid-19 yang kian mencanak naik. Apakah penulis ini mempunyai akal magis untuk mentafsir masa depan dan menyulamnya dalam bentuk sebuah karya satira? Aku membelek-belek setiap helaian. Nampaknya, tiada tajuk karya yang ditulis bersama. Aku menarik nafas dalam-dalam.  

Usai menghadam naskhah tersebut, meninggalkan aku dengan perasaan yang langsung aku tidak gemar. Aku menghirup kopi sekali gus sehingga habis. Debar di dada kian ketara. Aku meletakkan semula naskah di atas sofa, merenung apakah keputusan paling sempurna yang mesti aku lakukan. 

Aku mahukan karya ini menjadi milikku, itu sesuatu yang pasti. Aku mahu  nama yang tertera sebagai penulis karya ini ialah diriku, tetapi apakah dosa dan sumpahan yang bakal aku terima sekiranya bulat-bulat mengirimkan karya tersebut kepada editor. Sudah hampir suku tahun penaku sunyi tanpa buah karya. Aku bagaikan tikus yang terjumpa labu di tengah-tengah lubang najis, kelaparan dan tamak. Ah, kepalaku sakit!

Seharian aku cuba mempertimbangkan keputusan yang baik. Bunyi bip yang muncul di tengah-tengah kegalauan memberikan aku kata putus.

Assalamualaikum Ilya, sudah ada cerpen terbaru untuk disiarkan? Lama kami menanti, selepas ini mungkin tiada lagi slot karya untuk kamu sekiranya kosong begini. 

Ada, Tuan. Sekarang juga saya hantarkan. 

Dan, tanpa segan, aku mengirimkan karya tersebut yang aku fikir sesuai tajuknya; Teori konspirasi Frankie Latit! 

Categories
BUDAYA RENCANA

Apakah kita cukup gila untuk menikmatinya?

Oleh Ilya Alias

Langsung kusedar separuh tubuh terkeluar dari bingkai jendela rumah bonda
sewaktu seekor katak puru melompat terus ke dalam tempurung kelapa yang ternganga
sejurus selepas menelan seekor lalat yang semalam melabuhkan telur-telurnya di atas makananku yang masih suci

Langsung kucelik bahawa masih ada yang belum terusik di halamanku ini
tandas empat segi dilitup kepingan-kepingan zink yang lompang dimakan karat masih setia menyembunyikan sisa kumbahan yang menjunam ke dalam lubang
bersebelahan pelenggar gemulah nenda tempat menikmati wangi durian

Langsung tersergah dari cangkung yang lama di batas ban merah
di antara bendang dengan kali
selepas terpalit selut di wajah
termangu menahan hanyir yang menusuk kerana hulunya tersumbat jala ikan dan berulat sakan
masih ada yang tertunda di halamanku, rupa-rupanya

Langsung kita baru bersua dengan bau korupsi, nepotisme dan reformasi yang rancak mengisi udara kehidupan norma baru
tanyaku kepadamu; apakah kita cukup gila untuk menikmatinya?

 

Ilya Alias

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Balapan Masa

Oleh Ilya Alias

 

DIA homo sapiens yang suka berlari. Lariannya sangat luar biasa dan melangkau segala sempadan masa. Barangkali dia memiliki genetik Chrono-Impairment, dan mindanya sendiri seperti kapal angkasa Naboo. Tetapi lebih menarik, dia boleh memilih masa untuk dilawati dengan hanya memejamkan mata dan mula berlari. Setiap kali dia berlari ke dimensi yang dipilih, dia akan melihat jam pasir yang sentiasa terjuntai di pinggang. Jam pasir yang bergerak seiring dengan kualiti masa. Kehidupannya laju bagaikan libasan seekor buaya paling besar yang mampu menghancurkan rangka manusia sekelip mata. Seumur hidup, jauh sekali dia menikmati rasa seperti siput babi yang merangkak. Berlari persis nyawa dan dia tidak membenarkan sehelai lalang pun tumbuh dan berakar dalam darahnya kerana setiap lariannya ke dimensi lain akan membuka jiwa yang lebih besar.

Dia ada seorang nenek yang trauma sehingga gila apabila diperkosa puluhan tentera Jepun di kamar paling gelita ketika Perang Dunia Kedua. Sungguh, dia tidak pernah kenal kerana wanita tua itu sudah berada di alam seberang. Cerita langka itu dikisahkan ibunya ketika lewat tidur dan melekat sehingga membenihkan keinginannya untuk berlari ke sempadan masa tiga hari dalam bulan Ogos tahun 1945 yang tidak akan hilang dalam sejarah peperangan nuklear dunia. Dia berlari laju-laju melihat pasca kehancuran yang dihadiahkan Amerika Syarikat melalui Little Boy dan Fat Man. Ketika dia sampai di sana, lariannya kian kencang apabila melihat susuk-susuk roh manusia bergentayangan di udara, korban virus hasad negara terkaya dunia. Rata-ratanya terpasung oleh masa – kerana dendam kesumat dari ledakan maha besar yang membunuh kira-kira 75,000 nyawa, masih belum lunas. Bahkan, bayangan cendawan asap yang menerjah udara setinggi sebelas batu dari hipopusat masih berulang kali hadir dalam laman sejarah mereka. Pandangan mereka yang menakung dendam seolah-olah mampu menerobos ke segenap inci soldadu dunia yang kini memperkosa sejarah tamadun paling agung dunia. Lantas, dia terus berlari ke muka bandar Chernobyl yang meneguk ludah sendiri apabila Loji Nuklear Chernobyl bocor dan memberikan kejutan seratus kali ganda malapetaka daripada kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki.

Keghairahannya berlari menghumbankannya ke episod peralihan kuasa di Malaysia, saat seorang Perdana Menteri diangkat memikul tanggungjawab tersebut kembali selepas bersara, dan seluruh negara bagaikan tidak tidur, meredah siang dan malam semata-mata untuk mengetahui keputusan pilihan raya yang bakal termaktub dalam sejarah negara. Legasinya bagaikan memercikkan api dari bara lama, tetapi rakyat masih waras untuk tidak mengulangi peritiwa hitam 13 Mei 1969. Ingatannya pada tarikh 1969 membuatkan otaknya menggelegak dan mahu bersepai. Dia salah seorang daripada mereka yang diminta berkurung kerana perbalahan kaum dan kehancuran perpaduan yang kian menipis dalam jati diri rakyat, sekali gus mendekatkan kembali igauan Perang Dunia pertama dan Perang Dunia kedua. Memori yang terukir rapat pada deretan generasi tidak mungkin hilang persis selut yang menyalut kaki, ke mana pergi, baunya tetap menusuk.

Hari itu dia tiada selera makan apabila melihat beberapa kumpulan manusia berpakaian serba kelabu dan pudar warna menguis sisa dari jalanan, cepat-cepat mengunyah baki makanan dari tong sampah sebelum sempat diangkut majlis bandaran. Seperti ada batu yang berat di bahu dan tekak sehingga dia tidak dapat mengujarkan walau sepatah kata. Dia terus berlari sehingga jiwanya dibawa ke tebing Kemboja dan Gaza. Mereka dua koloni yang berbeza; pelupusan etnik serta peperangan agama. Dia berlari sambil menarik cebisan-cebisan daging manusia yang bertebaran di jalan dan sama-sama mengumpul perca-perca pakaian yang boleh dicantumkan semula agar dapat disatukan menjadi alas tidur. Dia berlari di sela-sela mortar yang membedil bangunan sehingga ranap dan membenamkan lolongan manusia sehingga udara menjadi debu dan kabur. Asap menjadi udara dan air liur jadi pengganti makanan. Dia berlari dengan mata yang terbuka luas tanpa sekelumit cahaya. Bedilan tanpa henti yang kejam, dan Gaza adalah bayangan Chernobyl. Hitam pekat.

Rentetan lariannya menerjah ruang masa dunia tahun 2001 hingga 2004. Secara peribadi, dia golongkan Jack Ma sebagai lelaki genius dengan strategi pemasaran Ali Baba yang mampu bertahan ketika dunia dilanda Sistem Pernafasan Akut Teruk pada tahun-tahun tersebut. Wabak ini telah mengorbankan ratusan manusia di seluruh dunia. Dia berlari lebih laju saat gelung masanya berputar dan kembali jauh ke medium kehancuran apabila Spanish Flu 1918 menguji barisan perubatan dengan mengorbankan ribuan soldadu dan rakyat hingga terpaksa dibiarkan bergelimpangan tanpa bantuan perubatan kerana tidak mencukupi dan katilnya berganti mayat tanpa henti. Lariannya tidak pernah surut. Dia terus berlari sehingga memasuki dunia realiti yang kian runcing.

Pada saat ini, dia berlari sambil melirik pada senyuman ibu yang tersemat di jiwa setelah seminggu mengasingkan diri ke dunia paling abadi. Dia menyentuh nafas-nafas sengsara yang lahir dari mulut-mulut pejuang barisan utama yang kental mematikan serangan Covid-19, virus mutasi yang menjadi pandemik dan meragut ribuan nyawa di seluruh dunia. Pasaran saham global merudum, meningkatkan angka para muflis melebihi kematian hakiki. Dia berlari laju melewati kawah besar yang dikorek jentera gergasi untuk menghumbankan jasad-jasad yang kaku tanpa nadi kerana tidak ada seorang pun berani menyentuh jasad tersebut tatkala virus masih hinggap di tubuh. Dia terkesima melihat kepantasan virus ini menyalut ketakutan ke segenap pelusuk dunia.

Dia terus berlari kencang dan pasir di dalam balang kaca jatuh lebih pantas. Lariannya laju, mengalahkan kelajuan memori yang sentiasa hadir dalam nurani saban hari. Tiba-tiba, langkahannya terhenti di muka hospital, yang terpampang sehelai nota, “Sukarelawan vaksin Covid-19 diperlukan segera”. Nafasnya tercungap-cungap dan lariannya terhenti apabila dia sudah bersedia di atas katil kecil untuk memulakan kehidupan sebagai bahan uji kaji. Dia berjanji tidak mahu berlari lagi terutamanya apabila presiden negara paling angkuh menyatakan perintah berkurung diri dan tidak mahu bertemu sesiapa sehingga pandemik ini sirna kerana negaranya mencatat jumlah kematian tertinggi dunia. Dan, jam pasirnya seolah-olah mati tanpa isi.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Mutasi yang membumi

Oleh Ilya Alias

 

Jika boleh diibaratkan belantara ini dengan keajaiban Tuhan, jawapannya; bianglala yang lahir pada bulan Disember.

Keadaan kami yang bertelanjang bukanlah sesuatu yang dianggap tabu oleh komuniti. Kami hidup dalam sebuah belantara yang dipagari dengan pohon-pohon tua perkasa maha besar yang bersambung antara satu sama lain sehingga memungkinkan kami menggelarkannya, gerbang. Cukup besar sehingga memuatkan seratus ekor mawas jantan dewasa berjalan beriringan melaluinya, memasuki daerah kami yang mendedahkan rahsia Tuhan; mawas betina. Gerbang besar itu mengunci segala rahsia isi dalamnya.

Kami berjalan megah dengan bulu-bulu halus, panjang pada puting-puting merah jambu, mongel dan dada yang montok.

Kami tidak perlu mencalit gincu dengan kombinasi paling anggun dan mahal seperti manusia untuk nampak menawan.

Kami tidak perlu memakai pakaian dalam paling mewah untuk mengiurkan pandangan yang melihat.

Kami hanya perlu berjalan dengan juntaian bulu-bulu badan yang disisir rapi berserta sejuring senyuman yang melebar ke pelipat mata, pasti ada sahaja mawas jantan kegersangan yang matanya ke atas membuntuti kami penuh harap.

Kami gelarkan belantara ini sebagai kolosium paling tenang dalam galaksi. Gerbang itu persis perisai yang membina ruang vakum, menepis gangguan haiwan-haiwan liar lain yang mampu membenamkan kebahagiaan kami. Di dalamnya, kami terpelihara dan suci daripada segala onar. Bahkan, buah-buahan yang kami makan juga sifar gangguan serangga dan ketulenan rasanya mengecurkan deria. Wangian kulit isu yang dikopek persis haruman yang mampu mengalahkan taburan pewangi kelas satu dunia.

Saban mawas jantan yang maju ke gerbang akan terbuntang mata melihat pesona kami. Mereka bagaikan dipukau untuk meraba dada membidang yang baru tumbuh, cuba menjilatnya penuh hemah agar keindahannya terus mekar.

Bahkan setiap mawas jantan yang melintasi kami akan berteriak sakan hingga menggegarkan akar-akar meranti yang beratus-ratus tahun membanir.

Tandan-tandan pisang kuning dilayangkan penuh karisma untuk menarik perhatian kami serta anak-anak yang kian sesak. Mereka adalah pemilik kolosium ini suatu masa nanti.

Mengawan definisinya, indah.

Kami tidak pernah bersengketa kerana kami mengingini dan memiliki hal yang sama.

Mawas jantan yang paling hebat dan besar akan menjadi susuk paling dominan. Kami akan mengelilinginya beramai-ramai sambil bergayut pada dahan paling rendang dengan dedaun paling lebat serta leretan buah-buahan hutan paling labuh. Kami akan sama-sama bercengkerama hingga titis-titis terakhir kepuasan mengalir ke dada dan perut kami, mawas jantan itu akan tersenyum dan beredar pergi.

Istimewanya, kami tidak pernah mengawan dengan mawas jantan sama. Langsung tidak. Mungkin kerana jumlah mawas jantan di belantara lebih banyak daripada mawas betina, siapa tahu? Kami tidak pernah melewati lebih daripada gerbang tersebut.

Bilangan mawas jantan yang hadir ke ruang kami semakin banyak dan keadaan kian ganas. Sebahagian mereka sudah mula menghisap dan menggigit puting-puting sehingga berdarah dan kegersangan mereka kian bertambah apabila kami mengaduh kesakitan apabila bulu-bulu pada badan kami ditarik sambil mereka memancutkan saat paling enak dalam hayat mengawan.

Namun, kami tetap tabah melewati waktu-waktu tersebut kerana itu adalah kehidupan. Bahkan, kami masih tidak memilih mawas jantan untuk mengawan. Anak-anak kecil terus kami gendung tanpa sedikitpun kegusaran. Dan, kami bisikkan pada anak-anak kami bahawa zuriat adalah harta paling berharga. Kami mahu penuhi seluruh jagat raya dengan kawanan mawas, leraikan konkrit yang memagari zoo serta bina safari paling mewah untuk sekalian generasi. Kami tidak mahu lagi dilabel binatang oleh kawanan yang mengakui diri mereka memiliki akal; manusia.

Masih segar ketika kami belum berkampung di sebalik gerbang ini, saat zuriat kami diambil oleh beberapa kumpulan manusia untuk dijadikan uji kaji. Lolongan mereka yang nyaring dan kuat sayup-sayup kedengaran sehingga membataskan tidur nyenyak kami sehari-hari.

Hari ini, seperti dipanah petir paling kuat dan tajam, gerbang seolah-olah diperkosa tatkala seorang lelaki bertopi dan bersenapang melanggar kekebalannya dengan menunggang kuda hitam paling gagah. Kami kaget melihat lelaki dengan janggut yang meleret ke paras dada. Dia memakai kaca mata hitam dan menyeru beberapa orang lelaki lain mampir ke arahnya seraya menuding tangan ke arah kami yang bergentayangan di dahan.

“Kalian lihat! Inilah datuk moyang kita. Australopithecus!”

Sorakan garau daripada lelaki-lelaki lain beserta lepasan beberapa das tembakan ke udara mengejutkan kami.

“Turunlah kalian ke tanah, kita adalah serumpun. Kami adalah hasil mutasi, kalian adalah bentuk kami paling asli.”

Lelaki itu adalah ketua saintis terkemuka dunia yang memperjuangkan teori dangkalnya; bahawasanya manusia adalah mutasi kera. Kumpulannya menghabiskan sisa hayat mereka memperkatakan tentang kelahiran manusia adalah melalui proses mutasi kera secara semula jadi dan penuh ironi. Mawas jantan yang masih ralit mengawan dengan sebahagian daripada kami, bingkas bangkit. Mengeruh kuat, menggerunkan kuda-kuda gagah-hitam.

“Kalian usah risau, kami datang bersama tamadun paling cerlang.”

Kami cuba memahami tingkah manusia itu. Berhati-hati mengatur dahan demi dahan sambil pandangan kami terus tertancap pada laras-laras senapang yang panjang dan kurus di tangan mereka.

“Kita adalah satu! Zuriat kalian adalah permulaan hayat kami paling agung.”

Kami cuba memahami lagi bahasa dan lenggok katanya, sehingga seekor mawas jantan paling tua yang baru sahaja menyisir bulu pada perut yang penuh kutu berkata;

“Oh, Charles kita adalah saudara! Kamu adalah telur-telur yang kami titiskan dan mengembang memiliki akal paling sempurna.”

Kami yang mendengar ujaran mawas tua itu, terus bersorak. Membayangkan hak sama rata manusia dan haiwan bakal menjadi nyata dan kantung sejarah serta sains bakal berantakan. Pasti kehadiran hak sama rata ini membuatkan tujuh benua menjadi satu dan kami akan memonopoli seluruh galaksi. Kolosium ini bakal dilebarkan sehingga tidak mampu ditepis ruangnya oleh sesiapa sahaja. Kami terus bergayut dari dahan ke dahan sehingga membuatkan nyali manusia di sekeliling Charles kian mengecut. Senapang mereka dilaras tinggi, setinggi gayutan dan suara kami yang bergema ke seluruh bumi.