Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Ekonomi Malaysia dijangka pulih berperingkat – MIDF Research

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Selepas penguncupan ekonomi dijangka pada suku kedua 2020, Malaysia dijangka menyaksikan pemulihan secara berperingkat bermula dari suku ketiga bergantung kepada kemajuannya dalam memerangi penularan Covid-19, menurut MIDF Research.

Dalam nota hari ini, katanya pemulihan akan turut bergantung kepada bagaimana seluruh dunia, terutamanya rakan dagang utama Malaysia, memerangi penularan virus tersebut berikutan ini akan memberi impak kepada permintaan global untuk produk negara.

“Pakej rangsangan ekonomi dijangka akan mengurangkan impak daripada Covid-19,” menurut MIDF Research, yang merupakan sebahagian daripada MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Katanya Indeks Pelopor (LI) Malaysia merosot kepada -4.9 peratus bulan ke bulan pada Mac daripada -0.8 peratus bulan ke bulan pada Februari, menunjukkan kemelesetan ekonomi untuk tempoh Julai-September 2020.

Kemerosotan bulanan paling ketara sejak November 1991 sebahagian besarnya berikutan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac, menurut firma penyelidikan itu.

Katanya pertumbuhan eksport Malaysia mencatatkan paras terendah dalam tempoh empat bulan pada Mac. Jumlah perdagangan susut 3.8 peratus tahun ke tahun dengan eksport dan import, masing-masing merosot 4.7 peratus dan 2.7 peratus.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) secara keseluruhannya turut merosot sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun pada Mac, penyusutan pertama sejak Disember 2015 dan paling ketara sejak September 2009.

Prestasi tersebut, yang kurang memberangsangkan daripada jangkaan pasaran, berdasarkan kemerosotan dalam semua sub-indeks.

“Ia telah dijangka berikutan gangguan dalam rantaian penawaran dan permintaan secara keseluruhan di peringkat domestik dan global disebabkan COVID-19. Malaysia telah menguatkuasakan PKP pada Mac. Secara keseluruhannya, pada suku pertama tahun ini, IPP berjaya mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan walaupun pada kadar sederhana sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun (suku keempat 2019: 1.3 peratus tahun ke tahun).

“Mengenai masa depan, kami menjangka prestasi IPP pada suku kedua 2020 akan merosot, berikutan PKP yang dilanjutkan dan harga komoditi yang turun naik,” menurut MIDF Research.

Ia mengunjurkan kadar pengangguran melepasi syarat guna tenaga penuh empat peratus dalam tempoh beberapa bulan akan datang tetapi menyatakan apabila kerajaan membuka semula ekonomi, pasaran pekerjaan akan pulih secara berperingkat dan kebimbangan mengenai Covid-19 akan mula berkurangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Indeks pelopor jangka ekonomi lebih baik pada Feb-April 2020

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) Malaysia meningkat 1.5 peratus pada Oktober 2019 berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya — peningkatan tertinggi sejak April 2018, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IP, yang menjangkakan hala tuju ekonomi negara mencatat kenaikan pada Oktober 2019, berkembang 1.4 peratus bulan ke bulan kepada 120.3 mata daripada 118.6 mata pada September 2019.

“Ini (perubahan tahunan) adalah yang tertinggi sejak April 2018. Oleh itu, ekonomi dijangka mengalami pertumbuhan yang lebih baik pada Februari hingga April 2020,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Oktober 2019 hari ini.

Beliau berkata penyumbang utama bagi peningkatan ini adalah import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (0.9 peratus) yang disokong terutamanya oleh import aluminium dan logam berasaskan platinum.

Penyumbang lain adalah import benar semi konduktor (0.4 peratus) yang didorong terutamanya oleh import komponen bersepadu elektronik, sejajar dengan kenaikan jualan semi konduktor di peringkat global.

-BERNAMA