Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Pengeluaran Perindustrian melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021 berbanding angka pada bulan yang sama 2020 dan ia merupakan angka tertinggi yang dicatatkan bagi tempoh sejak Julai 2013, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan IPP pada Mac 2021 dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik yang masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.3 peratus.

“Bagaimanapun indeks perlombongan menguncup 1.9 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis bagi mengulas laporan IPP Malaysia, Mac 2021 yang dikeluarkan DOSM.

Menurut jabatan itu, IPP bagi suku pertama 2021 berkembang 3.9 peratus berbanding angka pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan ini didorong peningkatan 6.8 peratus dalam indeks pembuatan namun sektor perlombongan dan elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 4.1 peratus dan 0.1 peratus, jelasnya.

DOSM melaporkan subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Mac 2021 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (20.9 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (14.1 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (13.8 peratus).

Ia menambah, industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 12.4 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 13.4 peratus.

Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutama dalam subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP bagi beberapa rakan dagang utama Malaysia, tambah jabatan itu.

Output sektor perlombongan menguncup 1.9 peratus pada Mac 2021 berbanding tempoh yang sama 2020 disebabkan oleh penurunan indeks minyak mentah dan kondensat (-9.4 peratus).

Pada masa yang sama, indeks gas asli berkembang 4.3 peratus, menurut DOSM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks keluaran industri naik 1.7 peratus pada Dis 2020

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 1.7 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh indek pembuatan sebanyak 4.1 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bagaimanapun, indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menyusut 5.4 peratus dan 0.2 peratus.

Jabatan Perangkaan berkata output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.1 peratus pada bulan Disember 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus pada bulan November 2020.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Disember 2020 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (8.4 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (7.7 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (7.6 peratus), katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Ia menambah output sektor perlombongan menguncup 5.4 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya dan kemerosotan itu disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-9.0 peratus) serta indeks gas asli (-2.5 peratus).

Output sektor elektrik menurun sedikit 0.2 peratus pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, IPP bagi suku tahun keempat 2020 jatuh 0.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya dan ini terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam perlombongan (-10.5 peratus) dan elektrik (-0.6 peratus).

Bagaimanapun, sektor pembuatan merekodkan peningkatan 2.8 peratus.

IPP bagi keseluruhan tahun 2020 merekodkan penyusutan 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh semua indeks iaitu indeks perlombongan (-9.7 peratus), indeks elektrik (-3.7 peratus) dan indeks pembuatan (-2.7 peratus).

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pengeluaran industri naik 0.3 peratus pada Ogos 2020

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan pertumbuhan positif 0.3 peratus pada Ogos 2020 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan IPP pada Ogos 2020 dipacu oleh pertumbuhan positif sebanyak 2.4 peratus dalam indeks pembuatan selepas mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus pada Julai 2020.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Ogos 2020 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (6.9 peratus), kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (6.9 peratus) dan makanan, minuman dan tembakau (4.7 peratus),” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menguncup 6.7 peratus dan 1.2 peratus pada Ogos 2020 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Kemerosotan dalam output sektor perlombongan disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-5.0 peratus) dan indeks gas asli (-8.0 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Ekonomi Malaysia dijangka pulih berperingkat – MIDF Research

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Selepas penguncupan ekonomi dijangka pada suku kedua 2020, Malaysia dijangka menyaksikan pemulihan secara berperingkat bermula dari suku ketiga bergantung kepada kemajuannya dalam memerangi penularan Covid-19, menurut MIDF Research.

Dalam nota hari ini, katanya pemulihan akan turut bergantung kepada bagaimana seluruh dunia, terutamanya rakan dagang utama Malaysia, memerangi penularan virus tersebut berikutan ini akan memberi impak kepada permintaan global untuk produk negara.

“Pakej rangsangan ekonomi dijangka akan mengurangkan impak daripada Covid-19,” menurut MIDF Research, yang merupakan sebahagian daripada MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Katanya Indeks Pelopor (LI) Malaysia merosot kepada -4.9 peratus bulan ke bulan pada Mac daripada -0.8 peratus bulan ke bulan pada Februari, menunjukkan kemelesetan ekonomi untuk tempoh Julai-September 2020.

Kemerosotan bulanan paling ketara sejak November 1991 sebahagian besarnya berikutan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac, menurut firma penyelidikan itu.

Katanya pertumbuhan eksport Malaysia mencatatkan paras terendah dalam tempoh empat bulan pada Mac. Jumlah perdagangan susut 3.8 peratus tahun ke tahun dengan eksport dan import, masing-masing merosot 4.7 peratus dan 2.7 peratus.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) secara keseluruhannya turut merosot sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun pada Mac, penyusutan pertama sejak Disember 2015 dan paling ketara sejak September 2009.

Prestasi tersebut, yang kurang memberangsangkan daripada jangkaan pasaran, berdasarkan kemerosotan dalam semua sub-indeks.

“Ia telah dijangka berikutan gangguan dalam rantaian penawaran dan permintaan secara keseluruhan di peringkat domestik dan global disebabkan COVID-19. Malaysia telah menguatkuasakan PKP pada Mac. Secara keseluruhannya, pada suku pertama tahun ini, IPP berjaya mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan walaupun pada kadar sederhana sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun (suku keempat 2019: 1.3 peratus tahun ke tahun).

“Mengenai masa depan, kami menjangka prestasi IPP pada suku kedua 2020 akan merosot, berikutan PKP yang dilanjutkan dan harga komoditi yang turun naik,” menurut MIDF Research.

Ia mengunjurkan kadar pengangguran melepasi syarat guna tenaga penuh empat peratus dalam tempoh beberapa bulan akan datang tetapi menyatakan apabila kerajaan membuka semula ekonomi, pasaran pekerjaan akan pulih secara berperingkat dan kebimbangan mengenai Covid-19 akan mula berkurangan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Projek IPP di Kapar antara projek dibatalkan kerajaan – Yeo

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Projek Loji Jana Kuasa berkapasiti 700 megawatt (MW) oleh Malakoff Corporation Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar antara empat projek penjana tenaga bebas (IPP) yang dibatalkan kerajaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pembatalan projek itu berikutan ketidakpatuhan terhadap syarat yang dikenakan dalam surat tawaran oleh pihak pemaju.

“Projek lain ialah projek Loji Janakuasa 1,400 MW oleh Aman Majestic Sdn Bhd dan TNB di Paka, Terengganu, projek Loji Janakuasa Kitar Padu gas 300 MW oleh Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn Bhd dan SM Hydro Energy Sdn Bhd di Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Sandakan dan pembatalan kuota tenaga solar sebanyak 400 MW kepada Edra Power Holdings Sdn Bhd bagi pembangunan loji janakuasa solar,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang ingin tahu empat IPP yang akan dibatalkan kontrak seperti yang diumumkan kementerian itu sebelum ini.

Yeo berkata pembatalan projek itu dijangka tidak akan memberikan sebarang implikasi negatif kewangan dan perundangan kepada kerajaan.

“Dengan pembatalan projek ini, kerajaan telah menjimatkan pembekalan elektrik kepada pengguna sebanyak RM1.26 bilion.

“Kerajaan juga komited dalam memastikan projek penjanaan elektrik pada masa hadapan sama ada berasaskan bahan api fosil atau tenaga boleh diperbaharui akan dianugerahkan secara tender terbuka,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan batalkan empat kontrak IPP

PUTRAJAYA, 12 JUL: Kerajaan sedang meninjau untuk membatalkan empat kontrak baharu Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Tanpa menjelaskan butiran mengenai syarikat terbabit, beliau berkata, satu daripada IPP berkenaan adalah syarikat senarai awam.

Yeo berkata, empat lagi kontrak IPP, yang juga adalah projek baharu, akan disemak semula untuk memastikan daya maju serta kos yang terbabit, tanpa sebarang kesan teknikal, kewangan dan undang-undang.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mencadangkan lapan IPP ini yang dianugerahkan melalui rundingan terus akan disemak semula. Empat yang akan dibatalkan adalah projek berisiko rendah dan kita tidak memerlukannya selepas siasatan menyeluruh mengenai implikasi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi town hall (dialog awam) dengan industri tenaga diperbaharui di sini, hari ini.

Yeo berkata, pada masa ini, terdapat lebih 30 kontrak IPP di seluruh negara dan menambah bahawa, kementerian sedang menyemak semula kontrak IPP lain juga.

Katanya, kementerian juga mengkaji cara untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain industri untuk menjana kuasa bagi mengawal kos elektrik di negara ini.

“Bekalan tenaga negara mengalami lebihan sebanyak 30 peratus dan kami ingin mengkaji bagaimana untuk membangunkan industri tenaga baharu yang berpusat di sekitar tenaga diperbaharui, bukannya terlalu bergantung kepada tenaga arang batu.

Ini sebabnya kenapa tenaga diperbaharui adalah sesuatu yang kerajaan ingin untuk maju ke hadapan, bagi menjana pertumbuhan tenaga juga membentuk lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat Beli IPP Mencurigakan dan Tidak Munasabah

SHAH ALAM, 20 SEPT: Keputusan Kerajaan Pusat membeli penjana kuasa bebas (IPP) tertentu menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan tidak munasabah dan menimbulkan pelbagai persoalan.

Ini berlaku meskipun Suruhanjaya Tenaga Malaysia telah memberi jaminan yang segala perjanjian konsensi baru dengan mana-mana IPP akan lebih kompetitif dan tidak berat sebelah.

Dalam kes pertama, 1MDB membeli Mastika Lagenda Sdn Bhd yang memiliki 75 peratus saham Genting Sanyen pada Ogos lalu dengan nilai 2.55 bilion.

Harga itu enam kali lebih tinggi daripada nisbah harga-buku purata saham penjana kuasa lain di rantau ini.

Manakala dalam kes kedua, 1MDB membeli Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd daripada jutawan Tan Sri Ananda Krishnan dengan kos pembelian saham berjumlah 8.5 bilion pada Mac lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan membeli Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd itu memberikan keuntungan berlipat ganda kepada Ananda.

Beliau mendakwa Ananda telah meraih keuntungan berjumlah RM1.9 bilion daripada penjualan itu.

?Sebarang nilai lumayan kepada IPP adalah tidak munasabah, namun disebalik jaminan daripada Suruhanjaya Tenaga.

?Masih wujud lagi perjanjian IPP yang berat sebelah seperti dahulu yang merugikan Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pembayar cukai,? kata Nik Nazmi.

Di dalam kes Mastika Lagenda Sdn Bhd, adalah lebih murah untuk membina penjana kuasa baru bersaiz sama daripada membeli penjana kuasa milik Genting ini yang sudah berusia 17 tahun.

Nik Nazmi turut mempersoalkan mengapa 1MDB tidak membeli sahaja saham Genting Sanyen yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“PKNS juga memiliki 25 peratus saham Genting, mengapa 1MDB tidak membeli saham yang dimiliki PKNS?” soalnya lagi.

Maka 1MDB mestilah memberikan jawapan sama ada pembelian IPP-IPP ini dibuat untuk kepentingan rakyat atau untuk menguntungkan kelompok kecil kroni-kroni mereka.