Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa khas bantu pengusaha inap desa dapat kebenaran merancang

SHAH ALAM, 1 DIS: Selangor bakal menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu pengusaha inap desa yang belum mendapat kebenaran merancang di premis mereka.

Tindakan itu susulan banyak inap desa beroperasi tanpa kebenaran di kawasan sungai dan tidak diiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT), kata EXCO Pelancongan Hee Loy Sian.

“Pejabat tanah dan daerah serta Tourism Selangor akan berbincang bagaimana untuk selesaikan isu ini supaya mereka dapat balik kebenaran merancang dengan syarat tertentu.

“Usaha ini secara tidak langsung membantu kelangsungan perniagaan mereka sekali gus mempromosi pelancongan inap desa,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Burong Dato’ Mohd Shamsudin Lias berhubung bentuk galakan kepada pengusaha inap desa bagi meningkatkan daya saing.

Loy Sian menambah Kerajaan Negeri sedang berusaha mempromosikan beberapa kawasan ekopelancongan bagi menggalakkan pelaburan swasta sekali gus menjadi tarikan pelancong.

Menurutnya, terdapat syarikat swasta bersetuju melabur sebanyak RM100 juta untuk menjadikan kawasan Taman Alam Kuala Selangor sebagai lokasi pelancongan antarabangsa.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor juga meluluskan cadangan itu secara dasar,” katanya menambah beberapa lokasi lain turut dicadangkan seperti Pulau Ketam, Sungai Limau dan Sungai Congkak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan inap desa harap syarat mohon geran padanan dilonggarkan

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) berharap syarat kelayakan permohonan geran padanan bagi tujuan pembaikan yang melibatkan peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2022, dilonggarkan dan lebih fleksibel buat pemilik inap desa.

Presidennya Zohaime Muhamad Sori berkata kekangan syarat yang terlalu ketat, menyebabkan ada segelintir pemilik inap desa berputus asa dalam memohon peruntukan tersebut.

“Melalui geran sebelum ini, kami terpaksa melalui karenah birokrasi yang terlalu ‘rigid’ sehingga membebankan. Jadi kami berharap agar syarat kelayakan permohonan ini dapat dilonggarkan.

“Bagaimanapun, kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan dalam membantu pemilik inap desa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelancong, apatah lagi selepas hampir dua tahun tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, memperuntukkan RM1.6 bilion menerusi tujuh inisiatif utama bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Antaranya, peruntukan RM30 juta geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada pemilik inap desa dan 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun menyifatkan pembentangan Bajet 2022 bagi sektor pelancongan, memenuhi semua keperluan yang diminta oleh industri itu.

“Jika hendak dibandingkan dengan bajet sebelum ini, kali ini kami cukup berpuas hati dengan apa yang diberi oleh kerajaan,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel pula berharap, kerajaan lebih prihatin kepada industri perhotelan dan pelancongan yang terjejas teruk dan mengambil masa yang lama untuk kembali kukuh, walaupun selepas pandemik berjaya dikawal.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Inap desa hanya terima pelanggan bermalam

SHAH ALAM, 30 JUN: Pengusaha inap desa hanya menerima pelanggan yang bermalam sahaja selepas sektor itu dibenarkan kembali beroperasi.

Penyelaras Inap Desa Sungai Haji Dorani berkata ia mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan yang tidak mahu aktiviti tanpa penjarakan sosial dijalankan.

“Pengunjung berkumpulan yang datang untuk aktiviti santai seperti menggagau ikan dan bermain layang-layang tidak dibenarkan. Mereka yang mahu memancing perlu membawa peralatan sendiri,” kata Abdul Rahman Daud kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga terpaksa menghadkan jumlah pelanggan berbanding sebelum ini selain menyediakan keperluan seperti cecair pembasmi kuman sebagai langkah mengelak berlakunya penularan Covid-19.

“Pengunjung perlu mendaftar di MySejahtera selain suhu badan diperiksa. Mereka yang tidak sihat tak dibenarkan masuk,” katanya.

10 Jun lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan lapan sub sektor pelancongan domestik dibenarkan namun mesti mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).